Ahad, Ogos 16, 2009

Bersedia Awal Agar Tidak Kempunan

ORANG-ORANG soleh dahulu mempersiapkan diri untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan sejak bulan Rejab lagi. Mereka menganggap bulan Ramadhan yang diperkayakan Allah dengan pelbagai keistimewaan dari segala bulan yang lain sebagai bulan kemuncak latihan jiwa seseorang hamba kembali menuju Tuhannya.

Bulan Ramadhan disifatkan sebagai medan peperiksaan. Jika lulus dengan cemerlang maka mereka akan memperoleh ijazah takwa. Manakala bulan Rejab dan Syaban menjadi medan latihan untuk mereka mempersiapkan diri. Pandangan begini amat berbeza dengan kebanyakan umat Islam hari ini yang menganggap bulan Ramadhan sebagai bulan latihan. Kerana itu mereka memasuki gelanggang Ramadhan tanpa persiapan awal.

Inilah antara sebabnya mengapa tahun demi tahun, pencapaian mutu ibadah puasa kita masih di takuk lama - tidak membuahkan peningkatan iman dan takwa yang ketara. Bandingkan dengan pencapaian orang yang sudah bersedia awal 'memanaskan badan' sebelum memasuki gelanggang dan medan tempur pada bulan Ramadhan, tentunya mereka akan mencapai kejayaan yang lebih besar dan bermakna.

Orang-orang soleh zaman dahulu juga menganggap bulan Ramadhan sebagai musim tengkujuh. Ini kerana bulan Ramadhan sarat dengan keberkatan dan kebaikan yang melimpah ruah bagaikan hujan lebat turun dari langit. Iaitu hujan hidayah, hujan keampunan, hujan rahmat dan belas kasihan Allah.

Terlalu banyak keterangan tentang manfaat dan kelebihan bulan Ramadhan boleh ditemui dalam ayat Al-Quran dan hadis Nabi SAW. Seringkali ia diulang bicara apabila masuk bulan Ramadhan setiap tahun. Namun prestasi menjalani ibadah dan rehlah rohani kebanyakan umat tidak banyak berubah dari setahun ke setahun.

Salah satu faktornya kerana tidak mencontohi para salafussoleh yang tekun bersedia dari bulan Rejab dan Syaaban untuk menumpukan ibadah pada bulan Ramadhan. Mereka bersiap sedia menggembur bumi dan menyiapkan takungan sebesar-besarnya untuk menadah hujan rahmat dan lain-lainnya yang bakal turun dalam bulan Ramadhan.

Tentu sekali sesiapa yang menyediakan takungan sebesar baldi akan memperolehi air hanya sebanyak itu. Sesiapa yang menyediakan bekas yang lebih besar akan dapat menakung air yang lebih banyak. Sementara sesiapa yang leka sebelum Ramadhan hingga tidak sempat menyiapkan takungan untuk menadah hujan keberkatan dan kebaikan sepanjang bulan Ramadhan akan kempunan dan berputih mata.

Justeru itu, marilah kita isi bulan-bulan sebelum Ramadhan dengan menghitung kelalaian diri dan menyuluh kesihatan rohani diri sendiri serta membuat pembaikan. Insafilah peringatan daripada Nabi SAW tentang mereka yang keluar dari Ramadhan tetapi gagal mendapat keampunan Allah maka celakalah orang itu. Mudah-mudahan kita dapat bersedia awal sebelum Ramadhan menjelang tiba agar kecelakaan dapat dielakkan.

Dipetik dari: Majalah ANIS keluaran Ogos 2009