Rabu, Januari 21, 2009

TANGGUNGJAWAB IBU BAPA TERHADAP ANAK

Anak ialah amanah atau pertaruhan yang Allah amanahkan kepada kita supaya kita menjaga dan memelihara mereka baik mengikut landasan Islam. Ibubapa mesti bertanggungjawab bukan saja di dunia bahkan di akhirat sewaktu berhadapan dengan Allah kelak. Dalam rangka memelihara amanah Allah itu, ibubapa adalah diwajibkan berusaha dengan bersungguh-sungguh melaksanakan didikan agama. Tegasnya mendidik anak beragama itu adalah wajib hukumnya (bukan setakat pendidikan untuk UPSR, PMR atau SPM), sebaliknya ibubapa yang melalaikan tugas amanah ini adalah berdosa.

Rasulullah saw bersabda: "Hendaklah kamu pastikan anak-anakmu belajar agama dan hendaklah kamu baguskan akhlaknya." Setiap anak yang dilahirkan itu bersih fitrahnya. Adalah menjadi tugas ibubapa untuk mencorakkan kehidupan anak-anak seterusnya sama ada untuk menjadikannya baik atau sebaliknya.
Sabda Nabi saw: "Semua anak yang dilahirkan ke dunia ini dalam keadaan yang suci bersih. Maka kesalahan ibubapalah menjadikan mereka yahudi, nasrani atau majusi."

Hadith tersebut menunjukkan kepada kita betapa beratnya tanggungjawab ibubapa terhadap anak-anaknya. Kesalahan kita mendidiklah maka anak-anak sekarang menjadi tak keruan hidupnya dengan pelbagai masalah sosial seperti bohsia, bohjan dan aktiviti lepak yang semakin menjadi. Sungguh malang seribu kali malang, sudahlah ibubapa tidak memberi didikan agama kepada mereka, ibu bapa sendiri tidak berpengetahuan agama dan paling dahsyat lagi, mereka asyik mengumpul dan terpengaruh dengan pujukan dunia. Oleh kerana hendakkan kemewahan yang berlipat ganda terabai tugas sebagai bapa dan suami. Anak bermaharajalela dan isteri pula main kayu tiga.

Berapa banyak hari ini anak-anak yang tidak tahu membaca Al-Quran. Tidak tahu sembahyang bahkan Fatihah pun tak boleh baca, jauh sekali dari menghafalnya. Masya-Allah ada yang tak tahu menyebut syahadah walaupun dah baligh. Inikah wawasan kita membangunkan kemanusiaan anak-anak.

Akibatnya kebanyakan anak-anak hari ini terdiri daripada mereka yang hanya pandai berpoya-poya, pandai menyakitkan hati dan meracuni jiwa serta menderhakai kepada orang-orang tuanya. Akhirnya bila sampai tahap, mereka akan menjadi anak yang liar. Ibu bapa seolah-olah memelihara anak-anak haiwan sama seperti anak rimau, kucing atau ayam. Betapa tidak haiwan tak sembahyang samalah seperti anak-anak itu. Bahkan haiwan lebih baik sebab tidak diberikan akal. Ketika ini baru ibubapa mengeluh bukan menyalahkan dirinya tetapi salahkan anak-anak dan paling teruk menyalahkan orang lain. Sebenarnya semua ini berpunca daripada ibubapa yang tidak mengambil berat tentang didikan agama terhadap anak-anak.

Ibubapa mesti mengambil berat tentang soal pemakanan anak-anak. Bukan diperhatikan tentang khasiat vitamin makanan itu saja tetapi pastikan kehalalannya. Adakah ia dari sumber yang halal atau haram. Ini penting kerana mengikut Nabi 'daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka neraka lebih utama untuknya'. Sekarang ini perkara seperti ini jarang diberikan penekanan tambahan pula amalan ekonomi yang berasaskan perbankan non-Islamik. Bagaimana diharapkan amalan soleh jika pemakanan tidak lagi soleh. Makanan yang baik membuahkan amalan baik (soleh), manakalan makanan yang tidak baik menghasilkan amalan yang tidak baik juga (tholeh).

Satu kisah pada zaman Nabi, seorang sahabat yang berjemaah bersama nabi kerap keluar dari jemaah awal sebelum sempat berdoa. Nabi bertanyakan kenapa balik tergesa sebelum berdoa. Sahabat itu menerangkan dia mempunyai anak kecil yang ibunya baru meninggal dunia. Dia takut anaknya mengambil dan memakan buah tamar jiran yang gugur di halaman rumahnya dan ditakuti akan menjadi darah dagingnya. Sahabat itu menjelaskan daging yang disuburkan dari benda yang haram itu tidak layak masuk syurga. Mendengarkan penjelasan itu, Nabi terdiam dan tidak berkata apa-apa, hanya memperhatikannya sahaja dia pulang ke rumah.
Begitulah orang dahulu mengambil berat soal pemakanan anaknya. Sebaliknya kita bagaimana? Adakah kita bertanya dari mana buah jambu itu diambil?

Didikan seterusnya yang mesti dilakukan oleh ibu bapa ialah sembahyang. Nabi saw pernah bersabda: "Perintahkan anak-anakmu mengerjakan sembahyang bila dia berumur 7 tahun dan pukullah dia bilamana tidak mahu mengerjakan sembahyang semasa berusia 10 tahun dan pisahkan dari tempat tidur."

Hadith ini adalah merupakan seruan wajib sembahyang. Kanak-kanak itu belum lagi wajib bersembahyang tetapi yang wajib ialah bapa menyuruhnya bersembahyang. Anak itu belum wajib kerana dia belum cukup umur (baligh). Jika bapa tak beratkan dia bersembahyang ketika ini, agak sukar kanak-kanak itu bersembahyang apabila baligh. Budaya solat mesti dimulakan sejak 7 tahun lagi.

Soal baligh ini pada pedapat sekarang berbeza. Ada berpendapat selepas bersara baru nak solat. Maksudnya bila pencen (55 tahun) baru masuk umur baligh. Paling sedih ada yang tidak baligh sampai ke mati sebab tak solat.

Nabi Muhammad saw menyuruh (mewajibkan) kita pukul anak berumur 10 tahun yang tidak mahu sembahyang. Tetapi adakah kita pukul? Kita mungkin pukul kalau tak buat kerja sekolah atau tak lulus periksa. Jarang kedengaran pukul kerana tak mendirikan sembahyang. Manakan nak pukul anak tak bersembahyang sedangkan ibubapa sendiri tak bersembahyang. Takkan ketam nak ajar anaknya berjalan betul. Ibuabapa dewasa ini tidak bimbang anak-anak walaupun perempuan tak balik hingga larut malam tetapi yang dibimbangkan agaknya kalau anak-anak ayamnya belum pulang waktu senja.

Pendidikan juga bukan bermula apabila lahir anak. Bahkan semasa dalam kandungan ibu sudah mula proses tarbiyah. Sebab itu ibu-ibu mengandung perlu pastikan apa yang dia makan, apa yang dia buat dan apa yang dia baca. Sifat ibu akan diwarisi oleh anak. Kalau suka menyanyi atau menonton TV, anak yang lahir kelak akan menurut apa acuan yang dibentuk. Ramaikah ibu-ibu membaca Al-Quran semasa mengandungkan anaknya? Sedih melihat wanita masa ini asyik keluar masuk kilang saja hatta hingga larut malam masih lagi di kilang. Haiwan pun tidur waktu malam, kita manusia masih bertungkul lumus di kilang. Ajaran siapa ini? Allah peruntukkan masa siang untuk cari rezeki, masa malam untuk rehat. Kita siang malam sama saja mencari rezeki.
Orang alim dulu siang bekerja malam beribadat. Kita siang kerja malam kerja. Bila ibadat? ... Sorry, no time ...Bukan lelaki saja bahkan perempuan lebih ramai kerja shift malam. Manakan suami tak jadi liar? Habis semua disapu kadang-kadang anak sendiri jadi mangsa bila lihat isterinya tak ada. Nak salahkan siapa? Apabila terlalu pentingkan kebendaan duniawi beginilah akibatnya. Kemanisan beribadat tidak akan tercapai bagi mereka yang mengejar keduniaan. Kalau 90% usaha dicurahkan untuk dunia berapa peratus agaknya untuk akhirat. Kalau 10% ada juga tapi bila dah teruk kerja badan dah letih sudah tentu 0% untuk ibadat. Al-Quran ada menjelaskan 'Kaum lelaki adalah penjaga kaum wanita." Sekarang nak jaga apa? Asyik kerja siang malam. Anak isteri masing-masing punya pasal. Kau nak buat apa terpulang.. asalkan mewah hidup.

Perasaan kasih sayang sudah luput dari ibubapa. Ibubapa dewasa ini kebanyakannya sudah tidak menyayangi anak-anak lagi. Buktinya mereka tidak ambil pusing hal-hal keagamaan mereka. Ada yang sanggup membiarkan anak-anak terjun ke dalam api neraka. Anak kera pun kesihan melihat anaknya ditembak pemburu.

Pernah seorang sahabat Nabi hairan tercengang melihat Nabi mencium pipi cucunya lantas bertanya kenapa Nabi kenapa begitu. Dia bertanya kerana dia sendiri tidak pernah melayan anak atau cucu dengan mesra begitu. Nabi lantas menasihatkannya supaya mencurahkan kasihsayang kepada kanak-kanak.

Dalam satu hadith lain, Nabi Muhammad bersabda "Memandang muka anak-anak dengan rasa syukur akan rahmat Allah itu sama seperti melihat muka nabinya." Begitu besar pahala ibubapa memuliakan anak-anak. Oleh itu kita hendaklah memelihara mereka dengan baik kerana menurut Nabi mengajar satu adab yang baik kepada mereka adalah lebih baik daripada memberi sedekah satu cupak makanan setiap hari.

InsyaAllah ganjaran pahala yang banyak akan diberikan kepada ibubapa yang baik terhadap keluarganya. Oleh itu hendaklah kita sedar benar-benar bahawa kita akan menemui Allah (mati). Apatah lagi umur kita kian sehari kian bertambah. Apabila bertambah umur kita bererti bertambah hampir pula kita dengan alam barzakh (kubur) atau bertambah hampir kita akan menemui Allah.
Kita semua akan kembali kepada Allah yang menjadikan kita. Allah akan bertanyakan apa amalan kita semasa di dunia ini. Apa yang kita bawa untuk dipersembahkan kepada Allah? Adakah harta benda yang kita cari selama ini, pagi petang, siang malam, bertungkus lumus macam lipas kudung, tak pernah renggang dengan telefon bimbit, melonggokkan harta, menambahkan saham hingga lupa pada saham akhirat dan lupa kepada Allah yang memberikan kita harta itu. Dapatkah harta yang banyak itu menebus dosa-dosa yang kita buat di dunia ini?
Atau adakah pangkat dan bintang yang berjela-jela dibawa untuk dipersembahkan kepada Allah? Dengan pangkat, kedudukan dan darjat terasa seolah-olah kita sudah jadi orang besar dan terasa bongkak dengan Allah. Dengan orang miskin dipandang hina. Dengan ulama dipandang leceh. Adakah pangkat dan darjat dapat menebus dosa yang dilakukan di dunia ini. Dapatkan ia menyelamatkan dari api neraka? Semua ini tidak laku di akhirat.

Memelihara anak dengan baik adalah ibadat tetapi bagaimana pula jika disebabkan terlalu sayangkan anak hingga tak sempat sembahyang Maghrib adakah ibadat juga? Adakah anak itu akan menolong semasa berhadapan dengan Allah kelak? Tidak.

Yang menyelamatkan kita pada hari yang tidak bermanfaat harta dan anak pinak ialah jiwa yang suci lagi tenteram. Hati yang suci hanya kepunyaan orang beriman. Orang kafir, fasik dan munafik tidak tenteram hatinya. Orang beriman itu apa tandanya? Mereka yang beribadat ikhlas kerana Allah. Ikhlas mainkan peranan penting kerana menurut hadith "Semua manusia rugi kecuali orang berilmu. Semua orang berilmu rugi kecuali beramal. Semua orang beramal rugi kecuali yang ikhlas."

Oleh itu perlu mencari keikhlasan dalam ibadat. Caranya dengan menghadiri majlis ilmu di masjid-masjid di samping kita berdoa kepada Allah supaya kita dilimpah dengan kurnia, taufiq dan hidayah Allah. Bukan mudah mendapat anugerah Allah. Untuk mendapatkan anugerah dan kurnia sultan pun terpaksa lobi-melobi betapa untuk kurniaan Allah.

Sebelum kita dimatikan oleh Allah, maka janganlah kita sia-siakan hidup dan umur kita ini dengan perkara-perkara yang melalai dan merugikan. Ingatlah 1000 tahun di dunia hanya dikira 1 hari di akhirat.
Allah mencabar dan mengingatkan kita dalam firmanNya: "Adakah kamu anggap, bahawa Kami jadikan kamu dengan percuma (sia-sia) sedangkan kamu akan kembali kepada Aku?" - (Al-Mukminun:115)
Ayat di atas adalah sebagai ingatan Allah kepada kita yang suka membuang masa dengan sia-sia. Allah menegaskan lagi dalam Al-Quran dengan firmanNya: "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."

Adakah kita kira kita tidak mati atau lambat lagi akan mati? Ingat Firman Allah "Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mengejar kamu, meskipun kamu di dalam benteng yang kukuh lagi tinggi." - (An-Nisa':78)

Ingatlah kehidupan dunia ini tidak lain hanya kesenangan yang menipu daya. Dulu muda sekarang tua. Dulu cantik sekarang kedut. Dulu sihat sekarang sakit. Dulu ada gigi sekarang rongak. Dulu berambut hitam sekarang beruban. Dulu tampan sekarang bongkok. Dulu ramai kawan sekarang sendirian. Dulu ada pangkat sekarang pencen. Dulu mewah sekarang muflis.

Ingatlah segala harta benda dan anak pinak tidak akan mengiring kita masuk ke dalam kubur. Mereka hanya iringi hingga ke liang kubur saja. Selepas itu mereka semua balik ke rumah dan enjoy semula. Kita di dalam kubur bersendirian, disemadikan seorang diri di pusara yang senyap sunyi, tinggal di kubur dan tidak akan kembali lagi ke rumah besar kita.

Hanya satu saja yang paling setia mengikut kita dan menemani kita di sana. Itulah pekerjaan dan amalan kita yang ikhlas. Mereka menjadi kawan baik kita. Selepas itu apa lagi yang bersama-sama kita di kubur.
Sabda Nabi: "Apabila mati anak Adam, maka putuslah segala amalannya kecuali 3 perkara: sedekah jariah (sedekah yang berkekalan), ilmu yang dimanfaatkan dan anaknya yang soleh yang mendoakan."

Yang dikatakan sedekah jariah ialah amalan sedekah yang pahalanya sampai menemuinya walaupun sudah meninggal 500 tahun umpamanya seperti membina masjid, surau, membina rumah anak yatim dsb. Mengikut setakat mana keikhlasan kita. Ada juga amalan jariah yang tidak dibalas dengan pahala tetapi dosa, contohnya mendirikan dewan tarian, mendirikan panggungwayang dan pentas hiburan semua dosa orang yang mengunjungi tempat itu akan dihantar kepada simati walaupun telah 600 tahun misalnya.

Termasuk dalam kategori ilmu yang dimanfaatkan ialah seperti menulis kitab yang memberikan kesedaran kepada orang dan buku itu digunakan zaman berzaman. Selagi kitab itu digunakan dan faedahnya tersebar luas, pahala akan terus mengalir kepadanya. Begitu juga siri ceramah dan tazkirah seperti homepage. Doakanlah saya mudahan homepage tazkirah ini termasuk dalam ilmu yang dimanfaatkan. Jika sepeninggalan saya nanti, homepage ini terus dibaca orang, insyallah akan diperolehi pahalanya. Ini bergantung kepada keikhlasan tanpa niat ria'. Sama-samalah berdoa semoga kita ikhlas.

Anak soleh yang mendoakan. Sekarang ini anak bernama Saleh tapi amalan tak soleh. Ada juga orang kafir dipanggil Mad Saleh, kenapa agaknya dipanggil Saleh? seolah menghina istilah 'soleh'. Anak yang beribadat, bersembahyang dan mendoakan kita, pahalanya juga akan sampai kepada kita lantaran didikan dan asuhan kita dulu. Ibarat pokok yang kering apabila disiram air akan segar semula. Begitulah kita di alam kubur nanti, apabila menerima pahala anak-anak kita kembali segar. Begitulah mustajabnya anak yang soleh mendoakan kedua ibubapanya.

Menurut hadith orang yang mati seolah-olah dalam keadaan lemas. Sahabat Nabi bertanya bagaimana untuk menolong mereka dari lemas. Nabi menerangkan hadiahkan Fatihah kepada simati supaya ia tidak lemas dan mampu untuk timbul.

Ramai beranggapan anak yang soleh ialah anak-anak bergaji besar, berkereta besar, berumah besar, bercakap besar dan berpangkat besar. Semua ini tidak menjamin kesolehannya selagi tidak mempunyai iman kepada Allah dan berbakti kepada ibu dan bapanya.

Akhir sekali didiklah anak-anak kita dari sekarang sebelum terlambat supaya menjadi anak yang soleh. Sebelum peringkat itu, mula-mula kenalah jadikan kita dulu anak yang soleh, anak yang suka mendoakan kedua ibu bapanya.

Sekian, wassalam.

Selasa, Januari 20, 2009

LUQMANUL HAKIM: MODEL TARBIAH ISLAM

APABILA menyebut soal pendidikan anak-anak secara tidak langsung ia lebih tertumpu kepada tugas dan tanggungjawab ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang kamil tidaklah semudah yang diperkatakan dalam buku, majalah dan seminar.

Ia lebih menekankan soal keinsafan, kesedaran dan sikap tanggungjawab yang mendalam di samping mempunyai aqidah yang kental terhadap Allah SWT. Justeru itu, Allah SWT telah merakamkan beberapa keistimewaan yang dilakukan oleh Luqmanul Hakim sewaktu mendidik anak.
Di antara nasihat Lukman kepada anaknya ialah:
1. Hendaklah engkau selalu berada di majlis para ulama' dan dengarlah kata-kata para hukama (orang yang bijaksana), kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat sepertimana menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat.
2. Janganlah engkau jadi lebih lemah daripada seekor ayam jantan, ia telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan engkau pada ketika itu masih terbaring di atas katilmu.
3. Janganlah engkau menangguhkan taubat kepada Allah kerana mati itu akan datang tiba-tiba.
4. Dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak orang sudah ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya.
5. Pukulan bapa ke atas anaknya bagaikan air menyirami tanaman.
6. Tiga orang yang tidak dapat dikenali melainkan pada tiga keadaan. Orang yang lemah lembut melainkan ketika marah, orang yang berani melainkan ketika berperang dan saudara maramu melainkan ketika engkau berhajat dan memerlukan pertolongan daripadanya.
7. Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan seluruh umurmu lebih sedikit daripada itu. Manakala umurmu yang masih berbakti lagi amat sedikit daripada yang lebih sedikit tadi.
AQIDAH
Masalah aqidah adalah masalah yang paling penting dalam kehidupan seorang muslim. Ia merupakan asas atau tapak bagi pembangunan Islam. Dewasa ini kita dapati banyak penyelewengan terjadi sama ada dari segi pemikiran, perkataan mahupun tingkah laku. Kesemuanya berpunca daripada tidak memahami aqidah Islam secara mendalam.
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan ingatlah sewaktu Luqman berkata kepada anaknya: "Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."(Surah Luqman: 31).

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Luqman memulakan nasihat kepada anaknya supaya tidak melakukan syirik kepada Allah SWT. Jiwa anak yang masih suci itu harus dibersihkan daripada sebarang kerosakan dan kesesatan yang berpunca daripada syirik. Ini bererti pendidikan tauhid mesti diajar dan ditanam ke dalam jiwa anak-anak sejak dari kecil lagi.

Kebanyakan ibu bapa hari ini tidak menekankan pelajaran tauhid kepada anak-anak. Bukan sahaja demikian bahkan terdapat juga di kalangan ibu bapa tidak tahu mengenai pelajaran tauhid. Siapakah yang harus dipersalahkan sekiranya anak-anak generasi muda mudah tergelincir keimanannya?

Syirik amat mudah berlaku sekiranya di dalam diri seseorang itu tidak ditanamkan dengan aqidah untuk beriman dengan Allah SWT secara kental. Membentuk jiwa anak-anak agar sentiasa mengingati Allah dalam segala gerak geri dan perbuatannya adalah menjadi tugas dan tujuan yang paling utama bagi setiap pendidikan.

Hal yang demikian tidak mungkin berlaku kecuali setelah setiap pendidik membiasakan anak-anak mengingati Allah ketika mereka sedang bekerja, berfikir dan mendapat sesuatu. Ibu bapa perlu banyak mendidik anak-anak dengan membiasakan mereka melihat perbuatan yang baik daripada ibu bapa.
Sebagai contoh Sahal bin Abdullah menceritakan bahawa:
"Ketika aku berumur tiga tahun, aku sudah mulai bangun malam dan memerhatikan bapa saudaraku solat. Tiba-tiba pada suatu hari dia bertanya kepada aku, adakah engkau mengingati Allah yang menjadikan engkau? Lalu aku bertanya, bagaimana cara mengingati-Nya?, kemudian beliau berkata kepada ku, sebutkan dalam hatimu tiga kali ketika hendak tidur tanpa menggerakkan lidah mu (Allah bersamaku, Allah melihatku dan Allah menyaksikanku).
Setelah beberapa kali aku melakukan, lalu disuruhkan pula aku menyebutnya tujuh kali pada setiap malam. Selepas itu disuruhnya pula sebelas kali sehingga aku merasakan kemanisan bacaan itu dalam hatiku. Setelah berlalu masa setahun, maka dia berkata kepadaku, "Wahai Sahal! jagalah baik-baik apa yang aku ajarkan engkau itu dan bacalah ia hingga engkau masuk ke dalam kubur."
Katanya lagi, "Wahai Sahal! Siapa yang mengetahui dan menyedari yang Allah sentiasa bersamanya, menyaksikannya, apakah boleh dia berbuat maksiat lagi? Jauhkanlah dirimu daripada perbuatan maksiat." Melalui proses latihan yang disebutkan di atas serta pendidikan keimanan yang murni muncullah Sahal menjadi seorang ulama' yang terkenal.
SOLAT
Firman Allah bermaksud:
"Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah solat." (Surah Luqman: 17). Islam memberikan keutamaan yang sangat besar kepada solat yang tidak pernah diberikan kepada ibadat lain. Kerana ia adalah tiang agama, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Pokok pangkal sesuatu adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad fi sabillillah." Solat yang dikhendaki oleh Islam bukanlah sekadar berkata-kata yang diucapkan oleh lidah dan pergerakan badan.

Tetapi solat yang sebenar adalah yang dilakukan dengan penuh perhatian dan tumpuan pemikiran, penuh rasa takut dalam hati serta menzahirkan keagungan dan kebesaran Allah, itulah solat yang diterima oleh Allah SWT.

Dari segi kejiwaan, solat memberikan ketenangan dan kekuatan bagi jiwa seseorang. Daripada segi kesihatan, ia mendidik seseorang supaya menjaga kebersihan dan melatih badan agar sentiasa segar dan cergas. Dari segi akhlak pula ia mencegah perbuatan mungkar dan menjaga waktu manakala dan dari segi kemasyarakatan solat mendidik persamaan dan persaudaraan.
BERBAKTI KEPADA IBU BAPA
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya mengandungkan dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. "Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu, kepada Ku jua tempatmu kembali." (Surah Luqman: 41)

Ibu bapa mempunyai kedudukan yang paling istimewa. Mereka menduduki tempat yang kedua sesudah beriman kepada Allah dan Rasulullah. Oleh kerana itu, tiada seorang pun di atas muka bumi ini yang dapat menyamai kedua dua ibu bapa. Berbakti kepada ibu bapa adalah wajib ke atas setiap anak dalam apa jua keadaan sekalipun ia merupakan asas terpenting dalam pendidikan Islam.

Manakala menderhaka kepada kedua ibu bapa adalah berdosa besar. Adalah mudah bagi anak-anak yang sudah biasa terdidik atas sikap berbakti dan menghormati kedua ibu bapa untuk dididik dan diasuh supaya menghormati jiran tetangga, guru-guru dan seterusnya menghormati manusia seluruhnya.

SABAR
Kesabaran adalah suatu keperluan dalam usaha menegakkan keimanan, melaksanakan amal soleh, memperjuangkan kebenaran dan keadilan. Semuanya bukanlah suatu perkara yang mudah. Oleh itu, ia sangat memerlukan kesabaran. Kesabaran dalam menghadapi hawa nafsu, musuh-musuh luar dan kesusahan lain. Begitu juga kesabaran amat perlu dalam menempuh jalan perjuangan yang amat panjang dan semestinya mengikuti tahap-tahap yang teratur untuk menuju matlamat.

JANGAN SOMBONG
Sifat takabur adalah lahir daripada perasaan bangga diri yang merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain. Biasanya seseorang yang takabur dikuasai oleh sifat-sifat buruk lain seperti taksub, mudah marah, dendam dan hasad dengki. Sebaliknya, Islam menganjurkan tawadduk kerana ia salah satu sifat terpuji yang amat digalakkan oleh Islam. Kalau takabur menjadi punca pertelingkahan dan perbalahan, maka tawaduk adalah pengikat yang menguatkan persaudaraan, mengukuhkan perpaduan serta melahirkan keselamatan dan ketenangan.
KESEDERHANAAN
Kesederhanaan menggambarkan ketenangan dan kesopanan tingkah laku. Tenang dan sopan santun adalah buah daripada budi pekerti mulia yang sangat dituntut oleh Islam. Begitu juga melembutkan suara ketika bercakap adalah menjadi ukuran pekerti mulia.
DAKWAH
Adalah menjadi fardhu ain bagi setiap muslim supaya melaksanakan tugas menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Firman Allah bermaksud:
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung," (Surah Ali Imran: 104).
Pendidikan Luqman adalah pendidikan yang menyeluruh dan lengkap meliputi asas-asas aqidah, ibadat, akhlak dan dakwah. Oleh sebab itulah Allah telah merakamkan pendidikan Luqman itu untuk dijadikan contoh kepada umat Islam sepanjang zaman.

Pasti Kawasan Kota Tinggi melebarkan sayap ke Tg. Sedili

SETELAH menempuh pelbagai halangan dan dugaan, Alhamdulillah akhirnya dengan izin Allah SWT, Pasti cawangan Tg. Sedili telah dapat ditubuhkan. Ia merupakan Pasti milik Kawasan Kota Tinggi yang ketiga selepas Pasti Al-Falah di Taman Kota Jaya dan Pasti Al-Hijrah di Taman Hijrah.

Jawatankuasa Pasti Kawasan Kota Tinggi telah mendapat kerjasama erat daripada PAS Kawasan Kota Tinggi, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat kawasan, PAS Cawangan Tg. Sedili dan juga Unit Amal dalam usaha menubuhkan Pasti di Tg. Sedili ini. Pendek kata, semua pihak telah bertungkus lumus menghulurkan pelbagai bentuk bantuan, sama ada wang ringgit mahupun tenaga bagi menjayakan usaha yang murni ini.

Sehubungan dengan tertubuhnya Pasti di Tg. Sedili ini, maka ketiga-tiga Pasti di Kawasan Kota Tinggi dinamakan Pasti Al-Falah bersempena dengan nama Pasti Kota Tinggi yang pertama. Di samping itu, ia juga bermaksud 'kemenangan' atau 'kejayaan' di dalam bahasa Arab. Pasti di Taman Kota Jaya kini disebut Pasti Al-Falah (1), di Taman Hijrah ditukar daripada Al-Hijrah kepada Al-Falah (2) dan di Tg. Sedili dikenali sebagai Al-Falah (3). Langkah ini juga diambil bagi memudahkan pihak Pentadbiran PASTI Kawasan Kota Tinggi memberi nama Pasti-Pasti yang bakal ditubuhkan nanti (Insya-Allah), di samping mencontohi kawasan-kawasan lain seperti Tebrau dan Simpang Renggam yang menggunakan hanya satu nama untuk Pasti masing-masing.



Gambar² gotong royong di Pasti Al-Falah (3)










* Gambar² di atas adalah ehsan blog Pas Kota Tinggi