Isnin, Mac 30, 2009

Cikgu Umi Shahrizah berhijrah lagi

HARI ini, Pasti Kawasan Kota Tinggi, khususnya Pasti Al-Falah 1 kehilangan seorang tenaga pengajar yang berpengalaman, Cik Umi Shahrizah binti Kassim.

Ini merupakan kali kedua beliau meninggalkan Pasti. Kali pertama pada bulan Julai 2005 apabila beliau melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS). Beliau kembali semula ke Pasti pada bulan Ogos tahun lalu setelah tamat pengajian.

Walaupun Pasti amat memerlukan khidmat beliau, namun kerana tawaran jawatan guru sandaran di SRJKC Lim Hau, Semerah begitu mengujakan, dengan berat hati terpaksa juga beliau mengucapkan selamat tinggal sekali lagi kepada Pasti Al-Falah 1 yang rasanya begitu serasi dengan beliau. Manakan tidak, berbanding dengan guru-guru Pasti Kawasan Kota Tinggi yang ada sekarang, beliaulah yang lebih dahulu berkhidmat.

Patah tumbuh hilang berganti. Tempat Cikgu Umi kini digantikan oleh Cik Siti Kamaliah binti Sharipudin. Adalah diharapkan semoga guru Pasti yang baru ini dapat memberi perkhidmatan dengan penuh ikhlas dan dedikasi seperti mana yang pernah dilakukan oleh Cikgu Umi dahulu.

Kepada Cikgu Umi, kami warga Pasti Kota Tinggi sentiasa mendoakan yang terbaik buatmu. Segala jasa dan pengorbanan cikgu selama ini tetap kami ingati, hargai dan sanjung tinggi. Seandainya pada satu hari nanti cikgu ingin kembali semula ke Pasti, kami menerima dan mengalu-alukan dengan tangan terbuka. Selamat bertugas di tempat baru.



Cikgu Umi Shahrizah bersama 2 orang muridnya ketika Ihtifal Pasti Johor tahun lalu