Selasa, Disember 29, 2009

PENDIDIKAN & PILIHAN MURABBI DALAM PERANCANGAN KELUARGA

Oleh: Roslan Kassim

UNTUK memperoleh zuriat berkualiti, memerlukan pendidikan yang berterusan dan bersepadu. Tanpa pendidikan, anak-anak akan menjadi liar kerana terbiar mengikut bentuk acuan budaya dan adat warisan turun temurun serta kebiasaan masyarakat setempat. Maka hasilnya terserah kepada nasib, seperti peribahasa Melayu: Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Ibu bapa tidak harus memperjudikan nasib dan masa hadapan anak-anak mereka. Sekali tersilap pilih jalan didikan maka kerugiannya mungkin akan ditanggung beberapa generasi lamanya kerana bukan mudah untuk dipulihkan. Sehubungan ini, Syed Qutub pernah berkata: “Sesungguhnya aku yakin akan kekuatan ilmu pengetahuan. Dan aku juga meyakini kekuatan hasil kebudayaan. Namun, aku jauh lebih yakin akan kekuatan buah pendidikan”.

Dalam soal pendidikan, pendidik (murabbi) memainkan peranan yang penting. Terdapat empat ‘murabbi’ yang mempengaruhi mutu didikan anak-anak. Keempat-empat murabbi itu harus berganding bahu bertindak secara sepadu sokong-menyokong antara satu sama lain untuk mencipta kejayaan pendidikan anak-anak. Murabbi yang empat itu ialah:

1. Ibu bapa
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang pun dilahirkan kecuali dalam keadaan fitrah (suci). Kedua orang tuanyalah yang menjadikannya sebagai orang Yahuri, atau Nasrani, atau Majusi”. (Riwayat Bukhari).

2. Guru-guru
Untuk mendalami selok-belok ilmu pengetahuan agama dan kemahiran hidup perlukan bimbingan daripada guru-guru.

3. Kawan-kawan
Pergaulan banyak mempengaruhi anak-anak hinggakan jika ingin tahu perangai seseorang maka lihat sahaja tingkah laku kawan-kawan rapatnya. Sabda Nabi SAW: “Manusia dipandang atas perjalanan kawannya, maka hendaklah seseoang kamu memilih siapa yang perlu dia berkawan dengannya”. (Riwayat Tirmidzi).

4. Suasana persekitaran (lingkungan dan kejiranan)
Sifat anak-anak yang mudah meniru dan mengambil contoh daripada kelakuan yang mereka lihat menjadikan mereka mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling. Suasana dalam rumah tangga, kejiranan dan media massa yang menjadi bahan bacaan, tontonan dan pendengaran anak-anak termasuk antara yang mempengaruhi didikan.

Di antara kesemua murabbi ini, ibu bapa yang paling berpengaruh terhadap corak perkembangan anaknya. Ibu bapalah yang memilih guru untuk mengajar anak-anak mereka ilmu pengetahuan, menentukan siapa rakan pergaulan dan lingkungan kejiranan tempat tinggal.

Atas sebab ini Allah SWT telah memerintahkan kepada setiap ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka dan bertanggungjawab dalam didikannya. Firman-Nya: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka..” (At-Tahrim: 6).

Bukan Satu Pilihan
Maka dengan sebab itu mendidik anak-anak bukan lagi satu pilihan tetapi kewajipan kepada ibu bapa. Mahu tidak mahu, sama ada suka atau tidak, ibu bapa tidak ada pilihan kecuali mendidik anak-anak mereka. Pendidikan bukanlah hadiah daripada ibu bapa kepada anak-anak, tetapi amanah Allah kepada orang tua mereka. Anak-anak akan menjadi apa sahaja yang diajarkan orang tua kepada mereka. Sifat dan tingkah laku orang tuanya pun akan menurun kepada si anak; bagaimana acuan maka begitulah bentuk kuihnya.

Justeru apabila orang tua memahami betapa besar pengaruh lingkungan rumah bagi kehidupan anak, maka ibu bapa berkewajipan penuh mempersiapkan anak dan melindunginya daripada kehinaan serta memastikan agar tumbuh di dalam jiwa anak-anaknya roh agama dan kemuliaan.

Rumah adalah madrasah dan diibaratkan sebagai benteng sebuah akidah yang harus dikawal ketat setiap sudut daripada serangan musuh. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan sebagaimana seorang petani yang sentiasa mencabut duri dan tanaman asing yang mengganggu tanaman yang ia tanam serta membuang musuh tanaman; agar tanaman tersebut dapat tumbuh dan berkembang dengan baik. Demikian nasihat Imam Ghazali rhm. tentang makna ‘tarbiyah’ dalah bukunya Ayyuhal Walad (Wahai Anak).

Kemudian, apabila anak-anak sudah sempurna ‘mumaiyiz’ maka ibu bapa bertanggungjawab memilih murabbi kedua dalam hidup mereka. Ibu bapa harus mencontohi salafussoleh zaman dahulu yang tahu bagaimana memilih para pendidik untuk mendidik anak-anak mereka akhlak yang mulia, ilmu pengetahuan yang berguna dan cara hidup yang baik.

Uqbah bin Abu Sufyan, apabila menyerahkan anaknya kepada seorang pendidik meninggalkan pesan: “Mula-mula sekali sebelum engkau memperbaiki anakku, hendaklah engkau memperbaiki dirimu sendiri, kerana matanya menumpu kepadamu. Suatu yang baik padanya ialah apa yang engkau pandang baik, dan yang buruk pula ialah apa yang engkau pandang buruk. Ajarkanlah dia perjalanan para ahli bijaksana, dan akhlak para budiman. Ancamlah mereka dengan diriku, dan didiklah mereka tanpa membandingkan diriku. Jadilah baginya laksana seorang tabib yang tidak tergesa-gesa menentukan sesuatu ubat, sebelum dia tahu penyakitnya. Jangan kau bergantung atas keuzuran daripadaku, sebab sesungguhnya aku telah bergantung sepenuhnya kepada kebolehan dan pengalaman yang ada padamu”.

Para salafussoleh juga kerana terlalu mengambil berat terhadap anak-anak akan sentiasa mengadakan perhubungan yang rapat dengan para pendidik anak-anak mereka. Ini kerana mereka bimbang kalau anak-anak mereka tidak dididik menurut cara yang mereka mahu atau anjurkan. Abdul Malik bin Marwan pernah menasihatkan pendidik anaknya dengan berkata: “Ajarkanlah mereka kebenaran, sebagaimana engkau mengajar mereka membaca Al-Quran, sentiasa biasakan mereka dengan akhlak yang baik, bicarakan kepada mereka dari syair-syair supaya mereka berani dan bersemangat, biasakan mereka duduk bersama orang-orang yang mulia dan ahli ilmu pengetahuan dan jauhkanlah mereka dari bercampur dengan orang-orang yang rendah budinya, sebab mereka itulah orang-orang yang paling buruk kelakuannya, hormatilah mereka di hadapan ramai, dan cela mereka secara rahsia, dan pukullah mereka jika mereka berdusta, kerana dusta itu menarik kepada maksiat, dan maksiat pula menarik kepada api neraka”.

Sikap para salafussoleh terhadap pendidikan anak-anak ini harus dicontohi oleh para ibu bapa dalam memilih guru dan pendidik untuk anak-anak mereka. Tanggungjawab mendidik tidak diserahkan bulat-bulat kepada guru dan sekolah sahaja. Bahkan terus dipantau oleh ibu bapa dan dipastikan ada kesinambungan antara pendidikan di rumah dan di sekolah.

Usaha mendidik anak-anak hendaklah dilakukan secara berterusan tanpa mengira waktu dan tempat. Malah ia memerlukan tindakan bersepadu daripada semua murabbi dengan menitikberatkan kaedah pengajaran yang betul dan prinsip pendidikan yang amali lagi sihat. Walaupun ramai yang terlibat, namun di pundak bapa sebagai ketua keluarga, terpikul amanah Allah yang akan dihisab nanti.

PERANCANGAN KELUARGA MUKMIN

Oleh: Roslan Kassim

UNTUK menempa kejayaan dalam apa jua bidang dan aspek kehidupan, perancangan adalah penting. Orang yang gagal dalam hidup bukannya merancang untuk gagal; tetapi biasanya gagal untuk merancang. Perancangan juga tidak berguna jika tidak ada tindakan susulan. Jika tidak dipecahkan ruyung, mana mungkin akan dapat sagunya.

Demikian juga dalam mendirikan rumah tangga. Hikmah berkahwin itu bukan setakat menghalalkan hubungan biologi antara pasangan suami isteri. Tetapi harus lebih jauh daripada itu. Antara tujuan pernikahan ialah melanjutkan zuriat keturunan dan memperbanyakkan jumlah umat Nabi Muhammad SAW. Justeru, termasuk dalam cita-cita hidup orang Mukmin itu untuk merancang membentuk keluarga sakinah dan rumah tangga pejuang demi mendokong pembangunan ummah. Usaha murni ini pastinya akan menyenangkan hati Nabi Muhammad SAW.

Ini kerana Rasulullah SAW berbangga dengan umat yang banyak. Dinukilkan daripada Ma’qil Ibnu Yasar, ia berkata: “Telah datang seorang lelaki menghadap Rasulullah SAW dan bertanya, “Sesungguhnya aku hendak menikahi seorang wanita yang baik dan cantik, namun dia tidak mampu melahirkan anak. Apakah aku boleh menikahinya?” Rasulullah SAW menjawab, “Tidak!” Kemudian di saat lain orang itu datang lagi berjumpa Rasulullah SAW untuk meminta izin menikahi wanita itu, namun Nabi SAW tetap melarangnya dan bersabda: “Nikahilah wanita penyayang dan subur. Sungguh aku membanggakan jumlah kalian yang banyak di antara umat-umat lain.” (Rawayat Abu Daud dan Nasa’ie).

Pastinya akan dikecapi kemanisan iman apabila seseorang itu dapat menggembirakan Nabinya dan menjadi sebahagian mata rantai mendokong wawasan besar baginda. Tentu sekali hal ini berkaitan dengan kekuatan ummah agar agama Islam dan umatnya terbela, maju, berwibawa dan tinggi hingga dapat memayungi umat manusia.

Bukan Sekadar Kuantiti
Selanjutnya, tentu bukan sahaja kuantiti yang dibanggakan Rasulullah SAW tetapi juga kualiti. Tidak ada maknanya bilangan yang banyak jika tidak berkualiti ibarat kekuatan buih air di laut walaupun menggunung besarnya. Daripada Tsaubah r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Hampir akan tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih air pada waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan campakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan”. Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu ya Rasulullah?” Nabi menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati”. (Riwayat Abu Daud).

Hadis ini memperlihatkan kegusaran hati Rasulullah SAW terhadap bilangan umatnya yang ramai pada akhir zaman tetapi tidak berkualiti. Ini kerana mereka lemah akibat ditimpa penyakit cinta kehidupan dunia dan takut menghadapi kematian.

Sebenarnya para ibu bapa harus merasa takut apabila tidak merancang dan meninggalkan usaha untuk membentuk generasi Mukmin yang berkualiti. Ini kerana Allah SWT juga memberi ancaman kepada para ibu bapa yang mati mewariskan zuriat keturunan yang lemah: Firman-Nya: “Dan hendaklah merasa takut kepada Allah, orang yang seandainya meninggalkan di belakang anak-anak zuriat keturunan yang lemah.” (An-Nisa’: 9)

Generasi pewaris yang kuat itu bukan sahaja pada fizikalnya, tetapi kuat dan besar jiwanya. Sedaya mungkin diusahakan agar anak-anak Muslim itu lurus dan benar akidahnya, betul dan sah ibadahnya, teguh dan terpuji akhlaknya, terpelajar dan waras akalnya, memiliki tubuh yang kuat dan sihat, kuat kemahuan dan pejuang untuk dirinya, punyai cita-cita perjuangan, ada kehiran dan yakin diri untuk berusaha, berguna kepada orang lain, bijak memanfaatkan masa, mampu berdikari mengatur urusan dan menyelesaikan masalah. Semua kriteria ini diperlukan untuk membangun ummah yang berwibawa dan berhemah tinggi.

Jika gagal berbuat demikian maka ibu bapanya yang rugi dan paling dahulu menerima padah bencana daripada anak-anaknya. Firmah Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi adalah orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarganya pada hari kiamat. Ingatlah yang demikian itu adalah kerugian yang jelas nyata.” (Az-Zumar: 15)

Maka sayugialah atas dasar cinta kepada Nabi SAW setiap ibu bapa memperbaharui tekad melaksanakan jihad untuk memperbanyak bilangan umat Muhammad yang berkualiti, agar dengan itu senang hati baginda. Iaitu dengan membentu keluarga dan generasi mukmin yang solehin. Mudah-mudahan ibu bapa mendapat saham apabila Allah mewariskan bumi ini hingga meriah dan makmur dengan kebaikan kepada zuriat mereka nanti. Janji Allah SWT dalam firman-Nya: “Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Loh Mahfuz, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hamba-Ku yang soleh”. (Al-Anbiya’: 105)

Sabtu, Disember 26, 2009

TELEVISYEN ATAU TANPA TELEVISYEN

Oleh: Abu Saif (www.saifulislam.com)

KEHADIRAN televisyen itu datang bersama pakej latihan memilih dan membuat keputusan.

Apa yang boleh ditonton?

Apa yang tidak boleh ditonton?

Kedua-duanya berada di hujung jari, tetapi anak dilatih untuk membuat pilihan yang betul.

"Abi, bagi la Yop tengok Crayon Shin-Chan!" pinta anak saya.

"Yop boleh tengok kartun yang lain, tetapi Shin-Chan tak boleh," saya memberitahu anak.

"Kenapa tak boleh?" soal anak saya.

"Sebab Shan-Chan biadab. Dia tidak hormat ibu bapa. Comel tetapi kurang ajar. Yop tak nak jadi biadab kepada ibu bapa, kan?" saya cuba berlogika dengan anak.

"Tak nak!" jawab anak saya.

Maka petang itu, anak menonton rancangan yang baik dan meninggalkan rancangan yang tidak baik. Apa yang disekat petang itu bukanlah menonton televisyen, tetapi anasir yang tidak baik. Latihan menolak substance negatif itu penting kerana ia bukan sahaja terhidang di kaca TV, malah di sekolah, di internet, di kejiranan dan di mana-mana sahaja sudut kehidupan. Didikan yang diberi adalah untuk menolak unsur negatif, bukan menolak wasilahnya yang bernama televisyen.

Bagi diri saya, proses seperti ini lebih menyelamatkan untuk anak-anak menempuh realiti yang penuh cabaran itu. Jika pada usia tujuh atau lapan tahun, nak-anak mungkin masih boleh disekat dan dikawal keinginan mereka. Tetapi apabila si anak mencecah usia yang lebih dewasa, andai di rumah tiada televisyen, mereka dengan mudah boleh menontonnya di rumah kawan.

Malah di satu peringkat, televisyen mungkin jauh lebih selamat berbanding internet dan kaki lima pusat membeli belah.

Sistem digital pada televisyen juga saya manfaatkan sebaiknya. Banyak siaran yang tidak berkenaan boleh dikunci, termasuklah siaran-siaran percuma yang ada masa-masanya melampaui batas. Dos yang tidak terkawal terhadap siaran 24 jam juga boleh dikendalikan dengan baik. Apa yang penting, tindakan-tindakan ini bukanlah dibuat dalam bentuk hukuman atau escapism. Sebaliknya si anak diberitahu dengan jelas akan sebab musabab mengapa kita bertindak begitu.

Ia bukan mengawal untuk mengonkong.

Ia adalah kawalan untuk melatih membuat keputusan dan pilihan.

Kualiti Dan Kuantiti Masa
Biarpun televisyen ada di rumah, saya tetap berusaha mewujudkan masa-masa berkualiti antara saya dan isteri bersama anak-anak tanpa televisyen. Ada masanya televisyen ditutup dan kami sekeluarga duduk bersama-sama berbual, mengulang kaji pelajaran atau bermain bersama-sama.

Kualiti masa bersama lebih berharga daripada kuantiti masa yang melimpah ruah ketika seluruh keluarga duduk sebumbung, tetapi tidak bersama kerana hakikatnya semua sedang berkomunikasi dengan televisyen, bukan sesama ahli keluarga.

Sekali lagi, pembetulan perlu banyak berlaku ke atas manusia, bukannya ke atas televisyen dan media massa yang duduk di luar lingkungan kawalan kita. Ada masa, ahli keluarga diajar memilih siaran. Ada masa televisyen ditutup sepenuhnya mengikut keperluan dan keadaan.

Tatkala didesak-desak, bimbang juga anak belajar menipu apabila cuba menyembunyikan perbuatannya yang sebenarnya biasa-biasa sahaja. Kemahiran menipu itu mampu menjadi senjata untuk menyembunyikan perbuatan yang nantinya luar biasa pula. Itulah kekhuatiran saya. Kekhuatiran tatkala mengendalikan program anak-anak remaja hari ini.

Produk Kongkongan
Ramai dari kalangan remaja yang mempunyai ibu bapa dan keluarga yang komited dengan Islam, tetapi si anak memberontak dan berjiwa pemberontak. Ia bermula dengan kebosanan hidup, terutamanya apabila mereka mula membandingkan diri dengan kawan-kawan sebaya.

Lakonan-lakonan Islamik si anak di hadapan ibu bapa, menyemai tabiat nifaq apabila mereka menjadikan lakonan itu sebagai bahan gurau senda tatkala duduk bersama rakan. Betapa mudahnya ibu bapa ditipu dengan sangkaan bahawa mereka memiliki anak yang sesuai dengan kemahuan mereka, sedangkan si anak sudah pun menjadi manusia lain kesan pengaruh peer pressure yang terlepas dari pandangan dan kawalan ibu bapa.

Atas kebimbangan itulah, saya memilih untuk mendekatkan anak dengan realiti kehidupan serta mengambil pendekatan yang sederhana dalam mendidik mereka.

"Eh, rumah ustaz tu biasa-biasa aje!" kata seorang teman isteri saya kepada suaminya.

"Biasa macam mana tu?" tanya si suami.

"Lebih kurang macam kita juga. Apa yang ada di rumah kita, ada di rumah dia. Ada TV, ada permainan, ada dvd player," katanya lagi.

Benar, rumah saya bukan utopia atau satu planet lain yang asing. Hanya manusianya sahaja yang dilatih menjadi makhluk asing, ghuraba' yang dilatih membuat keputusan dan pilihan terhadap baik buruk di celah debu akhir zaman.

Firman Allah: "Demi diri manusia dan (Dia) yang menyempurnakan kejadiannya. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada takwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya bersih. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)". (As-Shams: 7 - 10)

Rabu, Disember 23, 2009

'POWER'NYA RATU BUAH

KITA di bumi Malaysia tidak hairan dengan manggis. Tiba musimnya, manggis kelihatan bersepahan di kampung-kampung. Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, manggis agak agak bernilai. Paling-paling harganya RM5 sekilo. Selalunya diganding makan dengan durian untuk menyejukkan badan. Musimnya juga sama dengan durian - satu lagi tanda kebijaksanaan Allah yang mengatur pengeluarannya serentak. Justeru, tentunya kita dianjurkan makan durian dengan manggis. Malah Nabi SAW menyebutkan bahawa makanan yang bersifat panas apabila dimakan, mesti disejukkan dengan makanan yang bersifat sejuk!

Di Barat lain pula ceritanya, terutama di Amerika dan Kanada. Jika di Malaysia durian digelar 'raja segala buah', di Barat manggis diberi penghormatan tinggi dengan gelaran 'ratu segala buah'. Selayaknyalahg 'ratu' mendampingi 'raja'. Dikatakan harga manggis di Amerika mencecah AS$11 sebiji.. agak-agak hampir RM40 sebiji.. Allahu akbar! Hmm.. baru kita tahu betapa tingginya nilai sebiji manggis. Biarpun mahal, masyarakat Barat tetap membelinya kerana potensi kesihatan yang ada pada buah manggis. Malah, di sana manggis dikategorikan sebagai buah eksotik dan buah ajaib.

Di Amerika dan Kanada, manggis semakin popular dan mendapat tempat. Mahalnya bukan sahaja kerana potensi kesihatan yang dimiliki manggis, tetapi juga kerana sukar hendak mendapatkannya. Ia diimport dari Asia. Bagi memastikan bekalan manggis sentiasa ada di pasaran, maka manggis dijadikan jus, dibotolkan dan dijual pada hara AS$30 sebotol sebagai rangkaian makanan kesihatan. Ia juga dijual melalui rangkaian syarikat jualan langsung. Mengapa manggis semakin digilai di Amerika Syarikat dan Kanada?

ANTIOKSIDAN BERKUASA
Sejak manggis diperkenalkan di Amerika dan Kanada, penyelidikan saintifik mula dilakukan secara besar-besaran beberapa tahun lalu. Hasilnya, manggis didapati sarat dengan 'xanthones' iaitu antioksidan yang sangat berkuasa. Manggis mengandungi kumpulan antioksidan yang lengkap dan hingga kini lebih 40 antioksidan di dalam manggis telah dikenal pasti. Antioksidan membantu menentang radikal bebas. Betapa sihat pun gaya hidup kita, kita tetap terdedah kepada radikal bebas dari udara, air dan pencemaran makanan.

Xanthones yang paling bermanfaat ialah Alpha Mangostin dan Gamma Mangostin. Xanthones ini didapati mempunyai banyak manfaat dengan menggalakkan sistem imun dan merupakan antibiotik, antifungal, antiviral semula jadi; malah yang paling penting sekali ialah ia merupakan antiradangan semula jadi.

PENCEGAH PENYAKIT KRONIK
Kerana mempunyai unsur antioksidan yang sangat bermanfaat, ahli penyelidik mula menunjukkan minat terhadap produk daripada manggis. Penyelidik kanser misalnya, mendapati unsur-unsur di dalam manggis berkesan membunuh sel-sel kanser. Keupayaannya sama seperti ubat-ubat standard kemoterapi.

Biarpun kebanyakan penyelidikan yang terlibat masih dilakukan di makmal dan tidak terhadap manusia secara langsung, manfaat manggis didapati memang hebat. Manggis dikatakan mampu mencegah kanser hinggalah artritis.

MANFAAT LAIN
Selain potensi kesihatan yang telah disebutkan, manggis juga dikatakan membantu:
  • Menggalakkan awet muda.
  • Menggalakkan paras tenaga yang baik.
  • Memperbaiki sistem edaran kesihatan seperti menguatkan/melindungi jantung, mengurangkan radangan di dalam arteri, membantu menurunkan kolesterol/lemak LDL darah.
  • Memberi kesan antidepresi kerana pengaruh positif terhadap serotonin.
  • Mencerdaskan mental dan otak kesan daripada sirkulasi darah yang lebih baik.
  • Membaiki masalah alahan/sebagai penghalang histamina semula jadi.
Kita di Malaysia bagaimana? Tidak mahukah turut sama menghargai manggis yang Allah jadikan hidup subur di tanah Malaysia? Beruntunglah anda yang di rumahnya ada pokok manggis yang berbuah ranum!

TIP MEMILIH MANGGIS
Pilihlah yang berkulit ungu gelap atau ungu kemerahan. Elakkan yang berwarna kebiruan atau hitam. Unsur yang paling berkhasiat pada buah manggis ialah pada kulitnya berbanding isinya yang putih.

MENGUKUR ANTIOKSIDAN
Satu cara mengukur potensi antioksidan di dalam makanan ialah melalui uji kaji yang dipanggil uji kaji Kapasiti Penyerapan Radikal Oksigen (Oxygen Radical Absorbence Capacity). Melalui uji kaji ini, makanan yang dipilih boleh dibandingkan antara satu sama lain dalam konteks potensi antioksidan dan ia diberi angka yang dipanggil nombor ORAC. Sesuatu yang menarik untuk kita ketahui, manggis mendapat nombor ORAC yang paling tinggi dalam uji kaji tersebut!

DIHARAM IMPORT
Oleh kerana manggis tidak dibenarkan import secara sah oleh Amerika Utara (kecuali Kanada dan Hawaii), maka penjualan manggis di Amerika Syarikat dihadkan kepada jus yang mengandungi patinya. Pengharaman import ini disebabkan oleh tiadanya penyaringan terhadap lalat buah. Bagaimanapun, pada tahun 2007, Pentadbiran Ubat-ubatan dan Makanan Amerika Syarikat telah membatalkan pengharaman ini bagi membenarkan pengimportan manggis teriradiasi.

Selasa, Disember 15, 2009

Sekalung Tahniah!

SEORANG lagi warga PASTI Kawasan Kota Tinggi menimang cahaya mata. Kali ini setiausaha, Sdr. Othman bin Mabotti pula dikurniakan anak ketiga, iaitu seorang bayi perempuan pada hari Ahad, 6 Disember lalu. Tahniah diucapkan kepada Sdr. Othman dan isteri. Semoga kehadiran orang baru ini akan menambahkan kebahagiaan dalam keluarga mereka.

Selasa, Disember 01, 2009

UCAPAN TAHNIAH DAN SELAMAT PENGANTIN BARU

PASTI Kawasan Kota Tinggi mengucapkan tahniah kepada Ketua Guru, Cikgu Siti Zaharah Othman dan Pengerusi, Sdr. Shamsul Bahri Alias kerana telah dikurniakan seorang lagi anak lelaki pada hari Rabu, 25 November lalu kira-kira jam 5.40 petang. Semoga kelahiran cahaya mata kelima pasangan berkenaan akan menambah eratkan lagi kasih sayang di antara mereka.


Anakanda ke-5 Cikgu Siti Zaharah dan Sdr. Shamsul Bahri

Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat pengantin baru kepada bekas guru PASTI Al-Falah 1, Umi Shahrizah binti Kassim serta pasangannya, Muhammad Zahir bin Zabidi yang telah melangsungkan perkahwinan pada hari Ahad, 29 November lalu. Didoakan semoga pasangan ini dikurniakan rezeki yang berkat, zuriat yang soleh dan solehah serta kekal bahagia hingga ke akhirat, Insya-Allah.

HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN PASTI KOTA TINGGI 2009

HARI Anugerah Kecemerlangan PASTI Kawasan Kota Tinggi telah diadakan pada 15 November lalu, bertempat di Dewan Sekolah Agama Bandar, Kota Tinggi.

Majlis telah dirasmikan oleh Ust. Mohd. Azam bin Abd. Razak, exco Dewan Pemuda Pas Negeri Johor. Seramai 59 orang murid dari PASTI Al-Falah 1, 2 dan 3 telah diraikan pada majlis yang meriah ini.

Majlis yang dijadualkan bermula pada pukul 8.30 pagi hanya dapat dimulakan kira-kira dua jam kemudian berikutan masalah gangguan bekalan elektrik. Namun demikian, majlis tetap berjalan lancar dimulai dengan bacaan doa oleh Ust. Shariful Anam diikuti bacaan Surah As-Syams oleh Adik Mohd. Adlin Sufi bin Yusof dan terjemahannya oleh Adik Mohd. Firdaus bin Rosli dari PASTI Al-Falah 1.

Para hadirin telah dipersembahkan hafazan surah-surah lazim oleh murid-murid PASTI Al-Falah 1, nyanyian nasyid kanak-kanak dalam bahasa Inggeris oleh murid-murid PASTI Al-Falah 2 dan lagu Sepohon Kayu oleh murid-murid PASTI Al-Falah 3.

Anugerah-anugerah yang telah disampaikan kepada murid-murid ialah hadiah bagi tempat pertama, kedua dan ketiga dalam kelas, hadiah untuk pelajar terbaik bagi setiap matapelajaran, anugerah pelajar cemerlang dan hadiah tabungan terbanyak. Di samping itu, semua murid juga menerima sijil dan cenderahati daripada Ust. Mohd. Azam.

Sebelum bersurai, semua guru dan murid PASTI Kawasan Kota Tinggi telah menyanyikan lagu rasmi PASTI beramai-ramai. Majlis berakhir kira-kira pukul 1.30 petang.

Pihak PASTI Kawasan Kota Tinggi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan Hari Anugerah Kecemerlangan ini, antaranya pihak pentadbiran Sekolah Agama Bandar Kota Tinggi, Unit Amal Daerah Kota Tinggi, Nisa’ Kawasan Tebrau dan Tenaga Nasional Berhad yang telah membantu mengatasi masalah gangguan bekalan elektrik.

Berikut ialah gambar-gambar sekitar majlis tersebut:

Ust. Mohd. Azam bin Abd. Razak


Persembahan hafazan surah² lazim oleh murid² PASTI Al-Falah 1


Para VIP






Guru dan murid nyanyi lagu PASTI beramai²

P/S: Harap maaf, tarikh dalam gambar tu silap sebab setting kamera lari (kes bateri lemah la ni)

Sabtu, November 14, 2009

Peperiksaan Peringkat Kawasan

PADA 7 November lalu, peperiksaan peringkat PASTI Kawasan Kota Tinggi telah diadakan di PASTI Al-Ummah 2, Bandar Tenggara. Peperiksaan ini diadakan untuk memilih murid terbaik yang akan mewakili PASTI Kawasan Kota Tinggi ke peperiksaan peringkat negeri yang akan diadakan di Simpang Renggam pada 16 November ini.

Peperiksaan yang dikendalikan sepenuhnya oleh guru-guru PASTI dari Kawasan Tenggara ini mengambil masa selama 2 jam bermula pada pukul 9 pagi.

Murid-murid PASTI Kawasan Tenggara turut mengambil peperiksaan yang sama, cuma mereka ditempatkan di PASTI Ibnu Khaldun, Taman Anggerik. Mereka dikendalikan oleh guru-guru dari kawasan lain pula.

Murid-murid PASTI Kawasan Kota Tinggi yang terpilih menduduki peperiksaan peringkat kawasan ini ialah mereka yang mendapat tempat pertama dalam peperiksaan akhir tahun.

Murid-murid tersebut ialah Adik Mohd. Adlin Sufi bin Yusof (5 tahun) dan Adik Nurain Irdina binti Noor Muhammad (6 tahun) dari PASTI Al-Falah 1, Adik Muhammad Hafidzi bin Hamim (5 tahun) dan Adik Ainul Syamilah binti Mazlizon (6 tahun) dari PASTI Al-Falah 2 serta Adik Nur Rabbiatul Adawiyah binti Sarif (5 tahun) dan Adik Nur Farhana binti Mokhtar (6 tahun) dari PASTI Al-Falah 3.

Selesai peperiksaan, Adik Muhammad Hafidzi bin Hamim dan Adik Nurain Irdina binti Noor Muhammad yang meraih markah tertinggi dalam kategori masing-masing terpilih mewakili PASTI Kawasan Kota Tinggi bagi menduduki peperiksaan peringkat negeri. Tahniah dan syabas diucapkan kepada adik-adik berdua. Semoga berjaya mendapat tempat pertama dalam peperiksaan peringkat negeri nanti.

Terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada Puan Sutinah, guru PASTI Semberong yang bersusah payah menyediakan soalan serta guru-guru PASTI Tenggara & AJK yang telah menyediakan makan tengahari pada hari tersebut.

Jumaat, November 13, 2009

Keputusan Peperiksaan Akhir Tahun

Berikut ialah kedudukan murid-murid PASTI Kawasan Kota Tinggi dari tempat pertama hingga ketiga serta pelajar terbaik setiap mata pelajaran (6 tahun sahaja) berdasarkan keputusan Peperiksaan Akhir Tahun.

PASTI AL-FALAH 1

5 Tahun
1. Mohd. Adlin Sufi bin Yusof
2. Mohd. Danish Mirza bin Zulkifli
3. Mohd. Islah Hakim bin Ismail

6 Tahun
1. Nurain Irdina binti Noor Muhammad
2. Nuralifee Syazareen bin Rudy Iswadi
3. Mohd. Taqiuddin Baqir bin Mohd. Hafiz

Pelajar Terbaik Matapelajaran
Matematik : Nuralifee Syazareen bin Rudy Iswadi
Bahasa Melayu : Nurain Irdina binti Noor Muhammad
Bahasa Inggeris : Nurain Irdina binti Noor Muhammad
Pendidikan Sains dan Sosial Islam : Norafrina Nasihin
Tulisan Jawi : Mohd. Taqiuddin Baqir bin Mohd. Hafiz
Al-Quran : Ainul Izzah binti Shariful Anam
Bahasa Arab : Nurain Irdina binti Noor Muhammad
Peribadi Muslim : Nuralifee Syazareen bin Rudy Iswadi

PASTI AL-FALAH 2

5 Tahun
1. Muhammad Hafidzi bin Hamim
2. Nur Fatin Syazwani binti Mohd. Faisol
3. Nur Aleeya Sofea binti Mohd. Azahari

6 Tahun
1. Ainul Syamilah binti Mazlizon
2. Muhammad Hariz bin Muhd. Azhar
3. Syamimi binti Rahmat

Pelajar Terbaik Matapelajaran
Matematik : Hanis Najihah binti Mohd. Kamal
Bahasa Melayu : Ainul Syamilah binti Mazlizon
Bahasa Inggeris : Syamimi binti Rahmat
Pendidikan Sains dan Sosial Islam : Muhammad Hariz bin Muhd. Azhar
Tulisan Jawi : Muhammad Aiman bin Khairuddin
Al-Quran : Ainul Syamilah binti Mazlizon
Bahasa Arab : Syamimi binti Rahmat
Peribadi Muslim : Ainul Syamilah binti Mazlizon

PASTI AL-FALAH 3

5 Tahun
1. Nur Rabbiatul Adawiyah binti Sarif
2. Muhammad Farith Shah bin Arif Shah
3. Nur Amylia Natasya binti Sembob

Tiada kedudukan dan pelajar terbaik setiap matapelajaran bagi murid 6 tahun PASTI Al-Falah 3 kerana ada seorang sahaja murid 6 tahun di PASTI tersebut iaitu Adik Nur Farhana binti Mokhtar.

Semua murid berkenaan bakal menerima hadiah pada Hari Anugerah Kecemerlangan PASTI Kawasan Kota Tinggi yang akan diadakan pada 15 November ini. Tahniah dan syabas diucapkan kepada mereka, semoga mereka akan terus maju jaya pada tahun-tahun mendatang.

Rabu, Oktober 21, 2009

Ucapan Takziah

PASTI Kawasan Kota Tinggi merakamkan ucapan takziah kepada salah seorang Ahli Jawatankuasanya, Saudara Munjehat bin Loso di atas kembalinya bonda beliau ke rahmatullah pada 14 Oktober lalu.

Saudara Munjehat juga ialah suami kepada Cikgu Aidah Atan dari PASTI Al-Falah 2, Taman Hijrah. Semoga Saudara Munjehat sekeluarga tabah menghadapi ujian Allah ini.

Al-Fatihah.

Ahad, Oktober 11, 2009

BEKAL JALANAN

Makin Betul Kata, Makin Salah Makna







“Abi... uuuwak... uuuwak!” kata Saiful Islam.

“Ok!” saya bangkit dan menuju ke dapur.

“Saif minta apa, ustaz?” tanya Abbas dan Farhan yang singgah di rumah saya.

“Ooh, dia minta susu!” saya tersenyum.

Mereka berdua kebingungan. Saiful Islam mendongak-dongak menunggu saya menyiapkan uwak yang diminta.

Sama juga dengan Naurah dan Imad. Macam-macam bahasa pelik mereka semasa kecil. Lebih lucu semasa kami baru pulang ke Malaysia dulu. Cakap Saiful Islam sangat mengelirukan keluarga kami. Nak kata Irish pun tidak, Melayu jauh sekali. Semuanya dengan bahasa sendiri.

“Ummi, Awah...” Naurah yang membahasakan dirinya Awah itu bangun duduk melentik kiri melenggok kanan. Tidak habis pun ayatnya.

“Jom!” kata Ummu Saif mengajaknya ke bangunan di depan.

“Nak ke mana?” saya bertanya.

“Kalau macam tu, nak ke tandas maknanya,” beritahu Ummu Saif.

Saya mengangguk.

Naurah banyak menggunakan bahasa tubuh. Seingat saya, Naurah kurang menggunakan perkataan yang pelik-pelik semasa kecil kerana dia banyak meniru abangnya, Saiful Islam yang sudah berbahasa betul. Cakapnya pun memang berceloteh. Pada usia empat tahun sudah boleh bercakap dengan ayat penuh 10 perkataan.

Tetapi Imad kembali mencipta bahasanya sendiri.

“Abi, bidash, bidash!” katanya.

“Yalah...” saya ke bilik.

Hairan saya dengan Imad. Entah bagaimana diciptanya perkataan bidash itu, yang bermaksud seluar. Setiap kali dia meminta ditukar seluar, itulah perkataan yang digunakannya.

“Habis, macam mana ustaz faham apa yang anak ustaz mahukan itu?” soal rakan saya ketika sama-sama menaiki kereta.

“Dengar dengan hati dan mata, bukan dengan telinga semata-mata!” saya menjawab.

Teringat kepada perbualan di antara Jumper dan Lily semasa bercerita tentang habit ke-5 di dalam buku The 7 Habits of Happy Kids karangan Sean Covey. Dengar sebelum cakap, dengar apa yang tidak diperdengarkan, mendengar dengan empati... semua ini sangat kritikal dalam proses faham memahami yang kita lalui setiap hari.


IRONI SEKALI

Apabila dikenang-kenangkan hal ini, timbul rasa terkilan di dalam diri.

Semasa anak-anak masih kecil dan bercakap dengan bahasa-bahasa yang pelik itu, kita sentiasa tahu dan faham apakah maksud yang cuba disampaikan. Terasa begitu istimewa hubungan kita dengan anak-anak apabila kita sebagai ibu dan bapa menjadi satu-satunya manusia yang faham bahasa anak kita. Istimewa.

Namun, mengapa semakin anak kita bercakap betul dengan perkataan-perkataan yang semakin bertambah, pelbagai dan serupa dengan dialek ibu bapa, kita menjadi semakin susah untuk memahami apa sebenarnya isi hati anak-anak kita. Kita sentiasa memberikan reaksi yang menunjukkan kepada anak-anak bahawa kita tidak faham, malah semakin tidak faham dengan anak-anak kita sendiri.

“Ala, Abang Amin sudah balik. Lie tak naklah makan. Tak selera!” Hazli merungut, menolak hidangan makan tengah hari yang sudah sedia untuk dijamah.

“Kamu ni kenapa? Orang sudah masak susah-susah, mengada-ngada pula buat perangai. Kalau tak kerana kamu, mak tak masak ayam ini, tahu. Makan!” bentak emak yang kepenatan selepas berjam-jam memasak di dapur.

“Tak nak!” Hazli berpeluk tubuh. Marah bunyinya.

“Abang Amin sudah tinggal seminggu di rumah kita dengan kamu, tak cukupkah lagi? Kalau kamu nak sangat, hah, pergi kemas beg. Pergi rumah Pak Long kamu tu. Duduk sana. Tak payah balik sini!” tambah si bapa pula.

Hazli bangun dan berjalan menghentak-hentak kaki masuk ke biliknya. Pintu dihempas. Panas!

Si anak itu semasa kecilnya, dengan hanya menyebut huwaa huwaa pun emak dan bapanya tahu anak itu mahu dipeluk. Tetapi semakin petah anak bercakap sesuai dengan pertambahan usia, beliau semakin tidak difahami. Hazli merungut bukanlah kerana enggan makan. Malah perutnya memang kelaparan. Hazli hanya menyatakan kesedihannya kerana cuti sekolah sudah berakhir dan abang sepupunya yang pulang ke rumah selepas seminggu berkampung berkhemah di rumahnya.

Apa yang diperlukan hanyalah beberapa patah perkataan daripada mulut ibu dan bapanya yang menunjukkan mereka simpati dan memahami perasaan hatinya. Bukannya syarahan panjang lebar tentang kesusahan si ibu dan bapa bekerja mencari duit untuk membeli makan dan minum si anak. Segala fakta dan statistik yang diheret oleh ibu bapa ke medan telagah bersama anak-anak hanya membuktikan satu perkara sahaja. Mereka tidak faham anak-anak mereka sendiri.


ANDAI KATA

“Kasihan ayah dengan Lie. Tak apa, cuti sekolah nanti, Lie pula tidur rumah Pak Long dengan Abang Amin, boleh?” tanya si bapa dengan nada memujuk.

Hazli memeluk bapanya.

Pasti sahaja mereka akan makan tengah hari dengan aman dan damai biar pun hati Hazli masih ada rasa sedih melihat satu bangku kosong yang sebelum ini diduduki oleh Abang Amin, sepupunya.

Bayangkan, betapa banyak perkataan yang berjaya dijimatkan. Fikirkan betapa banyak perasaan yang berjaya diselamatkan. Renungkan betapa indahnya kasih sayang yang berjaya diterbitkan. Semuanya dengan kesudian ibu dan bapa untuk memahami anak-anak mereka, sebagaimana yang pernah dibuat ketika mereka masih kecil.


TIDAK SENGAJA, TETAPI SENGAJA

“Hari ini, rasanya aku nak berleter, menjerit, memaki, mengherdik dan menyindir anak aku,” kata si bapa.

“Mudah-mudahan sampai di rumah nanti aku berpeluang untuk mengamuk, membalas soalan anak-anakku dengan tengking dan tinggi suara,” azam ibunya pula.

Tidak mungkin...

Mustahil ada ibu bapa yang azamnya begitu. Bercita-cita untuk memporak-perandakan hidup anak-anaknya sendiri atau dengan sengaja mencederakan emosi mereka yang masih bertatih mengenal kehidupan. Semua orang mengimpikan satu hari yang aman damai, tenang, penuh kasih sayang.

Tetapi saban hari, sebaliknya juga yang terjadi.

Apa yang kita tidak mahu, itu yang berlaku.

Kalau boleh kita mahu percaya bahawa hanya ibu bapa yang rendah pendidikan, jahil, atau datang dari latar belakang kehidupan yang huru-hara sahaja yang berbahasa dengan bahasa yang menghancurkan kebahagiaan hidup anak-anak dan keluarga. Tetapi kita terpaksa akur. Ia bukan kesilapan-kesilapan yang boleh dikaitkan dengan kemiskinan atau rendah pendidikan.

Ibu bapa yang baik-baik juga menyalahkan, menghina, mengaibkan, menuduh, memperlekeh, mengugut, merasuah, melabel, menghukum, meleter dan menjatuhkan moral anak-anak.

Mereka tidak perlu kepada seterika panas, tali pinggang, puntung rokok malah tidak juga rotan.


KUASA KATA

Apa yang digunakan hanyalah PERKATAAN.

Kita sering alpa betapa kuatnya PERKATAAN dalam membinasakan diri anak-anak. Memang benar action speaks louder than words. Tetapi perkataan juga mempunyai bisa yang sama dalam mencederakan jati diri anak-anak.

Semua ibu dan bapa mahu anak-anaknya membesar menjadi orang yang ceria, gembira, bahagia, berkeyakinan diri, bermotivasi dan bercita-cita tinggi. Tetapi impian itu kita juga yang musnahkan. Kita musnahkan ia dengan lisan kita yang sepatutnya bertaraf penutur doa untuk kejayaan mereka.

Alangkah kecewanya anak-anak jika mereka dapat tahu bahawa semakin fasih mereka berkata, semakin mereka tidak difahami oleh ibu bapa. Semakin mereka cuba bersuara, apa yang dibalas hanyalah kata-kata yang mengundang binasa. Akhirnya makin anak-anak meningkat remaja, mereka makin berahsia dengan ibu bapa. Ceria di luar, diam membatu di rumah sendiri.

Kasih sayang bukanlah pinggan Corelle yang hanya dikeluar dan ditunjukkan pada majlis-majlis tertentu.

Biarlah kasih sayang itu jadi kegunaan harian. Walaupun ia sekadar pinggan ayan, cawan plastik dan sudu bengkok yang digunakan untuk melapik rezeki anak-anak. Rezeki mendapat doa dan kata-kata yang penuh rangsangan, dari ibu bapa sendiri.
Dipetik daripada: Majalah ANIS keluaran September 2009

Murid² PASTI Al-Falah 1 Bermarhaban

PADA hari Jumaat, 2 Oktober lalu murid-murid PASTI Al-Falah 1 telah berkunjung ke rumah Cikgu Siti Zaharah sambil bermarhaban. Program ini julung-julung kali diadakan sejak penubuhan PASTI di Kawasan Kota Tinggi kira-kira lapan tahun lalu. Turut mengiringi murid-murid ialah Puan Normaya, salah seorang AJK PASTI.

Kemeriahan suasana raya amat dirasai di rumah Cikgu Siti dengan kehadiran hampir 30 orang murid. Suasana tambah meriah apabila En. Mohd. Yusof bin Mohd. Tap, bapa kepada Adik Muhd. Luth Hafiz (murid 4 tahun) turut hadir dan mengalunkan selawat bersama murid-murid. En. Mohd. Yusof merupakan bekas pengerusi Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI) ABIM di Bandar Penawar. Beliau juga adalah seorang aktivis masyarakat.

Berikut ialah gambar-gambar sekitar majlis tersebut.

En. Mohd. Yusof (kiri) yang sudi meluangkan masa meraikan murid-murid


Pn. Enayati (kiri) dan Pn. Normaya

Sedang berselawat

Boleh tahan juga ramainya

Isnin, September 28, 2009

Selamat Kembali Ke PASTI!

SETELAH seminggu bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri, hari ini PASTI dibuka semula. Pelbagai gelagat murid-murid dengan mood raya yang masih ada dapat dilihat. Masing-masing begitu seronok bercerita tentang pengalaman menyambut hari raya bersama keluarga di kampung halaman dan berapa banyak duit raya yang sudah dapat dikumpul.

Begitulah kanak-kanak. Hidup mereka penuh dengan kegembiraan, apatah lagi bila dapat berhari raya dengan keluarga tersayang serta berpakaian serba baru. Yang berpuasa cukup sebulan tentulah lagi seronok beraya. Bermain mercun dan bunga api juga seakan sudah menjadi 'acara wajib' bagi mereka di samping beraya dari rumah ke rumah dan mengumpul duit raya seberapa banyak yang boleh. Ada yang menyerahkan duit itu kepada ibu bapa untuk disimpan dalam tabung, manakala sebahagian lagi menggunyakannya untuk membeli barang / permainan yang diidam-idamkan.

Di sinilah kita sebagai ibu bapa / pendidik perlu memainkan peranan. Anak-anak mesti dididik menyambut Aidilfitri dengan penuh keinsafan, kesyukuran dan kesederhanaan sebagaimana yang dituntut oleh syarak. Boleh bergembira, asalkan jangan berlebihan. Boleh saja beraya, yang penting tahu batasan. Solat jangan sampai ditinggalkan, pembaziran mesti dielakkan. Budaya bermain mercun dan bunga api misalnya adalah pembaziran, walaupun yang dibeli itu cuma mercun pop-pop yang meletup apabila dibaling. Memanglah harganya murah dan tidak berbahaya kerana tak perlu dibakar, namun ia tetap membazir kerana duit dibelanjakan untuk perkara yang tiada faedah.

Lumrah kanak-kanak, rasa cemburu apabila orang lain memiliki lebih daripada yang dia ada. Iri hati pada kawan yang bajunya lebih mahal atau cantik, kasut kawan yang lebih canggih daripada kasutnya, yalah.. kasut kawannya ada lampu lip-lap sedangkan kasutnya cuma ada gambar Spiderman. Lepas tu bila beraya di rumah orang, cemburukan pula kuih raya orang itu yang pelbagai jenis. Tak seperti di rumahnya sendiri yang cuma ada rempeyek dan dua tiga jenis kacang. Dalam hal ini, ibu bapa perlu menerangkan kepada anak-anak betapa perlunya mereka bersyukur kerana sebenarnya mereka lebih bertuah dan beruntung daripada ribuan malah jutaan orang lain yang tidak punya apa-apa. Ceritakan kepada mereka bagaimana menderitanya kanak-kanak di Palestin dan negara-negara lain yang umat Islamnya tertindas dan dihimpit kemiskinan. Beritahu juga kepada mereka bahawa dalam negara kita sendiri masih begitu ramai orang lain yang miskin, yang hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Nasihatkanlah kepada anak-anak kita, bahawa hal dunia ini jangan pandang orang yang di atas (yang lebih senang hidupnya) tapi lihatlah orang yang di bawah (yang lebih susah daripada kita).

Khamis, September 17, 2009

Doa Berpisah Dengan Bulan Ramadhan

"YA Allah, inilah bulan Ramadhan yang di dalamnya Engkau telah menurunkan Al-Quran yang telah berlalu. Aku berlindung dengan kekuasaan-Mu yang mulia, wahai pemilik fajar yang terbit dari malam-malamku dan pemilik bulan Ramadhan yang sudah berlalu ini. Kepada-Mu aku mengadukan kesalahan dan dosaku yang dengannya Engkau akan menyeksaku padi hari perjumpaan dengan-Mu kelak. Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan puasa ini sebagai puasa yang terakhir dalam hidupku. Seandainya Engkau berketetapan sebaliknya, maka jadikanlah puasaku ini sebagai puasa yang dirahmati bukan yang sia-sia semata-mata. Ya Allah! Jadikanlah puasaku di dalamnya mendapatkan hadiah pahala serta diterima sebagai amalan yang mendatangkan keredhaan-Mu dan daripada Rasul-Mu. Serta dihubungkan cabang-cabangnya dengan pokok, dengan hak kemuliaan Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda yang suci".

Kami, warga PASTI Kawasan Kota Tinggi mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada para ibu bapa dan murid-murid PASTI serta seluruh muslimin dan muslimat sekalian. Mudah-mudahan ibadah puasa yang kita laksanakan di sepanjang bulan Ramadhan ini lebih baik berbanding tahun lalu dan diterima Allah SWT hendaknya.

Kepada yang memandu untuk pulang beraya di kampung, jangan lupa baca doa naik kenderaan dan berhati-hati ketika memandu. Moga perjalanan diberkati Allah dan selamat sampai ke destinasi yang dituju.

Khamis, September 10, 2009

Mencari Malam Lailatul Qadar

SEGALA puji bagi Allah kerana menemukan kita sekali lagi pada tahun ini dengan bulan Ramadhan yang mulia dan penuh dengan barakahnya. Terima kasih diucapkan kepada baginda Rasulullah SAW kerana mengajarkan kepada umatnya cara-cara untuk berpuasa pada bulan Ramadhan. Selamat datang wahai bulan Ramadhan, kekasih kami yang datang pada setiap tahun. Kami menanti kedatanganmu dengan penuh cinta yang melimpah ruah, dan kerana cinta kami kepada Penciptamu.

Seorang ulama tokoh ahli Sunnah Wal Jamaah, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki telah menyebutkan dalam kitabnya Tazkirah Ramadhan, sesungguhnya Allah yang Maha Pemurah telah menganugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW dengan Lailatul Qadar, iaitu suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan dan suatu anugerah yang tidak diberikan kepada umat-umat yang lain. Allah SWT telah berfirman:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar, dan apa jalannya engkau mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan ruh (Jibril) dengan izin Tuhan mereka kerana membaca segala perkara (yang ditakdirkan berlaku pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar." (Al-Qadr: 1 - 5)

Para ulama telah berbeza pendapat serta berbahas sebab apakah dinamakan dengan malam Lailatul Qadar. Antaranya ialah:
  • Pada malam itu dipaparkan seluruh takdir atau ketentuan makhluk kepada para malaikat.
  • Malam itu memiliki dan menyimpan sesuatu yang bersifat agung. Ini kerana Al-Qadr ertinya kemuliaan dan keagungan.
  • Lailatul Qadar membawa maksud malam yang sempit. Ini kerana dunia pada malam itu mengalami kesempitan dan sesak kerana turunnya para malaikat.

Rasulullah SAW telah menggesa umatnya agar berusaha mencari Lailatul Qadar dengan sabdanya: "Pilihlah malam Lailatul Qadar pada bilangan malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir ramadhan".

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad ibn Hambal r.a. daripada Abdullah ibn Umar r.a. katanya, "Mereka iaitu beberapa orang sahabat Nabi SAW sentiasa menceritakan kepada Nabi SAW tentang mimpi-mimpi mereka bahawa Lailatul Qadar ialah pada malam ke-7 likur di dalam malam ke-10 terakhir Ramadhan. Maka Nabi SAW bersabda: Aku melihat bahawa mimpi-mimpi kamu itu telah bersepakat menunjukkan Lailatul Qadar ialah pada malam ke-7 likur daripada sepuluh malam terakhir Ramadhan. Sesiapa yang ingin memilihnya, maka pilihlah pada malam ke-7 likur daripada 10 malam terakhir tersebut".

Imam Al-Nawawi r.a., seorang ulama besar ilmu hadis telah menyatakan di dalam Majmu' Syarah Al-Muhazzab, bahawa tanda berlakunya Lailatul Qadar ialah pada malam tersebut keadaan tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Matahari yang terbit pada pagi hari itu pula kelihatan putih cerah tidak banyak sinaran cahayanya.

Sayyidah Aisyah r.ha. pernah bertanya kepada baginda SAW, "Ya Rasulullah! Sekiranya aku menemui malam Lailatul Qadar, apakah doa yang harus dan baik untuk dibaca?" Rasulullah SAW menjawab, "Bacalah doa ini: Ya Allah! Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengampun. Engkau menyukai akan keampunan, maka ampunilah kami".

Rabu, September 02, 2009

Ramadhan - Anak-anak Perhatikan Kita

RAMADHAN bulan kerinduan bagi seluruh umat Islam, bulan menyempurnakan ibadah puasa, bulan yang menghimpunkan segala kebaikan yang berlipat kali ganda. Bulan bersatu hati seluruh ahli keluarga mengadap meja hidangan di atas satu matlamat - untuk sama-sama berbuka puasa setelah seharian berpuasa pada siang hari. Jika bulan-bulan sebelum ini tidak selalu dapat makan bersam kerana hambatan tugasan yang berbeza, maka hikmah Allah datangkan bulan Ramadhan ambillah peluang untuk diraikan bersama. Makan bersama apabila benar-benar diikut menurut cara yang Nabi ajarkan pasti akan memberi ganjaran pahala yang besar dan mencergaskan kesihatan.

Kebiasaannya menjelang petang, ibulah orang yang paling sibuk menyediakan pelbagai juadah kesukaan anak-anak dan suami sehingga kadang-kadang terlupa kesukaan sendiri. Itulah pengorbanan seorang ibu. Elok tatkala hendak berbuka, ibu agih-agihkan buah atau cubit-cubitkan lauk dan letak di pinggan suami dan anak-anak. Cara ini akan mendorong anak seronok meraikan kita pula.

Minta anak tunggu ayah mulakan suapan setelah selesai doa berbuka puasa sebagai menghormati ketua keluarga. Raikan gelagat anak-anak ketika makan. Perhatikan cara anak-anak menyuap makanan dan meneguk air agar tidak gelojoh. Awal makan, latih dan pujuk anak-anak supaya mengambil makanan yang terdekat dahulu (seperti buah tamar) walaupun ada lauk atau kuah yang dia tidak suka. Selepas itu, barulah suruh ambil yang jauh sedikit. Galakkan juga anak-anak supaya saling rai-meraikan, hulur-menghulurkan juadah untuk sesama ahli keluarga yang lain.

Pengajaran dari latihan tidak rasmi ini, apabila si anak perlu mengambil dahulu makanan yang dekat dengannya, itu melatih diri supaya redha terhadap rezeki yang paling dekat. Cara ini melatih anak-anak bersabar dan mendahulukan hak orang lain.

Apabila anak bangun memanjangkan tangan atau meminta bantuan orang lain supaya menghulurkan makanan yang lebih jauh itu tanda dia mahu berusah, berani mengambil risiko, dengan bersopan memujuk orang di hadapn atau di sebelahnya.

Setelah ada kesan dari latihan makan bersama di rumah, apabila ada peluang ajaklah ank-anak berbuka di masjid. Ini sebagai latihan hidup bermasyarakat. Bawalah sedikit juadah. Sebelum berbuka ajaklah anak-anak mengagihkan juadah ke meja-meja hidangan atau di atas saprah yang terbentang panjang di serambi masjid. Sikit sama sikit, banyak sama banyak. Rasa kebersamaan bukan terletak pada banyak atau sedikit tapi atas rasa syukur oleh tangan-tangan yang menadahkan doa mohor keberkatan kepada si pemberi. Rasa kebersamaan juga terjalin atas kesantunan kita menghadapi makanan dalam suasana ramai. Kenyang bukan terletak pada banyaknya makanan yang dimakan. Lapar pula bukan tanda pada sedikitnya rezeki yang dijamah. Tetapi kenyang yang sebenar ialah pada keberkatan rezeki yang mendorong kita untuk rajin beramal ibadah tanpa dicelahi dengan rasa mengantuk dan malas.

Yakinlah di atas keberkatan Ramadhan, kesungguhan kita melatih anak-anak 30 hari makan berjemaah pada bulan mulia ini akan dapat mengubah cara hidup mereka kepada yang lebih positif seterusnya menghargai erti sebuah kehidupan bersama dalam jalinan kasih sayang dan saling redha-merehai. Selamat menunaikan ibadah puasa dengan kemeriahan tarawih, tadarus dan sedekah.

Jumaat, Ogos 21, 2009

Ramadhan Kareem!

ESOK kita akan mula berpuasa. Hari ini merupakan hari terakhir bulan Syaaban yang sebenarnya merupakan bulan latihan di samping bulan Rejab sebelumnya. Bagi kebanyakan orang, bulan Ramadhan adalah bulan latihan tapi kalau kita perhalusi, ia sebenarnya bulan ujian atau bulan peperiksaan - setelah dua bulan sebelum itu kita membuat latihan dengan memperbanyakkan puasa sunat, membaca Al-Quran serta pelbagai amalan sunat lain. Inilah yang telah dipraktikkan oleh para salafussoleh di zaman silam.

Bagi yang sudah membiasakan diri dengan banyak berpuasa sunat pada bulan Rejab dan Syaaban, Insya-Allah ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan akan dapat dijalani dengan mudah. Begitu juga dengan amalan membaca Al-Quran, sekiranya sudah dilazimi sejak bulan Rejab dan Syaaban maka mudahlah usaha mengkhatam Al-Quran pada bulan Ramadhan ini. Namun, walau bagaimanapun tahap persediaan kita, Ramadhan tetap datang. Marilah sama-sama berdoa semoga kita dapat mengisi Ramadhan ini dengan amal soleh sebanyak-banyaknya, lebih baik daripada tahun lalu.

Kami warga PASTI Kawasan Kota Tinggi ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada para Muslimin dan Muslimat sekalian, semoga Allah kurniakan kita semua kesihatan dan kekuatan untuk melaksanakan ibadah di sepanjang bulan mulia ini.

Kami juga ingin memaklumkan bahawa di sepanjang bulan Ramadhan, kami tidak menyediakan makan/minum kepada murid-murid pada waktu rehat bagi menghormati bulan yang penuh barokah ini di samping bertujuan melatih murid-murid berpuasa. Walau bagaimanapun, murid-murid yang belum boleh berpuasa atau baru belajar puasa dibenarkan membawa bekal dari rumah.

Khamis, Ogos 20, 2009

Petua Tentang Puasa

DUA hari lagi umat Islam akan menyambut puasa. Seronok, kan? Tentu seronok. Orang dulu-dulu apabila hendak menyambut puasa, persediaannya dibuat lebih awal. Itu sebabnya bulan Rejab dan Syaaban bagi mereka sungguh meriah - melazimkan puasa sunatnya, memperbanyakkan bacaan Qurannya, membangunkan malam dengan solat dan zikirnya serta bermacam-macam lagi ibadah ekstra. Jadi, apabila datang bulan Ramadhan momentum sedia ada itu dilancarkan lagi. Ibarat orang sudah buat persediaan berjoging selama dua bulan, masuk bulan ketiga kacang saja nak berlari. Itu cerita orang dulu-dulu.

Eh, nak puasa pun kena buat persediaan ke? Apa yang susah sangat puasa tu sampai kena buat latihan-latihan pula? (Puasa ganti yang dibuat last minute ini pun kiranya macam latihanlah ni). Gitulah kira-kiranya orang kita umat akhir zaman ni. Itulah kalau kita nampak ibadah puasa sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga (macam yang difaham oleh anak-anak kita dari kelas tadika tu le). Sebenarnya kedatangan Ramadhan menuntut kita membuat lebih daripada itu. Iaitu menahan diri dari segala yang nafsu suka dan melakukan sebanyak-banyaknya amal kebaikan yang memang nafsu sangat-sangat tak suka. Maka, sebab itulah orang-orang dulu terutama orang soleh tidak mengambil ringan latihan-latihan ibadah sebelum tibanya bulan Ramadhan (orang putih kata practise make perfect).

Boleh ke start-start je Ramadhan, terus menahan diri dari semua keinginan nafsu? Larat ke datang je Ramadhan terus berduyun-duyun ke surau dan masjid untuk bertarawih dan bertadarus? Mampu ke tiba je Ramadhan terus capai Quran (yang sebelum ini jarang-jarang dicapai) dan mengkhatamnya sebelum sampai Syawal? Sanggup ke kita sampai je Ramadhan terus mengokot (orang putih kata stapler) bibir dari bercakap benda yang bukan-bukan atau mengawal seluruh pancaindera dari melakukan perkara-perkara yang tak elok? Jawapannya tentulah payah dan sukar. Minggu pertama Ramadhan mungkin masih panas lagi semangat tu tapi masuk minggu kedua.. minggu ketiga baru terasa betapa sukarnya mengekalkan suhu panas ini dari terus sejuk dan sejuk. Tambah-tambah pula ujian-ujian saat menghampiri Syawal sedia diakui sangat mencabar dan sukar. Gamaknya itulah punca kenapa jemaah Tarawih di surau dan masjid semakin mengecil saat ke penghujung Ramadhan (sebab ramai yang berjemaah di shopping complex pula). Kaji-kaji punca rupanya kerana tak mampu mengekalkan momentum larian dek kerana tiada persediaan awal Ramadhan seperti yang diperkatakan tadi.

Oleh itu, macam mana nak buat? Ramadhan tinggal dua hari saja ni! Tak sempat nak buat exercise mahupun preparation dah ni. Ok, apa hal sekali pun, Ramadhan tetap datang sama ada kita bersedia atau tidak, mahu atau tidak, hendak atau tak hendak! Jadi, berusaha dan berdoalah agar kita mampu mengisi Ramadhan kali ini dengan amalah yang terbaik, jauh lebih baik daripada tahun-tahun yang lepas. Manalah tahu entah-entah ini Ramadhan kita yang terlast..

Ahad, Ogos 16, 2009

Perancangan Keluarga Mukmin

UNTUK menempa kejayaan dalam apa jua bidang dan aspek kehidupan, perancangan adalah penting. Orang yang gagal dalam hidup bukannya merancang untuk gagal tetapi biasanya kerana gagal untuk merancang. Perancangan juga tidak berguna jika tidak ada tindakan susulan. Jika tidak dipecahkan ruyung, mana mungkin akan dapat sagunya.

Demikian juga dalam mendirikan rumah tangga. Hikmah berkahwin itu bukan setakat untuk menghalalkan hubungan biologi antara pasangan suami isteri tetapi harus lebih jauh daripada itu. Antara tujuan pernikahan ialah melanjutkan zuriat keturunan dan memperbanyakkan jumlah umat Nabi Muhammad SAW. Justeru itu, termasuk dalam cita-cita hidup orang Mukmin itu untuk merancang membentuk keluarga sakinah dan rumah tangga pejuang demi mendokong pembangunan ummah. Usaha murni ini pastinya akan menyenangkan hati Nabi Muhammad SAW.

Ini kerana Rasulullah SAW berbangga dengan umat yang banyak. Dinukilkan daripada Ma'qil Ibnu Yasar, ia berkata: "Telah datang seorang lelaki menghadap Rasulullah SAW dan bertanya, "Sesungguhnya aku hendak menikahi seorang wanita yang baik dan cantik, namun dia tidak mampu melahirkan anak. Apakah aku boleh menikahinya?" Rasulullah SAW menjawab, "Tidak!" Kemudia di saat yang lain orang itu datang lagi berjumpa Rasulullah SAW untuk meminta izin menikahi wanita itu, namun Nabi SAW tetap melarangnya dan bersabda: "Nikahilah wanita penyayang dan subur. Sungguh aku membanggakan jumlah kalian yang banyak di antara umat-umat lain." (Riwayat Abu Daud dan Nasa'i)

Pastinya akan dikecapi kemanisan iman apabila seseorang itu dapat menggembirakan Nabinya dan menjadi sebahagian mata rantai mendokong wawasan besar baginda. Tentu sekali hal ini berkaitan dengan kekuatan ummah agar agama Islam dan umatnya terbela, maju, berwibawa dan tinggi hingga dapat memayungi umat manusia.

Selanjutnya, tentu bukan sahaja kuantiti yang dibanggakan Rasulullah SAW tetapi juga kualiti. Tidak ada maknanya bilangan yang banyak jika tidak berkualiti ibarat kekuatan buih air di laut walaupun menggunung besarnya. Daripada Tsauban r.a., beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Hampir akan tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka." Maka salah seorang sahabat bertanya, "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih air pada waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan campakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan" Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu ya Rasulullah?" Nabi menjawab, "Cinta dunia dan takut mati." (Riwayat Abu Daud)

Hadis ini memperlihatkan kegusaran hati Rasulullah SAW terhadap bilangan umatnya yang ramai pada akhir zaman tetapi tidak berkualiti. Ini kerana mereka lemah akibat ditimpa penyakit cinta kehidupan dunia dan takut menghadapi kematian.

Sebenarnya para ibu bapa seharusnya merasa takut apabila tidak merancang dan meninggalkan usaha untuk membentuk generasi Mukmin yang berkualiti. Ini kerana Allah SWT juga memberi ancaman kepada para ibu bapa yang mati mewariskan zuriat keturunan yang lemah. Firman-Nya: "Dan hendaklah merasa takut kepada Allah, orang yang seandainya meninggalkan di belakang anak-anak zuriat keturunan yang lemah." (An-Nisa': 9)

Generasi pewaris yang kuat itu bukan sahaja pada fizikalnya, tetapi kuat dan besar jiwanya. Sedaya mungkin diusahakan agar anak-anak Muslim itu lurus dan benar akidahnya, betul dan sah ibadahnya, teguh dan terpuji akhlaknya, terpelajar dan waras akalnya, memiliki tubuh yang kuat dan sihat, kuat kemahuan dan pejuang untuk dirinya, punyai cita-cita perjuangan, ada kemahiran dan yakin diri untuk berusaha, berguna kepada orang lain, bijak memafaatkan masa, mampu berdikari mengatur urusan dan menyelesaikan masalah. Semua kriteria ini diperlukan untuk membangun ummah yang berwibawa dan berhemah tinggi.

Jika gagal berbuat demikian maka ibu bapanya yang rugi dan paling dahulu menerima padah bencana daripada anak-anaknya. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang-orang yang rugi adalah orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarganya pada hari kiamat. Ingatlah yang demikian itu adalah kerugian yang jelas nyata." (Az-Zumar: 15)

Maka sayugialah atas dasar cinta kepada Nabi SAW setiap ibu dan bapa memperbaharui tekad melaksanakan jihad untuk memperbanyakkan bilangan umat Muhammad yang berkualiti agar dengan itu senang hati baginda. Ia dapat dicapai dengan membentuk keluarga dan generasi Mukmin yang solehin. Mudah-mudahan ibu bapa mendapat saham apabila Allah mewariskan bumi ini hingga meriah dan makmur dengan kebaikan kepada zuriat mereka nanti. Janji Allah SWT dalam firman-Nya: "Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Loh Mahfuz, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hamba-Ku yang soleh." (Al-Anbiya': 105)

Dipetik dari: Majalah ANIS keluaran April 2009

Menjelang Ramadhan: Pugarlah Bumi Hatimu

KEDATANGAN Ramadhan merupakan satu peristiwa yang sangat bermakna dan penting bagi orang Mukmin. Ia amat ditunggu-tunggu kerana apabila menjelangnya Ramadhan, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sesungguhnya telah datang Ramadhan, bulan yang berkat. Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu-pintu neraka dan ditambat para syaitan. Pada bulan ini terdapat satu malam yang terbaik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya maka sesungguhnya dia rugi." (Riwayat Ahmad dan Nasa'i)

Rasulullah SAW menegaskan bahawa Ramadhan bukan sahaja bulan untuk berpuasa tetapi ia datang dengan penuh keberkatan. Kedatangan Ramadhan membuka seluas-luasnya jalan untuk beramal ibadah dengan mudah. Ini kerana para syaitan yang sentiasa menghalang dan merintangi manusia daripada melakukan amal ibadah dalam bulan-bulan yang lain telah dirantai.

Ramadhan juga membuka peluang untuk mendapatkan pahala yang berlipat kali ganda banyaknya. Inilah yang dimaksudkan dengan pintu-pintu syurga dibuka dengan seluas-luasnya. Sementara itu pintu-pintu neraka pula ditutup serapat-rapatnya apabila jalan-jalan perlakuan dosa dipersempitkan sepanjang bulan Ramadhan. Inilah antara bonus bantuan dan kemudahan yang tersedia pada bulan Ramadhan untuk seseorang mengejar keterlanjurannya pada masa lalu. Pemberian istimewa Allah ini tentunya sungguh besar ertinya kepada hamba-Nya yang lemah dan culas beribadah. Sehingga kerana itu menyebabkan mereka jauh ketinggalan di belakang dalam mempersiapkan bekalan hidup di akhirat. Sebaik-baik bekalan untuk selamat di akhirat adalah amalan takwa. Allah SWT berfirman: "Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal." (Al-Baqarah: 197)

Ibadah puasa adalah syiar Ramadhan yang terpenting. Sebabnya kerana sifat takwa dapat diperolehi melalui berpuasa. Allah SWT berjanji kepada sesiapa yang berpuasa dengan sebenar-benarnya pasti akan mencapai darjat takwa. Firman-Nya: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Al-Baqarah: 183)

Selain kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan, ayat ini juga menyatakan tujuan akhir daripada ibadah puasa iaitu takwa. Takwa adalah darjat kemuliaan dan pangkat tertinggi yang boleh dicapai oleh seseorang hamba Allah. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (Al-Hujurat: 13)

Dengan adanya takwa, seseorang itu layak mendapat kemuliaan dan menjadi orang yang paling mulia, dijanjikan syurga, diberikan hidayah dan keampunan serta diberikan bantuan sejak di dunia lagi.

Oleh kerana takwa itu begitu mahal harganya maka mendapatkannya tentulah sukar. Namun atas kasih sayang Allah, dibukakan tawaran mega istimewa untuk para hamba-Nya memperoleh takwa dengan lebih mudah pada bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain. Inilah pakej hadiah yang diburu oleh para salafussoleh.

Peluang berharga bertemu Ramadhan hanya sekali dalam setahun. Tiada siapa yang pasti akan dipanjangkan umur. Oleh itu, sebaik sahaja memasuki bulan Rejab maka para salafussoleh tidak lupa berdoa sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW: "Ya Allah! Berkatilah atas kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadhan." (Riwayat Imam Al-Baihaqi)

Kenapa selain memohon bertemu Ramadhan, mereka turut minta diberkati dalam menjalani bulan-bulan Rejab dan Syaaban? Sebab pada kedua-dua bulan tersebut para salafussoleh gigih membuat persiapan zahir dan batin supaya sebaik sahaja memasuki Ramadhan, mereka terus dapat mengambil semaksimum manfaat kebaikan yang tersedia di dalamnya.

Bagi mereka, bulan Ramadhan iu ibarat musim tengkujuh yang akan lebat dengan hujan hidayah, rahmat, keberkatan, keampunan dan kasih sayang Allah SWT. Justeru itu, pada bulan Rejab dan Syaaban mereka sibuk memugar bumi hati mereka dan menyiapkan takungan sebagai persediaan untuk menyerap dan menadah hujan hidayah dan lain-lainnya yang bakal turun.

Bumi yang gembur akan mampu menyerap lebih banyak air berbanding tanah yang keras. Begitu juga wadah takungan yang besar akan mampu menakung lebih banyak air berbanding yang kecil. Hal ini difahami berdasarkan firman Allah SWT: "Allah telah menurunkan air (hujan) dari langit, maka mengalirlah air di lembah-lembah menurut ukurannya." (Ar-Ra'du:17)

Sudah menjadi sunnatullah bahawa air hujan dari langit akan turun ke kawasan lembah (rendah) menjadi takungan air yang berbeza nama menurut ukuran saiznya. Air hujan yang mengalir turun ke lembah yang kecil ukurannya akan bertakung menjadi lopak air sahaja. Manakala bagi lembah yang besar maka takungan air yang terbentuk akan menjadi sebuah kolam. Seterusnya jika ukuran lembah itu jauh lebih luas dan dalam, maka takungan air hujan akan menjadi tasik ataupun lautan.

Oleh itu, Ramadhan dilihat peluang terbaik menakung sebanyak-banyak hidayah, rahmat, nikmat, kasih sayang Allah dan seumpamanya. Dengan memiliki sebanyaknya kurniaan Allah ini maka akan cerahlah peluang untuk memperolehi ijazah takwa. Oleh itu, sebagaimana lazimnya seseorang yang bakal menduduki sesuatu peperiksaan, maka pada bulan-bulan sebelumnya perlu membuat persediaan dengan latihan, ulang kaji dan seumpamanya. Begitu juga dengan para salafussoleh, sebelum memasuki bulan Ramadhan mereka tekun membuat latihan jiwa dan memperbaiki amalan. Di antara amalan-amalan mereka itu ialah:

1. MEMPERBANYAKKAN PUASA SUNAT
Mereka mencontohi Nabi SAW yang lebih gemar berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding bulan-bulan yang lain. Sayidatina Aisyah berkata: "Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan berpuasa sepertimana pada bulan Syaaban." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi SAW pernah ditanya, mengapa baginda melebihkan berpuasa sunat pada bulan Syaaban berbanding bulan-bulan yang lain. Baginda bersabda: "Bulan itu (Syaaban) yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya (buku catatan) amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka aku suka supaya amal ibadahku diangkat ketika aku sedang berpuasa." (Riwayat An-Nasa'i)

2. MEMPERBAHARUI TAUBAT DAN BANYAK BERISTIGHFAR
Bertaubat dan beristighfar boleh mensucikan jiwa dari dosa. Firman Allah SWT: "Dan bertaubatlah kau sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya." (An-Nur: 31)

Selain dosa dan kesalahan kepada Allah, keampunan dipohon daripada sesama manusia, khususnya ibu bapa, suami atau isteri. Mereka memohon taubat dan keampunan untuk diri sendiri, bahkan turut memohon keampunan untuk kedua ibu bapa dan guru-guru mereka.

3. MELAZIMI BANYAK MEMBACA AL-QURAN, BERZIKIR DAN BERDOA
Syaaban adalah bulan mendampingi dan menjinakkan diri dengan Allah melalui ibadat-ibadat fardhu dan sunat. Antaranya seperti memperbanyakkan membaca Al-Quran, berdoa dan berzikir. Kejinakan hati seseorang melakukan ibadah dengan penuh takwa dalam bulan Syaaban dijanjikan rahmat dan keampunan yang amat banyak daripada Allah. Bahkan melakukan ibadah dengan penuh takwa dalam bulan Syaaban akan menghasilkan cahaya iman daripada Allah kepada hamba-Nya. Cahaya ibadat yang dikurniakan Allah itu akan menjadi penyelamat di akhirat kelak.

4. MUHASABAH DAN MURAQABAH UNTUK MEMPERBAIKI DIRI
Menjelang Ramadhan juga, masa diisi dengan banyak melakukan muhasabah diri dan meneliti kelalaian diri. Setelah itu para salafussoleh bermujahadah membuat latihan jiwa untuk menghukum kelalaian diri mereka.

Demikianlah sebahagian daripada tradisi hidup salafussoleh menjelang Ramadhan. Di sinilah rahsia kejayaan mereka dalam mengambil sepenuh manfaat dan kebaikan yang tersedia dalam bulan Ramadhan. Kegagalan mencontohi tradisi hidup mereka menjadi punca kenapa setiap tahun umat Islam akhir zaman kecundang dalam memperbaiki mutu puasa dan ibadah lain pada bulan Ramadhan. Mudah-mudahan dengan mencontohi mereka, kejayaan mereka dapat dikongsi bersama. Sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang menyerupai suatu kaum maka ia termasuk golongan mereka." (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Dipetik dari: Majalah ANIS keluaran Ogos 2009

Bersedia Awal Agar Tidak Kempunan

ORANG-ORANG soleh dahulu mempersiapkan diri untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan sejak bulan Rejab lagi. Mereka menganggap bulan Ramadhan yang diperkayakan Allah dengan pelbagai keistimewaan dari segala bulan yang lain sebagai bulan kemuncak latihan jiwa seseorang hamba kembali menuju Tuhannya.

Bulan Ramadhan disifatkan sebagai medan peperiksaan. Jika lulus dengan cemerlang maka mereka akan memperoleh ijazah takwa. Manakala bulan Rejab dan Syaban menjadi medan latihan untuk mereka mempersiapkan diri. Pandangan begini amat berbeza dengan kebanyakan umat Islam hari ini yang menganggap bulan Ramadhan sebagai bulan latihan. Kerana itu mereka memasuki gelanggang Ramadhan tanpa persiapan awal.

Inilah antara sebabnya mengapa tahun demi tahun, pencapaian mutu ibadah puasa kita masih di takuk lama - tidak membuahkan peningkatan iman dan takwa yang ketara. Bandingkan dengan pencapaian orang yang sudah bersedia awal 'memanaskan badan' sebelum memasuki gelanggang dan medan tempur pada bulan Ramadhan, tentunya mereka akan mencapai kejayaan yang lebih besar dan bermakna.

Orang-orang soleh zaman dahulu juga menganggap bulan Ramadhan sebagai musim tengkujuh. Ini kerana bulan Ramadhan sarat dengan keberkatan dan kebaikan yang melimpah ruah bagaikan hujan lebat turun dari langit. Iaitu hujan hidayah, hujan keampunan, hujan rahmat dan belas kasihan Allah.

Terlalu banyak keterangan tentang manfaat dan kelebihan bulan Ramadhan boleh ditemui dalam ayat Al-Quran dan hadis Nabi SAW. Seringkali ia diulang bicara apabila masuk bulan Ramadhan setiap tahun. Namun prestasi menjalani ibadah dan rehlah rohani kebanyakan umat tidak banyak berubah dari setahun ke setahun.

Salah satu faktornya kerana tidak mencontohi para salafussoleh yang tekun bersedia dari bulan Rejab dan Syaaban untuk menumpukan ibadah pada bulan Ramadhan. Mereka bersiap sedia menggembur bumi dan menyiapkan takungan sebesar-besarnya untuk menadah hujan rahmat dan lain-lainnya yang bakal turun dalam bulan Ramadhan.

Tentu sekali sesiapa yang menyediakan takungan sebesar baldi akan memperolehi air hanya sebanyak itu. Sesiapa yang menyediakan bekas yang lebih besar akan dapat menakung air yang lebih banyak. Sementara sesiapa yang leka sebelum Ramadhan hingga tidak sempat menyiapkan takungan untuk menadah hujan keberkatan dan kebaikan sepanjang bulan Ramadhan akan kempunan dan berputih mata.

Justeru itu, marilah kita isi bulan-bulan sebelum Ramadhan dengan menghitung kelalaian diri dan menyuluh kesihatan rohani diri sendiri serta membuat pembaikan. Insafilah peringatan daripada Nabi SAW tentang mereka yang keluar dari Ramadhan tetapi gagal mendapat keampunan Allah maka celakalah orang itu. Mudah-mudahan kita dapat bersedia awal sebelum Ramadhan menjelang tiba agar kecelakaan dapat dielakkan.

Dipetik dari: Majalah ANIS keluaran Ogos 2009

Ahad, Ogos 09, 2009

Syaaban... Bulan Menjinakkan Hati

SYUKUR kita dipinjam dan dipanjangkan lagi usia hingga bertemu pada bulan Syaaban tahun ini. Syaaban yang penuh berkat dan kemuliaan. Bulan kebanggaan junjungan yang mulia, Muhammad rasul pilihan. Sayidatina Aisyah telah meriwayatkan bahawa junjungan yang mulia begitu kasih dan sayang terhadap bulan Syaaban melebihi bulan-bulan yang lain. Sabda baginda, "kelebihan Syaaban daripada bulan-bulan lain adalah seperti kelebihanku di atas segala umat." Sesungguhnya bulan Syaaban ini penuh kemuliaan, ketinggian, kebajikan, serta bulan untuk menjinakkan hati dengan Allah Azzawajalla. Kelak hati kita akan diliputi cahaya keimanan yang hakiki, cahaya hidayah yang abadi, bakal menerangi jiwa dan roh kudus suci.

Keagungan Syaaban dengan malam Nisfu Syaabannya sepertimana keagungan Rejab dengan malam Israk Mikrajnya, keagungan Ramadhan dengan malam Lailatulqadarnya. Setiap umat Islam dituntut melipat gandakan amalan pada malam Nisfu Syaaban dengan bersolat, beribadat, bertaubat, memohon diampunkan segala dosa yang telah dilakukan setelah berpuasa pada siangnya. Perbanyakkan istighfar pada bulan Syaaban ini dengan menyesali segala dosa dan kesalahan serta minta diampunkan dengan hati yang tulus dan suci. Allah SWT telah berjanji, sesiapa yang memohon ampun dengan seikhlas hati akan diampunkan dosanya walaupun sebanyak buih di lautan ataupun beribu bintang di langit selagi dia tidak menyekutukan Allah dan memutuskan silaturrahim sesama manusia. Malah, sesiapa yang ditemukan bala bencana akan segera dihapuskan kesusahannya, sesiapa yang memohon limpah kurnia-Nya dengan meminta rezeki akan disegerakan rezekinya dengan penuh kepuasan.

Pada malam Nisfu Syaaban juga disunatkan membaca Surah Yasin tiga kali selepas Maghrib mengikut amalan Imam Syahrurrazi. Yasin pertama, minta dilanjutkan usia dalam kebajikan, iman yang berkekalan dan di dalam ketaatan terhadap Ilahi. Kemudian dibaca Yasin yang kedua, minta diluaskan rezeki yang halal agar sentiasa di dalam nikmat yang berterusan penuh keberkatan. Kemudian diteruskan dengan Yasin yang ketiga, memohon dimatikan di dalam iman, dengan kesudahan hidup yang Husnul Khotimah (pengakhiran hayat di dalam kebaikan). Banyakkan membaca penghulu istighfar yang berbunyi: "Sesungguhnya Engkau ya Allah adalah Tuhanku, tiada Tuhan melainkan Engkau. Engkau telah menciptakan aku, dan akulah hamba-Mu yang sentiasa berada di dalam ketetapan-Mu dan genggaman-Mu. Sesungguhnya aku tidak berkuasa, aku minta perlindungan kepada-Mu daripada segala kejahatan yang telah aku lakukan. Aku mengaku di atas segala nikmat-Mu ke atasku dan aku mengaku di atas segala dosaku, maka ampunilah aku. Sesungguhnya Engkaulah jua yang mengampunkan segala dosa."

Setelah Allah mengampunkan kita, akan tenang rasa di jiwa, aman dan tenteram di hati. Tetapi sebagai manusia, sudahkan kita memaafkan kesalahan orang terhadap kita, terutama musuh kita? Beranikah kita menghakis bersih dari persada hati perasaan dendam kerana kesalahan teman dan saudara yang sengaja dan tak sengaja? Ingatlah, membalas kebaikan dengan balasan kejahatan adalah serendah-rendah budi. Membalas kejahatan dengan kejahatan bukanlah perikemanusiaan. Membalas kebaikan dengan kebaikan adalah kebiasaan, tetapi setiap kejahatan yang dibalas dengan kebaikan adalah cita dan cinta kemanusiaan yang setinggi-tingginya.

Patutlah kita hidup dan bercita-cita sedemikian, iaitu membalas kejahatan dengan kebaikan. Sematkan di dalam diri kita ingin mencapai ke tahap itu demi mendapatkan kemuliaan sejati. Memang sakit dan perit di jiwa kita untuk membalas kejahatan orang dengan kebaikan kita. Di dalam batin kita amat hebat dengan gelora perjuangan antara nafsu jahat dengan budi mulia. Nafsu amarah membayangkan penderitaan kita kerana kesalahannya terhadap kita, kerugian kita kerana kita teraniaya. Jika kita memaafkan dia, untunglah dia tetapi di sinilah letaknya ketinggian budi dan kemuliaan insan muslim yang sejati. Memaafkan perbuatan jahat orang terhadap kita, kemudian diberikan balasan kebaikan adalah kemenangan budi yang mulia. Tewaslah nafsu serakah manusia kerana ketinggian budi kita, teman terhindar dari dosa. Musuh mungkin bertukar menjadi teman karib dan setia. Bukan mustahil jika diizin Allah Azzawajalla. Bagi kita, harga diri naik setingkat lagi dan kehidupan sentiasa mewangi serta terbentuklah kekuatan peribadi.

Seorang pujangga Arab pernah berkata, "Cubalah simpulkan kembali tali persaudaraan yang telah putus, jalinkan semula ikatan persahabatan yang terungkai, maafkan kesalahan orang terhadap anda, nescaya dapat dirasai nikmat kemanusiaan dan kemanisan jiwa."

Kata Lukmanul Hakim, "Tak dapat dikenal kemanusiaan seseorang melainkan pada tiga situasi. Dikenal pemaaf ketika dia marah, dikenal berani ketika di medan juang, dikenal sahabat sejati ketika dalam kesusahan."

Pada Syaaban yang mulia ini, harap renung-renunglah diri berpandukan coretan ini. Semoga Ramadhan yang bakal menjelang, kita masuk ke dalamnya sebagai sehelai kain putih yang bakal dilorek pahala berganda.

Dipetik dari: Majalah Anis keluaran Ogos 2008

Selasa, Julai 21, 2009

Mendidik Anak Berfikir

Oleh: Abu Saif (www.saifulislam.com)


"ITU pokok apa?" saya bertanya.


"Tak tahu," jawab anak-anak.

"Itulah pokok durian," saya menerangkan. Mereka mengangguk-angguk. Sambil itu separuh badan masih seronok berendam di dalam sungai.


"Itu pokok apa?" saya bertanya lagi.


"Tak tahu," jawab anak-anak lagi.


"Itulah pokok cili," saya memberitahu.


"Pedas!" kata Naurah.


Pokok cili di sebelah pokok durian... menarik. Walaupun pokok cili tumbuh di sebelah pokok durian dan kedua-duanya menyedut zat galian daripada tanah yang sama, satu pokok buahnya pedas, satu pokok lagi buahnya lemak manis. Malah tidak pula durian menjadi pedas kerana duduk sebelah pokok cili. Kalau tidak, mudah juga nak dibuat sambal tempoyak!


Itulah kebesaran Allah.


Kalau lima orang chef diberikan sepuluh bahan yang sama dan masing-masing diminta mencipta resipi masakan, pasti sahaja rasa masakan itu tidak banyak bezanya. Tidak mungkin seorang menghasilkan gulai lemak pisang manakala seorang lagi membakar kek pisang.


Tetapi tidak dengan hasil kerja Allah Subhanahu Wa Ta'ala.


Lima batang pokok tumbuh di atas tanah yang sama. Pokok cili menghasilkan buah yang pedas, pokok durian menghasilkan buah yang lemak manis, manakala buluh menghasilkan batang yang miang, jering mengeluarkan buah yang kelat dan pokok kelapa menghasilkan buah yang luar biasa kegunaannya.


"Allah hebat, kan?" saya menyudahkan omelan pada pagi itu. Anak-anak mengangguk. Entahkan faham entahkan tidak, tetapi saya perlu memulakannya - mendidik anak berfikir.


Alam Dan Manusia
Manusia perlu mengenal Tuhan. Mereka ada dua jalan untuk mencari dan mengenal Tuhan. Jalan pertama adalah dengan FIKIR pada ayat-ayat Allah yang direnung dan diperhati (mandhoorah). Pada alam. Jalan kedua adalah dengan ZIKIR pada ayat-ayat Allah yang dibaca (maqroo'ah). Pada wahyu, pada Al-Quran.


Zikir itu adalah jalan yang tinggi pada mendampingi Allah, tetapi zikir sukar membawa khasiatnya jika manusia berzikir tanpa berfikir. Mereka berzikir mengingati Allah tetapi kerana zikir tidak disulam fikir, manusia yang selalu menyebut nama Allah ini jualah yang tanpa sedar menjauhkan diri daripada Allah semasa dirinya keluar dari majlis zikir menuju urusan mentadbir alam dan manusia.


Mereka memuji Allah semasa berdamping dengan dengan ayat-ayat Allah yang maqroo'ah tetapi mereka jugalah yang tanpa rasa bersalah merosakkan ayat-ayat Allah yang mandhoorah melalui pencemaran alam hasil kerja tangan mereka. Mulut berzikir, tetapi tangan menjadi tangan ahli fasad yang merosakkan bumi.


Sebab itulah manusia mesti dibalikkan kepada khusyuk dalam berfikir, di samping khusyuk dalam berzikir. Fikir manusia itu akan mendorong dirinya untuk memahami alam dan seterusnya mencari rahsia kehidupan. Dikajinya laut yang berombak, bertemu dengan angin. Dikajinya angin yang bertiup, ditemuinya tekanan udara panas dan sejuk. Dikajinya tekanan udara, ditemuinya tenaga haba. Dikajinya tenaga haba, ditemuinya matahari. Dikajinya matahari, ditemuinya gas-gas yang membentuk matahari. Dikajinya gas-gas berkenaan... akhirnya tiba ke suatu titik yang tiada jawapan. Di situlah hujung akal.


Hujung akal, pangkal agama! Itu pesanan masyhur Buya Hamka pada mendidik umat Islam menjadi manusia yang rajin berfikir. Kerana fikir kita jadi manusia. Kerana fikir yang menyampaikan kepada zikir, kita menjadi manusia yang muslim.


Memusuhi Fikiran
Tetapi tatkala manusia bermusuh dengan fikir, binasalah diri. Binasalah umat. Agama juga runtuh apabila zikir dipisahkan daripada fikir. Tanpa fikir, apa bezanya di antara agama Islam dengan Hindu?


"Tuhan saya tangan lapan, kepala tiga dan kaki sepuluh. Itu kepercayaan saya dan apa awak nak kata?" tegas seorang yang berpegang dengan agamanya yang demikian itu.


Benarlah Islam dan batillah selain daripada Islam kerana kebenaran itu dibuktikan dengan fikir.


Salah Siapa?
Tolaklah ke tepi seketika teori-teori konspirasi berkenaan perancangan Zionis atau propaganda misionari Kristian serta kejahatan media yang selalu dituding jari.


Lihatlah apa yang kita sebagai ibu bapa buat di rumah. Lihatlah apa yang kita sebagai orang agama buat kepada ummah.


Di rumah, kita sebagai ibu bapalah yang membunuh upaya fikir anak.


"Ayah, kenapa kita tak boleh duduk atas bantal?" tanya si anak.


"Tak boleh. Nanti bisul!" kata si ayah dengan penuh bijaksana. Anak terpinga-pinga.


"Ayah, kenapa kita tak boleh meniarap sambil angkat kaki?" tanya si anak lagi.


"Tak boleh. Nanti emak mati!" tegas si ayah dengan bahasa yakin. Anak kebingungan.


"Ayah, kenapa pensil tak boleh diasah atas dan bawah?" soal si anak seterusnya.


"Arghh, diamlah kamu. Orang tua nak bercakap pun susah!" bentak si ayah yang rasa terganggu dengan soalan-soalan si anak.


Akhirnya anak-anak yang sering kena shut up ini menjadi bantut. Mereka bukan sahaja tidak berani menyuarakan pendapat atau tampil ke khalayak ramai kerana keyakinan diri yang rendah, malah lumpuh fikir itu menyebabkan generasi ini tidak tahu menilai kebenaran. Akhirnya mereka menjadi bodoh dan dengan kebodohan itulah mereka memperhambakan diri kepada hawa nafsu dan seterusnya murtad dari agama.


Percayakah kita, apa yang diajar oleh ibu bapa orang Barat itu tanpa sedar membekalkan anak-anak mereka untuk bertemu dengan Islam, dan apa yang diajar oleh ibu bapa orang kita ini tanpa sedar menyediakan anak untuk hilang alat untuk beragama dan seterusnya lari meninggalkan Islam? Itulah jenayah besar kita, dosa tidak berfikir.


Beragama Tanpa Fikir
Bukan sahaja ibu bapa, malah orang agama juga suka benar mengulang-ulang slogan bahawa "agama tidak dibina di atas akal". Didoktrinkan bahawa "agama bukan pemikiran". Memang benar, jika pemikiran yang dimaksudkan itu ialah pemikian ekstrim seperti Muktazilah. Tetapi membunuh fikir dalam beragama, jadilah Usul al-Fiqh sebagai hafalan. Jadilah Islam agama yang kaku dalam penafsiran hingga ditertawakan kehidupan moden yang gagal ditanganinya.

Ada kekeliruan yang berlaku apabila ada segelintir pendakwah yang mahu membasmi taklid, tetapi dalam masa yang sama menghalang manusia berfikir dalam saranan-saranannya. Taqlid yang dibasmi tanpa galakan berfikir, akan hanya melahirkan taqlid yang seterusnya.


Kesan Ke Atas Alam
"Pemanasan global? Arghh... itu politik. Bukan sains. Karut sahaja." bentak seorang muslim.

"Anta ni bila nak berdakwah? Asyik dengan masalah alam sekitah sahaja. Upgradelah cepat perjuangan anta!" sinikal benar bunyi sindiran seorang da'ie kepada rakan aktivis NGOnya.

"Pencemaran cahaya? Hahaha... keras perut aku menahan ketawa. Kalau pencemaran udara ok lagi. Ini pencemaran cahaya. Mengada-ngada sungguh," kata seorang rakan yang kuat bau Islam pada pakaian dan istilah-istilah Arab di mulutnya.

Begitu sinis bunyi komentar manusia sebegini tatkala diajak berfikir tentang kemusnahan alam. Mereka mungkin kaum yang betah berzikir, tetapi memisahkannya daripada fikir. Jika mereka kaum yang berfikir, bagaimanakah mereka mahu mengamalkan Surah Ali Imran ayat 191?

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka." (Ali Imran: 190 - 191)

Kebesaran Allah di langit yang tidak mempamerkan bulan atau bintang? Hanya simbahan cahaya yang diselaputi jerebu? Belum pernah saya mendengar kaum muslimin susah hati dengan pencemaran cahaya yang menghijab mereka dari memikirkan tentang kebesaran Allah. Akhirnya bandar tanpa muslim bernama Kilkenny di Republic of Ireland yang bersungguh-sungguh menjaga pancaran cahaya dengan alasan pelepasan sinar berlebihan ke udara meragut hak manusia menikmati angkasa!

Sesungguhnya manusia yang gemar berfikir tentang alam untuk membaca ayat-ayat Tuhan, tidak akan membiarkan alam ini rosak dan tercemar. Jika Al-Quran dijaga dengan meletakkannya di atas almari, begitu jugalah alam ini dipelihara kerana ia adalah ayat-ayat Allah... bagi kaum yang berfikir.

Besar sekali kesan manusia yang enggan berfikir.

Mulakan Dari Rumah
"Kenapa Abi tak bagi Yop pergi beli makanan di tepi padang sekolah itu?" saya bertanya kepada Saiful Islam.

"Kenapa?" dia bertanya balik kepada saya.

"Makanan itu dijual orang luar. Sekolah tidak kenal mereka. Kalau makanan itu kotor, Yop sakit perut masuk hospital, macam mana?" saya berusaha untuk menjelaskan. Itu lebih baik daripada menakut-nakutkan anak bahawa di pokok besar tepi padang sekolah itu ada 'hantu kopek' yang menculik kanak-kanak.

Pada usia muda, didiklah anak-anak dengan budaya bersoal jawab. Setiap kali mereka bertanya, jangan diherdik pertanyaan itu dan jawablah dengan jawapan yang merangsang anak-anak berfikir. Kegagalan ibu bapa mendidik anak-anak berfikir bakal menyebabkan anak-anak ini masuk ke era masa depan yang dicabar pemikiran, sedangkan mereka hanya punya sebuah kepala yang berisi otak, dalam keadaan kepala dan otak itu tidak bernyawa - dilumpuhkan oleh ibu bapa mereka sendiri.

"Tidakkah kamu berakal untuk memikirkannya?" (Al-Baqarah:76)

Dipetik dari: Majalah Anis keluaran Julai 2009