Rabu, November 16, 2011

HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN PASTI KAWASAN KOTA TINGGI

HARI Anugerah Kecemerlangan Pasti Kawasan Kota Tinggi kali ke-11 telah diadakan pada hari Sabtu, 12 November lalu, bertempat di Dewan Sekolah Menengah Agama (Arab) Kota Tinggi. Majlis yang bermula kira-kira jam 2 petang itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Encik Mohd. Azli bin Jopri, Setiausaha Pas Kawasan Pengerang.

Seramai 65 orang murid dari Pasti Al-Falah 1, Taman Kota Jaya dan Pasti Al-Falah 2, Taman Hijrah telah diraikan pada majlis ini yang dimulai dengan bacaan doa oleh Ustaz Haironnizam bin Pungot. Majlis diteruskan dengan bacaan ayat Kursi oleh Adik Muhammad Luth Hafiz bin Haji Mohd. Yusof dan terjemahannya oleh Adik Fakhruddin bin Yahya.

Selesai ucapan pengerusi Pasti Kawasan Kota Tinggi dan ucapan perasmian oleh tetamu jemputan, para hadirin dihiburkan dengan persembahan nasyid dan deklamasi sajak daripada murid-murid Pasti Al-Falah 1 dan Al-Falah 2. Acara cabutan bertuah juga turut diadakan.

Antara anugerah yang diberikan kepada murid-murid ialah tempat pertama hingga ketiga (5 dan 6 tahun), pencapaian terbaik setiap matapelajaran (6 tahun sahaja), pelajar cemerlang 5 dan 6 tahun, hadiah tabungan terbanyak (5 dan 6 tahun) serta anugerah khas murid 4 tahun terbaik. Di samping itu, semua murid menerima cenderahati dan juga sijil.

Anugerah Murid Cemerlang bagi kategori 5 tahun dimenangi oleh Adik Muhammad Najmi bin Ismail dari Pasti Al-Falah 1 manakala bagi kategori 6 tahun pula dimenangi oleh Adik Muhammad Hasanuddeen bin Hamim dari Pasti Al-falah 2. 

Ahli Jawatankuasa Program Hari Anugerah Kecemerlangan Pasti Kawasan Kota Tinggi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbangkan tenaga, masa, idea dan wang ringgit demi menjayakan majlis ini khususnya kepada para guru, ibu bapa dan tak lupa juga kepada tetamu jemputan, Encik Mohd Azli yang telah sudi meluangkan masa bagi merasmikan majlis serta menyampaikan hadiah kepada murid-murid.