Sabtu, Mei 21, 2011

SAMBUTAN HARI GURU PASTI JOHOR 2011

SAMBUTAN Hari Guru Pasti peringkat negeri Johor telah diadakan di Dewan Besar, Markaz Tarbiyah Pas Parit Pechah, Muar pada 17 Mei lalu. Tarikh ini dipilih kerana kebetulan ianya merupakan cuti umum sempena Hari Wesak. Perasmian sambutan ini telah disempurnakan oleh ketua Dewan Pemuda Pas Johor yang baru, Saudara Suhaizan Kaiat.

Bukan Hari Guru namanya kalau tiada acara yang membabitkan guru. Oleh yang demikian, pihak penganjur telah mengadakan acara explorace, pertandingan hiasan tembikai dan gubahan hantaran untuk disertai oleh guru-guru Pasti seluruh Johor. Memang meriah! Selepas rehat, majlis diserikan pula dengan persembahan oleh guru-guru Pasti.

Pada sambutan Hari Guru kali ini juga, warga Pasti Johor yang hadir menyaksikan peralihan pucuk pimpinan daripada mantan pengarah Jabatan Pasti Negeri Johor, Saudara Mohd. Faizul Salleh kepada pengarah yang baru, Saudara Mahadzir Mat Zilli. Saudara Faizul telah menerajui Pasti Johor selama dua tahun. Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan di atas khidmat dan bakti beliau sepanjang tempoh tersebut. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada Saudara Mahadzir yang sebelum ini merupakan setiausaha Jabatan Pasti Negeri Johor di atas perlantikan sebagai pengarah yang baru. Adalah diharapkan agar beliau dapat mengemudi Pasti Johor dengan cemerlang, sejajar dengan visi dan misi yang telah ditetapkan.

Serentak dengan sambutan Hari Guru ini, satu konvensyen membabitkan para pengerusi Pasti kawasan, Pengurus Pasti cawangan serta AJK Pasti peringkat kawasan dan cawangan turut diadakan.

Dalam konvensyen itu, mantan ketua Dewan Pemuda Pas Johor yang juga mantan pengarah Jabatan Pasti Negeri Johor, Saudara Khairul Faizi Ahmad Kamil telah membentangkan kertas kerja tentang pengurusan Pasti Negeri Johor. Antara perkara yang disentuh beliau ialah sejarah penubuhan Pasti di Johor dan cabaran-cabaran yang beliau hadapi ketika menjadi pengarah. Beliau menekankan peri pentingnya pengurusan kewangan yang baik demi kelancaran perjalanan Pasti di semua peringkat. Setiap peserta juga dibekalkan dengan Manual Pengurusan Pasti.

Di samping itu, Saudara Khairul Faizi turut mendedahkan pelbagai tekanan dan gangguan yang diterima daripada pihak-pihak yang tidak senang dengan Pasti, sehinggakan ada premis Pasti yang hendak dirobohkan oleh pihak berkenaan dan kes dibawa ke mahkamah, namun berkat kesabaran para pencinta Islam dan pendukung kebenaran, Pasti tetap utuh hingga kini malah bilangannya kian bertambah tahun demi tahun.

Para peserta konvensyen kemudiannya diberi kesempatan untuk mengemukakan soalan dan cadangan kepada ahli-ahli lembaga pengarah Pasti Johor sebelum konvensyen tamat sekitar jam 12 tengahari. Program sambutan Hari Guru pula berakhir kira-kira jam 1.30petang.

Berikut ialah gambar-gambar sekitar sambutan Hari Guru tersebut:




















Isnin, Mei 16, 2011

SAJAK - BICARA UNTUK GURU

Ingin sekali aku
Berdiri tegak dipersadamu
Mengenang setitik budi
Menghirup secangkir kasih
Ingin sekali aku
Berdiri dianjung kasihmu
Memetik sebuah keikhlasan
Menghampar selautan harapan.
Ingin sekali aku
Bersamamu menyanyi lagu mesra
Bertepuk utuh pasakmu teguh
Ini anak-anak merdeka
Perlu kau merdekakan jiwanya
Ingin sekali aku
Berada di takhta muliamu
Mengisi kekosongan dada anak-
anak bangsa
Mendukung keagungan,
melempar gusar
Daripada jiwa anak didikmu.
Ingin sekali aku
Berkongsi kerinduanmu
Tatkala mereka tidak bersamamu
Bangga dengan mutiara
Berjabat tangan, bersapa mesra
Ketika kau ketemu mereka di
jalanan.

SELAMAT HARI GURU!

BERSEMPENA hari guru yang jatuh pada hari ini, pihak pentadbiran PASTI Kawasan Kota Tinggi mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru pasti, khususnya guru-guru PASTI Kawasan Kota Tinggi iaitu Cikgu Siti Zaharah, Cikgu Rahimah dan Cikgu Nurmira yang bertugas di PASTI Al-Falah 1 serta Cikgu Aidah dan Cikgu Enayati di PASTI Al-Falah 2.

Sesungguhnya segala bakti dan pengorbanan cikgu-cikgu sekalian dalam memberi didikan kepada murid-murid PASTI tidak ternilai dengan wang ringgit. Walaupun menerima imbuhan yang tidak seberapa, cikgu-cikgu tetap komited mengasuh dan mendidik murid-murid mengenal bukan sekadar huruf dan angka malah mengenal Allah, Tuhan sekalian alam. Syabas dan tahniah.

Adalah diharapkan agar cikgu-cikgu sekalian tetap tabah menghadapi segala ujian dan cabaran dalam mendidik anak-anak PASTI, terutama dalam melayani kerenah mereka yang pelbagai. Sesungguhnya hanya Allah yang mampu membalas segala bakti yang cikgu-cikgu curahkan. Bersama-samalah kita berjuang untuk mendaulatkan Islam di muka bumi ini melalui sistem pendidikan berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah yang diamalkan di PASTI.

Selasa, Mei 10, 2011

SAYANG ISTERI, KASIHKAN IBU

SEMPENA sambutan Hari Ibu di sebuah hotel, seorang pakar motivasi dijemput menyampaikan ceramah. Beliau bertanya kepada beberapa orang lelaki yang duduk di meja paling depan berhadapan dengannya, “Siapakah wanita yang paling anda sayangi?”

Masing-masing menunjukkan ke arah isteri masing-masing yang duduk di sebelah.

“Mak masih ada?” tanya motivator itu. Mereka mengangguk.

“Setiap anak lelaki, setiap anak perempuan yang belum berkahwin selagi ibu masih hidup, ibulah wanita pertama yang mesti bertakhta di hati kita, ibulah insan yang mesti dicintai dan dikasihi sehebat-hebatnya.

Perbetulkan balik niat kasih anda supaya hidup anda dalam keberkatan Allah sebab ini perintah daripada Allah dalam al-Quran. Rasulullah SAW juga telah mengingatkan kita tiga kali berturut-turut akan kewajipan mentaati ibu, kemudian barulah bapa.”

Peringatan motivator itu mengajak peserta memperbetulkan niat.
Begitulah kehidupan manusia, apabila telah datang insan lain yang kita rasa sudah mampu menyenangkan hati dan menyenangkan ‘kocek’ kita (isteri bantu mengukuhkan ekonomi rumah tangga), kita rasa keutamaan segala-galanya harus diberikan kepadanya sehingga terlepas pandang atau boleh berala kadar dalam memberi kasih kepada ibu. Lebih malang lagi, ramai anak lebih mengharap ibu faham situasi mereka apabila telah berumah tangga, yang perlu lebih mengasihi isteri.

Mengharap ibu faham situasi kita adalah satu perkara yang tidak bijak. Sememangnya ramai ibu yang faham dengan kehidupan anak lelakinya yang perlu banyak mengurus kebajikan keluarga. Sememangnya sifat seorang ibu selalu berkorban segala-galanya untuk anak-anak, malah telah bersedia menerima seadanya layanan anak-anak apabila mereka telah berumah tangga. Apa yang selalu ibu katakan kepada si anak, “Mak tak nak minta apa-apa. Mak harap kamu jaga isteri kamu baik-baik, jaga keluarga kamu baik-baik. Mak doakan keluarga kamu menjadi orang soleh, boleh doakan mak apabila mak dah tak ada nanti.”

Murninya bicara seorang ibu. Harga kesolehan keluarga yang bakal dibina oleh anak dan menantu menjadi taruhannya untuk dia sejahtera ke alam barzakh. Namun, anak harus faham, cinta yang utama tetap kepada Allah, Rasul dan ibu. Kasih dan bakti kepada ibu perlu diletakkan di tempat paling atas.

Kepada para suami, menjadi tanggungjawabnya mendidik dan mengajak isteri untuk meraikan ibu mertua (ibu suami) dan menjaga hatinya. Sesungguhnya menjadi kewajipan suami menggalakkan isteri memuliakan ibunya mengikut cara yang telah Allah anjurkan seperti bercakap dengan sopan dan menunjukkan akhlak yang baik ketika bersama ibu. Peranan suami yang membimbing isteri menjadi isteri solehah sangat membantu ibu makin kasih kepada anak lelaki dan keluarganya.

Kepada para isteri, jangan bangga kalau suami sanggup berhabis-habisan memberi pelbagai kemewahan kepada kita, bimbang kalau-kalau kerana terlalu memenuhi pelbagai hajat kita itu, suami kita tiada masa untuk menjenguk atau bertanya khabar tentang ibunya. Hal ini boleh meletakkan diri suami dalam kederhakaan yang tidak disedari, kerana suami terpaksa berkira-kira dalam memberi khidmat dan mencurah kasih kepada si ibu. Jangan sampai anak terputus hubungan rohani (hati) dengan si ibu. Ingatlah Allah boleh beri nikmat kesenangan sebanyak-banyaknya kepada kita atas apa yang kita usahakan, tetapi tidak ada nilai berkat andai kita lupa kepada ibu yang telah banyak berjasa kepada kita.

Oleh itu carilah redha ibu selalu, ambillah iktibar kisah al-Qamah pada zaman Rasulullah SAW yang terleka melayan kerenah isteri sehingga terlepas pandang meraikan ibunya. Akhirnya si ibu berkecil hati, menyebabkan al-Qamah susah mengucap dua kalimah syahadah semasa hendak meninggal dunia. Nabi SAW perintahkan agar dibuat unggun api untuk membakar al-Qamah kerana mengecilkan hati ibunya. Begitu tegasnya Nabi SAW dalam soal kederhakaan seorang anak kepada ibu kerana syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu. Hierarki ketaatan seorang anak ialah kepada Allah SWT, Rasulullah SAW dan ibu.

Kepada para isteri, mari kita jadikan diri kita sebagai isteri yang mempermudahkan urusan suami dalam berbakti kepada ibu. Mudah-mudahan kita menjadi isteri dan menantu yang solehah. Yakinlah bahawa apabila kita mempermudahkan suami menggembirakan ibunya, itu petanda Allah meredhai kita dan insya-Allah akan dipermudahkan pula untuk anak-anak mentaati kita yang juga bergelar ibu.

AMINAH BINTI WAHAB – IBU TABAH YANG BERTUAH

HARI yang ditunggu akhirnya tiba juga. Gembira tidak terkata, tetapi keriangan melonjak dalam dakapan santun keindahan pekerti seorang isteri. Getar emosi yang sedang galak bercanda di kamar sanubari tidak sampai mencemar maruah dan harga diri.

Beberapa purnama melayari perpisahan, kiranya sudah sampai waktu berlabuh di pantai pertemuan. Mahu dilepaskan segala ingatan dan kenangan, terbang bebas di ruang keriangan. Berduaan merawat rindu yang sarat dikendong kalbu.

“Aminah, suamimu tidak dapat pulang. Sekarang dia berada di Yathrib, di rumah kaum kerabat kita di sana.”

Duubb!!!

Bagai ada hentakan keras mendarat di tengah dada. Bukan khabar itu yang mahu didengar.

“Ada urusan apakah dia di sana?” Pertanyaan dalam nada masih tenang, seolah-olah hatinya tidak terusik dengan berita yang kurang menggembirakan itu.

“Kesihatannya tidak memuaskan. Dia tidak boleh meneruskan perjalanan pulang ke mari.”
Aminah binti Wahab tunduk bungkam. Terasa lidahnya kelu. Suara bagai tersekat di tengah kerongkong.

“Bersabarlah, nanti ayah akan hantar orang menjenguknya.”

Belum ditakdirkan bertemu rupanya. Malah penantian kali ini terasa lebih menguji kesabaran – menanti sembuh dan menanti pulang. Namun akhirnya penantian bukan sekadar ‘lebih menguji’, tetapi memang sangat menguji dan mencabar kesabaran. Hancur luluh seluruh perasaan menerima berita yang sama sekali di luar jangkaan.

Terasa padam seluruh cahaya di muka alam semesta, gelap gelita. Kali ini Aminah tidak mamput berpura-pura tenang lagi. Batinnya dihempas duka nestapa; sekeras-keras hempasan. Aminah langsung tidak berupaya bertahan. Terkulai dalam linangan air mata yang dilepaskan semahu-mahunya.

Tangan kanannya perlahan mengusap perut. Benih di dalam rahimnya sedang tumbuh membesar. Ingin dia mengkhabarkan tentang itu kepada suaminya; bukti ketulusan cinta setia, tali pengikat yang akan meneguhkan lagi simpulan janji suci yang dilafazkan. Dia bakal bergelar ibu dan suaminya bakal dipanggil ayah.

Demikian antara baris-baris bicara yang hendak dikisahkan di hadapan suaminya saat bertemu nanti. Namun takdir yang tersurat punya jalan cerita yang berbeza. Aminah pasrah, anaknya bakal lahir tanpa berpeluang melihat wajah ayah. Orang yang dinanti sekian lama tidak kunjung tiba dan tidak akan kunjung tiba. Dia telah pun berangkat ke daerah yang paling jauh.

Lama sekali Aminah binti Wahab mengumpul kekuatan untuk merawat duka yang cukup dalam. Semakin mendekati hari kelahiran anak sulungnya, Aminah dicabar sekali lagi dengan ujian yang hebat. Musuh sedang bersiap sedia mahu menyerang kampungnya. Kemungkinan apakah yang bakal berlaku andai dia tidak sempat menyelamatkan diri?
Cemas dan resah keibuan mula membuak naik di dalam dada. Aminah diancam bimbang. Janganlah kiranya sesuatu yang buruk menimpa diri, sekali gus mengoyak kedamaian istirehat bayinya di dalam rahim. Ya Allah! Anak ini perlu lahir ke dunia dengan selamat... .

Ternyata perancangan Allah SWT tiada siapa yang tahu. Musuh yang angkuh hancur lumat ‘dikerjakan-Nya’. Tidak ada apa yang tinggal selain keinsafan dan pengajaran yang tidak ternilai. Bagi Aminah, setelah sampai saat dan ketika, segala derita kasih yang lama terubat jua akhirnya.

Dia selamat melahirkan seorang putera. Namun gembira itu sebentar sahaja kerana perpisahan masih berlegar-legar di ruang kehidupannya. Aminah terpaksa akur, melepaskan bayinya dibawa pergi ke daerah pedalaman untuk disusukan dan dibesarkan.
Berderai air mata ibu. Luas dan dalamnya lautan cinta serta kasih sayang ibu tidak mungkin dapat ditebak, apa lagi hendak disukat. Aminah, si ibu muda yang baru sahaja hendak mengecapi manisnya nikmat mencurahkan kasih, berasa sangat mahalnya kesempatan itu.

Dia sudah berpeluang tetapi terpaksa menangguh waktu. Lirih rintihan pun berbisik dalam sendu yang asyik; tiada putus rangkaian doa dipanjatkan oleh Aminah. Pintanya sepenuh hati agar perpisahan itu tidak seperti perpisahan dengan suaminya sedikit waktu dahulu.

Lamanya masa berlalu. Beralih sudah beberapa tahun, perpisahan ini seakan tiada berhujung. Belum sampai masa lagikah untuk berlabuh di pantai pertemuan? Tabahnya hati menanti di penjuru waktu, serasa tidak upaya lagi menahan amukan rindu.

Hari yang ditunggu tiba juga. Anak yang sangat diharapkan kepulangannya sedang berdiri di hadapan mata. Tiada bahasa yang dapat menggambarkan kegembiraan, selain deraian air mata jua sebagai jurutafsir yang mengungkapkan segala-galanya.

Begitu pulalah si anak. Bagaikan mengerti lara kerinduan ibu. Kemas dakapan seperti tidak mahu dilepaskan. Tidak mahu lagi berjauhan. Cukuplah ibu didera perpisahan panjang. Ingin dia mendengar sepuas-puasnya degup jantung ibu yang sudah letih menunggu. Degup jantung itu berdetak bersama bait-bait doa, irama senandung kasih yang menemani ibu kala kesepian.

Ada rindu yang tiba-tiba berpuput lembut, menyelinap masuk ke kamar hatinya bersama cebis-cebis kenangan. Lalu menyapa resah yang sudah lama terlena. Dibiarkan keresahan itu terjaga seketika, justeru kenangan dan rindu yang bertamu sekadar menyegarkan keinsafan.

Menatap kenangan dibauri rindu, memutikkan kesayuan di dalam sanubarinya. Betapa semuanya telah berlalu. Namun sekelumit pun tidak pernah dilupakan. Malah hatinya cepat tersentuh tatkala mendengar rengekan tangis anak kecil.

Begitulah... Rasulullah SAW. Kasih, sayang, cinta dan rindunya pada ibu melangit tinggi, biarpun hanya sempat menikmati belai kasih ibu kandung sekitar setahun lebih, selepas dihantar pulang dari desa pedalaman.

Rasulullah SAW tidak pernah lupa detik suka duka bersam ibunya. Pengalaman paling menyayat hati ialah menyaksikan kematian datang meragut nyawa ibu di hadapan matanya sendiri. Ibunya menerima suratan takdir yang sama seperti ayahnya, kembara meninggalkan Mekah dan tidak sempat pulang semula. Ajal menyapa di tengah perjalanan.

Selepas berhijrah ke Madinah, Rasulullah SAW mengunjungi kembali tempat-tempat yang pernah baginda singgah bersama ibunya dahulu. Menyusuri lorong-lorong di Kota Madinah. “Di sinilah ibuku turun. Rumah itulah makam ayahku”.

Suatu ketika, Rasulullah SAW keluar bersama beberapa orang sahabat ke satu kawasan perkuburan. Para sahabat disuruh tunggu, sedang baginda mendekati sebuah pusara yang ada di situ. Baginda bertafakur agak lama sebelum terdengar esak tangisannya.

“Itulah makam ibuku,” kata Rasulullah ketika ditanya oleh sahabat.

Demikianlah... ada ketika kenangan datang mengimbau. Baginda sambut dengan sebaiknya. Kasih ibu tiada sempadan. Kasih anak mengharap belaian. Justeru, Rasulullah SAW mengangkat darjat ibu dan meletakkannya di puncak ketinggian martabat manusia.

Beberapa ‘ketetapan’ daripada baginda SAW khusus mengenai ibu – syurga di bawah telapak kaki ibu. Mentaati ibu tiga kali lebih utama daripada mentaati ayah. Jagalah ibumu, kerana itu juga perjuangan dan harganya teramat tinggi di sisi Allah.

UMAMAH BINTI ABUL ASH – DIA SELEPAS FATIMAH

KEHADIRAN Umamah dalah hidup Rasulullah SAW amat dirasai baginda. Ia mengubat duka dan rindu Rasul kepada puterinya, Zainab. Tempat Rasul menumpahkan seluruh kemanjaan dan kemesraan seperti yang ditumpahkan kepada Almarhumah ibu Umamah dahulu. Menyerlah kegembiraan Rasul melihat senyum atau melayan keletah cucu baginda yang seorang itu.

Sepanjang usia keremajaan Umamah, kasih sayang Rasulullah SAW terhadap cucunda baginda itu tidak berubah. Baginda pernah mengalungkan seutas loket manik di leher Umamah. Hadiah berharga itu dibawa dari Habsyah. Pada mulanya para Ummahatul Mukminin mengira pastilah Sayidatina Aisyah yang bakal memilikinya kerana Rasul SAW menyebut akan memberinya kepada seorang yang sangat baginda sayangi daripada keluarganya.

Bukan sahaja menjadi penghibur hati Rasulullah SAW. Umamah r.ha juga menjadi penyembuh lara makciknya, Sayidatina Fatimah r.ha. Sepanjang hayatnya, Fatimah menyimpan kasih sayang yang cukup dalam terhadap kakaknya, Zainab. Kakaknya telah memeliharanya sedari kecil selepas kematian ibunda seperti anak sendiri.

Melihat Umamah membesar di hadapan mata dengan sedikit sebanyak mewarisi iras Almarhumah ibunya, hati Fatimah sesekali diruntun rindu. Merasa tidak rela anak saudaranya itu berjauhan daripada keluarga Rasulullah SAW, kepada suaminya Fatimah meninggalkan amanat mengambil Umamah menjadi isteri sekiranya kematian lebih dahulu menjemputnya.

Umamah pun secara sah dinamakan sebagai calon isteri Sayidina Ali k.w. Menghormati rasa cinta serta kasih sayang yang tidak berbelah bagi, wasiat itu pun dituruti oleh Sayidina Ali.

Kisah Sayidina Ali k.w. dengan Umamah r.ha persis kisah Rasulullah SAW dengan Sayidatina Aisyah r.ha. Selama hidup di samping Sayidatina Khadijah r.ha, Rasulullah tidak beristeri lain. Sehinggalah selepas kewafatan Ummul Mukminin pertama itu, barulah Rasulullah mengahwini Aisyah.

Demikianlah Sayidina Ali. Sayidina Ali sangat menyayangi Umamah binti Abul Ash r.ha. Banyak faktor yang mendorong Sayidina Ali k.w. melimpahkan seluruh perhatian dan cinta kasih kepada isteri barunya itu. Selain sebagai isteri, Umamah adalah anak saudara Fatimah. Umamah adalah gadis pilihan yang dicalonkan oleh Fatimah, isteri pertama Sayidina Ali yang amat disayanginya.

Umamah r.ha berkesempatan menyaksikan saat-saat yang penuh kegoncangan dalam struktur pemerintahan dua orang Khulafa ar-Rasyidin terakhir. Kewafatan Sayidina Uthman r.a. menjadikan situasi semakin tegang. Namun, tidak sekali-kali mencabar kepatuhan dan taat setia Umamah kepada khalifah umat berikutnya yang juga adalah suaminya.

Hanya Sayidina Ali k.w. tidak sempat lama melaksanakan tanggungjawab sebagai orang nombor satu dalam pemerintahan dan pentadbiran umat Islam. Umamah r.ha menangis semahu-mahunya kewafatan suami tercinta. Tertegun sejarah mendengar tangisan yang pecah daripada sebuah empangan cinta kasih yang telah dibina bersama-sama.
Bukan semata-mata untuk kenikmatan dan kebahagiaan semasa hayat, bahkan selepas mati pun biarlah kebahagiaan itu terus dinikmati oleh salah seorang yang masih hidup – sama ada si isteri atau si suami.

Namun harapan itu lebih diberatkan kepada si isteri kerana ia luahan hati si suami, Sayidina Ali k.w... “Sekiranya aku pergi dahulu menghadap Allah, dan kiranya masih terbuka hatimu untuk bersuami, kahwinilah al-Mughirah bin Naufal bin al-Haris.”
Rupa-rupanya pesan yang sama telah juga disampaikan kepada al-Mughirah. Atas rasa tanggungjawab memelihara amanah, Sayidina Ali meminta sahabat baiknya itu sudi melamar Umamah sebagai isteri, selepas kewafatannya nanti. Dia cukup yakin dengan kejujuran, kemuliaan budi serta sikap al-Mughirah yang sangat bertanggungjawab. Umamah akan terus menikmati kehidupan yang aman, bahagia dan sejahtera.

Umamah binti Abul Ash r.ha mengerti maksud sebenar wasiat suaminya itu dan dia tidak sanggup berdepan cabaran hebat hidup menjanda. Membalas kesetiaan dan kasih sayang suami yang melimpah ruah kepadanya, Umamah pun membuka pintu hatinya menerima lamaran al-Mughirah bin Naufal r.a. Hiduplah Umamah di samping al-Mughirah sehingga ke wafatnya.

DIDIK ANAK BERJALAN SOPAN

TIDAK kira sama ada di hadapan tetamu atau bersama ibu bapa di rumah, anak-anak hendaklah dididik adab berjalan yang betul, ini termasuklah:
Apabila hendak lalu di hadapan orang yang lebih dewasa, bongkokkan sedikit badan sambil menghulurkan tangan kanan ke bawah sebagai tanda hormat.

Ketika hendak lalu biasakan kepada anak-anak dengan sebutan meminta izin seperti: “Minta maaf, saya minta lalu.”



  • Berjalan dengan sopan dan tidak menghentak-hentakkan kaki.

  • Beri senyuman ketika sedang lalu.

  • Sekiranya ibu bapa sedang duduk berehat di ruang tamu, anak-anak jangan dibiarkan melangkah-langkah kaki ibu bapa sesuka hati.

  • Sekiranya ibu bapa sedang tidur atau berbaring di ruang tamu, berjalanlah perlahan-lahan supaya tidur mereka tidak terganggu.

  • Apabila berjalan bersama ib u bapa, anak-anak sebaiknya berjalan di belakang mereka sebagai tanda menghormati ibu bapa, jangan sampai dianggap biadab.

  • Apabila ibu bapa telah uzur, pimpinlah mereka berjalan dengan penuh sopan. Sekiranya mereka perlu menggunakan kerusi roda, soronglah dengan sopan agar tidak mengganggu keselesaan mereka.

  • Apabila bertemu dengan orang tua uzur yang sedang berjalan, bantrulah dengan memimpin mereka terutama ketika sedang melintas jalan.

  • Ajarkan juga kepada anak-anak berjalan berkumpulan supaya terselamat dari mara bahaya.

  • Ajarkan mereka berjalan di tepi jalan raya dengan melawan arus. Ini akan memudahkan mereka melihat kenderaan yang datang dari hadapan.

  • Ketika berjalan di tepi jalan, elakkan daripada bermain-main atau melompat-lompat yang boleh menyebabkan mereka terleka sehingga boleh mengakibatkan kecederaan.

POPCORN, SNEK YANG MENYIHATKAN

Dalam bahasa Melayu kita menyebutnya bertih jagung, namun lebih popular dikenali dengan nama sebutan bahasa Inggerisnya – popcorn. Snek ini paling popular dan menjadi pilihan ramai apabila berkunjung ke pawagam. Namun berapa ramai yang tahu khasiat yang terkandung di dalam popcorn?

Popcorn dikategorikan sebagai makanan whole grain (bijian sempurna atau penuh) yang setaraf dengan oat, barli dan beras perang. Bijirin seperti ini diakui bermanfaat untuk kesihatan.

Whole grain atau bijian sempurna/penuh ertinya mengandungi tiga bahagian bijian iaitu germa, bran dan endosperma.

Germa paling kaya dengan vitamin dan mineral. Ia juga mengandungi sesetengah protin dan lemak yang menyihatkan. Bran pula ialah lapisan yang melindungi isirong (kernel) iaitu sama fungsinya seperti kulit kacang. Bran kaya dengan nutrien temasuklah vitamin B, antioksidan dan serat. Sementara endosperma pula ialah bahagian lembut di dalam isirong yang membekalkan tenaga kepada tumbuhan. Ia mengandungi kanji dan protin serta sedikit kandungan vitamin dan mineral.

Bijian yang telah diproses dan halus, teksturnya memang sedap dimakan, tetapi ia hanya menggunakan endosperma. Ertinya tiada lagi germa dan bran. Istimewanya popcorn, ketiga-tiga bahagian ini ada dan kita tetap memakannya dan sedap pula!

Bijian sempurna ini membantu mengurangkan risiko pembentukan sesetengah penyakit berbahaya termasuk penyakit jantung, kolesterol, kencing manis, obesiti dan beberapa jenis kanser.

Popcorn adalah makanan bijian sempurna. Oleh itu, ia merupakan sumber karbohidrat berkualiti tinggi, rendah kalori dan kaya serat. Ini bermakna, orang yang memakannya mengambil masa yang agak panjang untuk mengunyahnya, justeru memberi rasa kenyang.

Popcorn dikatakan mengandungi antioksidan yang tinggi yang dikenali sebagai polifenol. Polifenol adalah kimia yang ditemui di dalam buah dan sayur termasuk beri, walnut, buah zaitun dan anggur serta makanan-makanan lain termasuk coklat, kopi dan teh.

Polifenol adalah sejenis antioksidan yang dipercayai menyingkirkan radikal bebas dari tubuh. Radikal bebas adalah kimia yang mempunyai potensi menyebabkan kemusnahan sel dan tisu di dalam tubuh.

Seorang ahli kimia Amerika, Dr. Joe Vinson dan pasukannya terkejut apabila mendapati paras polifenol yang tinggi di dalam popcorn. Menurutnya, secawan popcorn mengandungi sejumlah polifenol yang sama dengan sebiji epal.

Dalam penyelidikan terdahulu, mereka menyangka serat adalah ramuan aktif yang menjadikan bijirin makanan bermanfaat untuk kesihatan. Bagaimanapun, dalam penyelidikan mutakhir, mereka menemui polifenol dan bahan ini adalah lebih penting.

Seperkara yang menakjubkan tentang popcorn adalah ia melimpah dengan mineral penting. Tiga auns popcorn boleh membekalkan kanak-kanak yang sedang membesar dengan lebih satu pertiga keperluan fosforusnya setiap hari dan satu perlima keperluan zat besi setiap hari.

Seratus gram popcorn membekalkan tubuh manusia dengan 2.7 miligram zat besi. Ini melebihi zat besi daripada telur, daging panggang, kacang, susu, ikan dan bayam yang secara keseluruhannya membekalkan hanya 3.0 miligram zat besi. Dengan hanya 281 miligram fosforus daripada 100 gram popcorn, popcorn jauh mengatasi kesemua makanan tersebut.

Tubuh manusia sentiasa melalui proses pertumbuhan khasnya pada zaman remaja. Selepas mencapai kematangan, ia mengganti segala tisu yang telah tua. Untuk proses pertumbuhan ini, tubuh memerlukan protin untuk disalurkan ke sel-sel.

Protin tidak disimpan di dalam tubuh, sebaliknya mesti dibekalkan setiap hari. Seperti daging dan ikan, popcorn juga pembekal protin yang baik. Tiga auns popcorn mampu membekalkan satu perenam keperluan harian protin. Walaupun tidak sebaik daging, popcorn lebih baik daripada sayur-sayuran, roti, susu ataupun sup dalam membekalkan protin untuk tubuh manusia.

Tubuh kita tidak boleh menghasilkan vitamin dengan sendiri. Oleh itu, tubuh perlu dibekalkan vitamin dari sumber luar. Popcorn merupakan sumber vitamin yang baik. Tiga auns popcorn membekalkan satu perlima keperluan harian thiamine (vitamin B1). Thiamine diperlukan untuk memelihara selera yang baik dan pencernaan yang normal. Juga untuk memelihara sistem saraf.
Popcorn juga menyumbang kepada bekalan riboflavin (vitamin B2) dan niasin. Riboflavin sangat diperlukan oleh sel-sel tubuh. Niasin menghalang pelagra (penyakit kulit) dan memelihara keadaan kulit. Dalam membekalkan riboflavin dan niasin, popcorn mendahului kekacang, kubis, oatmeal dan banyak jenis makanan lain lagi.

Walau bagaimanapun, popcorn amat kurang vitamin A dan C (asid askorbik). Ini berkemungkinan disebabkan ia termusnah dalam suhu tinggi semasa proses ‘meletup’.

Kanak-kanak yang sihat dan aktif memerlukan kalori yang tinggi. Banyak makanan boleh membekalkan kalori seperti daging, telur dan roti. Namun, antara pembekal kalori yang baik ialah popcorn. Setiap 100 gram popcorn mengandungi 404 kalori. Jumlah ini melebihi apa yang terkandung dalam daging atau ikan, sayur dan buah-buahan, roti, kuih-muih dan minuman.

Popcorn juga sangat membantu dalam diet (pemakanan) kita. Makanlah popcorn sejurus sebelum makan berat. Selera anda terhadap makanan lain akan terbantut. Ini terjadi kerana selulos sekam popcorn terdiri daripada karbohidrat yang tidak boleh dihadam. Selulos ini adalah hampas diet yang bagus. Karbohidrat boleh hadam pula membekalkan tenaga dan membantu tubuh memproses lemak secara metabolisme.

Selain nutrien yang disebutkan di atas, popcorn sarat dengan hampas yang sangat bermanfaat untuk gigi dan gusi. Hampas ini merangsang pengaliran air liur dan pergerakan pencernaan di dalam usus. Bagi mereka yang menghadapi masalah penghadaman dan sakit akibat terlebih makan, popcorn boleh membantu. Popcorn juga merupakan pelawas yang baik.

Gigi terdiri daripada kalsium dan fosforus yang boleh terhakis oleh sejenis asid. Asid ini terbentuk di dalam mulut oleh tindakan bakteria terhadap gula. Oleh yang demikian, apa sahaja makanan yang mengandungi gula akan menghasilkan asid ini dan dengan segera akan menyerang gigi. Kalsium dan fosforus yang terkandung di dalam popcorn membekalkan sistem tubuh manusia dengan sejumlah mineral yang amat berharga.