Isnin, Februari 02, 2009

Kursus Diploma Kepimpinan Islam

SERAMAI 2 orang guru dan 3 orang AJK Pasti Kawasan Kota Tinggi telah menyahut cabaran mengikuti kursus Diploma Kepimpinan Islam (dahulunya dikenali sebagai Diploma Tasawwur Islam) anjuran Institut Latihan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah Malaysia (Ilham) bertempat di Markas PAS Kg. Shaari, Spg. Renggam yang bermula pada 24 Januari lalu.

Mereka ialah Puan Siti Zaharah Othman dan Puan Aidah Atan manakala AJK pula terdiri daripada Encik Shamsul Bahri Alias yang juga suami kepada Puan Siti Zaharah serta satu lagi pasangan suami isteri, iaitu Encik Roslee Ibrahim dan Puan Rosnani Jusoh. Walaubagaimanapun, Puan Aidah tidak dapat mengikuti sesi pertama kursus ini disebabkan beliau mempunyai urusan penting.

Menurut Pengerusi Ilham Johor, Ybhg. Ust. Atan Gombang, kursus peringkat diploma ini akan diadakan sebanyak 12 sesi dengan setiap sesi dijalankan selama 8 jam (8.30pg - 6 - ptg) sebulan sekali pada hari Sabtu. Sekiranya tiada aral, para pelajar akan tamat pengajian pada bulan Disember nanti.

Pada sesi kali ini, seramai lebih kurang 50 orang daripada pelbagai peringkat usia dan dari segenap kawasan di negeri Johor telah mendaftar sebagai pelajar. Ust. Atan amat mengalu-alukan kehadiran para pelajar ini dan berharap agar kesemuanya akan berjaya menamatkan pengajian.

Subjek-subjek yang diajar ialah Bahasa Arab (Ust. Atan Gombang), Politik Islam (Datuk Dr. Mahfuz Mohamad), Pengajian Al-Quran (Ust. Razali Jamil Al-Hafiz) dan Aqidah Islamiyah (Ust. Abdullah Hussin) yang mana setiap satu subjek mengambil masa 2 jam bagi satu sesi.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada guru-guru dan AJK terbabit kerana berani mengharungi cabaran menuntut ilmu demi menambah pengetahuan dan memantapkan diri seterusnya memperkasakan Pasti itu sendiri.