Ahad, Jun 28, 2009

Ucapan Penghargaan Dan Terima Kasih

JAWATANKUASA PASTI Kawasan Kota Tinggi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada guru PASTI Al-Falah 2, Cik Nurhana binti Rosman dan guru PASTI Al-Falah 3, Cik Sara Fatin binti Kholid di atas khidmat yang telah mereka berikan sejak awal tahun ini.

Kedua-dua guru tersebut telah pun mengakhiri tugas mereka di PASTI Kawasan Kota Tinggi. Cik Sara Fatin yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan mengakhiri tugasnya pada 19 Jun lalu manakala Cik Nurhana melaksanakan tugas terakhirnya pada 26 Jun setelah ditawarkan jawatan guru KAFA.

Tempat Cik Sara telah digantikan oleh kakak beliau, Cik Norie Nazura binti Kholid mulai 22 Jun lalu manakala Cik Nurhana pula akan digantikan oleh Cik Nurul Jannah binti Atan yang juga adik kepada Cikgu Aidah, guru PASTI Al-Falah 2 bermula 30 Jun ini.

Kepada Cik Sara dan Cik Nurhana, diucapkan selamat maju jaya dalam bidang yang diceburi.

Sukan PASTI Malaysia 2009

ACARA Pesta Sukan PASTI Malaysia 2009 telah berlangsung pada 19 - 20 Jun lalu di Kompleks Sukan UNISEL, Bestari Jaya, Selangor.

Kontinjen Johor menghantar 40 ahli rombongan yang menaiki bas persiaran sewa khas dan mendaftar di Kampus UNISEL pada pukul 5.00 petang 19 Jun 2009. Semua peserta ditempatkan di apartment khas tiga bilik yang agak selesa.

Pasukan bolasepak dan bola jaring kita telah berjaya layak ke peringkat suku akhir. Tahniah diucapkan dan jangan berputus asa kerana kita bolah gandakan usaha lagi bagi meraih kemenagan di tahun hadapan.

Juara bolasepak jatuh kepada pasukan red giant selangor manakala bola jaring dimenangi oleh pasukan dari serambi Mekah iaitu Kelantan Darul Naim.








Artikel dan gambar kredit kepada pastijohor.net

Jumaat, Jun 19, 2009

Nasyid: Ayah

SEMPENA Hari Bapa.. hayatilah nasyid ini.

Isnin, Jun 15, 2009

Selamat Kembali Ke PASTI!

SETELAH bercuti selama 2 minggu, hari ini murid-murid kembali semula ke sekolah masing-masing - tidak terkecuali murid-murid PASTI. Pelbagai ragam dapat dilihat apabila anak-anak kembali ke sekolah setelah bercuti agak lama. Ada yang begitu teruja kerana tak sabar nak jumpa kawan-kawan, namun tak kurang juga yang liat untuk bangun awal pagi kerana sudah kesedapan bangun lewat atau tidur semula ketika cuti sekolah.

Namun sebagai ibu bapa, kita perlu banyak bersabar dalam menghadapi kerenah anak-anak yang liat untuk memulakan hari pertama persekolahan mereka setelah bercuti panjang. Biasalah naluri kanak-kanak, keseronokan bermain mengatasi segala-galanya. Alangkan kita yang sudah dewasa ini pun kadang-kadang merasa liat (tak baik sebut malas, kan?) untuk pergi kerja setelah bercuti (walaupun sekadar cuti hujung minggu, betul tak?).

Kepada para guru PASTI, khususnya guru-guru PASTI Kota Tinggi dan AJK (termasuk saya) yang bakal menduduki Peperiksaan Semester 1 Diploma Kepimpinan Islam di ILHAM pada 20 dan 21 Jun ini (beberapa hari je lagi tu..) kuatkan semangat dan banyakkan bersabar. Banyakkan berdoa dan bertawakkal kepada Allah setelah kita semua berusaha semampu yang mungkin. Mudah-mudahan Allah anugerahkan kita kejayaan.. Amin! Namun jika sebaliknya, janganlah kita berputus asa. Cuba lagi tahun hadapan, k?

Semoga berjaya... ceria-ceria selalu :-)

Catatan Admin blog PASTI Kawasan Kota Tinggi

Khamis, Jun 04, 2009

MENDIDIK MURID PASTI TENTANG ERTI PERSAHABATAN

Dipetik dari http://pastikelate.blogspot.com

SUATU ketika dahulu, sewaktu anak saya masih di bangku PASTI, dia pulang dari sekolah sambil meremas -remas kertas lukisannya. Ketika ditanya, dia menjawab "tiada apa- apa" sambil memuncungkan mulut. Tapi, akhirnya setelah dipujuk, dia mula bersuara dengan mengatakan rakannya mengeji hasil lukisannya yang teruk. Tak cantik.

Kemudian saya mula jelaskan ;- bahawa rakannya hanya mengutuk lukisan, bukan mengeji dirinya. Setiap orang mempunyai hak untuk memberikan pendapatnya dan kita haruslah saling mengasihi satu sama lain.

Sikap rakannya itu adalah sesuatu yang normal. Seorang pakar psikologi kanak-kanak telah menerangkan bahwa anak-anak seusia ini hanya mementing dan memusatkan segala sesuatu pada diri sendiri, tetapi bukan bererti mereka mahu menang sendiri. Ini kerana mereka masih kecil dan tidak sensitif terhadap perasaan orang lain. Kemampuan ini harus diajarkan oleh ibubapa mahupun guru PASTI khasnya.

Langkah berikut mungkin boleh membantu :-

PERANCANGAN
Anak-anak seusia ini tidak dapat mengatur atau bergaul dengan rakannya, jadi guru PASTI seharusnya menyediakan situasi sosial yang berbeza. Situasi sosial seperti, aktiviti kokurikulum, bersukan, solat berjemaah dan sebagainya. Kesemuanya itu akan membentuk suasana yang nyaman dan selesa untuk mereka. Untuk pertama kali, mereka akan waspada, namun lama kelamaan mereka mulai untuk memberikan respon kepada rakannya. Kita hanya perlu mendorong mereka untuk memiliki hubungan persahabatan.

SENGAJA MENCIPTA SUASANA
Sengajakan meninggalkan mereka di suatu ruangan untuk bermain, sedangkan guru ataupun ibubapa duduk di ruang lain yang dekat dengan mereka, sambil mendengar dan mengawasi mereka. Mereka memerlukan pengajaran dan bimbingan untuk bermain dengan jujur dan berkompromi. Contohnya, jika mereka berebut permainan maka kita perlu membahagikannya dengan adil, satu -persatu. Hal ini akan mengajarkan mereka tentang konsep keadilan kepada mereka.

MENCONTOHI
Anak-anak kita amat mudah belajar meniru atau mencontohi sesuatu. Bagaimana sikap kita terhadap rakan kita sendiri? Jika kita berbicara tentang rakan kita, maka anak kecil tadi akan mendengar dan mengikuti sikap kita terhadap rakan kita sendiri.

BERSABAR
Akhirnya, sabarlah dengan mereka dan jadilah teman permainannya, walaupun di PASTI ataupun di rumah. Ianya membantu untuk mengurangi "stress" (tekanan) dengan bersemuka dengan mereka. Merasai apa yang mereka rasa. Ini akan menjadi suatu proses yang menyenangan bagi mereka dan bagi anda sendiri.

Wallahua'lam.

e_where2006@yahoo.com

Selasa, Jun 02, 2009

Kejohanan Bola Sepak & Bola Jaring PASTI Johor 2009

PASTI Kawasan Tebrau telah menjadi tuan rumah Kejohanan Bola Sepak & Bola Jaring PASTI Johor 2009 yang diadakan pada 31 Mei lalu bertempat di padang Mutiara Johor Land (dahulunya dikenali sebagai Kompleks Nusa Mutiara). Kejohanan kali ini telah dirasmikan oleh Saudara Khairul Faizi Ahmad Kamil, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor. Saudara Mohd. Faizul Mohd. Salleh turut menyampaikan ucapan sulungnya selaku Pengarah PASTI Johor yang baru.

Sebanyak 19 kontinjen dari seluruh negeri Johor telah menyertai kejohanan ini. Walaubagaimanapun, PASTI Kawasan Kota Tinggi tidak dapat turut serta atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.


Sebelum perlawanan bermula, pertandingan perbarisan telah diadakan. Semua kontinjen yang terlibat kelihatan begitu bersemangat mempamerkan kehebatan gaya dan pakaian seragam masing-masing. Dalam pertandingan perbarisan ini, PASTI Kawasan Kluang telah memenangi tempat pertama, diikuti oleh PASTI Kawasan Simpang Renggam di tempat kedua manakala tempat ketiga diduduki oleh PASTI Kawasan Parit Sulong.


PASTI Kawasan Tebrau selaku tuan rumah telah membuat persembahan taekwondo. Tahniah diucapkan kerana berjaya membawa satu kelainan yang dikira dapat menaikkan imej PASTI sebagai sebuah institusi pendidikan pra-sekolah Islam terunggul.


Sebagai selingan, cabutan nombor bertuah dan acara treasure hunt turut diadakan. Hadiah-hadiah yang disediakan tidak kurang lumayan.

Bagi acara bola sepak, PASTI Kawasan Kluang telah muncul juara manakala PASTI Sri Gading di tempat kedua. Tempat ketiga dimenangi oleh PASTI Kulaijaya.


Dalam acara bola jaring pula, PASTI Sri Gading telah menjadi johan di samping PASTI Tebrau sebagai naib johan dan PASTI Tanjung Piai di tempat ketiga.



Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan PASTI Negeri Johor, Saudara Mohd. Faizul Mohd. Salleh.

Kejohanan yang gilang-gemilang dan disertai dengan penuh semangat kesukanan ini berakhir kira-kira jam 6.00 petang.