Khamis, April 30, 2009

Kismis Sebagai Makanan Minda & Kesihatan

PEMBACA tidak perlu menjadi seorang pengembara atau seorang pendaki untuk mengiktiraf kismis sebagai satu jenis makanan yang ajaib. Ini kerana kismis adalah makanan yang mempunyai kandungan tenaga yang tinggi dan rendah kandungan lemak serta kolesterol juga selalu diambil oleh para pengembara dalam mengekalkan stamina mereka. Kismis adalah makanan yang mudah untuk diuruskan dan hampir tidak akan menjadi benyek sepertimana buah buahan kering yang lain, kismis begitu mudah didapati sepanjang tahun.

Kismis dihasilkan daripada proses penghidratan ke atas buah anggur sama ada penghidratan menggunakan cahaya matahari ataupun menggunakan ketuhar. Antara jenis-jenis kismis yang popular adalah Sultana, Malaga, Monukka, Zante Currant, Muscat dan Thompson Seedless. Kismis mempunyai saiz sebesar batu kerikil dan mempunyai kedutan yang menyeliputi isinya yang kenyal. Ia juga mempunyai rasa yang manis seperti gula. Kismis selalunya berwarna perang dan biru seakan hitam. Nama saintifik bagi kismis adalah Vitus vinifera. Antara khasiat kismis adalah seperti berikut :


MEMBANTU MENAJAMKAN MINDA

Kismis mengandungi kandungan gula yang tinggi. Antara jenis gula yeng terkandung di dalam kismis adalah fruktosa dan glukosa. Gula ringkas ini telah dikenal pasti dapt meningkatkan daya pemikiran otak, menajamkan memori dan menguatkan daya ingatan. Ini kerana otak memerlukan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak untuk berfungsi dengan baik dan kismis dapat menyediakan keperluan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak dan cepat.

Jika kita lemah dalam matapelajaran Matematik, amalkan pengambilan kismis setiap pagi sebelum ke kelas atau kuliah. Ingat! Anda dilarang mengambil nasi lemak ketika hendak belajar kerana ia mengandungi kandungan lemak yang tinggi. Pencernaan lemak memerlukan kandungan darah beroksigen yang tinggi. Jadi darah yang diperlukan oleh otak telah digunakan untuk mencernakan lemak kepada sumber tenaga. Itulah sebabnya kita akan mengantuk selepas makan nasi lemak (otak kekurangan oksigen). Imam Zuhdi berkata, "Sesiapa yang ingin menghafal hadith(menguatkan daya ingatan) hendaklah ia kerap memakan anggur kering".


PERLINDUNGAN ANTIOKSIDA

kismis bukan sahaja menjadi bahan ujikaji kajian “phytonutrient” kerana mereka mengandungi Phenol, bahkan mereka merupakan sumber alternatif mineral boron bagi rakyat sedunia. Phenol yang dijumpai di dalam kismis mempunyai aktiviti antioksida. Boleh dikatakan aktiviti antioksida bagi hampir semua buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sejajar dengan aktiviti antioksida yang terdapat didalam kismis. Hebat bukan ?

Kismis dikategorikan sebagai salah satu daripada buah-buahan yang kaya dengan anti0ksida selain buah prun dan aprikot. Flavonol, salah satu jenis phenol daripada keluarga flavonoid dikatakan hampir tidak terjejas kandungannya ketika proses pengeringan anggur tetapi kandungan phenol di dalam kismis adalah lebih rendah daripada anggur. Ini disebabkan kebanyakan daripada phenol telah dimusnahkan dalam proses penukaran anggur kepada kismis. Phenol-phenol ini adalah hydroxycinnamics (asid kaftarid dan kautarid), procyanidins dan flavan-3-ols.


BORON UNTUK TULANG YANG SIHAT

Jarang kita dengar tentang kepentingan boron dalam kehidupan tetapi di sini saya ingin menerangkan bahawa boron berkait rapat dengan wanita iaitu kesihatan tulang dan osteoporosis (tulang rapuh). Boron merupakan mineral yang diperlukan bagi menukar estrogen dan Vitamin D kepada bentuk paling aktif (17-beta-estradiol dan 1,25-(OH)2D3). Kandungan estrogen yang menurun selepas menopause menyebabkan osteoclast menjadi sensitif terhadap hormon paratiroid (terletak di leher) yang memberi isyarat kepada mereka untuk merapuhkan tulang. Kajian menunjukkan bahawa boron memberikan perlindungan daripada osteoporosis dan mengembalikan semula kebanyakan efek positif estrogen kepada wanita yang telah menopause. Kismis merupakan antara "top 50" penyumbang terbesar bagi boron di Amerika Syarikat.

Oleh itu, saranan saya kepada para pembaca ialah tingkatkan pengambilan kismis dengan kekerapan yang tinggi. Cuba renungkan, mengapa orang-orang Arab mempunyai daya ingatan yang kuat?

Sumber: http://creamstudents.com

P/S: Kismis boleh didapati di PASTI Kawasan Kota Tinggi. Kismis Doa RM1 je sekotak, kismis jenama Tok Guru cuma RM10 sebotol. Beli.. jangan tak beli!

Rabu, April 29, 2009

MENGENALKAN ANAK DENGAN KONSEP KEADILAN

MENEMPATKAN sesuatu pada tempatnya adalah asas kepada keadilan. Ibu bapa harus menyemai benih keadilan ini. Jika sekiranya setiap ahli keluarga dapat memegang konsep keadilan sejati maka suasana kehidupan rumah tangga akan menjadi bertambah ampuh. Amatlah penting kita sebagai ibu bapa menunjukkan tauladan kepada anak-anak dalam segala hal yang berkaitan dengan keadilan.

Anak-anak perlu diberitahu tentang konsep keadilan ini dalam seluruh lingkaran kehidupan mereka. Umpamanya jika sekiranya mereka diziarah oleh datuk dan nenek, yang patut dilakukan ialah mereka harus menyambut datuk dan nenek yang datang mulai di pintu pagar lagi. Bersalam-salaman dengan mereka dengan penuh kemesraan, membawa beg mereka, mempersilakan mereka masuk ke rumah dan bina suasana supaya kedua-duanya beroleh kerehatan. Contoh lain yang boleh diketengahkan ialah kebolehan anak-anak memberi peluang dan laluan kepada orang yang lebih tua seperti memberi tempat duduk ketika berada di dalam bas.

Bagi membolehkan falsafah ini difahami, dihayati dan dipraktikkan, langkah-langkah berikut perlu diambil kira :

  • Jangan mengabaikan pendidikan akhlak dan nilai-nilai murni kepada anak-anak termasuk perkara-perkara yang bersangkutan dengan konsep keadilan

  • Bentangkan kerasionalan, akhlak dan pekerti mulia kepada mereka terutamanya yang berhubung dengan keadilan.

  • Tentukan anda sebagai ibu dan bapa terlebih dahulu memahami, menjiwai dan memperaktikkan nilai-nilai keadilan dalam sebarang aktiviti yang dilakukan.

  • Yakinkan anak-anak anda bahawa demi menegakkan keadilan, pengorbanan sangat-sangat diperlukan. Kesanggupan menghadapi kesukaran, kurang keselesaan dan pemerahan tenaga adalah di antara hal-hal yang terpaksa dilalui bagi meletakkan sesuatu itu pada tempatnya.

  • Sering yakinkan anak-anak anda bahawa rasa keseronokan, rasa kelegaan dan rasa kepuasan yang sebenarnya akan muncul dan boleh dinikmati setelah mereka memberi sedikit pengorbanan.

  • Tanamkan kepada benak setiap anak anda bahawa dalam menjalani proses hidup seterusnya, hal-hal yang bersangkut dengan keadilan ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Hal-hal sedemikianlah yang menjadi pengikat dan penyubur kepada benih-benih kasih sayang yang hendak dipupuk.

Dipetik daripada buku 40 Kesilapan Mendidik Anak oleh Dato' Dr. Hassan Ali

MERAIKAN ANAK-ANAK KETIKA PERGI DAN PULANG SEKOLAH

KERAP terjadi di kalangan ibu bapa yang gagal memberi didikan dan tumpuan terhadap anak-anak yang bersekolah, terutamanya ketika mereka pergi ke sekolah atau pulang dari sekolah. Ibu bapa tidak meraikan anak-anak mereka ketika pergi dan pulang dari sekolah. Ini berpunca dari kesibukan mereka dalam menjalani tugas ataupun sememangnya mereka malas dan menganggap kerja-kerja seperti ini satu perkara yang kecil dan remeh.

Ibu bapa seharusnya menyedari kecuaian mereka meraikan anak-anak semasa pergi dan pulang dari sekolah. Sekiranya anak-anak dibiarkan pergi dan pulang tanpa ditanya dan diraikan, mereka akan berasa kurang ceria, kurang berminat dan adakalanya anak-anak boleh membohongi ibu bapa dengan mudah, bahkan kadang-kadang ibu bapa tidak tahu apa yang anak-anak mereka lakukan. Bagi anak-anak pra sekolah, lebih-lebih lagi yang baru masuk sekolah atau setahun bersekolah, tentulah anak-anak ini masih ada lagi perasaan takut untuk bersekolah. Ketika proses awal persekolahan inilah ibu bapa perlu mengambil perhatian terhadap anak-anak mereka.

Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan melapangkan sedikit masa untuk meraikan pemergian dan kepulangan mereka dari sekolah. Perkara-perkara berikut mungkin boleh dijadikan amalan harian :

  • Mengejutkan mereka dari tidur dengan penuh kasih sayang

  • Menahan sabar terhadap sebarang kerenah mereka pada waktu pagi sebelum pergi ke sekolah.

  • Cuba untuk bersama-sama bersarapan pagi dengan mereka sambil menanyakan kemajuan persekolahan mereka.

  • Sama-sama bergerak ke muka pintu untuk melepaskan mereka pergi sambil bersalam-salaman dan berdakap-dakapan. Suasana berkasih sayang seperti ini amat penting terutama bagi mencairkan kerenah-kerenah negatif yang biasanya ditunjukkan pada waktu pagi. Kalau ada peluang cuba hantar sendiri anak-anak ke sekolah. Dalam perjalanan yang singkat itu banyak bentuk komunikasi yang dapat dilakukan. Banyak proses faham-memahami dapat diusahakan. Jadikan rutin seperti ini sesuatu yang menyeronokkan.

  • Raikan kepulangan mereka. Tanyakan apa yang berlaku di sekolah. Sajikan makanan mereka. Kalau berkelapangan, hadirkan diri sebentar untuk sama-sama menjamah makanan dengan mereka.

  • Sering ingatkan mereka tanggung jawab menyembah Allah S.W.T sebelum mereka melakukan perkara-perkara lain
Dipetik daripada: 40 Kesilapan Mendidik Anak, Dato' Dr. Hassan Ali

Isnin, April 27, 2009

Warna-warni Pasti Kota Tinggi

Lanjutan Berita Kemalangan Di Parit Kaspan: Menurut Pandangan Abang kepada Arwah Hajjah Kalsom

ASSALAMUA'ALAIKUM Warahmatullahi Wabarakatuh. Saya mendapat maklumat bahawa ikut plan asal Lebuhraya Kluang - Batu Pahat memang mempunyai pembahagi jalan dan tiada ruang untuk pejalan kaki, lampu jalan akan dipasang di atas pembahagi jalan, tetapi apabila projek berjalan plan asal telah diubah dengan ditiadakan pembahagi jalan dan diganti dengan pejalan kaki. Wallahu a'lam tangan-tangan ghaib mana tidak dapat dipastikan sehingga kini ia digelar jalan maut.

Makluman.. buku-buku adik Aliyah hanya terbakar di bahagian tepi sahaja.. masih boleh dibaca, manakala buku iqra' hampir tiga suku terbakar, hanya suku yang selamat khususnya iqra' 4 dan 5. Ayat-ayat yang tidak terbakar terkandung kebanyakan adalah berkaitan peristiwa kematian dan hari kiamat, juga yang masih boleh dibaca adalah ayat yang dijadikan doa ketika musafir, Subhanallah.. sama-sama kita mengambil iktibar, dan satu lagi yang menggemparkan adalah kemunculan kepulan awan membentuk kalimah Allah di langit sewaktu talqin dibaca yang sempat dirakam oleh anak saya, Faiz.. Subhanallah!

Maaf buat sahabat semua kerana lewat memberi maklum balas, terima kasih di atas keprihatinan dan simpati sahabat-semua khususnya Sdr Mahyuzi, Mahmood dan sahabat-sahabat yang hadir sama dari awal sehingga urusan jenazah selesai. Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepada-Nya kita kembali. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan dimasukkan di dalam golongan yang beriman.. amin! Sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janji dan janji Allah adalah benar. Mohon doakan kami sekeluarga khasnya keluarga arwah sentiasa diberikan kesabaran dan kekuatan apabila berdepan dengan ujian yg sangat berat seperti ini.. wassalam.

Sumber: http://pastijohor.net

Selasa, April 21, 2009

Air Tangan Orang Tak Solat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Semua orang tahu bahawa kalau meninggalkan solat adalah dosa besar dan malahan lebih hina daripada khinzir.

Betapa hinanya kita kalau meninggalkan solat seperti yang dikisahkan pada zaman Nabi Musa as. Begini kisahnya, pada zaman Nabi Musa, ada seorang lelaki yang sudah berumahtangga, dia tiada zuriat, lalu terdetik dalam hati dia (nazar), "Kalau aku dapat anak, aku akan minum air kencing anjing hitam." Nak dijadikan cerita, Allah pun kurniakan isteri si lelaki tadi pun hamil dan melahirkan anak.

Apabila dah dapat anak, lelaki ni pun runsinglah. Dia dah nazar nak kena minum air kencing anjing hitam. Syariat pada zaman Nabi Musa berbeza dengan syariat yang turun untuk umat Nabi Muhammad. Kalau umat Nabi Muhammad, nazar benda yang haram, maka tak payah buat tapi kena denda (dam) atau sedekah.

Tapi kalau zaman Nabi Musa, barangsiapa bernazar, walaupun haram tetap kena laksanakan nazar tu. Lalu, si lelaki yang baru mendapat anak, dengan susah hatinya pergilah bertemu dengan Nabi Allah Musa dan menceritakan segala yang terjadi ke atas dirinya. Lalu, Nabi Musa menjawab bahawa lelaki tu tak perlu minum air kencing anjing hitam tetapi akan minum air yang lebih hina dari air kencing anjing hitam.

Nabi Musa perintahkan lelaki tersebut untuk pergi menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan solat dan minum air tu. Lelaki itu pun senang hati, menjalankan apa yang diperintahkan oleh Nabi Musa tadi. Lihatlah, betapa hinanya orang yang meninggalkan solat, sampai dikatakan air yang jatuh dari bumbung rumahnya, lebih hina dari air kencing anjing hitam.

Itu baru air bumbung rumah, belum air tangan lagi. Menyentuh bab air tangan, selalu kita suka makan masakan ibu; isteri kita. Jadi, kepada muslimat sekalian, peliharalah solat kerana kalau meninggalkan solat (kalau tak uzur), air tangan akan menitik ke dalam basuhan makanan; nasi, dsb. Anak-anak, suami pula yang akan makan makanan yang dimasak. Takkan nak biarkan suami dan anak-anak gelap hati minum air tangan orang tinggalkan solat.

Tak tergamak, kan ? Tapi lain pula halnya dengan kita ni. Pagi petang, mamak! Teh tarik satu, roti canai satu. Ada pulak segelintir tukang masak yang tak solat. Kita pun makan bekas air tangan dia. Gelaplah hati kita, sebab tu liat nak buat kerja-kerja yang baik. Waspada apa yang kita makan. Betapa beratnya amalan solat ni hinggakan Allah syariatkan solat kepada Nabi Muhammad melalui Isra' Mikraj sedangkan kewajipan-kewajipan lain memadai diutus melalui Jibril as.

Ketika saat Rasulullah nazak, sempat baginda berpesan kepada Saidina Ali (dan untuk umat Islam), "As-solah, as Solah wa amalakat aimanukum". Maknanya, "Solat, solat jangan sekali kamu abaikan dan peliharalah orang-orang yang lemah di bawah tanggunganmu" . Jadi, sama-samalah kita pelihara solat dari segi zahir & batinnya kerana amalan solatlah amalan yang mula-mula akan ditimbang di neraca Mizan kelak.

Sumber: http://www.detikdaily.net

Sabtu, April 18, 2009

Al-Fatihah - murid Pasti, ibu dan adik maut nahas jalanraya

SEORANG murid Pasti Al-Firdaus, Kg. Baru, Sri Gading telah terbunuh dalam nahas jalanraya di km 16, Jalan Batu Pahat - Kluang. Murid tersebut, Shahira Aliya Hafiz Akmal, 6 rentung bersama ibu, Siti Kalsom Borhan, 35 dan adiknya, Shahira Aisyah Hafiz Akmal, 3 apabila kereta Perodua Kancil yang mereka naiki terbakar selepas dirempuh sebuah bas ekspres dari belakang kira-kira pukul 11.50 pagi Khamis lalu. Ketika itu, mangsa dalam perjalanan pulang dari Pasti Al-Firdaus ke rumah.

Jenazah ketiga-tiga mangsa ditemui terperangkap dalam kereta manakala pemandu bas ekspres dan lapan penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan awal polis mendapati pemandu bas ekspres itu mempunyai enam kesalahan lalu lintas sebelum ini, kebanyakannya kerana memandu melebihi had laju.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris berkata, bas berkenaan dipercayai dipandu laju dan mengekori rapat kereta yang dipandu Siti Kalsom menyebabkan pemandunya tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang kereta itu ketika Siti Kalsom hendak membelok ke simpang Jalan Parit Kaspan.

Pasti Kawasan Kota Tinggi mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan yang begitu tragis ini dan mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka serta menempatkan mereka di kalangan orang-orang soleh. Al- Fatihah.

Pasti Kawasan Kota Tinggi juga dengan ini melancarkan kutipan derma kilat untuk disampaikan kepada keluarga mangsa. Kepada muslimin / muslimat pembaca blog ini yang ingin menderma, bolehlah berjumpa dengan guru-guru Pasti Kawasan Kota Tinggi atau hubungi bendahari, Sdra. Mohd. Zainudin (019-5489380).






Isnin, April 13, 2009

Rayuan Sumbangan Dana PASTI Sandakan, Sabah

PUSAT Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Sandakan memainkan peranan yang cukup besar kepada perkembangan sistem pendidikan Islam di bumi Sandakan.

PASTI telah terbukti melahirkan pelajar-pelajar yang tumbuh dan bertunas di hati dan jiwa mereka kecintaan kepada Islam. Mereka disemai dengan amalan-amalan dan penghayatan hidup sebagai seorang muslim.

Selain mampu cemerlang dalam bidang akademik, kebanyakan pelajar PASTI telah menunjukkan akhlak dan sahsiah diri yang mulia.

Atas dasar tanggungjawab dan kepentingan sistem pendidikan Islam ini... maka Pihak Pengurusan PASTI Kawasan Sandakan terus menggiatkan usaha melebarkan sayap, memerah keringat dan harta benda untuk memastikan PASTI dapat ditubuhkan di segenap penjuru bumi Sandakan ini.

Inilah kerja keras yang dilakukan oleh pencinta-pencinta Islam di Sandakan.

Dengan azam dan tekad yang jitu, PASTI Kawasan Sandakan akan membuka 3 buah PASTI lagi di Daerah Sandakan mulai sesi 2009. Ini bermakna PASTI memerlukan suntikan dana yang bukan sedikit bagi menjayakan komitmen ini.

Banyak wang ringgit yang diperlukan untuk menyediakan prasana bagi memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran di PASTI baru ini.

Untuk makluman, 2 daripada 3 buah PASTI yang akan dibuka ini, premisnya adalah dibeli oleh PASTI Kawasan Sandakan iaitu

1- PASTI Zaid Bin Harithah - Kg Lupak Meluas, Karamunting (berharga RM7,000.00 tidak termasuk ubah suai dan keceriaan)

2- PASTI Bilal Bin Rabah - Flat MPS, Karamunting (berharga RM68,000.00 - pinjaman bank)











Gambar rumah yg akan dibeli utk dijadikan premis PASTI Zaid Bin Harithah


Gambar salah sebuah flat yang dalam proses pembelian

Bagi premis PASTI Zaid Bin Harithah, pembeliannya adalah secara tunai manakala bagi PASTI Bilal Bin Rabbah melalui pinjaman bank 90% daripada harga pembelian dan deposit 10% perlu dikeluarkan oleh pihak PASTI. Ini tidak termasuk duti stem dan kos guaman.

Ini bermakna pihak PASTI memerlukan perbelanjaan yang besar bagi tujuan pembangunan PASTI.

Justeru pihak pengurusan PASTI Kawasan Sandakan merayu daripada orang ramai dan mereka yang prihatin dengan kerja-kerja Islam, tampil memberi sumbangan dana bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi.

Segala sumbangan boleh diserahkan terus kepada guru-guru PASTI di PASTI yang berhampiran anda atau boleh disalurkan ke Akaun PASTI Kawasan Sandakan seperti berikut:


BANK ISLAM
PASTI KAWASAN SANDAKAN
No Akaun : 10016010061688


Kami juga mengalu-alukan sumbangan material yang lain seperti kerusi meja (yang sesuai utk kanak-kanak berusia 4,5,dan 6 tahun), cat dan seumpamanya.

Kami amat menghargai sumbangan anda semua. Semoga Allah memberikan ganjaran pahala dan menjadi amal soleh yang akan dibawa di akhirat kelak. InsyaAllah.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Perasmian Pasti Al-Falah 2

PADA 11 April lalu, Pasti Kawasan Kota Tinggi telah mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul dan perasmian Pasti Al-Falah 2 (dahulunya Pasti Al-Hijrah), Taman Hijrah. Majlis bermula kira-kira pukul 2 petang dengan perarakan murid-murid Pasti beserta ibu bapa dan guru dari Masjid Jamek Kota Tinggi menuju ke Pasti Al-Falah 2 sambil berselawat.

Majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh Al-Fadhil Ust. Kamal diikuti ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Pasti Kawasan Kota Tinggi, Sdra. Mohd. Azlan bin Hj. Toriman. Selepas itu nasyid dan marhaban dipersembahkan oleh murid-murid Pasti Al-Falah 1 dan 2 dengan dipimpin oleh guru-guru.

Pada pukul 3 petang, satu ceramah agama telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ust. Hj. Azlisham bin Azhar, Timbalan Mudir Madrasah Al-Masriyah, Spg. Renggam. Antara intipati ceramah beliau ialah umat Islam mestilah berpegang teguh dengan ajaran Rasulullah SAW dan mengamalkan sunnah baginda agar menjadi umat yang kuat dan digeruni oleh musuh-musuh Islam. Jika sebaliknya, umat Islam akan lemah dan mudah ditindas. Beliau memberi contoh bagaimana Islam bangkit ketika zaman pemerintahan khulafa ar-rasyidin sehingga dapat menguasai 3/4 dunia hasil daripada berpegang teguh kepada ajaran Al-Quran dan sunnah tetapi pada zaman pemerintahan Bani Abbasiyah, kerajaan Islam mengalami kejatuhan apabila pemerintah pada masa itu sudah mula meninggalkan sunnah Rasulullah dan mengamalkan cara hidup yang jauh menyimpang dari ajaran Islam di samping memenjarakan dan membunuh begitu ramai ulama.

Selesai berceramah, Ust. Azlisham menyempurnakan pula perasmian Pasti Al-Falah 2 dengan menandatangani plak perasmian. Para hadirin dan hadirat kemudiannya dihidangkan dengan jamuan sebelum majlis bersurai sekitar pukul 5 petang.

Jawatankuasa Pasti Kawasan Kota Tinggi ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Al-Fadhil Ust. Hj. Azlisham di atas kesudian beliau menyampaikan ceramah dan merasmikan Pasti Al-Falah 2. Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada para ibu bapa dan tetamu jemputan yang sudi hadir memeriahkan majlis, serta kepada semua pihak yang telah menyumbangkan wang ringgit, masa dan tenaga bagi menjayakan majlis ini. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa dan pengorbanan anda. Adalah diharapkan semoga pada tahun-tahun mendatang, Pasti Kawasan Kota Tinggi dapat mengadakan lagi majlis seumpama ini.


Berarak sambil berselawat dari Masjid ke Pasti Al-Falah 2


Ucapan alu²an Pengerusi Pasti Kawasan Kota Tinggi, Sdra. Mohd. Azlan Toriman


Yang Berbahagia Al-Fadhil Ust. Hj. Azlisham bin Azhar


Ust. Azlisham menandatangani plak perasmian, diperhatikan oleh Sdra. Azlan

Jumaat, April 10, 2009

Semoga kita mendapat keluarga seperti kisah ini

Ini kisah benar yang diceritakan oleh seorang ustazah.

Ceritanya begini...

Suatu hari, seorang ustazah travel, Dia singgah di rumah seorang sahabatnya yang mana pasangan suami isteri tersebut adalah guru biasa.

Si suami seorang guru penolong kanan. Beliau tiba di rumah sahabatnya ini sekitar tengahari tapi belum zohor. Kedua-dua suami isteri ini masih di sekolah. Walau bagaimanapun beberapa orang dari 8 orang anak mereka yang ke semuanya lelaki yang mana yang paling tua dalam tingkatan satu & yang paling muda masih bayi sudah pun pulang dari sekolah.

Waktu zohor masuk, abang yang tua mengajak semua adik-adiknya yang baru pulang untuk solat berjemaah dengan dia sendiri sebagai imam.

Sewaktu dalam rakaat kedua, salah seorang adiknya yang berumur lingkungan 8 tahun pulang. Tanpa bertangguh tatkala melihat jemaah yang sedang solat, dia mengambil wudhu' dan solat bersama jemaah, ia ikut ruku' apabila imam ruku'. Dia ikut sujud apabila imam sujud. Dan selesai imam memberi salam,dia bangun menyelesaikan satu rakaat solatnya yang tertinggal. Subhanallah. .. adik yang berumur 8 tahun ini sudah pandai masbuk... ustazah yang melihat terkejut dan kami yang mendengar mengucap memuji ALLAH.

Bayangkan betapa taatnya anak-anak yang masih kecil ini menunaikan perintah ALLAH tanpa pengawasan kedua orang tua mereka atau mana-mana orang dewasa dan tanpa disuruh-suruh.

Cerita tak berakhir di situ.
Ustazah bermalam di rumah sahabatnya itu.
Apabila subuh, ustazah menyangka dialah yang paling awal bangun kerana dia bangun selesai sahaja azan subuh berkumandang kalau saya tak lupa.
Takjubnya dia apabila ke bilik air dilihatnya anak-anak kecil sedang sibuk ambil wudhu'. Bayangkan 7 orang budak lelaki dengan yang paling tua berumur 13 tahun mengambil wudhu' di bilik air di waktu subuh paling awal. Si ayah menunggu anak-anaknya di tikar sembahyang dengan sabar sambil berzikir.

Mereka solat jemaah sekeluarga (termasuk ustazah).
Sewaktu hendak mula solat,si ibu meletakkan anak bongsunya yang masih bayi(yang sedang jaga) di sisinya. Ajaibnya anak ini tidak menangis mengganggu jemaah sepanjang mereka solat.

Dan sekali lagi cerita tak berakhir di situ.

Ustazah tersebut ingatkan hendak sambung tidur kerana penat travel semalamnya tak surut lagi. Alangkah terkejutnya dia apabila hendak melipat sejadah, si ayah berpusing menghadap jemaah sambil berkata, "Anak-anak.. . hari ni ayah nak beri kuliah mengenai solat dan puasa...". Dan 8 orang anak termasuk si ibu dengan tekun mendengar kuliah subuh yang disampaikan.

Subhanallah. .. bila ditanya kepada si ibu mengapa didikan sedemikian diberi kepada anak-anaknya? Dia menjawab bahawa itu persediaan dia dan suaminya sebelum mati. Mereka berharap agar anak-anak lelakinya yang 8 orang itu dapat membacakan sekurang-kurangnya fatihah untuk mereka jika ditakdirkan mereka pergi dulu. Lagipun anak-anak mereka semuanya lelaki...

Pasangan suami isteri ini tak sanggup melihat anak-anak mereka terabai tanpa pedoman... cuba kita tanya diri kita sendiri...

-Berapa ramai keluarga Islam hari ini yang dapat mengamalkan solat jemaah dalam keluarga ???
-Berapa ramai anak-anak Islam berumur 8 tahun yang pandai solat masbuk???
-Berapa ramai anak-anak berumur 13 tahun yang pandai mengimami solat memimpin adik-adik mereka ???
-Berapa ramai ibubapa yang berjaya mendidik anak-anak mereka sedemikian rupa yang taat melaksanakan perintah ALLAH tanpa suruhan dan pengawasan mereka yang lebih dewasa ???

subhanallah...
Alhamdulillah. .. moga apa yang saya sampaikan ini menjadi pedoman dan iktibar buat kita semua...

Bagi saya, x cukup hanya mengharap anak2 menjadi soleh solehah spt ini, semuanya bermula dr ibu bapa..diri sendiri..
jgn sampai satu hari anak2 kita menyalahkan kita apabila terjebak ke dlm kebejatan akhlak..nauzubillahiminzaalik..

Baitul Muslim is not impossible..
We just have to make it real

semoga ada manfaatnya buat kita..didiklah anak2 kita bermula dari sekarang, dari sebelum kita mendirikan rumah tangga lagi. kerana anak2 akan mewarisi akhlak dan tingkahlaku ibu bapa mereka, tidak kiralah sewaktu kecil, muda, mahupun sudah tua.
jauhilah perkara-perkara yang mendatangkan dosa sebelum mendirikan rumah tangga seperti zina, couple dan lain2 yang mana perkara-perkara seperti ini menyebabkan keluarga jadi tidah bahagia dan tidak mendapat rahmat Allah...
jom pakat didik diri kita dulu, sebelum kita didik anak2 kita kelak...insyaAllah

Sumber: http://azharshoib.blogspot.com

Rabu, April 08, 2009

Sukaneka sempena Hari Keputeraan Sultan Johor

PEJABAT Perpaduan Daerah Kota Tinggi telah menganjurkan sukaneka bersempena Hari Keputeraan Sultan Johor yang ke-77 hari ini bertempat di Dataran Tun Sri Lanang, Kota Tinggi. Pasti Kawasan Kota Tinggi adalah antara institusi pra-sekolah di seluruh kawasan Parlimen Kota Tinggi yang dijemput menyertai acara sukaneka ini. Institusi-institusi pra-sekolah lain ialah Tabika Perpaduan dan Tadika Kemas. Kesemuanya ada 8 buah institusi pra-sekolah menyertai sukaneka kali ini.

Sebanyak 4 acara telah dipertandingkan bagi kategori pra-sekolah iaitu mencari warna, larian baton, melerek bola dengan gelung dan mencari gula-gula dalam tepung. Seramai 15 orang murid Pasti Al-Falah 1 dan 15 orang murid Pasti Al-Falah 2 telah dipilih untuk menyertai sukaneka ini.

Suasana sungguh meriah dengan acara yang diselang-selikan di antara kategori pra-sekolah dan kategori orang kurang upaya (OKU) dari pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK). Selesai kedua-dua kategori ini, acara bagi murid sekolah rendah, sekolah menengah, lelaki dan wanita dewasa pula dipertandingkan. Antara acara yang dipertandingkan bagi kategori ini ialah hantu lari dalam guni, terompah gergasi, bawa bola ping pong dengan kayu hoki dan kereta api dadu.

Tidak dapat dinafikan, acara sukaneka ini dapat menggembirakan kanak-kanak dan orang dewasa namun apa yang paling menggembirakan warga Pasti Kota Tinggi ialah Pasti Al-Falah 1 telah menjadi johan keseluruhan kategori pra-sekolah dengan mendapat 31 markah manakala Pasti Al-Falah 2 pula mendapat tempat ketiga dengan memperolehi 23 markah. Tempat kedua dimenangi oleh Tabika Perpaduan Taman Kota Jaya yang beroleh 25 markah.

Pasti Kawasan Kota Tinggi sebenarnya telah menyertai acara sukaneka ini setiap tahun. Yang menariknya, Pasti telah menjadi johan keseluruhan selama beberapa tahun berturut-turut kecuali pada tahun lalu. Secara tidak langsung, ini telah menaikkan imej Pasti di mata masyarakat. Tahniah dan syabas diucapkan kepada para guru dan murid Pasti.

Kami warga Pasti Kota Tinggi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pejabat Perpaduan yang sudi menjemput Pasti menyertai sukaneka ini. Terima kasih daun keladi, tahun depan jemputlah Pasti lagi!


Melerek bola dengan gelung


Mencari gula² dalam tepung


Lari dalam guni (kategori orang kurang upaya)




Cikgu Aidah menerima hadiah bagi pihak Pasti Al-Falah 2


Cikgu Siti menerima hadiah bagi pihak Pasti Al-Falah 1

Selasa, April 07, 2009

Kursus Bahasa Arab di UTM

SATU program kursus Bahasa Arab untuk guru-guru Pasti Johor telah diadakan pada hari Ahad, 5 April lalu di Dewan Masjid Sultan Ismail, UTM Skudai bermula pukul 8 pagi dan berakhir pukul 5 petang. Kursus ini adalah anjuran Jabatan Pasti Negeri Johor dan diwajibkan ke atas semua guru Pasti di negeri Johor.

Seramai hampir 160 orang guru Pasti dari seluruh negeri Johor telah menghadiri kursus ini termasuk guru-guru Pasti Kawasan Kota Tinggi iaitu Cikgu Siti Zaharah, Cikgu Aidah, Cikgu Hana dan Cikgu Sara. Seorang lagi guru, Cikgu Siti Kamaliah tidak dapat turut serta kerana terpaksa menghadiri kuliah di Universiti Terbuka Malaysia.

Perasmian telah disempurnakan oleh Ust. Zaifiddin, Timbalan Pengarah (4) Pasti Johor, manakala kuliah telah disampaikan oleh Ustazah Mawardah. Antara objektif kursus ini diadakan ialah untuk memperbaiki sebutan (lughah) dalam Bahasa Arab di samping membetulkan kesilapan-kesilapan yang terdapat di dalam buku teks 5 dan 6 tahun. Untuk tujuan itu, sesi micro-teaching turut diadakan.

Kursus seumpama ini sebenarnya amat penting bagi memantapkan penguasaan dan pengetahuan guru-guru Pasti dalam Bahasa Arab. Justeru itu, wajarlah diucapkan sekalung tahniah dan penghargaan kepada Jabatan Pasti Negeri Johor di atas inisiatif menganjurkan kursus tersebut. Semoga segala usaha untuk menaikkan imej Pasti dan para gurunya mendapat restu dan keredhaan Allah SWT serta diberkati-Nya.


Antara guru² Pasti yang hadir


Pn. Sarah bt. Alias (2 dari kanan), pengerusi MGPNJ turut mengikuti kursus