Sabtu, Ogos 14, 2010

MEMBIASAKAN ANAK DENGAN PERKARA YANG BETUL

ANAK gadis kecil itu menyarungkan tudung berwarna jingga di kepala. Dia hendak keluar bermain bersama kakaknya yang berusia lapan tahun. Walaupun usia si adik baru tiga tahun, si adik sudah tahu mencari tudung untuk dipakai apabila hendak keluar rumah. Dia tidak rasa susah untuk bertudung, sebagaimana dia tidak rasa susah untuk memakai baju.

Tudung yang dikenakan adalah tudung yang mudah disarungkan ke kepala tanpa memakai serkup. Tudung buatan ibu.

Kadang-kadang si adik keluar rumah tanpa bertudung. Malah dalam usia sekecil itu, dia belum ada rasa malu untuk berseluar pendek di luar rumah pada ketika tertentu. Tetapi melihat kakaknya bertudung, dia juga suka untuk bertudung.

Si kakak sendiri, sejak berusia tujuh tahun sudah tidak lupa untuk mengenakan tudung setiap kali hendak keluar rumah. Si kakak sudah dapat merasakan bahawa tudung adalah sebahagian daripada pelengkap pakaian muslimah. Ia bukan sekada aksesori. Oleh itu, si kakak tidak akan keluar rumah tanpa memakai tudung.

Apabila si ibu membiasakan anak-anak gadis kecilnya memakai tudung seawal usia mereka tiga tahun, si ibu mahu melatih anak-anaknya membiasakan perkara yang betul atau baik. Si ibu faham bahawa tujuh tahun kedua usia anak adalah tempoh untuk menerapkan disiplin dalam diri anak. Bererti dari umur anak tujuh tahun hingga umurnya 14 tahun, anak perlu didisiplinkan dengan kebiasaan-kebiasaan yang baik dan betul.

Memakai tudung adalah salah satu daripada perkara-perkara 'betul' yang perlu dijadikan kebiasaan. Apabila ia sudah dibiasakan, ia akan lebih mudah menjadi sebati. Apabila sudah sebati, ibu bapa cuma perlu menerangkan rasional di sebalik pemakaian tudung itu saja apabila anak menghampiri usia baligh. Ertinya, anak-anak disuruh buat dulu dan ditunjukkan contoh. Apabila sudah sampai masanya, barulah diterangkan kepadanya kenapa perlu buat itu, kenapa perlu buat ini.

Keadaannya sama seperti menerapkan amalan solat kepada anak. Panduan yang diberikan oleh Rasulullah SAW adalah menyuruh anak solat seawal usianya tujuh tahun dan digesa ketika usianya 10 tahun; dibolehkan rotan jika enggan solat. Bagaimanapun, sebelum disuruh melakukan sesuatu perkara secara konsisten atau berterusan sejak usianya tujuh tahun, ada baiknya anak dilatih melakukannya sejak dia sudah memahami suruhan dan larangan.

Sifir mudahnya begini. Untuk menjadikan satu-satu amalan atau perkara itu sebati dalam diri anak, mulakan langkah pertama dengan latihan, kemudian suruhan dan seterusnya gesaan. Dalam masa yang sama, iringi dengan contoh teladan (qudwah) oleh ibu bapa sendiri. Apabila anak-anak itu sudah baligh dan menginjak remaja, apa yang perlu dilakukan adalah memantau, mentarbiah (mendidik) dan menasihatinya jika anak kelihatan lalai dan cuai.

Untuk menyuruh anak buat sesuatu perkara, ia akan menjadi lebih mudah jika perkara itu sudah dilatih dan dibiasakan. Setelah dilatih, dibiasakan dan disuruh melakukannya secara berterusan, barulah lebih berkesan untuk digesa apabila sekali-sekala anak nampak lalai dan malas.

Melihat anak gadis remaja yang berusia 21 tahun selesa bertudung dan memakai pakaian yang sesuai untuk melengkapkan pakej menutup aurat yang sempurna, si ibu dan si ayah rasa sejuk hati. Anak gadis remaja mereka semakin faham akan corak tudung dan pakaian yang sesuai untuk seorang Muslimah. Melalui kefahaman yang diberi oleh si ibu, anak gadis itu akan faham bahawa selain bertudung, dia mesti mengenakan pakaian yang tidak menarik perhatian lelaki kepada bentuk tubuhnya. Dia juga mesti membawa akhlak yang sesuai dengan imej Muslimah yang ditampilkannya.

Belasan tahun yang lalu, apa yang diterapkan oleh si ibu dan si ayah kepada anak gadis remaja mereka kini diterapkan pula kepada dua orang adiknya yang masih kecil. Moga-moga ia dinilai sebagai ibadah oleh Allah.