Sabtu, Mei 21, 2011

SAMBUTAN HARI GURU PASTI JOHOR 2011

SAMBUTAN Hari Guru Pasti peringkat negeri Johor telah diadakan di Dewan Besar, Markaz Tarbiyah Pas Parit Pechah, Muar pada 17 Mei lalu. Tarikh ini dipilih kerana kebetulan ianya merupakan cuti umum sempena Hari Wesak. Perasmian sambutan ini telah disempurnakan oleh ketua Dewan Pemuda Pas Johor yang baru, Saudara Suhaizan Kaiat.

Bukan Hari Guru namanya kalau tiada acara yang membabitkan guru. Oleh yang demikian, pihak penganjur telah mengadakan acara explorace, pertandingan hiasan tembikai dan gubahan hantaran untuk disertai oleh guru-guru Pasti seluruh Johor. Memang meriah! Selepas rehat, majlis diserikan pula dengan persembahan oleh guru-guru Pasti.

Pada sambutan Hari Guru kali ini juga, warga Pasti Johor yang hadir menyaksikan peralihan pucuk pimpinan daripada mantan pengarah Jabatan Pasti Negeri Johor, Saudara Mohd. Faizul Salleh kepada pengarah yang baru, Saudara Mahadzir Mat Zilli. Saudara Faizul telah menerajui Pasti Johor selama dua tahun. Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan di atas khidmat dan bakti beliau sepanjang tempoh tersebut. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada Saudara Mahadzir yang sebelum ini merupakan setiausaha Jabatan Pasti Negeri Johor di atas perlantikan sebagai pengarah yang baru. Adalah diharapkan agar beliau dapat mengemudi Pasti Johor dengan cemerlang, sejajar dengan visi dan misi yang telah ditetapkan.

Serentak dengan sambutan Hari Guru ini, satu konvensyen membabitkan para pengerusi Pasti kawasan, Pengurus Pasti cawangan serta AJK Pasti peringkat kawasan dan cawangan turut diadakan.

Dalam konvensyen itu, mantan ketua Dewan Pemuda Pas Johor yang juga mantan pengarah Jabatan Pasti Negeri Johor, Saudara Khairul Faizi Ahmad Kamil telah membentangkan kertas kerja tentang pengurusan Pasti Negeri Johor. Antara perkara yang disentuh beliau ialah sejarah penubuhan Pasti di Johor dan cabaran-cabaran yang beliau hadapi ketika menjadi pengarah. Beliau menekankan peri pentingnya pengurusan kewangan yang baik demi kelancaran perjalanan Pasti di semua peringkat. Setiap peserta juga dibekalkan dengan Manual Pengurusan Pasti.

Di samping itu, Saudara Khairul Faizi turut mendedahkan pelbagai tekanan dan gangguan yang diterima daripada pihak-pihak yang tidak senang dengan Pasti, sehinggakan ada premis Pasti yang hendak dirobohkan oleh pihak berkenaan dan kes dibawa ke mahkamah, namun berkat kesabaran para pencinta Islam dan pendukung kebenaran, Pasti tetap utuh hingga kini malah bilangannya kian bertambah tahun demi tahun.

Para peserta konvensyen kemudiannya diberi kesempatan untuk mengemukakan soalan dan cadangan kepada ahli-ahli lembaga pengarah Pasti Johor sebelum konvensyen tamat sekitar jam 12 tengahari. Program sambutan Hari Guru pula berakhir kira-kira jam 1.30petang.

Berikut ialah gambar-gambar sekitar sambutan Hari Guru tersebut: