Rabu, Ogos 25, 2010

ANTARA LOBAK, TELUR DAN KOPI

MAYA hampir putus asa dengan masalah demi masalah yang menimpa hidupnya. Satu masalah berlalu, masalah lain pula datang bertalu-talu. Perasaan marah, sedih, malu, takut, benci, meluat, geram... sebut apa juga perasaan yang menghimpit sanubari, semuanya pernah dirasakan. Sehingga Maya berasakan dirinya dan derita adalah satu. Maya ke rumah ibunya. Kepada ibu semua masalah diluahkan dan ibu mendengar dengan tenang tanpa banyak bicara.

Selepas mendengar penuh empati, ibu mengajak Maya ke dapur. Ibu mendidihkan tiga periuk air kosong. Setelah air mendidih, ibu memasukkan lobak merah, telur dan serbuk kopi asli ke dalam periuk berasingan. Semua dibiarkan mendidih beberapa lama. Selepas itu, ibu mengeluarkan lobak merah dan telur dari periuk serta meletakkan kedua-duanya di dalam mangkuk. Kopi yang diisi dalam periuk dituang ke dalam mangkuk juga. Kemudian si ibu menoleh kepada Maya sambil berkata, "Apa yang Maya nampak?"

"Lobak merah, telur dan kopi."

"Dekat lagi. Cuba pegang lobak ini. Bagaimana keadaannya?"

Maya menurut saja, lalu menjawab, "Lembik."

"Ambil telur itu dan pecahkan. Tengok bagaimana keadaan di dalamnya," pinta ibu.

Maya tidak membantah. Dia melakukan seperti apa yang diminta oleh ibunya.

"Sekarang cuba hidu dan rasa kopi ini," satu lagi permintaan ibu dan Maya menurut juga.

"Wanginya! Aroma dan rasa kopi... tapi apa makna semua ini, ibu? Apa kena mengena semua ini dengan Maya?" Maya inginkan penjelasan.

"Semua ini... lobak merah, telur dan kopi telah dididihkan dengan cara dan jangka masa yang sama, kan?"

"Ya, betul. Jadi?"

"Lobak merah mulanya keras. Tetapi setelah dimasukkan ke dalam air mendidih ia menjadi lembik. Telur pula, sebelum dimasukkan ke dalam air mendidih, kulitnya rapuh melindungi isinya yang lembut. Tapi selepas itu isi telur menjadi beku dan keras berbanding sebelumnya." Ibu Maya mula menjelaskan. Kini giliran ibu pula bercakap dan Maya mendengar dengan penuh perhatian.

"Serbuk kopi ini lain. Tak sama dengan lobak dan telur. Sebelum dikisar menjadi serbuk, ia sangat keras. Setelah menjadi serbuk, ia dengan mudah larut dalam air panas mendidih. Sifat pepejal luarannya hilang. Ia larut seolah-olah mengalah kepada air panas, namun ia berjaya mengubah warna, rasa dan bau air panas mendidih. Air yang jernih telah menjadi air kopi. Jatidiri kopi tidak berubah walaupun ia larut dalam air panas, bahkan ia mengubah air panas kosong kepada air kopi!"

Maya merenung jauh ke dalam diri apabila ibu memegang kegua bahunya. renungan mata ibu tenang, lembut dan bersinar bertemu mata Maya yang layu dan lesu. Dengan penuh kasih sayang dari lubuk hati, ibu bertanya, "Mana satu hatimu, anakku... lobak, telur atau kopi?"

Andai soalan terakhir ini ditujukan kepada kita, apa jawapan kita? Adakah kita seperti lobak merah yang keras dengan warna yang gemilang, menjadi lemah dan lembik luar dan dalam apabila dilanda ujian serta cabaran kehidupan... meratap sepanjang hidup atas 'malangnya' nasib yang menimpa diri? Tercari-cari siapa yang patut dipersalahkan atas 'panasnya' penderitan yang melanda?

Atau seperti telur yang bermula dengan memiliki sifat yang lembut, menjadi keras apabila menghadapi ujian serta cabaran kehidupan? Luarannya seperti tidak berubah, tetapi dalamannya menjadi keras. Tercari-cari kepada siapa dendam hendak dibalas atas 'panasnya' penderitaan yang melanda? Mengukur-ukur berapa tebal tembok yang perlu dibina antara diri dengan 'penjahat-penjahat' yang membuat hidup susah?

Atau seperti biji kopi yang tidak pernah hilang jatidiri walaupun telah dikisar dan dimasukkan pula ke dalam air mendidih sehingga hilang sifat luarannya? Cabaran dan ujian yang dihadapi tidak mengubah jatidiri. Kepasrahannya menerima apa jua yang mendatang tidak membunuh prinsip dan nilai kebenaran serta tidak menjauhkan dari matlamat kehidupan sebagai khalifah dan hamba Allah di muka bumi. Lebih banyak cabaran dan rintangan, potensi diri terus berkembang sehingga mampu pula memberi inspirasi kepada orang lain. Dari pengalaman menghadapi 'kepanasan', mampu pula membimbing orang lain.

Orang sekeliling yang melihatnya dengan mata lahir memandang simpati dengan apa yang menimpanya... tetapi dia sendiri tenang. Semuanya diterima sebagai sapaan penuh kasih dari Allah yang ingin memperkenalkan sifat-Nya yang Maha Sempurna. Peristiwa yang berlaku diberi pemaknaan tauhid yang mendalam, seolah-olah Allah menyapanya dengan pesanan ini: "Salam Rahmat buatmu wahai hamba-Ku. Aku Ar-Rahman Ar-Rahim. Aku inginkan kesejahteraan buatmu. Maka terimalah ketentuan takdir-Ku sebagai peluang untuk cinta antara kita berpadu supaya engkau dapat kembali kepada-Ku di alam yang kekal abadi."

"Dialah Allah, tiada Tuhan selain Dia, Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dialah Ar-Rahman (Yang Maha Pengasih), Ar-Rahim (Yang Maha Penyayang). Dialah Allah, tiada Tuhan selain Dia, Al-Malik (Yang Maha Memiliki), Al-Quddus (Yang Maha Suci), As-Salam (Yang Maha Sejahtera), Al-Mukmin (Yang Maha Menjaga Keamanan), Al-Muhaimin (Yang Maha Memelihara Keselamatan), Al-Aziz (Yang Maha Perkasa), Al-Jabbar (Yang Maha Kuasa), Al-Mutakabbir (Yang Memiliki Segala Keagungan). Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan. Dialah Allah Al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), Al-Baari' (Yang Maha Mengadakan), Al-Musawwir (Yang Maha Membentuk). Dia memiliki nama-nama yang indah. Bertasbih kepada-Nya apa yang ada di langit dan di bumi. Dan Dialah Al-Aziz (Yang Maha Perkasa) lagi Al-Hakim (Yang Maha Bijaksana)." (Al-Hasyr: 22 - 24)

Banyak pengalaman dalam tulisan takdir terasa 'panas' membakar rasa. Allah menghantar orang-orang yang selalu menyakiti perasaan sedangkan sepatutnya mereka diamanahkan untuk suatu yang membahagiakan - memberi cinta, kasih sayang, perlindungan, persahabatan semuanya atas perintah Allah. Mengapa sebaliknya yang diberi kepada kita? Adakah hanya kerana menjadi wanita... semua henyakan perasaan ini terpaksa dilalui?

Ya, inilah peluang untuk mengadu nasib kepada Allah yang Maha Agung dan mengenal-Nya dengan lebih mendalam.

Firman Allah: "Allah mempunyai Asmaul Husna. Maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut Asmaul Husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan." (Al-A'raf: 180)

Maksud hadis qudsi berikut juga menggambarkan maksud Allah menciptakan segala makhluk: "Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku suka dikenali, lalu Aku ciptakan makhluk supaya Aku dikenali."

Kenali Pencipta melalui ciptaan-Nya. Hayati sifat-Nya melalui takdir-Nya. semoga panasnya ujian dan cabaran tidak menggugat iman, malah menjadi batu loncatan membentuk peribadi unggul sebagai khalifah dan hamba Allah yang menjadi bidadari dunia dan ratu syurga.

Sumber: Majalah Anis keluaran Ogos 2010

ISTIMEWANYA RAMADHAN

IBNU Manzur telah berkata dalam kitabnya, Lisan Al-Arab bahawa kalimat Ramadhan membawa erti panas yang terik atau batu yang panas kerana terkena sinaran matahari. Ada juga yang mengatakan dinamakan bulan ini dengan nama Ramadhan kerana gugurnya dosa-dosa seseorang Muslim disebabkan amal ibadah dan perbuatan-perbuatannya yang baik dan mendatangkan pahala.

Allah telah memilih bulan Ramadhan sebagai bulan medan ujian bagi umat Islam dengan diwajibkan berpuasa, menahan lapar dan dahaga sehinggalah sampai waktu berbuka. Dengan berpuasa, seorang hamba Allah SWT akan menjadi seorang yang sabar, bersyukur dan bertakwa serta dapat mendidik jiwa supaya merenung kebesaran dan keagungan Allah Yang Maha Berkuasa. Istimewanya bulan Ramadhan ini ialah:

1. Dijanjikan syurga
Rasulullah SAW bersabda: "Berterusanlah kamu dengan sesuatu yang dapat mengetuk pintu syurga". Maka Sayidah Aisyah r.ha berkata, "Dengan apakah caranya wahai Rasulullah?" Sabda Rasulullah SAW, "Dengan berlapar (memperbanyakkan puasa)."

2. Ganjaran berganda
Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda, "Setiap amalan anak Adam adalah baginya, satu kebaikan dibalas dengan 10 ganjaran hingga 700 kali ganda."

3. Puasa hak Allah
Firman Allah SWT, "...dia (orang yang berpuasa) meninggalkan syahwat, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku. Puasa bagi-Ku dan Aku yang akan membalasnya." (Riwayat Bukhari)

4. Dimuliakan Allah
Rasulullah SAW bersabda, "Dan bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi." (Riwayat Muslim)

5. Diampunkan dosa
Nabi SAW bersabda, "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap pahala daripada Allah, maka akan diampuni dosanya yang lalu." (Riwayat Bukhari)

6. Pintu neraka ditutup
Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda, "Apabila telah masuk bulan Ramadhan, maka pintu-pintu langit dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu."

7. Bulan yang diberkati
Nabi SAW pernah bersabda, "Sekiranya umatku mengerti rahsia yang terkandung pada bulan Ramadhan, nescaya umatku mengharapkan agar seluruh tahun menjadi bulan Ramadhan."

Justeru, ulama salafussoleh sentiasa memohon kepada Allah SWT selama enam bulan agar Allah menyampaikan usia mereka hingga tiba pada bulan Ramadhan yang mulia. Kemudian mereka berdoa enam bulan agar Allah SWT menerima amal mereka. Demikianlan sifat kebiasaan salafussoleh dalam melaksanakan puasa pada bulan Ramadhan dengan mengharap kepada Allah agar mengasihi mereka dalam setiap urusan. Ini kerana siapa yang hidupnya dalam ketaatan kepada Allah SWT, maka sesungguhnya Allah memerhati dan menjaganya dalam setiap keadaan.

Sumber: Majalah Anis keluaran Ogos 2010

Sabtu, Ogos 14, 2010

MEMBIASAKAN ANAK DENGAN PERKARA YANG BETUL

ANAK gadis kecil itu menyarungkan tudung berwarna jingga di kepala. Dia hendak keluar bermain bersama kakaknya yang berusia lapan tahun. Walaupun usia si adik baru tiga tahun, si adik sudah tahu mencari tudung untuk dipakai apabila hendak keluar rumah. Dia tidak rasa susah untuk bertudung, sebagaimana dia tidak rasa susah untuk memakai baju.

Tudung yang dikenakan adalah tudung yang mudah disarungkan ke kepala tanpa memakai serkup. Tudung buatan ibu.

Kadang-kadang si adik keluar rumah tanpa bertudung. Malah dalam usia sekecil itu, dia belum ada rasa malu untuk berseluar pendek di luar rumah pada ketika tertentu. Tetapi melihat kakaknya bertudung, dia juga suka untuk bertudung.

Si kakak sendiri, sejak berusia tujuh tahun sudah tidak lupa untuk mengenakan tudung setiap kali hendak keluar rumah. Si kakak sudah dapat merasakan bahawa tudung adalah sebahagian daripada pelengkap pakaian muslimah. Ia bukan sekada aksesori. Oleh itu, si kakak tidak akan keluar rumah tanpa memakai tudung.

Apabila si ibu membiasakan anak-anak gadis kecilnya memakai tudung seawal usia mereka tiga tahun, si ibu mahu melatih anak-anaknya membiasakan perkara yang betul atau baik. Si ibu faham bahawa tujuh tahun kedua usia anak adalah tempoh untuk menerapkan disiplin dalam diri anak. Bererti dari umur anak tujuh tahun hingga umurnya 14 tahun, anak perlu didisiplinkan dengan kebiasaan-kebiasaan yang baik dan betul.

Memakai tudung adalah salah satu daripada perkara-perkara 'betul' yang perlu dijadikan kebiasaan. Apabila ia sudah dibiasakan, ia akan lebih mudah menjadi sebati. Apabila sudah sebati, ibu bapa cuma perlu menerangkan rasional di sebalik pemakaian tudung itu saja apabila anak menghampiri usia baligh. Ertinya, anak-anak disuruh buat dulu dan ditunjukkan contoh. Apabila sudah sampai masanya, barulah diterangkan kepadanya kenapa perlu buat itu, kenapa perlu buat ini.

Keadaannya sama seperti menerapkan amalan solat kepada anak. Panduan yang diberikan oleh Rasulullah SAW adalah menyuruh anak solat seawal usianya tujuh tahun dan digesa ketika usianya 10 tahun; dibolehkan rotan jika enggan solat. Bagaimanapun, sebelum disuruh melakukan sesuatu perkara secara konsisten atau berterusan sejak usianya tujuh tahun, ada baiknya anak dilatih melakukannya sejak dia sudah memahami suruhan dan larangan.

Sifir mudahnya begini. Untuk menjadikan satu-satu amalan atau perkara itu sebati dalam diri anak, mulakan langkah pertama dengan latihan, kemudian suruhan dan seterusnya gesaan. Dalam masa yang sama, iringi dengan contoh teladan (qudwah) oleh ibu bapa sendiri. Apabila anak-anak itu sudah baligh dan menginjak remaja, apa yang perlu dilakukan adalah memantau, mentarbiah (mendidik) dan menasihatinya jika anak kelihatan lalai dan cuai.

Untuk menyuruh anak buat sesuatu perkara, ia akan menjadi lebih mudah jika perkara itu sudah dilatih dan dibiasakan. Setelah dilatih, dibiasakan dan disuruh melakukannya secara berterusan, barulah lebih berkesan untuk digesa apabila sekali-sekala anak nampak lalai dan malas.

Melihat anak gadis remaja yang berusia 21 tahun selesa bertudung dan memakai pakaian yang sesuai untuk melengkapkan pakej menutup aurat yang sempurna, si ibu dan si ayah rasa sejuk hati. Anak gadis remaja mereka semakin faham akan corak tudung dan pakaian yang sesuai untuk seorang Muslimah. Melalui kefahaman yang diberi oleh si ibu, anak gadis itu akan faham bahawa selain bertudung, dia mesti mengenakan pakaian yang tidak menarik perhatian lelaki kepada bentuk tubuhnya. Dia juga mesti membawa akhlak yang sesuai dengan imej Muslimah yang ditampilkannya.

Belasan tahun yang lalu, apa yang diterapkan oleh si ibu dan si ayah kepada anak gadis remaja mereka kini diterapkan pula kepada dua orang adiknya yang masih kecil. Moga-moga ia dinilai sebagai ibadah oleh Allah.

Selasa, Ogos 10, 2010

BULAN TERAPI USIA

AHLAN wasahlan, marhaban ya marhaban. Bulan Ramadhan datang kembali. Bulan yang Allah SWT hadiahkan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW untuk diberikan keampunan, diberikan penghormatan dengan pelbagai darjat asal sahaja manusia mahu petuah segala perintah-Nya sepanjang Ramadhan, di mana Allah SWT yang mengatur tentatif program di dalamnya.

Bulan yang dijanjikan awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pelepasan daripada api neraka. Sebab itulah Nabi SAW berpesan dalam hadinya yang panjuang antara perkara yang sangat-sangat dituntut kepada kita untuk dilakukan sepanjang Ramadhan ialah:

  1. Mesti memohon redha Allah dengan menguatkan tauhid dan keyakinan beriman dengan Allah. Sesungguhnya dalam setiap saat kehidupan kita mesti memerlukan Allah SWT sentiasa di sisi kerana tanpa-Nya kehidupan kita di dunia ini adalah sia-sia belaka.
  2. Mesti banyakkan istighfar - Bulan Ramadhan, pintu keampunan dibuka seluas-luasnya. Banyakkanlah menangisi dosa dengan memohon ampun sungguh-sungguh kepada Allah. Mari kita menghitung diri dan ahli keluarga yang Allah amanahkan kita menjaganya, apakah telah sempurna pelaksanaan agama terhadap mereka kita tunaikan.
  3. Mesti memohon supaya dapat syurga Allah - Kita mesti meminta sungguh-sungguh untuk dapat menjadi ahli syurga. Caranya dengan berusaha gigih mencontohi segala apa yang Nabi SAW lakukan. Sesungguhnya jaminan Allah kepada sesiapa yang mencontohi kekasih-Nya pasti syurga. Dialah idola, dialah ikon yang wajib kita contohi sebagai pelengkap syarat beriman kepada Allah - beriman kepada Rasul.
  4. Mesti meminta sungguh-sungguh dilindungi dari api neraka - minta Allah pimpin hati kita dalam mengekang nafsu daripada berterusan berbuat jahat. Tanamkan azam dalam diri supaya mencapai sifar dosa kerana kita tidak tahu berapa lama lagi umur kita di atas dunia ini.
Anggaplah Ramadhan yang kita tempuhi pada tahun ini sebagai Ramadhan terakhir. Motivasi mengingatkan dekatnya hari kematian akan menjadikan kita serius beramal ibadah dan serius berbuat kebajikan sebanyak-banyaknya pada bulan Al-Mubarak ini. Andai umur masih sempat menjangkau Syawal, syukurlah banyak-banyak di atas usia bonus ini. Mudah-mudahan berkat didikan 'Sekolah Ramadhan', kita kembali menjadi lebih baik.

Salam Ramadhan Al-Mubarak.

IHTIFAL PASTI JOHOR 2010

IHTIFAL Pasti Johor bagi tahun 2010 telah diadakan di Sekolah Menengah Arab Al-Masriyah, Simpang Renggam pada 1 Ogos lalu.

Hujan lebat sejak awal pagi tidak menghalang kehadiran para peserta dari seluruh negeri Johor bersama guru-guru dan ibu bapa masing-masing; suasana begitu meriah dengan gerai-gerai jualan turut dibuka bersempena ihtifal yang diadakan dua tahun sekali ini.

Antara acara yang dipertandingkan ialah azan, nasyid, khutbah, pidato, bercerita dan hafazan. Pasti Kota Tinggi tidak ketinggalan menghantar peserta. Mereka ialah Adik Adlin Sufi bin Yusof (azan), Adik Ammar bin Othman (hafazan), Adik Mohd. Islah Hakim bin Ismail (bercerita), Adik Nuurush Shafiqah binti Shahmi (bercerita) dan Adik Mohd. Hafizi bin Hamim (khutbah).

Walaupun mereka hanya memperolehi hadiah saguhati, setinggi-tinggi tahniah diucapkan di atas penyertaan mereka.

Berikut ialah gambar-gambar yang sempat dirakam pada hari tersebut dan juga ketika gotong-royong sehari sebelumnya:


Cool je brader ni


Walaupun tengah sakit perut, Cikgu Siti tekun menyapu


Hmm.. macam mana nak susun ni? - brader berseluar jeans



Cikgu Siti begitu sempoi di gerainya


Inilah gerai-gerai yang ada...


Eh! Banyak lagi la...


En. Zaharudin (Tim. Pengarah 1) tengah pilih baju


Walaupun saguhati je, kami semua tetap gembira!