Isnin, Februari 16, 2009

Sejarah PASTI Kawasan Kota Tinggi

PASTI pertama di Kawasan Kota Tinggi ditubuhkan pada bulan Januari, 2001. Bertempat di no. 67, Jalan Nangka, Taman Kota Jaya dan diberi nama Pasti Al-Falah. Idea penubuhan Pasti di Kota Tinggi ini pada mulanya dicetuskan oleh Allahyarham Sdra. Anuar bin Ahmad, Ketua Pemuda Pas Kawasan Kota Tinggi pada ketika itu. Di antara individu yang bertangjungjawab menubuhkan Pasti ini pula ialah Tn. Hj. Kamaldin bin Tahir (YDP PAS Kawasan Kota Tinggi), Tn. Hj. Monaim bin Hassan (pemilik premis), En. Abu Bakar bin Parlan, En. Abd. Hamid bin Ahmad, En. Mohd. Nizam bin Sulaiman dan beberapa orang lagi. Pada awal penubuhannya, hanya beberapa orang murid sahaja yang mendaftar. Namun itu tidak mematahkan semangat para AJK dan guru untuk memastikan Pasti Al-Falah terus beroperasi. Pelbagai usaha dan program dijalankan untuk menarik minat ibu bapa mendaftarkan anak-anak mereka yang berumur 5 dan 6 tahun belajar di Pasti. Akhirnya, berkat kegigihan dan kesabaran para AJK dan guru, tahun demi tahun bilangan murid Pasti Al-Falah kian bertambah.



"Murid-murid, tengok kamera.. muka kita nak masuk internet ni" - Cikgu Siti


Apa agaknya yang menggelikan hati Cikgu Umi ya?

Pengerusi Pasti Kawasan Kota Tinggi yang pertama ialah Al-Fadhil Ust. Ahmad Pairus bin Ali Akbar. Beliau berkhidmat sehingga tahun 2003. Selepas itu, tempat beliau digantikan oleh En. Abd. Hamid bin Ahmad sehingga tahun 2005 dan kemudiannya En. Mohd. Azlan bin Hj. Toriman mengambil alih jawatan pengerusi hinggalah sekarang. Beberapa orang guru telah silih berganti menabur budi membina generasi Al-Quran di Pasti Al-Falah. Mereka ialah:
1. Maizatul Azhan bt. Hj. Monaim (2001 - 2003)
2. Siti Wilin bt. Manon (2001 - 2002)
3. Cik Umi Shahrizah bt. Kassim (2002 - 2005), (2008 - kini)
4. Nadia bt. Saeran (2002 - 2003)
5. Pn. Aidah bt. Atan (2005 - 2006) (2007 - kini di Pasti Al-Falah 2)
6. Pn. Siti Zaharah bt. Othman (2005 - kini)
7. Cik Umi Hani bt. Abd. Rahman (Januari 2008 - Julai 2008)

Cik Umi Shahrizah yang berhenti pada tahun 2005 kerana melanjutkan pelajaran, kembali mengajar semula setelah menamatkan pengajiannya mulai tahun 2008 hingga kini. Beliau menggantikan Cik Umi Hani yang melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Pn. Aidah pula berpindah ke Pasti Al-Hijrah yang dibuka pada Januari 2007. Pada 20 Disember 2006, banjir besar telah melanda Kota Tinggi dan Pasti Al-Falah turut ditenggelami air sedalam 5 kaki, menyebabkan banyak barang dan dokumen musnah.




Keadaan Pasti Al-Falah selepas dilanda banjir



"Yang ni boleh guna lagi ni" - Cikgu Aidah

Dalam pada itu, sebuah lagi Pasti telah diwujudkan di Taman Hijrah yang dinamakan Pasti Al-Hijrah. Pasti ini dijadikan pusat pemindahan sementara untuk guru dan AJK yang menjadi mangsa banjir. Terlalu banyak kenangan pahit manis dan suka duka mangsa-mangsa banjir yang tinggal di Pasti ini ketika itu. Apa yang membanggakan, dalam menghadapi ujian Allah yang amat berat itu, Pasti tetap utuh malah bertambah satu lagi di Kota Tinggi ini. Semangat ukhwah fillah di kalangan AJK dan guru-guru menjadi semakin kukuh. Inilah hikmah di sebalik tiap-tiap satu kejadian.


Muslimat sibuk menyediakan makanan untuk mangsa banjir


Nenda Cikgu Siti, antara mangsa banjir yang ditempatkan di Pasti Al-Hijrah (kini Al-Falah 2)

Pn. Aidah Atan dan Pn. Salasiah Md. Jan menjadi guru yang pertama mengajar di Pasti Al-Hijrah. Sambutan daripada ibu bapa tidak kurang hebatnya. Kali pertama beroperasi pada tahun 2007, ia telah mempunyai seramai 33 orang murid. Murid-murid Pasti Al-Falah juga ditempatkan buat sementara di Pasti ini. April 2007, Pasti Al-Falah berpindah ke Jalan Tembikai, Taman Kota Jaya sementara premis asal dibaik pulih. Kira-kira empat bulan kemudian, Pasti Al-Falah beroperasi semula di Jalan Nangka setelah ia selesai dibaik pulih dan dicat baru.



Pasti Al-Falah 1, Tmn. Kota Jaya.. jauh lebih ceria berbanding dahulu


Cikgu Siti dan Cikgu Umi bergambar kenangan bersama murid-murid

Bulan Januari 2008, Pn. Salasiah mengundur diri dan tempatnya digantikan oleh Pn. Saziah Jamari. Awal tahun ini, Pn. Saziah pula mengundur diri, digantikan oleh Cik Nurhana Rosman. Nama Pasti Al-Hijrah juga diubah kepada Pasti Al-Falah 2, berikutan sebuah lagi Pasti ditubuhkan di Tg. Sedili yang diberi nama Pasti Al-Falah 3. Buat masa ini, Pasti Al-Falah 3 mempunyai seorang tenaga pengajar iaitu Cik Sara Fatin bt. Kholid dengan 5 orang murid. Oleh kerana lokasinya yang jauh dari bandar Kota Tinggi, Pasti ini ditadbir oleh jawatankuasanya sendiri yang diketuai oleh En. Kamaruzaman selaku pengurus cawangan.


Pasti Al-Falah 2, Taman Hijrah


Dari kiri: Cikgu Nurhana, Cikgu Aidah dan Cikgu Siti


Pasti Al-Falah 3, Tg. Sedili


Berdiri dari kiri: Cikgu Siti, Cikgu Sara dan Pn. Salmi

Kini, selepas 8 tahun, Pasti Kawasan Kota Tinggi kian matang. Pembaharuan demi pembaharuan telah dilakukan. Murid-muridnya kini bukan yang berumur 5 dan 6 tahun sahaja, malah sudah ramai yang berumur 4 tahun belajar di sini. Guru-guru juga diberi pendedahan tentang teknik-teknik mengajar terkini dari semasa ke semasa melalui pelbagai kursus, bengkel dan seminar, termasuklah kursus ICT yang dijalankan baru-baru ini. Mudah-mudahan seluruh pendokong Pasti di Kota Tinggi diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk terus bekerja dan berusaha memantapkan lagi institusi pendidikan Islam ini demi mencapai misi dan visi bagi melahirkan generasi Al-Quran. Insya-Allah!