Jumaat, Ogos 21, 2009

Ramadhan Kareem!

ESOK kita akan mula berpuasa. Hari ini merupakan hari terakhir bulan Syaaban yang sebenarnya merupakan bulan latihan di samping bulan Rejab sebelumnya. Bagi kebanyakan orang, bulan Ramadhan adalah bulan latihan tapi kalau kita perhalusi, ia sebenarnya bulan ujian atau bulan peperiksaan - setelah dua bulan sebelum itu kita membuat latihan dengan memperbanyakkan puasa sunat, membaca Al-Quran serta pelbagai amalan sunat lain. Inilah yang telah dipraktikkan oleh para salafussoleh di zaman silam.

Bagi yang sudah membiasakan diri dengan banyak berpuasa sunat pada bulan Rejab dan Syaaban, Insya-Allah ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan akan dapat dijalani dengan mudah. Begitu juga dengan amalan membaca Al-Quran, sekiranya sudah dilazimi sejak bulan Rejab dan Syaaban maka mudahlah usaha mengkhatam Al-Quran pada bulan Ramadhan ini. Namun, walau bagaimanapun tahap persediaan kita, Ramadhan tetap datang. Marilah sama-sama berdoa semoga kita dapat mengisi Ramadhan ini dengan amal soleh sebanyak-banyaknya, lebih baik daripada tahun lalu.

Kami warga PASTI Kawasan Kota Tinggi ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada para Muslimin dan Muslimat sekalian, semoga Allah kurniakan kita semua kesihatan dan kekuatan untuk melaksanakan ibadah di sepanjang bulan mulia ini.

Kami juga ingin memaklumkan bahawa di sepanjang bulan Ramadhan, kami tidak menyediakan makan/minum kepada murid-murid pada waktu rehat bagi menghormati bulan yang penuh barokah ini di samping bertujuan melatih murid-murid berpuasa. Walau bagaimanapun, murid-murid yang belum boleh berpuasa atau baru belajar puasa dibenarkan membawa bekal dari rumah.

Khamis, Ogos 20, 2009

Petua Tentang Puasa

DUA hari lagi umat Islam akan menyambut puasa. Seronok, kan? Tentu seronok. Orang dulu-dulu apabila hendak menyambut puasa, persediaannya dibuat lebih awal. Itu sebabnya bulan Rejab dan Syaaban bagi mereka sungguh meriah - melazimkan puasa sunatnya, memperbanyakkan bacaan Qurannya, membangunkan malam dengan solat dan zikirnya serta bermacam-macam lagi ibadah ekstra. Jadi, apabila datang bulan Ramadhan momentum sedia ada itu dilancarkan lagi. Ibarat orang sudah buat persediaan berjoging selama dua bulan, masuk bulan ketiga kacang saja nak berlari. Itu cerita orang dulu-dulu.

Eh, nak puasa pun kena buat persediaan ke? Apa yang susah sangat puasa tu sampai kena buat latihan-latihan pula? (Puasa ganti yang dibuat last minute ini pun kiranya macam latihanlah ni). Gitulah kira-kiranya orang kita umat akhir zaman ni. Itulah kalau kita nampak ibadah puasa sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga (macam yang difaham oleh anak-anak kita dari kelas tadika tu le). Sebenarnya kedatangan Ramadhan menuntut kita membuat lebih daripada itu. Iaitu menahan diri dari segala yang nafsu suka dan melakukan sebanyak-banyaknya amal kebaikan yang memang nafsu sangat-sangat tak suka. Maka, sebab itulah orang-orang dulu terutama orang soleh tidak mengambil ringan latihan-latihan ibadah sebelum tibanya bulan Ramadhan (orang putih kata practise make perfect).

Boleh ke start-start je Ramadhan, terus menahan diri dari semua keinginan nafsu? Larat ke datang je Ramadhan terus berduyun-duyun ke surau dan masjid untuk bertarawih dan bertadarus? Mampu ke tiba je Ramadhan terus capai Quran (yang sebelum ini jarang-jarang dicapai) dan mengkhatamnya sebelum sampai Syawal? Sanggup ke kita sampai je Ramadhan terus mengokot (orang putih kata stapler) bibir dari bercakap benda yang bukan-bukan atau mengawal seluruh pancaindera dari melakukan perkara-perkara yang tak elok? Jawapannya tentulah payah dan sukar. Minggu pertama Ramadhan mungkin masih panas lagi semangat tu tapi masuk minggu kedua.. minggu ketiga baru terasa betapa sukarnya mengekalkan suhu panas ini dari terus sejuk dan sejuk. Tambah-tambah pula ujian-ujian saat menghampiri Syawal sedia diakui sangat mencabar dan sukar. Gamaknya itulah punca kenapa jemaah Tarawih di surau dan masjid semakin mengecil saat ke penghujung Ramadhan (sebab ramai yang berjemaah di shopping complex pula). Kaji-kaji punca rupanya kerana tak mampu mengekalkan momentum larian dek kerana tiada persediaan awal Ramadhan seperti yang diperkatakan tadi.

Oleh itu, macam mana nak buat? Ramadhan tinggal dua hari saja ni! Tak sempat nak buat exercise mahupun preparation dah ni. Ok, apa hal sekali pun, Ramadhan tetap datang sama ada kita bersedia atau tidak, mahu atau tidak, hendak atau tak hendak! Jadi, berusaha dan berdoalah agar kita mampu mengisi Ramadhan kali ini dengan amalah yang terbaik, jauh lebih baik daripada tahun-tahun yang lepas. Manalah tahu entah-entah ini Ramadhan kita yang terlast..

Ahad, Ogos 16, 2009

Perancangan Keluarga Mukmin

UNTUK menempa kejayaan dalam apa jua bidang dan aspek kehidupan, perancangan adalah penting. Orang yang gagal dalam hidup bukannya merancang untuk gagal tetapi biasanya kerana gagal untuk merancang. Perancangan juga tidak berguna jika tidak ada tindakan susulan. Jika tidak dipecahkan ruyung, mana mungkin akan dapat sagunya.

Demikian juga dalam mendirikan rumah tangga. Hikmah berkahwin itu bukan setakat untuk menghalalkan hubungan biologi antara pasangan suami isteri tetapi harus lebih jauh daripada itu. Antara tujuan pernikahan ialah melanjutkan zuriat keturunan dan memperbanyakkan jumlah umat Nabi Muhammad SAW. Justeru itu, termasuk dalam cita-cita hidup orang Mukmin itu untuk merancang membentuk keluarga sakinah dan rumah tangga pejuang demi mendokong pembangunan ummah. Usaha murni ini pastinya akan menyenangkan hati Nabi Muhammad SAW.

Ini kerana Rasulullah SAW berbangga dengan umat yang banyak. Dinukilkan daripada Ma'qil Ibnu Yasar, ia berkata: "Telah datang seorang lelaki menghadap Rasulullah SAW dan bertanya, "Sesungguhnya aku hendak menikahi seorang wanita yang baik dan cantik, namun dia tidak mampu melahirkan anak. Apakah aku boleh menikahinya?" Rasulullah SAW menjawab, "Tidak!" Kemudia di saat yang lain orang itu datang lagi berjumpa Rasulullah SAW untuk meminta izin menikahi wanita itu, namun Nabi SAW tetap melarangnya dan bersabda: "Nikahilah wanita penyayang dan subur. Sungguh aku membanggakan jumlah kalian yang banyak di antara umat-umat lain." (Riwayat Abu Daud dan Nasa'i)

Pastinya akan dikecapi kemanisan iman apabila seseorang itu dapat menggembirakan Nabinya dan menjadi sebahagian mata rantai mendokong wawasan besar baginda. Tentu sekali hal ini berkaitan dengan kekuatan ummah agar agama Islam dan umatnya terbela, maju, berwibawa dan tinggi hingga dapat memayungi umat manusia.

Selanjutnya, tentu bukan sahaja kuantiti yang dibanggakan Rasulullah SAW tetapi juga kualiti. Tidak ada maknanya bilangan yang banyak jika tidak berkualiti ibarat kekuatan buih air di laut walaupun menggunung besarnya. Daripada Tsauban r.a., beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Hampir akan tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka." Maka salah seorang sahabat bertanya, "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih air pada waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan campakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan" Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu ya Rasulullah?" Nabi menjawab, "Cinta dunia dan takut mati." (Riwayat Abu Daud)

Hadis ini memperlihatkan kegusaran hati Rasulullah SAW terhadap bilangan umatnya yang ramai pada akhir zaman tetapi tidak berkualiti. Ini kerana mereka lemah akibat ditimpa penyakit cinta kehidupan dunia dan takut menghadapi kematian.

Sebenarnya para ibu bapa seharusnya merasa takut apabila tidak merancang dan meninggalkan usaha untuk membentuk generasi Mukmin yang berkualiti. Ini kerana Allah SWT juga memberi ancaman kepada para ibu bapa yang mati mewariskan zuriat keturunan yang lemah. Firman-Nya: "Dan hendaklah merasa takut kepada Allah, orang yang seandainya meninggalkan di belakang anak-anak zuriat keturunan yang lemah." (An-Nisa': 9)

Generasi pewaris yang kuat itu bukan sahaja pada fizikalnya, tetapi kuat dan besar jiwanya. Sedaya mungkin diusahakan agar anak-anak Muslim itu lurus dan benar akidahnya, betul dan sah ibadahnya, teguh dan terpuji akhlaknya, terpelajar dan waras akalnya, memiliki tubuh yang kuat dan sihat, kuat kemahuan dan pejuang untuk dirinya, punyai cita-cita perjuangan, ada kemahiran dan yakin diri untuk berusaha, berguna kepada orang lain, bijak memafaatkan masa, mampu berdikari mengatur urusan dan menyelesaikan masalah. Semua kriteria ini diperlukan untuk membangun ummah yang berwibawa dan berhemah tinggi.

Jika gagal berbuat demikian maka ibu bapanya yang rugi dan paling dahulu menerima padah bencana daripada anak-anaknya. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang-orang yang rugi adalah orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarganya pada hari kiamat. Ingatlah yang demikian itu adalah kerugian yang jelas nyata." (Az-Zumar: 15)

Maka sayugialah atas dasar cinta kepada Nabi SAW setiap ibu dan bapa memperbaharui tekad melaksanakan jihad untuk memperbanyakkan bilangan umat Muhammad yang berkualiti agar dengan itu senang hati baginda. Ia dapat dicapai dengan membentuk keluarga dan generasi Mukmin yang solehin. Mudah-mudahan ibu bapa mendapat saham apabila Allah mewariskan bumi ini hingga meriah dan makmur dengan kebaikan kepada zuriat mereka nanti. Janji Allah SWT dalam firman-Nya: "Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Loh Mahfuz, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hamba-Ku yang soleh." (Al-Anbiya': 105)

Dipetik dari: Majalah ANIS keluaran April 2009

Menjelang Ramadhan: Pugarlah Bumi Hatimu

KEDATANGAN Ramadhan merupakan satu peristiwa yang sangat bermakna dan penting bagi orang Mukmin. Ia amat ditunggu-tunggu kerana apabila menjelangnya Ramadhan, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sesungguhnya telah datang Ramadhan, bulan yang berkat. Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu-pintu neraka dan ditambat para syaitan. Pada bulan ini terdapat satu malam yang terbaik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya maka sesungguhnya dia rugi." (Riwayat Ahmad dan Nasa'i)

Rasulullah SAW menegaskan bahawa Ramadhan bukan sahaja bulan untuk berpuasa tetapi ia datang dengan penuh keberkatan. Kedatangan Ramadhan membuka seluas-luasnya jalan untuk beramal ibadah dengan mudah. Ini kerana para syaitan yang sentiasa menghalang dan merintangi manusia daripada melakukan amal ibadah dalam bulan-bulan yang lain telah dirantai.

Ramadhan juga membuka peluang untuk mendapatkan pahala yang berlipat kali ganda banyaknya. Inilah yang dimaksudkan dengan pintu-pintu syurga dibuka dengan seluas-luasnya. Sementara itu pintu-pintu neraka pula ditutup serapat-rapatnya apabila jalan-jalan perlakuan dosa dipersempitkan sepanjang bulan Ramadhan. Inilah antara bonus bantuan dan kemudahan yang tersedia pada bulan Ramadhan untuk seseorang mengejar keterlanjurannya pada masa lalu. Pemberian istimewa Allah ini tentunya sungguh besar ertinya kepada hamba-Nya yang lemah dan culas beribadah. Sehingga kerana itu menyebabkan mereka jauh ketinggalan di belakang dalam mempersiapkan bekalan hidup di akhirat. Sebaik-baik bekalan untuk selamat di akhirat adalah amalan takwa. Allah SWT berfirman: "Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal." (Al-Baqarah: 197)

Ibadah puasa adalah syiar Ramadhan yang terpenting. Sebabnya kerana sifat takwa dapat diperolehi melalui berpuasa. Allah SWT berjanji kepada sesiapa yang berpuasa dengan sebenar-benarnya pasti akan mencapai darjat takwa. Firman-Nya: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Al-Baqarah: 183)

Selain kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan, ayat ini juga menyatakan tujuan akhir daripada ibadah puasa iaitu takwa. Takwa adalah darjat kemuliaan dan pangkat tertinggi yang boleh dicapai oleh seseorang hamba Allah. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (Al-Hujurat: 13)

Dengan adanya takwa, seseorang itu layak mendapat kemuliaan dan menjadi orang yang paling mulia, dijanjikan syurga, diberikan hidayah dan keampunan serta diberikan bantuan sejak di dunia lagi.

Oleh kerana takwa itu begitu mahal harganya maka mendapatkannya tentulah sukar. Namun atas kasih sayang Allah, dibukakan tawaran mega istimewa untuk para hamba-Nya memperoleh takwa dengan lebih mudah pada bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain. Inilah pakej hadiah yang diburu oleh para salafussoleh.

Peluang berharga bertemu Ramadhan hanya sekali dalam setahun. Tiada siapa yang pasti akan dipanjangkan umur. Oleh itu, sebaik sahaja memasuki bulan Rejab maka para salafussoleh tidak lupa berdoa sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW: "Ya Allah! Berkatilah atas kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadhan." (Riwayat Imam Al-Baihaqi)

Kenapa selain memohon bertemu Ramadhan, mereka turut minta diberkati dalam menjalani bulan-bulan Rejab dan Syaaban? Sebab pada kedua-dua bulan tersebut para salafussoleh gigih membuat persiapan zahir dan batin supaya sebaik sahaja memasuki Ramadhan, mereka terus dapat mengambil semaksimum manfaat kebaikan yang tersedia di dalamnya.

Bagi mereka, bulan Ramadhan iu ibarat musim tengkujuh yang akan lebat dengan hujan hidayah, rahmat, keberkatan, keampunan dan kasih sayang Allah SWT. Justeru itu, pada bulan Rejab dan Syaaban mereka sibuk memugar bumi hati mereka dan menyiapkan takungan sebagai persediaan untuk menyerap dan menadah hujan hidayah dan lain-lainnya yang bakal turun.

Bumi yang gembur akan mampu menyerap lebih banyak air berbanding tanah yang keras. Begitu juga wadah takungan yang besar akan mampu menakung lebih banyak air berbanding yang kecil. Hal ini difahami berdasarkan firman Allah SWT: "Allah telah menurunkan air (hujan) dari langit, maka mengalirlah air di lembah-lembah menurut ukurannya." (Ar-Ra'du:17)

Sudah menjadi sunnatullah bahawa air hujan dari langit akan turun ke kawasan lembah (rendah) menjadi takungan air yang berbeza nama menurut ukuran saiznya. Air hujan yang mengalir turun ke lembah yang kecil ukurannya akan bertakung menjadi lopak air sahaja. Manakala bagi lembah yang besar maka takungan air yang terbentuk akan menjadi sebuah kolam. Seterusnya jika ukuran lembah itu jauh lebih luas dan dalam, maka takungan air hujan akan menjadi tasik ataupun lautan.

Oleh itu, Ramadhan dilihat peluang terbaik menakung sebanyak-banyak hidayah, rahmat, nikmat, kasih sayang Allah dan seumpamanya. Dengan memiliki sebanyaknya kurniaan Allah ini maka akan cerahlah peluang untuk memperolehi ijazah takwa. Oleh itu, sebagaimana lazimnya seseorang yang bakal menduduki sesuatu peperiksaan, maka pada bulan-bulan sebelumnya perlu membuat persediaan dengan latihan, ulang kaji dan seumpamanya. Begitu juga dengan para salafussoleh, sebelum memasuki bulan Ramadhan mereka tekun membuat latihan jiwa dan memperbaiki amalan. Di antara amalan-amalan mereka itu ialah:

1. MEMPERBANYAKKAN PUASA SUNAT
Mereka mencontohi Nabi SAW yang lebih gemar berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding bulan-bulan yang lain. Sayidatina Aisyah berkata: "Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan berpuasa sepertimana pada bulan Syaaban." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi SAW pernah ditanya, mengapa baginda melebihkan berpuasa sunat pada bulan Syaaban berbanding bulan-bulan yang lain. Baginda bersabda: "Bulan itu (Syaaban) yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya (buku catatan) amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka aku suka supaya amal ibadahku diangkat ketika aku sedang berpuasa." (Riwayat An-Nasa'i)

2. MEMPERBAHARUI TAUBAT DAN BANYAK BERISTIGHFAR
Bertaubat dan beristighfar boleh mensucikan jiwa dari dosa. Firman Allah SWT: "Dan bertaubatlah kau sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya." (An-Nur: 31)

Selain dosa dan kesalahan kepada Allah, keampunan dipohon daripada sesama manusia, khususnya ibu bapa, suami atau isteri. Mereka memohon taubat dan keampunan untuk diri sendiri, bahkan turut memohon keampunan untuk kedua ibu bapa dan guru-guru mereka.

3. MELAZIMI BANYAK MEMBACA AL-QURAN, BERZIKIR DAN BERDOA
Syaaban adalah bulan mendampingi dan menjinakkan diri dengan Allah melalui ibadat-ibadat fardhu dan sunat. Antaranya seperti memperbanyakkan membaca Al-Quran, berdoa dan berzikir. Kejinakan hati seseorang melakukan ibadah dengan penuh takwa dalam bulan Syaaban dijanjikan rahmat dan keampunan yang amat banyak daripada Allah. Bahkan melakukan ibadah dengan penuh takwa dalam bulan Syaaban akan menghasilkan cahaya iman daripada Allah kepada hamba-Nya. Cahaya ibadat yang dikurniakan Allah itu akan menjadi penyelamat di akhirat kelak.

4. MUHASABAH DAN MURAQABAH UNTUK MEMPERBAIKI DIRI
Menjelang Ramadhan juga, masa diisi dengan banyak melakukan muhasabah diri dan meneliti kelalaian diri. Setelah itu para salafussoleh bermujahadah membuat latihan jiwa untuk menghukum kelalaian diri mereka.

Demikianlah sebahagian daripada tradisi hidup salafussoleh menjelang Ramadhan. Di sinilah rahsia kejayaan mereka dalam mengambil sepenuh manfaat dan kebaikan yang tersedia dalam bulan Ramadhan. Kegagalan mencontohi tradisi hidup mereka menjadi punca kenapa setiap tahun umat Islam akhir zaman kecundang dalam memperbaiki mutu puasa dan ibadah lain pada bulan Ramadhan. Mudah-mudahan dengan mencontohi mereka, kejayaan mereka dapat dikongsi bersama. Sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang menyerupai suatu kaum maka ia termasuk golongan mereka." (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Dipetik dari: Majalah ANIS keluaran Ogos 2009

Bersedia Awal Agar Tidak Kempunan

ORANG-ORANG soleh dahulu mempersiapkan diri untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan sejak bulan Rejab lagi. Mereka menganggap bulan Ramadhan yang diperkayakan Allah dengan pelbagai keistimewaan dari segala bulan yang lain sebagai bulan kemuncak latihan jiwa seseorang hamba kembali menuju Tuhannya.

Bulan Ramadhan disifatkan sebagai medan peperiksaan. Jika lulus dengan cemerlang maka mereka akan memperoleh ijazah takwa. Manakala bulan Rejab dan Syaban menjadi medan latihan untuk mereka mempersiapkan diri. Pandangan begini amat berbeza dengan kebanyakan umat Islam hari ini yang menganggap bulan Ramadhan sebagai bulan latihan. Kerana itu mereka memasuki gelanggang Ramadhan tanpa persiapan awal.

Inilah antara sebabnya mengapa tahun demi tahun, pencapaian mutu ibadah puasa kita masih di takuk lama - tidak membuahkan peningkatan iman dan takwa yang ketara. Bandingkan dengan pencapaian orang yang sudah bersedia awal 'memanaskan badan' sebelum memasuki gelanggang dan medan tempur pada bulan Ramadhan, tentunya mereka akan mencapai kejayaan yang lebih besar dan bermakna.

Orang-orang soleh zaman dahulu juga menganggap bulan Ramadhan sebagai musim tengkujuh. Ini kerana bulan Ramadhan sarat dengan keberkatan dan kebaikan yang melimpah ruah bagaikan hujan lebat turun dari langit. Iaitu hujan hidayah, hujan keampunan, hujan rahmat dan belas kasihan Allah.

Terlalu banyak keterangan tentang manfaat dan kelebihan bulan Ramadhan boleh ditemui dalam ayat Al-Quran dan hadis Nabi SAW. Seringkali ia diulang bicara apabila masuk bulan Ramadhan setiap tahun. Namun prestasi menjalani ibadah dan rehlah rohani kebanyakan umat tidak banyak berubah dari setahun ke setahun.

Salah satu faktornya kerana tidak mencontohi para salafussoleh yang tekun bersedia dari bulan Rejab dan Syaaban untuk menumpukan ibadah pada bulan Ramadhan. Mereka bersiap sedia menggembur bumi dan menyiapkan takungan sebesar-besarnya untuk menadah hujan rahmat dan lain-lainnya yang bakal turun dalam bulan Ramadhan.

Tentu sekali sesiapa yang menyediakan takungan sebesar baldi akan memperolehi air hanya sebanyak itu. Sesiapa yang menyediakan bekas yang lebih besar akan dapat menakung air yang lebih banyak. Sementara sesiapa yang leka sebelum Ramadhan hingga tidak sempat menyiapkan takungan untuk menadah hujan keberkatan dan kebaikan sepanjang bulan Ramadhan akan kempunan dan berputih mata.

Justeru itu, marilah kita isi bulan-bulan sebelum Ramadhan dengan menghitung kelalaian diri dan menyuluh kesihatan rohani diri sendiri serta membuat pembaikan. Insafilah peringatan daripada Nabi SAW tentang mereka yang keluar dari Ramadhan tetapi gagal mendapat keampunan Allah maka celakalah orang itu. Mudah-mudahan kita dapat bersedia awal sebelum Ramadhan menjelang tiba agar kecelakaan dapat dielakkan.

Dipetik dari: Majalah ANIS keluaran Ogos 2009

Ahad, Ogos 09, 2009

Syaaban... Bulan Menjinakkan Hati

SYUKUR kita dipinjam dan dipanjangkan lagi usia hingga bertemu pada bulan Syaaban tahun ini. Syaaban yang penuh berkat dan kemuliaan. Bulan kebanggaan junjungan yang mulia, Muhammad rasul pilihan. Sayidatina Aisyah telah meriwayatkan bahawa junjungan yang mulia begitu kasih dan sayang terhadap bulan Syaaban melebihi bulan-bulan yang lain. Sabda baginda, "kelebihan Syaaban daripada bulan-bulan lain adalah seperti kelebihanku di atas segala umat." Sesungguhnya bulan Syaaban ini penuh kemuliaan, ketinggian, kebajikan, serta bulan untuk menjinakkan hati dengan Allah Azzawajalla. Kelak hati kita akan diliputi cahaya keimanan yang hakiki, cahaya hidayah yang abadi, bakal menerangi jiwa dan roh kudus suci.

Keagungan Syaaban dengan malam Nisfu Syaabannya sepertimana keagungan Rejab dengan malam Israk Mikrajnya, keagungan Ramadhan dengan malam Lailatulqadarnya. Setiap umat Islam dituntut melipat gandakan amalan pada malam Nisfu Syaaban dengan bersolat, beribadat, bertaubat, memohon diampunkan segala dosa yang telah dilakukan setelah berpuasa pada siangnya. Perbanyakkan istighfar pada bulan Syaaban ini dengan menyesali segala dosa dan kesalahan serta minta diampunkan dengan hati yang tulus dan suci. Allah SWT telah berjanji, sesiapa yang memohon ampun dengan seikhlas hati akan diampunkan dosanya walaupun sebanyak buih di lautan ataupun beribu bintang di langit selagi dia tidak menyekutukan Allah dan memutuskan silaturrahim sesama manusia. Malah, sesiapa yang ditemukan bala bencana akan segera dihapuskan kesusahannya, sesiapa yang memohon limpah kurnia-Nya dengan meminta rezeki akan disegerakan rezekinya dengan penuh kepuasan.

Pada malam Nisfu Syaaban juga disunatkan membaca Surah Yasin tiga kali selepas Maghrib mengikut amalan Imam Syahrurrazi. Yasin pertama, minta dilanjutkan usia dalam kebajikan, iman yang berkekalan dan di dalam ketaatan terhadap Ilahi. Kemudian dibaca Yasin yang kedua, minta diluaskan rezeki yang halal agar sentiasa di dalam nikmat yang berterusan penuh keberkatan. Kemudian diteruskan dengan Yasin yang ketiga, memohon dimatikan di dalam iman, dengan kesudahan hidup yang Husnul Khotimah (pengakhiran hayat di dalam kebaikan). Banyakkan membaca penghulu istighfar yang berbunyi: "Sesungguhnya Engkau ya Allah adalah Tuhanku, tiada Tuhan melainkan Engkau. Engkau telah menciptakan aku, dan akulah hamba-Mu yang sentiasa berada di dalam ketetapan-Mu dan genggaman-Mu. Sesungguhnya aku tidak berkuasa, aku minta perlindungan kepada-Mu daripada segala kejahatan yang telah aku lakukan. Aku mengaku di atas segala nikmat-Mu ke atasku dan aku mengaku di atas segala dosaku, maka ampunilah aku. Sesungguhnya Engkaulah jua yang mengampunkan segala dosa."

Setelah Allah mengampunkan kita, akan tenang rasa di jiwa, aman dan tenteram di hati. Tetapi sebagai manusia, sudahkan kita memaafkan kesalahan orang terhadap kita, terutama musuh kita? Beranikah kita menghakis bersih dari persada hati perasaan dendam kerana kesalahan teman dan saudara yang sengaja dan tak sengaja? Ingatlah, membalas kebaikan dengan balasan kejahatan adalah serendah-rendah budi. Membalas kejahatan dengan kejahatan bukanlah perikemanusiaan. Membalas kebaikan dengan kebaikan adalah kebiasaan, tetapi setiap kejahatan yang dibalas dengan kebaikan adalah cita dan cinta kemanusiaan yang setinggi-tingginya.

Patutlah kita hidup dan bercita-cita sedemikian, iaitu membalas kejahatan dengan kebaikan. Sematkan di dalam diri kita ingin mencapai ke tahap itu demi mendapatkan kemuliaan sejati. Memang sakit dan perit di jiwa kita untuk membalas kejahatan orang dengan kebaikan kita. Di dalam batin kita amat hebat dengan gelora perjuangan antara nafsu jahat dengan budi mulia. Nafsu amarah membayangkan penderitaan kita kerana kesalahannya terhadap kita, kerugian kita kerana kita teraniaya. Jika kita memaafkan dia, untunglah dia tetapi di sinilah letaknya ketinggian budi dan kemuliaan insan muslim yang sejati. Memaafkan perbuatan jahat orang terhadap kita, kemudian diberikan balasan kebaikan adalah kemenangan budi yang mulia. Tewaslah nafsu serakah manusia kerana ketinggian budi kita, teman terhindar dari dosa. Musuh mungkin bertukar menjadi teman karib dan setia. Bukan mustahil jika diizin Allah Azzawajalla. Bagi kita, harga diri naik setingkat lagi dan kehidupan sentiasa mewangi serta terbentuklah kekuatan peribadi.

Seorang pujangga Arab pernah berkata, "Cubalah simpulkan kembali tali persaudaraan yang telah putus, jalinkan semula ikatan persahabatan yang terungkai, maafkan kesalahan orang terhadap anda, nescaya dapat dirasai nikmat kemanusiaan dan kemanisan jiwa."

Kata Lukmanul Hakim, "Tak dapat dikenal kemanusiaan seseorang melainkan pada tiga situasi. Dikenal pemaaf ketika dia marah, dikenal berani ketika di medan juang, dikenal sahabat sejati ketika dalam kesusahan."

Pada Syaaban yang mulia ini, harap renung-renunglah diri berpandukan coretan ini. Semoga Ramadhan yang bakal menjelang, kita masuk ke dalamnya sebagai sehelai kain putih yang bakal dilorek pahala berganda.

Dipetik dari: Majalah Anis keluaran Ogos 2008