Khamis, Mei 28, 2009

Sambutan Hari Guru Peringkat Zon Kota Tinggi, Pengerang & Tenggara

PADA 24 Mei lalu, sambutan Hari Guru peringkat zon telah diadakan di Taman Hijrah, Kota Tinggi membabitkan tiga kawasan iaitu Kota Tinggi, Pengerang dan Tenggara. Majlis yang bermula pada pukul 2 petang itu dihadiri oleh guru-guru PASTI dan Ahli-ahli Jawatankuasa PASTI ketiga-tiga kawasan beserta keluarga. Bekas Pengarah PASTI Johor, Tn Hj Mohzit telah diundang bagi merasmikan majlis.

Majlis dipengerusikan oleh Pengerusi PASTI Kawasan Kota Tinggi, Sdra Mohd Azlan Toriman dan dimulakan dengan bacaan doa. Pengerusi PASTI Kawasan Tenggara, Sdra. Baharin kemudiannya menyampaikan ucapan. Dalam ucapannya Sdra Baharin menyentuh tentang ketokohan dan keilmuan Tok Kenali (1870 - 1933), seorang tokoh ulama, guru dan pemikir Islam di rantau ini yang berasal dari Kelantan. Tok Kenali merupakan seorang alim rabbani yang hidupnya banyak berpandukan Al-Quran dan Sunnah. Sdra Baharin mengharapkan agar guru-guru PASTI dapat mencontohi perjuangan Tok Kenali yang mengharungi ranjau dan liku dalam menuntut ilmu dan menurunkan pula ilmu yang diperolehi tanpa mengharapkan apa-apa habuan duniawi. Difahamkan bahawa Tok Kenali telah menuntut ilmu ke Mekah ketika berumur 18 tahun dengan serba kekurangan dan kepayahan namun berkat keikhlasan dan kesungguhan beliau, akhirnya beliau menjadi ulama tersohor di rantau ini dan mempunyai begitu ramai anak murid.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan perasmian oleh bekas Pengarah PASTI Johor, Tn Hj Mohzit yang menyifatkan guru-guru PASTI ibarat lilin yang membakar diri bagi menerangi orang lain. Beliau amat menyanjung tinggi jasa dan pengorbanan guru-guru PASTI yang tidak mengharapkan gaji lumayan untuk mengajar dan mendidik murid-murid. Beliau berharap semoga guru-guru PASTI terus ikhlas dan bersemangat memberi perkhidmatan yang terbaik walaupun beliau tidak lagi menjadi Pengarah PASTI Johor. Ujar beliau lagi, segala usaha dan tenaga yang dicurahkan bagi memartabatkan PASTI dan menjadikannya institusi pendidikan pra-sekolah yang terunggul di negara ini hendaklah ikhlas kerana Allah SWT semata-mata.

Tn Hj Mohzit kemudiannya telah sudi menyampaikan cenderahati dan hadiah cabutan bertuah kepada guru-guru serta pembantu PASTI ketiga-tiga kawasan. Majlis kemudiannya diteruskan dengan acara jamuan dan turut dimeriahkan dengan persembahan nasyid oleh bekas murid-murid PASTI Kawasan Tenggara sebelum bersurai pada pukul 5.30 petang.

Foto-foto sekitar majlis tersebut:

Pengerusi PASTI Kawasan Kota Tinggi, Sdra Azlan

Pengerusi PASTI Kawasan Tenggara, Sdra Baharin

Bekas Pengarah PASTI Johor, Tn Hj Mohzit

Antara guru PASTI dan jemputan yang hadir

Persembahan nasyid oleh bekas murid² PASTI Tenggara