Jumaat, Mei 29, 2009

25 TAHUN PASTI :- TERBELAKAH GURU PASTI?

SUDAH 25 tahun usia PASTI, yang diasaskan dengan tujuan untuk mendidik anak-anak kita kearah membina generasi bertaqwa. Sebahagiannya telahpun berjaya dan menyandang jawatan penting di mana-mana sahaja. Menjadi orang terkenal seperti Fenda di MHI TV3 yang berasal dari PASTI negeri Johor dan sebagainya lagi.

PASTI UNTUK SEMUA
Hari ini dengan kurikulum yang tersusun, memiliki buku teks sendiri, menjadikan institusi pengajian pra sekolah ini mampu bersaing dengan institusi pra sekolah lain. Penyertaannya juga tidak terbatas kepada ahli PAS ataupun umat Islam sahaja,tetapi ahli ahli UMNO sudah ramai yang meyakini pendidikan di PASTI lebih baik untuk anak anak mereka seawal usia lima tahun.

Lebih menarik lagi, di kawasan-kawasan bandar orang orang bukan Islam turut menghantar anak anak mereka ke PASTI. Umpamanya di Selangor dan penubuhan PASTI Venikam untuk kaum India di Perak awal tahun ini.

ASET
Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan PASTI 2005-2011 kematangan PASTI kian terserlah. PASTI juga boleh berbangga kerana memiliki Pusat Latihan PASTI di Kg Kedai Buluh, Kelantan. Walaupun ianya aset PASTI Kelantan namun manfaatnya untuk semua warga PASTI seluruh tanahair. Begitu juga dengan sebuah bangunan empat tingkat berharga RM900 ribu di Taman Samudera, Batu Caves yang dimiliki oleh Jabatan PASTI Pusat. Terlalu banyak perubahan telah berjaya dilakukan oleh pengurusan PASTI khususnya di peringkat Pusat. Tahniah di ucapkan!

ELAUN
Namun di sebalik semua itu, ada sesuatu yang amat ‘segan’ untuk dibicarakan. Ianya tentang elaun ataupun gaji yang diterima. Baru-baru ini, saya berpeluang bertemu beberapa orang guru PASTI di salah sebuah kawasan, lalu ianya telah memberi inspirasi untuk saya catatkan sesuatu di sini.

Guru yang dimaksudkan hanya berkelulusan SPM. Ketika berbual dengannya saya tanyakan berapakah gaji yang di terima. Tanpa mahu berselindung, beliau menjawab hanya RM 200 sahaja. Dengan duit tersebutlah beliau menyara keluarga. Bayangkan.. di kala kos kehidupan meningkat, harga barang naik, beliau masih boleh bertahan dengan gaji sedemikian mengurus kehidupan. Aduhai betapa tulusnya hati seorang guru yang sangup bekorban sehingga ke tahap itu. Demi PASTI yang di sayangi.

Begitulah seadanya. Sebahagian besar mereka yang memilih kerjaya sebagai guru PASTI bukanlah berniat untuk mencari rezeki semata mata tetapi lebih didorong rasa tanggungjawab untuk membantu mendidik anak anak PASTI,suatu kerja yang tidak ramai orang sanggup lakukan. Kalau mereka hendak mencari rezeki semata mata mereka ada peluang yang lebih baik kerana rata rata mereka mempunyai kelulusan akademik.

“Sejujurnya, apa yang saya perhatikan masalah kebajikan guru kadang-kadang terabai apabila pihak pengurusan PASTI di cawangan mahupun kawasan hanya bergantung kepada kutipan yuran tanpa sumber kewangan lain”.

SUMBANGAN
Untuk itu, saya bagi pihak mereka, ingin merayu sokongan dari semua untuk membantu kebajikan guru guru mahupun PASTI itu sendiri khususnya. Sempena sambutan hari guru yang telah lepas, Marilah bersama kita buka minda dan menyedarkan diri yang terlena, betapa besarnya pengorbanan guru PASTI serta berbagai kesusahan terpaksa mereka hadapi dalam usaha membangunkan PASTI.

e_where2006@yahoo.com

Diari Guru PASTI - Sebuah Kisah Benar

TIDAK pernah terlintas dalam benaknya untuk menjadi seorang guru. Lebih-lebih lagi guru kepada kanak-kanak berumur 4 - 6 tahun. PASTI ini ditubuhkannya dengan bantuan arwah suami tercinta. Tekanan dari segenap ceruk, baik dari kerajaan dan masyarakat dihadapinya dengan tabah. Benar juga kata nabi "Islam di akhir zaman akan ditekan oleh orang islam sendiri". Walaubagaimanapun, diatas kesedaran perlunya pendidikan agama disemai sejak kecil lagi, maka dikuatkan juga semangatnya. Pelbagai kesukaran, kepayahan dan keperitan menjadi teman setia sepanjang kariernya. Gaji yang rendah, prasarana yang kurang, kebajikan yang sederhana dan kadang-kadang terpaksa mengurus sendiri perjalanan & pentadbiran PASTI tanpa perhatian dari AJK yang dilantik. Cukup memeritkan. Mengurus, dan dalam masa yang sama mentarbiah 30 orang murid-murid berseorangan bukanlah perkara yang senang.

DIARI GURU PASTI
(SUATU KETIKA DI BULAN SEPT. 1998)

06.00 am
Solat subuh dan kejutkan anak-anak.

07.00 am
Tiba disekolah
Mengemas, menyapu, membasuh pinggan, memasak
Semak yuran pelajar. Ramai tak bayar. Nampaknya sikit laa elaun bulan ini.
Elaun bulan lepas cuma RM 150 saja..
Dengan duit itulah anak-anak dibesarkan...
Tapi Allah dah janjikan rezeki utk hambanya yang berjuang di jalan agama.
Api dan air sekolah pulak....dah 02 bulan x bayar....
Nak bayar hutang PASTI di kedai Mak Cik Limah macamana???
Minta tolong dgn AJK??
Sejak sebulan dua ni...
batang hidung pun tak nampak.

08.00 am
Kelas bermula
Agak tak selesa. Semalam ribut & hujan lebat. Bocor sana bocor sini.
Kat dinding belakang pulak penuh dengan anai-anai.
Bila laa boleh baiki.
Pagi ni Bahasa Melayu, selepas itu Bahasa Inggeris.
Sedang asyik mengajar..
Aiman terbuang air besar dalam kelas. Kecoh satu kelas. Terpaksa laa kelas 'break' seketika.
Selesai kes Aiman, Aishah pula meraung-meraung macam kena histeria : dicubit oleh rakannya.
Aduhhh...teruk betul.

10.00 am
Minum pagi,
Makan biskut tawar dengan air kopi tea.
Berselera betul budak-budak tu...
Tiba-tiba kecoh lagi. Aishah membalas dendam terhadap rakannya tadi.
Dicurahkannya air tea suam keatas kepala rakannya tadi.
Riuh rendah jadinya.
Sabarrrr jee laaa.

10.30 am
Dua orang lelaki datang melawat. Mengaku sebagai polis.
Minta henti dan tutup sekolah ini.
Tanya itu dan ini... Siap bagi amaran lagi.
Awalnya gabra jugakk.
Tapi, salah ke mengajar agama untuk budak-budak?
Entah laa... dunia akhir zaman...yang mengajar agama di tekan, yang buat maksiat di lepaskan.

11.00 am
Subjek Matematik dan Al Quran. Semua subjek kena pandai.
Maklum lah...guru contoh la katakan. :)

12.00 pm
Kelas Qiraati, jadi ustazah pulak.
Ibu Fatimah datang awal...bagi komen pedas dan panas.
Kenapa anaknya masih tak pandai membaca, walhal sudah berumur 06 tahun.
" Kalau tak pandai...tak payah mengajar"
Terpaksa laa jawab dengan berhemah.
Memang aku tak pandai...sekolah pun lulus STPM je..
Aduhh...nanar juga seketika.

12.30 pm
Kelas berakhir.
Bergegas ambil anak di sekolah yang berhampiran.

02.00 pm
Kelas Fardhu Ain di PASTI
Sekali fikir penat juga.

03.30 pm
Petik lobak & kacang di belakang rumah.
Pergi menjaja keliling kampung.
Dari rumah ke rumah. Malu tak payah cerita. Tapi demi sesuap rezeki.....diteruskan jua.
Arwah suami pernah berpesan.
"Janganlah berputus asa untuk hidup walaupun terpaksa menjual selipar buruk.
Berjuang lah demi agama dan anak-anak,
kerana mereka merupakan harta kita".
Air mata ini tanpa diminta menitis lagi..
Membasahi pipi kesekian kali.

05.00 pm
Jualan tak habis hari ini.
Sedekahkan kepada jiran.
Basikal pancit, terpaksa berjalan kaki dekat 3 kilometer ke rumah.
Penatnya..hanya tuhan yang tahu.
Jiran-jiran setiap hari dok kata.
"Dah laa mengajar nyerr...tak kaya pun kamu dengan kerja tu"
Betul juga...kalau ikutkan hati...dah lama berhenti.
Tapi...diri ini telah ditarbiah. Kerja ini akan diteruskan hingga ke akhir hayat ini.
Kerana pahala seorang guru akan berterusan selamanya.
Lebih hebat dari saham Pak Man Telo. :)

05.30 pm
Malam ini ada pasar minggu berhampiran rumah.
Kena jual kuih pula..
Tak buat sendiri, cuma berkerja dengan makcik sebelah rumah.
Dia bayar RM 15.00. Syukur, boleh buat belanja dapur dan anak-anak.

09.00 pm
Ada mesyuarat cawangan kat Surau.
Hari sabtu ni...diorang nak jemput penceramah datang sini.
Ceramah perdana. Pilihanraya pun dah dekat.

10.30 pm
Baru sampai rumah.
Nasib baik anak-anak pandai urus diri. Semua dah lena.
Ringan sikit tulang. Baru nak lelapkan mata...
Kak Besah datang 'menyerang' lagi..
Kononya cuba 'tackle' suami dia..walhal suaminya pun tak aku kenali.
Baru-baru ini dia buat hal depan orang ramai...kat kedai kopi.
Tuduh aku itu dan ini...

Ya Allah...Kuatkan hati hamba Mu ini.

p/s : Diari diatas adalah merupakan kisah benar seorang guru PASTI dan ianya telah diolah dengan sebaiknya. Cerita, nama & watak telah ditukar bagi menjaga sensitiviti individu tertentu. Guru berkenaan telah pun kembali ke ramatullah baru-baru ini. PASTI nya kini di tadbir oleh 2 orang guru baru yang mengambil alih tugas mentarbiah 50 orang pelajar.

Semoga kisahnya, menjadi iktibar buat semua..

Khamis, Mei 28, 2009

Pengarah PASTI Negeri Johor Yang Baru

PASTI Kawasan Kota Tinggi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sdra Mohd Faizul bin Mohd Salleh (gambar) di atas perlantikan beliau sebagai Pengarah Jabatan PASTI Negeri Johor yang baru menggantikan Tn Hj Mohzit bin Mohid yang bertukar ke Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar.

Saudara Mohd Faizul yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Johor berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan pengurusan. Semoga dengan perlantikan beliau, PASTI Johor akan bertambah maju pada masa hadapan.

Sambutan Hari Guru Peringkat Zon Kota Tinggi, Pengerang & Tenggara

PADA 24 Mei lalu, sambutan Hari Guru peringkat zon telah diadakan di Taman Hijrah, Kota Tinggi membabitkan tiga kawasan iaitu Kota Tinggi, Pengerang dan Tenggara. Majlis yang bermula pada pukul 2 petang itu dihadiri oleh guru-guru PASTI dan Ahli-ahli Jawatankuasa PASTI ketiga-tiga kawasan beserta keluarga. Bekas Pengarah PASTI Johor, Tn Hj Mohzit telah diundang bagi merasmikan majlis.

Majlis dipengerusikan oleh Pengerusi PASTI Kawasan Kota Tinggi, Sdra Mohd Azlan Toriman dan dimulakan dengan bacaan doa. Pengerusi PASTI Kawasan Tenggara, Sdra. Baharin kemudiannya menyampaikan ucapan. Dalam ucapannya Sdra Baharin menyentuh tentang ketokohan dan keilmuan Tok Kenali (1870 - 1933), seorang tokoh ulama, guru dan pemikir Islam di rantau ini yang berasal dari Kelantan. Tok Kenali merupakan seorang alim rabbani yang hidupnya banyak berpandukan Al-Quran dan Sunnah. Sdra Baharin mengharapkan agar guru-guru PASTI dapat mencontohi perjuangan Tok Kenali yang mengharungi ranjau dan liku dalam menuntut ilmu dan menurunkan pula ilmu yang diperolehi tanpa mengharapkan apa-apa habuan duniawi. Difahamkan bahawa Tok Kenali telah menuntut ilmu ke Mekah ketika berumur 18 tahun dengan serba kekurangan dan kepayahan namun berkat keikhlasan dan kesungguhan beliau, akhirnya beliau menjadi ulama tersohor di rantau ini dan mempunyai begitu ramai anak murid.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan perasmian oleh bekas Pengarah PASTI Johor, Tn Hj Mohzit yang menyifatkan guru-guru PASTI ibarat lilin yang membakar diri bagi menerangi orang lain. Beliau amat menyanjung tinggi jasa dan pengorbanan guru-guru PASTI yang tidak mengharapkan gaji lumayan untuk mengajar dan mendidik murid-murid. Beliau berharap semoga guru-guru PASTI terus ikhlas dan bersemangat memberi perkhidmatan yang terbaik walaupun beliau tidak lagi menjadi Pengarah PASTI Johor. Ujar beliau lagi, segala usaha dan tenaga yang dicurahkan bagi memartabatkan PASTI dan menjadikannya institusi pendidikan pra-sekolah yang terunggul di negara ini hendaklah ikhlas kerana Allah SWT semata-mata.

Tn Hj Mohzit kemudiannya telah sudi menyampaikan cenderahati dan hadiah cabutan bertuah kepada guru-guru serta pembantu PASTI ketiga-tiga kawasan. Majlis kemudiannya diteruskan dengan acara jamuan dan turut dimeriahkan dengan persembahan nasyid oleh bekas murid-murid PASTI Kawasan Tenggara sebelum bersurai pada pukul 5.30 petang.

Foto-foto sekitar majlis tersebut:

Pengerusi PASTI Kawasan Kota Tinggi, Sdra Azlan

Pengerusi PASTI Kawasan Tenggara, Sdra Baharin

Bekas Pengarah PASTI Johor, Tn Hj Mohzit

Antara guru PASTI dan jemputan yang hadir

Persembahan nasyid oleh bekas murid² PASTI Tenggara

Ahad, Mei 24, 2009

Foto Sambutan Hari Guru PASTI Pusat 2009







Sumber: http://pastijohor.net

PASTI : Plan Perpaduan Negara


Tawau, Sabah: Ucapan perasmian yang disampaikan oleh YB. Tuan Hj. Salahudin Ayub (Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat) ketika merasmikan Sambutan Hari Guru PASTI Malaysia di Tawau, Sabah adalah ucapan yang cukup besar makna dan tinggi nilai.

Bermula dengan penegasan bahawa guru-guru PASTI adalah antara tenaga penting yang menjana kejayaan PAS membelah benteng penghalang antara parti (PAS) dengan masyarakat .

Sejak 25 tahun yang lalu, PASTI yang diasaskan pada zaman kepimpinan Al Fadhil Dato' Ustaz Abu Bakar Chik selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, kini sedang merajah peta perluasannya dan mewajah capaian gemilang dalam khidmat pendidikan yang cukup meyakinkan masyarakat .

YB. Tuan Hj Salahudin Ayub turut mensasarkan satu tahap keupayaan yang boleh direalisasikan dengan penuh komitmen dan istiqamah, iaitu capaian untuk jangka 25 tahun mendatang bahawa PASTI bukan sahaja gah dengan cawangannya di seluruh pelusuk negara tetapi juga mampu dan berjaya menubuhkan sebuah universiti guna melahirkan tenaga pendidik atau guru yang lebih berkemampuan dan memiliki kepakaran yang berkeupayaan tinggi untuk mengangkat martabat pendidikan Islam dalam negara .

Bahkan PASTI juga sangat diharapkan oleh beliau (YB Tuan Hj. Salahudin Ayub) agar dapat mengumpulkan segala tenaga pakarnya untuk merangka satu Penyata PASTI dan pelan pendidikan negara yang berkesan bagi menggantikan Penyata Rahman Talib dan Penyata Razak yang dilihat semakin usang dan tidak lagi efektif untuk menangani krisis pencapaian akademik dan konflik solidariti yang kian membarah di kalangan masyarakat kita .

Kita tidak mahu hanya sekadar berupaya melahirkan pelajar atau generasi berminda "A" sebaliknya apa yang kita mahu capai ialah penguasaan seimbang dalam melahirkan kecemerlangan intelektual, emosional dan spiritual insan.

Umum juga menyedari bahawa perpaduan antara kaum di dalam negara kita telah terancam dan semakin terhakis nilainya. Kontrak sosial mula berani dicabar, sensitiviti agama sukar dirunding dan perbezaan budaya menjarakkan mereka .

Membina perpaduan menyilang budaya, bangsa dan agama memerlukan satu tahap pendidikan yang benar - benar formulatis Memahami setiap sendi permasalahan dan menghayati setiap inci ruang yang mendorong malah melorong ke arah penyatuan dan perpaduan.

PASTI boleh mempeloporinya. Dewasa ini PASTI telah meletakkan dirinya sama aras dengan pusat pengajian integrasi peringkat pra persekolahan, malah secara praktisnya PASTI kini berjaya melaksanakan misi dan visinya merentas sempadan ideologi parti politik, bangsa dan agama .

Nasrudin Hassan At Tantawi.

Sumber: http://pastijohor.net

Cikgu Faridah Binti Dawam Dinobat Sebagai Tokoh Guru PASTI Kebangsaan 2009

Tawau, Sabah Negeri Di Bawah Bayu 16 Mei 2009: Dilahirkan pada 2 Mei 1968 di kg Gajah Perak. Terlibat dengan PASTI dari 1988 selepas tamat peperiksaan STPM mengajar pada mulanya suka-suka tapi lama kelamaan membuatkan beliau tertarik dengan PASTI walaupun imbuhan untuk mendidik anak-anak PASTI tidak seperti tawaran yang pernah beliau dapat. Namun hatinya sudah terpaut dengan PASTI beliau juga terlibat dengan PAS seiring dengan penglibatan beliau di dalam PASTI...

Pada 1987 beliau menjadi AJK penaja penubuhan DMP Kg Gajah..dan pada umur 22 tahun beliau telah diberi amanah sebagai ketua DMP kawasan Kampung Gajah.

Beliau telah bertemu jodoh dengan Mohd Hasyim bin Yahya dan telah dikurniakan 7 orang cahaya mata namun pada tanggal 26 Julai 2006 telah berlaku satu kemalangan maut semasa dalam perjalanan menziarahi anaknya di Ma'ahad Al-Islah Sungai Lampam (Jalan kampung Gajah - Teluk Intan) yang melibatkan beliau sekeluarga. Suaminya telah meninggal dunia di dalam kejadian itu..beliau dan 2 orang anaknya cedera parah dan dimasukkan ke wad ICU Ipoh.

Berita kematian suami tercinta hanya diketahui setelah 5 hari kejadian berlaku, dengan tabah beliau meneruskan kehidupan sebagai ketua keluarga dengan pendapatan dari elaun guru PASTI sebanyak RM300 sahaja serta sumbangan daripada orang ramai.

Hasil tarbiyyah yang diterima beliau cekal meneruskan kehidupan membesarkan dan mendidik anak-anaknya walaupun keseorangan sebagai ketua keluarga, beliau tidak pernah memberi alasan untuk tidak terlibat dengan apa saja program anjuran PASTI atau parti. Puan Faridah Dawam seorang yang sentiasa berfikir untuk memajukan PASTI dan Jamaah.

Bersama iltizam dan sokongan-sokongan dari teman-teman seperjuangan, beliau bertekad meneruskan perjuangan memastikan anak-anaknya, murid-murid PASTI dan masyarakat keseluruhannya memahami Islam dan seterusnya syariat Islam tertegak di bumi Malaysia yang tercinta ini.

Kini beliau diamanahkan sebagai Ketua Majlis Guru PASTI Kawasan Pasir Salak dan Timbalan Ketua Majlis Guru PASTI Negeri Perak.

http://episodeperjuangan.blogspot.com/

Sumber: http://pastijohor.net

Isnin, Mei 18, 2009

Peperiksaan Pertengahan Tahun PASTI Johor 2009

HARI ini Peperiksaan Pertengahan Tahun PASTI seluruh negeri Johor bermula. Pada minggu ini (18 - 22 Mei), murid-murid 5 tahun akan menduduki peperiksaan terlebih dahulu manakala murid-murid 6 tahun dicutikan dan pada minggu berikutnya (25 - 29 Mei), murid-murid 6 tahun pula menduduki peperiksaan sementara murid-murid 5 tahun dicutikan. Ini bagi memastikan peperiksaan dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

Kerjasama daripada para ibu bapa / penjaga adalah diharapkan dalam memastikan kehadiran anak-anak / jagaan masing-masing sepanjang tempoh peperiksaan dijalankan di samping membantu mereka mengulangkaji pelajaran di rumah.

Pihak pengurusan PASTI Kawasan Kota Tinggi mengucapkan selamat menduduki peperiksaan kepada semua murid dan mendoakan semoga mendapat keputusan yang cemerlang.

Jumaat, Mei 15, 2009

Sambutan Hari Guru PASTI 2009 & Sambutan Jubli Perak PASTI Malaysia


ESOK, Sabtu 16 Mei 2009 majlis sambutan Hari Guru PASTI Peringkat Kebangsaan akan diadakan di Hotel Emas, Tawau, Sabah. Majlis kali ini tentunya merupakan sejarah bagi PASTI kerana ia julung-julung kali diadakan di luar Semenanjung Malaysia dengan penyertaan ramai guru PASTI dari seluruh Malaysia bersama Ahli-ahli Lembaga Pengarah PASTI Pusat dan Negeri-negeri.

Seramai 13 orang guru PASTI dari negeri Johor telahpun berlepas ke Sabah semalam dengan penerbangan Syarikat Tambang Murah Air Asia dan akan pulang pada 17 Mei. Mereka ialah Pn. Latifah Omar, Pn. Hatijah Mohamed Jani, Pn. Edayu Jamian, Pn. Azizah Alimat, Pn. Salmiah Satari, Pn. Norlin Pakir, Pn. Kamsiah Hassan, Pn. Che Norizam Mat Zin, Pn. Asnahwati Nur Bidin, Pn. Miswati Ibrahim, Pn. Siti Sarah Alias, Pn. Rohani Hussin dan Pn. Norlaila Zaidon.

Pengarah Jabatan PASTI Negeri Johor, Tn. Hj. Mohzit pula berlepas hari ini bersama rombongan Ahli Lembaga Pengarah PASTI Pusat.

Tuan rumah, Jabatan PASTI Negeri Sabah telah membuat persiapan dan persediaan yang begitu teliti bagi mengadakan majlis ini sejak awal tahun lagi memandangkan lebih daripada 400 orang guru PASTI dari seluruh negara dijangka hadir.

Majlis yang akan diadakan serentak dengan Sambutan Jubli Perak PASTI Malaysia itu akan dirasmikan oleh YB Tn. Hj. Salahuddin bin Ayub, Ketua Pemuda PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Tahun ini genaplah 25 Tahun PASTI berada di persada pendidikan pra sekolah Malaysia. Sepanjang tempoh ini, pelbagai pengalaman pahit manis telah ditempuh, susah senang telah dirasa dan bermacam-macam bentuk dugaan serta cabaran telah diharungi. Semua ini demi mendaulatkan sistem pendidikan Islam yang syumul.

Menuju tahun-tahun mendatang, dengan slogan "PASTI Menerajui Perubahan" PASTI Malaysia berazam untuk meninggikan lagi imejnya di mata masyarakat dengan kerja kuat dan usaha yang gigih tanpa mengenal erti jemu oleh semua pendokong jamaah.

Akhir kata, diucapkan Selamat Hari Guru dan Selamat Menyambut Hari Jubli Perak PASTI Malaysia kepada semua guru PASTI, ALP Pusat, ALP Negeri, AJK Kawasan dan Cawangan serta para pembaca sekalian.

Jumaat, Mei 08, 2009

Nasyid: Mari Dengar Nasihat

HARI ni kita dengar nasyidlah pulak. Lagu lama ni, dendangan kumpulan Nada Murni. Syok..

Jumaat, Mei 01, 2009

10 Perkara Yang Boleh Merosakkan Otak

1. Tidak mengambil sarapan pagi

- Apabila seseorang tidak mengambil sarapan pagi, paras gula dalam darah akan menjadi rendah. Ini akan mengakibatkan kekurangan bekalan nutrisi pada otak dan menjadikannya kurang aktif.

2. Terlebih makan

- Ia akan membebankan pembuluh darah otak dan mengurangkan kuasa mental otak.

3. Perokok

- Asap rokok akan mengakibatkan sel-sel otak terjejas atau terbakar dan boleh mengakibatkan penyakit ‘Alzheimer’.

4. Penggunaan gula yang berlebihan

- Pengambilan gula secara berlebihan akan mengganggu penyerapan protein dan nutrisi. Selain daripada itu, ia akan mengganggu perkembangan otak yang sihat.

5. Pencemaran udara

- Otak adalah pengguna oksigen terbesar dalam badan manusia.Pencemaran udara boleh menyebabkan pengurangan bekalan oksigen ke otak dan keaktifan otak.

6. Terlebih tidur

- Tidur adalah bagus untuk merehatkan otak tetapi masa tidur yang panjang boleh mengakibatkan sel-sel otak kita mati.

7. Menutup muka ketika tidur

- Tidur sambil menutup muka akan mengakibatkan otak menerima lebih banyak karbon dioksida berbanding oksigen dan ini akan membawa kerosakan kepada otak.

8. Membiarkan otak bekerja semasa kita berada di dalam keadaan kurang sihat

- Bekerja semasa anda kurang sihat boleh mengurangkan keberkesanan otak dan juga membawa kerosakan kepada sel-sel otak.

9. Kurang berimaginasi

- Berfikir adalah satu cara terbaik untuk melatih otak kita. Kurangnya berimaginasi boleh menyebabkan tahap kecerdasan/keaktifan otak menurun.

10. Jarang berfikir

- Jarang berfikir akan menyebabkan otak kita kurang aktif. Oleh itu, perbincangan yang membina boleh menambah keberkesanan kecerdasan otak kita.

Sumber: http://creamstudents.com