Isnin, Februari 23, 2009

Hakikat Kehidupan Di Sebalik Permainan Ini

Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Ia duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam. Guru itu berkata, "Saya ada satu permainan... caranya begini, di tangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, sebutlah kapur dan jika saya angkat pemadam ini, sebutlah pemadam!"

Murid muridnya pun mengerti dan mengikuti. Guru berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian guru kembali berkata, "Baik, sekarang perhatikan. Imbang PenuhJika saya angkat kapur, sebutlah pemadam dan jika saya angkat pemadam, sebutlah kapur!" Diulangi beberapa kali, pada mulanya tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun setelah beberapa ketika, mereka jadi biasa dan tidak kekok lagi.

Sang guru tersenyum kepada murid-muridnya. "Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang batil itu batil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh-musuh kita memaksakan kepada kita dengan pelbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi batil, dan sebaliknya. Pada mulanya mungkin sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara yang menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kita akan terbiasa dengan hal itu. Dan kita mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kita tidak pernah berhenti daripada membalik dan menukar nilai dan etika."

"Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, tanpa rasa malu, sex sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend, hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain lain." "Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan dan kemaksiatan. Faham?" tanya Guru kepada murid-muridnya. "Faham cikgu..."

"Baik, permainan kedua..." begitu Guru melanjutkan.

"Cikgu ada Quran, cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang kamu berdiri di luar karpet. Permainannya adalah, bagaimana caranya mengambil Quran yang ada di tengah tanpa memijak karpet?"

Murid-muridnya berfikir . Ada yang mencuba dengan tongkat dan lain-lain.

Akhirnya Guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Quran. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet. "Murid-murid, begitulah umat Islam dan musuh-musuhnya... musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak kita secara terang-terang... kerana tentu kita akan menolaknya mentah-mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina di hadapan mereka. Tapi musuh-musuh Islam akan menggulung kita perlahan-lahan dari pinggir, sehingga kita tidak sedar."

"Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunkanlah aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau dimulai dgn tapaknya dulu, tentu saja hiasan-hiasan dinding akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, almari dibuang dulu satu persatu, barulah rumah dihancurkan..."

"Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan meletihkan kita. Mulai dari perangai kita, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun kita muslim, kita telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara mereka... dan itulah yang mereka inginkan. Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh-musuh kita... "

"Kenapa mereka tidak berani terang-terang memijak-mijak cikgu?" tanya murid- murid.

"Sesungguhnya dahulu mereka terang-terang menyerang, misalnya dalam Perang Salib, Perang Tartar dan lain-lain, tapi sekarang tidak lagi. Begitulah Islam... Kalau diserang perlahan-lahan, kita selaku umatnya tidak akan sedar dan akhirnya hancur. Tapi kalau diserang secara terang-terangan, kita akan sedar dan bangkit menentang."

"Kalau begitu, kita selesaikan pelajaran kita kali ini dan marilah kita berdoa dahulu sebelum pulang..."
Matahari bersinar terik tatkala anak-anak itu keluar meninggalkan tempat belajar mereka dengan pelbagai persoalan bermain di benak masing-masing...

Isnin, Februari 16, 2009

Sejarah PASTI Kawasan Kota Tinggi

PASTI pertama di Kawasan Kota Tinggi ditubuhkan pada bulan Januari, 2001. Bertempat di no. 67, Jalan Nangka, Taman Kota Jaya dan diberi nama Pasti Al-Falah. Idea penubuhan Pasti di Kota Tinggi ini pada mulanya dicetuskan oleh Allahyarham Sdra. Anuar bin Ahmad, Ketua Pemuda Pas Kawasan Kota Tinggi pada ketika itu. Di antara individu yang bertangjungjawab menubuhkan Pasti ini pula ialah Tn. Hj. Kamaldin bin Tahir (YDP PAS Kawasan Kota Tinggi), Tn. Hj. Monaim bin Hassan (pemilik premis), En. Abu Bakar bin Parlan, En. Abd. Hamid bin Ahmad, En. Mohd. Nizam bin Sulaiman dan beberapa orang lagi. Pada awal penubuhannya, hanya beberapa orang murid sahaja yang mendaftar. Namun itu tidak mematahkan semangat para AJK dan guru untuk memastikan Pasti Al-Falah terus beroperasi. Pelbagai usaha dan program dijalankan untuk menarik minat ibu bapa mendaftarkan anak-anak mereka yang berumur 5 dan 6 tahun belajar di Pasti. Akhirnya, berkat kegigihan dan kesabaran para AJK dan guru, tahun demi tahun bilangan murid Pasti Al-Falah kian bertambah.



"Murid-murid, tengok kamera.. muka kita nak masuk internet ni" - Cikgu Siti


Apa agaknya yang menggelikan hati Cikgu Umi ya?

Pengerusi Pasti Kawasan Kota Tinggi yang pertama ialah Al-Fadhil Ust. Ahmad Pairus bin Ali Akbar. Beliau berkhidmat sehingga tahun 2003. Selepas itu, tempat beliau digantikan oleh En. Abd. Hamid bin Ahmad sehingga tahun 2005 dan kemudiannya En. Mohd. Azlan bin Hj. Toriman mengambil alih jawatan pengerusi hinggalah sekarang. Beberapa orang guru telah silih berganti menabur budi membina generasi Al-Quran di Pasti Al-Falah. Mereka ialah:
1. Maizatul Azhan bt. Hj. Monaim (2001 - 2003)
2. Siti Wilin bt. Manon (2001 - 2002)
3. Cik Umi Shahrizah bt. Kassim (2002 - 2005), (2008 - kini)
4. Nadia bt. Saeran (2002 - 2003)
5. Pn. Aidah bt. Atan (2005 - 2006) (2007 - kini di Pasti Al-Falah 2)
6. Pn. Siti Zaharah bt. Othman (2005 - kini)
7. Cik Umi Hani bt. Abd. Rahman (Januari 2008 - Julai 2008)

Cik Umi Shahrizah yang berhenti pada tahun 2005 kerana melanjutkan pelajaran, kembali mengajar semula setelah menamatkan pengajiannya mulai tahun 2008 hingga kini. Beliau menggantikan Cik Umi Hani yang melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Pn. Aidah pula berpindah ke Pasti Al-Hijrah yang dibuka pada Januari 2007. Pada 20 Disember 2006, banjir besar telah melanda Kota Tinggi dan Pasti Al-Falah turut ditenggelami air sedalam 5 kaki, menyebabkan banyak barang dan dokumen musnah.




Keadaan Pasti Al-Falah selepas dilanda banjir



"Yang ni boleh guna lagi ni" - Cikgu Aidah

Dalam pada itu, sebuah lagi Pasti telah diwujudkan di Taman Hijrah yang dinamakan Pasti Al-Hijrah. Pasti ini dijadikan pusat pemindahan sementara untuk guru dan AJK yang menjadi mangsa banjir. Terlalu banyak kenangan pahit manis dan suka duka mangsa-mangsa banjir yang tinggal di Pasti ini ketika itu. Apa yang membanggakan, dalam menghadapi ujian Allah yang amat berat itu, Pasti tetap utuh malah bertambah satu lagi di Kota Tinggi ini. Semangat ukhwah fillah di kalangan AJK dan guru-guru menjadi semakin kukuh. Inilah hikmah di sebalik tiap-tiap satu kejadian.


Muslimat sibuk menyediakan makanan untuk mangsa banjir


Nenda Cikgu Siti, antara mangsa banjir yang ditempatkan di Pasti Al-Hijrah (kini Al-Falah 2)

Pn. Aidah Atan dan Pn. Salasiah Md. Jan menjadi guru yang pertama mengajar di Pasti Al-Hijrah. Sambutan daripada ibu bapa tidak kurang hebatnya. Kali pertama beroperasi pada tahun 2007, ia telah mempunyai seramai 33 orang murid. Murid-murid Pasti Al-Falah juga ditempatkan buat sementara di Pasti ini. April 2007, Pasti Al-Falah berpindah ke Jalan Tembikai, Taman Kota Jaya sementara premis asal dibaik pulih. Kira-kira empat bulan kemudian, Pasti Al-Falah beroperasi semula di Jalan Nangka setelah ia selesai dibaik pulih dan dicat baru.



Pasti Al-Falah 1, Tmn. Kota Jaya.. jauh lebih ceria berbanding dahulu


Cikgu Siti dan Cikgu Umi bergambar kenangan bersama murid-murid

Bulan Januari 2008, Pn. Salasiah mengundur diri dan tempatnya digantikan oleh Pn. Saziah Jamari. Awal tahun ini, Pn. Saziah pula mengundur diri, digantikan oleh Cik Nurhana Rosman. Nama Pasti Al-Hijrah juga diubah kepada Pasti Al-Falah 2, berikutan sebuah lagi Pasti ditubuhkan di Tg. Sedili yang diberi nama Pasti Al-Falah 3. Buat masa ini, Pasti Al-Falah 3 mempunyai seorang tenaga pengajar iaitu Cik Sara Fatin bt. Kholid dengan 5 orang murid. Oleh kerana lokasinya yang jauh dari bandar Kota Tinggi, Pasti ini ditadbir oleh jawatankuasanya sendiri yang diketuai oleh En. Kamaruzaman selaku pengurus cawangan.


Pasti Al-Falah 2, Taman Hijrah


Dari kiri: Cikgu Nurhana, Cikgu Aidah dan Cikgu Siti


Pasti Al-Falah 3, Tg. Sedili


Berdiri dari kiri: Cikgu Siti, Cikgu Sara dan Pn. Salmi

Kini, selepas 8 tahun, Pasti Kawasan Kota Tinggi kian matang. Pembaharuan demi pembaharuan telah dilakukan. Murid-muridnya kini bukan yang berumur 5 dan 6 tahun sahaja, malah sudah ramai yang berumur 4 tahun belajar di sini. Guru-guru juga diberi pendedahan tentang teknik-teknik mengajar terkini dari semasa ke semasa melalui pelbagai kursus, bengkel dan seminar, termasuklah kursus ICT yang dijalankan baru-baru ini. Mudah-mudahan seluruh pendokong Pasti di Kota Tinggi diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk terus bekerja dan berusaha memantapkan lagi institusi pendidikan Islam ini demi mencapai misi dan visi bagi melahirkan generasi Al-Quran. Insya-Allah!


Kursus Komputer di UTM

Kelima-lima orang guru Pasti Kawasan Kota Tinggi telah mengikuti Kursus Asas Komputer bertempat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai semalam (15/2/2009). Mereka ialah Pn. Siti Zaharah, Pn. Aidah, Cik Umi Shahrizah, Cik Nurhana dan Cik Sara Fatin. Seramai 13 orang guru Pasti dari kawasan-kawasan lain turut mengikuti kursus anjuran Jabatan Pasti Negeri Johor ini, yang mana tenaga pengajarnya terdiri daripada pelajar-pelajar tahun akhir Fakulti Teknologi Maklumat universiti tersebut. Sehari sebelumnya, iaitu pada hari Sabtu kursus ini telah dijalankan untuk para ALP Majlis Guru Pasti Negeri Johor (MGPNJ).

Guru-guru terbabit telah diajar asas-asas perisian Microsoft Office, iaitu Word, Excel dan Powerpoint bermula pada jam 9 pagi dan berakhir pada jam 4.30 petang. Ketiga-tiga perisian ini amat penting kerana penggunaannya yang meluas; antaranya untuk membuat surat, dokumen dan sebagainya bahkan alat bantu mengajar juga boleh dibuat menggunakan perisian ini. Oleh yang demikian, adalah merupakan satu keperluan untuk para guru Pasti menguasai kemahiran menggunakan komputer agar aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta urusan harian di Pasti menjadi lebih efektif dan efisyien.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Jabatan Pasti Negeri Johor, khususnya kepada Pengarah, Tn. Hj. Mohzid di atas inisiatif menjadikan guru-guru Pasti 'celik IT'. Semoga usaha ini akan membantu memperkasakan Pasti dan menaikkan martabat guru-gurunya di mata masyarakat. Diharapkan semoga pada suatu hari nanti kelas komputer untuk murid-murid Pasti pula dapat diadakan. Insya-Allah.

Selasa, Februari 03, 2009

Lawatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi

PADA 27 Januari lalu, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi telah membuat lawatan ke Pasti Al-Falah (2), Taman Hijrah.

Lawatan itu dilakukan untuk membuat pemeriksaan kesihatan ke atas murid-murid seperti pemeriksaan mata, kulit dan gigi. Di samping itu, berat badan murid juga ditimbang dan ketinggian mereka diukur.

Murid-murid juga telah diajar tentang pemakanan seimbang, cara-cara menjaga kebersihan diri seperti memberus gigi dan membasuh tangan yang betul ketika hendak makan. Ini demi memastikan mereka terhindar daripada penyakit akibat jangkitan kuman.

Pihak pengurusan Pasti Kawasan Kota Tinggi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kesudian pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi membuat lawatan dan memberi khidmat nasihat kesihatan secara profesional kepada murid-murid Pasti.











Isnin, Februari 02, 2009

Kursus Diploma Kepimpinan Islam

SERAMAI 2 orang guru dan 3 orang AJK Pasti Kawasan Kota Tinggi telah menyahut cabaran mengikuti kursus Diploma Kepimpinan Islam (dahulunya dikenali sebagai Diploma Tasawwur Islam) anjuran Institut Latihan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah Malaysia (Ilham) bertempat di Markas PAS Kg. Shaari, Spg. Renggam yang bermula pada 24 Januari lalu.

Mereka ialah Puan Siti Zaharah Othman dan Puan Aidah Atan manakala AJK pula terdiri daripada Encik Shamsul Bahri Alias yang juga suami kepada Puan Siti Zaharah serta satu lagi pasangan suami isteri, iaitu Encik Roslee Ibrahim dan Puan Rosnani Jusoh. Walaubagaimanapun, Puan Aidah tidak dapat mengikuti sesi pertama kursus ini disebabkan beliau mempunyai urusan penting.

Menurut Pengerusi Ilham Johor, Ybhg. Ust. Atan Gombang, kursus peringkat diploma ini akan diadakan sebanyak 12 sesi dengan setiap sesi dijalankan selama 8 jam (8.30pg - 6 - ptg) sebulan sekali pada hari Sabtu. Sekiranya tiada aral, para pelajar akan tamat pengajian pada bulan Disember nanti.

Pada sesi kali ini, seramai lebih kurang 50 orang daripada pelbagai peringkat usia dan dari segenap kawasan di negeri Johor telah mendaftar sebagai pelajar. Ust. Atan amat mengalu-alukan kehadiran para pelajar ini dan berharap agar kesemuanya akan berjaya menamatkan pengajian.

Subjek-subjek yang diajar ialah Bahasa Arab (Ust. Atan Gombang), Politik Islam (Datuk Dr. Mahfuz Mohamad), Pengajian Al-Quran (Ust. Razali Jamil Al-Hafiz) dan Aqidah Islamiyah (Ust. Abdullah Hussin) yang mana setiap satu subjek mengambil masa 2 jam bagi satu sesi.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada guru-guru dan AJK terbabit kerana berani mengharungi cabaran menuntut ilmu demi menambah pengetahuan dan memantapkan diri seterusnya memperkasakan Pasti itu sendiri.

Ahad, Februari 01, 2009

Lawatan Kerja ke Pasti Al-Falah (3)

PADA 23/1/2009, Ketua Guru Pasti Kawasan Kota Tinggi, Puan Siti Zaharah Othman telah melakukan lawatan kerja ke Pasti Al-Falah (3), Tg. Sedili. Tujuan lawatan ini dibuat ialah untuk meninjau perkembangan Pasti yang baru ditubuhkan itu.

Dalam lawatan itu, Puan Siti berkesempatan bertemu dengan bendahari Pasti tersebut iaitu Puan Salmi dan juga anak beliau, Cik Sara Fatin yang merupakan tenaga pengajar tunggal di situ. Puan Siti juga telah mengambil peluang memberi sedikit tunjuk ajar kepada Cik Sara cara-cara membuat persediaan mengajar yang betul serta teknik-teknik / akitiviti pengajaran dan pembelajaran. Kaedah pengajaran yang berkesan perlu dititikberatkan agar murid tidak merasa bosan dan objektif memberi pendidikan pra-sekolah yang berasaskan Al-Quran dan Sunnah dapat dicapai.

Puan Salmi pula menyatakan bahawa sumbangan dalam pelbagai bentuk sama ada wang ringgit, barangan dan tenaga terus mengalir masuk walaupun Pasti telah pun beroperasi dan ini membuktikan bahawa Pasti kini kian diterima masyarakat.

Secara umumnya, perkembangan di Pasti Al-Falah (3) Tg. Sedili ini dilihat memuaskan dengan pertambahan ABM dan penambahbaikan prasarana hasil semangat kerjasama antara AJK dan sumbangan para dermawan.

Adalah diharapkan agar Pasti ini akan terus berkembang maju dengan mendapat sokongan daripada masyarakat setempat ke arah melahirkan generasi Al-Quran di bumi Sedili. Semoga usaha yang murni ini mendapat restu dan keredhaan Allah SWT.

Antara ABM yang ditampal - nampak ringkas tetapi berguna

Cikgu Sara Fatin sedang bercerita dengan murid-muridnya selesai sesi pembelajaran

Pandangan hadapan yang kian ceria

Dari kiri: Cikgu Sara, Puan Salmi dan Cikgu Siti

Bergambar kenangan dengan murid-murid perintis Pasti ini