Isnin, Mac 22, 2010

ADAB-ADAB MUSLIM

Adab Bercakap
Rasulullah S.A.W bersabda, "Janganlah bercakap melebihi dari zikrullah. Sesungguhnya dengan banyak bercakap akan mengeraskan hati dan bila hatinya telah keras maka ia akan menjadi semakin jauh dari Allah".

Bercakaplah dengan nada yang jelas tanpa ada rasa keraguan dan jangan bercakap dengan nada yang samar-samar.

Bercakaplah di depan dengan cara bertentangan mata dan jangan bercakap di belakang, ini untuk mengelakkan timbulnya keraguan dan salah faham.

Jika seoarng sedang bercakap tentang sesuatu tajuk dan tajuk itu belum habis dibincangkan maka janganlah mengutarakan tajuk baru atau memotong perbualannya itu.

Jika seseorang sedang makan maka janganlah bercakap tentang sesuatu yang menjijikkan atau tentang sesuatu yang tidak disukai olehnya.

Jangan bercakap di depan orang yang sedang sakit tentang sesuatu yang mendukacitakan sebaliknya ucapkanlah tentang sesuatu yang memberangsangkan.

Jangan sesekali meniru gaya percakapan atau telor orang yang jahil dalam agama.

Jangan bercakap secara berkumam mulut.

Jangan bercakap mengenai hal orang lain, membuat fitnah serta mencaci-maki orang.

Jangan memanggil orang yang lebih tua dari kita dengan panggilan nama, seeloknya pangillah dengan nama yang memuliakan mereka.

Jangan memanggil seseorang dengan gelaran yang tidak menyenangkannya.

Jangan bercakap tentang sesuatu perkara yang anda sendiri masih kurang pasti mengenainya.
--------------------------------------------------------------------------------

Adab di masjid
Melangkah masuk ke dalam masjid dengan kaki kanan sambil membaca doa, tetapi ketika keluar melangkahlah dengan kaki kiri sambil membaca doa.

Sebelum duduk tunaikanlah solat sunat dua rakaat iaitu solat tahiyatul masjid.

Jangan menunaikan solat di tempat yang boleh mengganggu orang ramai untuk memasuki masjid seperti di muka pintu dan sebagainya.

Jangan berkeliaran di dalam masjid, ingatlah anda sedang berada di dalam istana Allah maka duduklah dengan penuh perasaan tawaduk dan sibukkan diri dengan banyak solat sunat dan berzikir.

Jangan meninggikan suara di dalam masjid sama ada berzikir atau membaca al-quran kerana ini akan mengganggu orang lain untuk beribadat.

Jangan berbual di dalam masjid mengenai hal-hal keduniaan.

Pakailah pakaian yang bersesuaian dan sopan tatkala memasuki masjid.

Jangan menggunakan masjid sebagai jalan pintas untuk menuju ke sesuatu tempat.

Jangan menyimpan atau membawa sesuatau yang berbau busuk masuk ke dalam masjid.

Jika anda telah memakan bawang maka janganlah terus masuk ke masjid kerana ini akan mengganggu orang lain. Seeloknya cucilah dahulu mulut atau ambillah wuduk demikian juga jika merokok.

Sunat memakai bau-bauan yang diharuskan semasa mendatangi masjid.

Jangan mengambil atau membawa pulang barang-barang kepunyaan masjid untuk kegunaan sendiri, segala peralatan masjid telah diwakafkan iaitu untuk kegunaan awam.
--------------------------------------------------------------------------------

Adab berjanji
Jangan sesekali membuat janji sekiranya anda telah berniat untuk tidak menunaikan janji itu.

Jangan berjanji untuk membuat perkara yang haram atau untuk melakukan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan.

Jangan membuat janji sekiranya diri anda berada dalam keadaan tergesa-gesa.

Sekiranya anda telah membuat janji maka tunaikanlah janji itu dan jangan sesekali melanggari janji itu jika anda tiada alasan yang kukuh dan wajar.

Jika berjanji dengan anak-anak untuk memberinya sesuatu maka janji itu wajib ditunaikan.
Abdullah Ibn Amir meriwayatkan suatu masa semasa beliau masih kecil ibunya telah memanggilnya dan berjanji akan memberikannya sesuatu.
Rasulullah S.A.W yang kebetulan berada disitu terus bertanya,"Apa yang kamu niatkan untuk memberi kepadanya?" jawab Ibu Amir,"Sedikit tamar."
Sabda Rasulullah S.A.W, "Sekiranya kamu tidak memberikannya maka dosa berjanji dusta akan dicatatkan untukmu".
--------------------------------------------------------------------------------

Adab makan
Membaca bismillah ketika mula hendak makan.

Membersihkan tangan makan dan minum menggunakan tangan kanan.

Makanlah dengan penuh perasaan tawadduk dan jangan makan dengan gaya yang angkuh.

Sunat makan secara berjemaah kerana banyak keberkatan yang terkandung didalamnya.

Makanlah makanan yang ada dihadapan anda dan jangan menjangkau makanan yang ada pada hidangan yang lain.

Jika makanan yang ada itu sedikit sedang tetamunya terlalu ramai maka janganlah makan sampai terlalu kenyang.

Ketika makan jangan terlalu banyak bercakap atau bercakap mengenai hal-hal yang boleh menimbulkan rasa loya atau jijik.

Jika ada butiran makanan yang jatuh maka kutiplah ia semula. Makanan adalah nikmat allah maka muliakanlah ia

Setelah selesai makan maka licinkanlah pinggan anda dan jangan biarkannya dengan sisa-sisa makanan setelah itu jilatlah makanan yang masih melekat pada jari-jari anda.

Jika anda terpaksa meninggalkan majlis makan terlebih awal maka segeralah minta keuzuran kerana hal tersebut.

Setelah majlis makan itu selesai maka ucapkanlah 'alhamdulillah' kepada tuhan yang telah memurahkan rezekinya kepada kita.
--------------------------------------------------------------------------------

Adab tetamu
Kita hendaklah segera memberitahu tuan rumah jika tidak mahu makan sebelum makanan disediakan.

Tuan rumah harus diberitahu kemana kita pergi supaya mereka tidak tercari-cari ketika makanan hampir disediakan.

Kita dilarang sama sekali dari meminta sesuatu kepada tuan rumah, kerana dikhuatiri tuan rumah tidak dapat memenuhi permintaan kita dan ini akan memalukan mereka.

Kita hendaklah menghindarkan diri dari mencampuri urusan tuan rumah kecuali bantuan kita diperlukan.

Apabila kita meminta sesuatu kepada tuan rumah hendaklah dengan cara yang sopan dan jangan terlalu mendesak.

Sewaktu menikmati hidangan kita hendaklah meninggalkan sedikit makanan di dalam bekas bekas tambah supaya tuan rumah tidak menyangka bahawa makanan itu tidak cukup dan ini akan memalukan tuan rumah.

Kita ditegah memberi makanan kepada peminta sedekah atau orang luar daripada makanan yang dihidangkan oleh tuan rumah.
--------------------------------------------------------------------------------

Adab tuan rumah
Sebagai tuan rumah kita dilarang mendesak tetamu supaya makan. Ini kerana mungkin ketika itu mereka sedang kenyang atau sebagainya.

Sekiranya kita ingin menghidangkan makanan lagi, kita dilarang dari mengalih bekas makanan yang masih ada. Sebaliknya bawalah makanan itu di dalam bekas yang lain.

Hendaklah sentiasa menunjukkan sikap ramah kepada tetamu dan layanlah mereka dengan sebaik mungkin. apabila menghidangkan makanan pastikan ianya bertutup.

Apabila tetamu meminta diri untuk pulang kita disunatkan mengiringi mereka hingga ke muka pintu.

Biarlah tetamu kita berada dalam keadaan yang selesa, elakkan dari sentiasa berada disisi mereka sambil melihat gelagat mereka ketika makan atau sebagainya.

Apabila kita dikunjungi oleh tetamu, maka uruskanlah makanannya sebaik mungkin.

Tunjukkan kepada mereka dimana tandas, supaya mereka tidak merasa gelisah apabila tiba waktu untuk qada hajat.

Elakkan dari keluar mencari-cari sesuatu untuk tetamu kita, hidanglah apa saja yang sedia ada.

Setelah menghidangkan makanan, jangan sekali-kali membiarkan mereka begitu sahaja. Berilah perhatian kepada mereka bagi memastikan segalanya memuaskan. Sekiranya kita dikunjungi oleh dua orang tetamu pastikan layanan yang diberikan adalah adil.
--------------------------------------------------------------------------------

Adab menziarahi orang sakit
Sunat menziarahinya secara berselang hari.

Makruh jika tinggal terlalu lama dan menyusahkan si pesakit serta keluarganya.

Sunat duduk dekat dengan kepala si pesakit.

Sunat membaca doa dan mengucapkan kata-kata yang disenangi oleh si pesakit.

Sunat mengampunkan setiap kesalahan pesakit sekiranya ia ada membuat kesalahan dengan kita.

Membawa apa-apa buah tangan yang patut bagi meringankan bebannya dan juga keluarganya.

--------------------------------------------------------------------------------

Adab menziarahi kubur
Sunat memberi salam dan mendahului dengan kaki kanan apabila memasuki kawasan perkuburan.

Sunat mengambil wuduk.

Makruh bagi wanita tetapi sekiranya bercampur dengan kaum lelaki yang bukan mahramnya maka hukumnya haram. Bagi wanita yang sudah tua maka hukumnya harus.

Sunat membaca ayat-ayat al-quran seperti al fatihah dan sebagainya serta diiringi dengan doa.

Duduk hampir dengan kuburnya atau disisinya.

Dilarang mengusap atau mencium batu nisan.

Di larang tawaf di sekeliling kubur dengan memohon sesuatu hajat padanya kerana ini adalah perbuatan bid'aah yang mungkar.

Lebih afdal, ziarah dilakukan pada hari jumaat.
--------------------------------------------------------------------------------

Adab membaca al-quran
Membersihkan badan dan pakaian serta mengambil wuduk. Mengambil dan mengangkat al-quran dengan tangan kanan.

Membaca al-quran di tempat yang bersih seperti di rumah, surau, masjid dan sebagainya. Yang paling utama adalah di masjid.

Menghadap ke kiblat, membacanya dengan khusyuk dan tenang.

Membersihkan mulut dari sisa-sisa makanan dan bau.

Memlakan bacaan dengan membaca "aku berlindung dengan nama allah dari syaitan yang direjam", kemudian disusuli dengan "bismillah" serta membaca ummul kitab (fatihah).

Membacanya dengan tartil, bacaan yang perlahan-lahan dan tenang.

Membaca dengan penuh perhatian dan memikirkan tentang ayat-ayat yang dibaca serta cuba memahami maksudnya.

Bacaannya hendaklah benar-benar diresapkan ke dalam hati, terutama pada ayat-ayat yang mengambarkan tentang nasib orang-orang yang berdosa serta yang melanggar perintah allah.

Membaca dengan suara yang indah lagi merdu.

Tidak diselang seli dengan perbualan, bermain-main atau ketawa. hendaklah diteruskan bacaan sampai ke ayat yang ditentukan barulah disudahi.
--------------------------------------------------------------------------------

Adab berjiran
Dikira jiran itu bermula dari 40 buah rumah kehadapan, belakang, kiri dan kanan.

Mendahulukan memberi salam bila bertemu.

Tidak terlalu banyak bertanya akan hal ehwalnya.

Menziarahinya apabila ia sakit.

Menerima undangannya bila ada sesuatu majlis kesyukuran atau keramaian.

Cuba membantunya sedaya yang boleh bila mereka berada didalam kesusahan.

Memaafkan setiap kesalahan dan kesilapan yang tidak disengajakan.

Tidak mudah percaya dengan kata-kata fitnah terhadapnya.

Memberi nasihat dan tunjuk ajar dalam urusan agama mahupun dunia.

Sentiasa bercakap dengan lemah lembut.

tidak menyinggung perasaannya dengan sesuatu perbuatan.