Selasa, Julai 21, 2009

Mendidik Anak Berfikir

Oleh: Abu Saif (www.saifulislam.com)


"ITU pokok apa?" saya bertanya.


"Tak tahu," jawab anak-anak.

"Itulah pokok durian," saya menerangkan. Mereka mengangguk-angguk. Sambil itu separuh badan masih seronok berendam di dalam sungai.


"Itu pokok apa?" saya bertanya lagi.


"Tak tahu," jawab anak-anak lagi.


"Itulah pokok cili," saya memberitahu.


"Pedas!" kata Naurah.


Pokok cili di sebelah pokok durian... menarik. Walaupun pokok cili tumbuh di sebelah pokok durian dan kedua-duanya menyedut zat galian daripada tanah yang sama, satu pokok buahnya pedas, satu pokok lagi buahnya lemak manis. Malah tidak pula durian menjadi pedas kerana duduk sebelah pokok cili. Kalau tidak, mudah juga nak dibuat sambal tempoyak!


Itulah kebesaran Allah.


Kalau lima orang chef diberikan sepuluh bahan yang sama dan masing-masing diminta mencipta resipi masakan, pasti sahaja rasa masakan itu tidak banyak bezanya. Tidak mungkin seorang menghasilkan gulai lemak pisang manakala seorang lagi membakar kek pisang.


Tetapi tidak dengan hasil kerja Allah Subhanahu Wa Ta'ala.


Lima batang pokok tumbuh di atas tanah yang sama. Pokok cili menghasilkan buah yang pedas, pokok durian menghasilkan buah yang lemak manis, manakala buluh menghasilkan batang yang miang, jering mengeluarkan buah yang kelat dan pokok kelapa menghasilkan buah yang luar biasa kegunaannya.


"Allah hebat, kan?" saya menyudahkan omelan pada pagi itu. Anak-anak mengangguk. Entahkan faham entahkan tidak, tetapi saya perlu memulakannya - mendidik anak berfikir.


Alam Dan Manusia
Manusia perlu mengenal Tuhan. Mereka ada dua jalan untuk mencari dan mengenal Tuhan. Jalan pertama adalah dengan FIKIR pada ayat-ayat Allah yang direnung dan diperhati (mandhoorah). Pada alam. Jalan kedua adalah dengan ZIKIR pada ayat-ayat Allah yang dibaca (maqroo'ah). Pada wahyu, pada Al-Quran.


Zikir itu adalah jalan yang tinggi pada mendampingi Allah, tetapi zikir sukar membawa khasiatnya jika manusia berzikir tanpa berfikir. Mereka berzikir mengingati Allah tetapi kerana zikir tidak disulam fikir, manusia yang selalu menyebut nama Allah ini jualah yang tanpa sedar menjauhkan diri daripada Allah semasa dirinya keluar dari majlis zikir menuju urusan mentadbir alam dan manusia.


Mereka memuji Allah semasa berdamping dengan dengan ayat-ayat Allah yang maqroo'ah tetapi mereka jugalah yang tanpa rasa bersalah merosakkan ayat-ayat Allah yang mandhoorah melalui pencemaran alam hasil kerja tangan mereka. Mulut berzikir, tetapi tangan menjadi tangan ahli fasad yang merosakkan bumi.


Sebab itulah manusia mesti dibalikkan kepada khusyuk dalam berfikir, di samping khusyuk dalam berzikir. Fikir manusia itu akan mendorong dirinya untuk memahami alam dan seterusnya mencari rahsia kehidupan. Dikajinya laut yang berombak, bertemu dengan angin. Dikajinya angin yang bertiup, ditemuinya tekanan udara panas dan sejuk. Dikajinya tekanan udara, ditemuinya tenaga haba. Dikajinya tenaga haba, ditemuinya matahari. Dikajinya matahari, ditemuinya gas-gas yang membentuk matahari. Dikajinya gas-gas berkenaan... akhirnya tiba ke suatu titik yang tiada jawapan. Di situlah hujung akal.


Hujung akal, pangkal agama! Itu pesanan masyhur Buya Hamka pada mendidik umat Islam menjadi manusia yang rajin berfikir. Kerana fikir kita jadi manusia. Kerana fikir yang menyampaikan kepada zikir, kita menjadi manusia yang muslim.


Memusuhi Fikiran
Tetapi tatkala manusia bermusuh dengan fikir, binasalah diri. Binasalah umat. Agama juga runtuh apabila zikir dipisahkan daripada fikir. Tanpa fikir, apa bezanya di antara agama Islam dengan Hindu?


"Tuhan saya tangan lapan, kepala tiga dan kaki sepuluh. Itu kepercayaan saya dan apa awak nak kata?" tegas seorang yang berpegang dengan agamanya yang demikian itu.


Benarlah Islam dan batillah selain daripada Islam kerana kebenaran itu dibuktikan dengan fikir.


Salah Siapa?
Tolaklah ke tepi seketika teori-teori konspirasi berkenaan perancangan Zionis atau propaganda misionari Kristian serta kejahatan media yang selalu dituding jari.


Lihatlah apa yang kita sebagai ibu bapa buat di rumah. Lihatlah apa yang kita sebagai orang agama buat kepada ummah.


Di rumah, kita sebagai ibu bapalah yang membunuh upaya fikir anak.


"Ayah, kenapa kita tak boleh duduk atas bantal?" tanya si anak.


"Tak boleh. Nanti bisul!" kata si ayah dengan penuh bijaksana. Anak terpinga-pinga.


"Ayah, kenapa kita tak boleh meniarap sambil angkat kaki?" tanya si anak lagi.


"Tak boleh. Nanti emak mati!" tegas si ayah dengan bahasa yakin. Anak kebingungan.


"Ayah, kenapa pensil tak boleh diasah atas dan bawah?" soal si anak seterusnya.


"Arghh, diamlah kamu. Orang tua nak bercakap pun susah!" bentak si ayah yang rasa terganggu dengan soalan-soalan si anak.


Akhirnya anak-anak yang sering kena shut up ini menjadi bantut. Mereka bukan sahaja tidak berani menyuarakan pendapat atau tampil ke khalayak ramai kerana keyakinan diri yang rendah, malah lumpuh fikir itu menyebabkan generasi ini tidak tahu menilai kebenaran. Akhirnya mereka menjadi bodoh dan dengan kebodohan itulah mereka memperhambakan diri kepada hawa nafsu dan seterusnya murtad dari agama.


Percayakah kita, apa yang diajar oleh ibu bapa orang Barat itu tanpa sedar membekalkan anak-anak mereka untuk bertemu dengan Islam, dan apa yang diajar oleh ibu bapa orang kita ini tanpa sedar menyediakan anak untuk hilang alat untuk beragama dan seterusnya lari meninggalkan Islam? Itulah jenayah besar kita, dosa tidak berfikir.


Beragama Tanpa Fikir
Bukan sahaja ibu bapa, malah orang agama juga suka benar mengulang-ulang slogan bahawa "agama tidak dibina di atas akal". Didoktrinkan bahawa "agama bukan pemikiran". Memang benar, jika pemikiran yang dimaksudkan itu ialah pemikian ekstrim seperti Muktazilah. Tetapi membunuh fikir dalam beragama, jadilah Usul al-Fiqh sebagai hafalan. Jadilah Islam agama yang kaku dalam penafsiran hingga ditertawakan kehidupan moden yang gagal ditanganinya.

Ada kekeliruan yang berlaku apabila ada segelintir pendakwah yang mahu membasmi taklid, tetapi dalam masa yang sama menghalang manusia berfikir dalam saranan-saranannya. Taqlid yang dibasmi tanpa galakan berfikir, akan hanya melahirkan taqlid yang seterusnya.


Kesan Ke Atas Alam
"Pemanasan global? Arghh... itu politik. Bukan sains. Karut sahaja." bentak seorang muslim.

"Anta ni bila nak berdakwah? Asyik dengan masalah alam sekitah sahaja. Upgradelah cepat perjuangan anta!" sinikal benar bunyi sindiran seorang da'ie kepada rakan aktivis NGOnya.

"Pencemaran cahaya? Hahaha... keras perut aku menahan ketawa. Kalau pencemaran udara ok lagi. Ini pencemaran cahaya. Mengada-ngada sungguh," kata seorang rakan yang kuat bau Islam pada pakaian dan istilah-istilah Arab di mulutnya.

Begitu sinis bunyi komentar manusia sebegini tatkala diajak berfikir tentang kemusnahan alam. Mereka mungkin kaum yang betah berzikir, tetapi memisahkannya daripada fikir. Jika mereka kaum yang berfikir, bagaimanakah mereka mahu mengamalkan Surah Ali Imran ayat 191?

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka." (Ali Imran: 190 - 191)

Kebesaran Allah di langit yang tidak mempamerkan bulan atau bintang? Hanya simbahan cahaya yang diselaputi jerebu? Belum pernah saya mendengar kaum muslimin susah hati dengan pencemaran cahaya yang menghijab mereka dari memikirkan tentang kebesaran Allah. Akhirnya bandar tanpa muslim bernama Kilkenny di Republic of Ireland yang bersungguh-sungguh menjaga pancaran cahaya dengan alasan pelepasan sinar berlebihan ke udara meragut hak manusia menikmati angkasa!

Sesungguhnya manusia yang gemar berfikir tentang alam untuk membaca ayat-ayat Tuhan, tidak akan membiarkan alam ini rosak dan tercemar. Jika Al-Quran dijaga dengan meletakkannya di atas almari, begitu jugalah alam ini dipelihara kerana ia adalah ayat-ayat Allah... bagi kaum yang berfikir.

Besar sekali kesan manusia yang enggan berfikir.

Mulakan Dari Rumah
"Kenapa Abi tak bagi Yop pergi beli makanan di tepi padang sekolah itu?" saya bertanya kepada Saiful Islam.

"Kenapa?" dia bertanya balik kepada saya.

"Makanan itu dijual orang luar. Sekolah tidak kenal mereka. Kalau makanan itu kotor, Yop sakit perut masuk hospital, macam mana?" saya berusaha untuk menjelaskan. Itu lebih baik daripada menakut-nakutkan anak bahawa di pokok besar tepi padang sekolah itu ada 'hantu kopek' yang menculik kanak-kanak.

Pada usia muda, didiklah anak-anak dengan budaya bersoal jawab. Setiap kali mereka bertanya, jangan diherdik pertanyaan itu dan jawablah dengan jawapan yang merangsang anak-anak berfikir. Kegagalan ibu bapa mendidik anak-anak berfikir bakal menyebabkan anak-anak ini masuk ke era masa depan yang dicabar pemikiran, sedangkan mereka hanya punya sebuah kepala yang berisi otak, dalam keadaan kepala dan otak itu tidak bernyawa - dilumpuhkan oleh ibu bapa mereka sendiri.

"Tidakkah kamu berakal untuk memikirkannya?" (Al-Baqarah:76)

Dipetik dari: Majalah Anis keluaran Julai 2009

Jumaat, Julai 17, 2009

Rabu, Julai 15, 2009

PASTI Al-Falah 1 Dapat Guru Baru

PASTI Kawasan Kota Tinggi mengucapkan selamat datang kepada Cikgu Enayati binti Hj. Kasmuri yang mula bertugas di PASTI Al-Falah 1, Taman Kota Jaya hari ini. Beliau menggantikan Cikgu Siti Kamaliah Sharipudin yang meletak jawatan atas sebab-sebab peribadi.

Cikgu Enayati pernah mengajar di PASTI Al-Irfan, Pasir Gudang antara tahun 2000 hingga 2005. Beliau kemudiannya terpaksa berhenti apabila berpindah ke Bandar Petri Jaya kerana mengikut suami yang bekerja di bandar Kota Tinggi.

Ibarat sirih pulang ke gagang, umpama belut pulang ke lumpur. PASTI Kawasan Kota Tinggi dan PASTI Al-Falah 1 khasnya bertuah kerana mendapat seorang guru yang berpengalaman. Adalah diharapkan agar Cikgu Enayati bertahan lama mengajar di sini walaupun terpaksa berulang dari Bandar Petri Jaya yang terletak kira-kira 20km dari sini. Semoga pengorbanan cikgu akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.

Kepada Cikgu Siti Kamaliah pula atau lebih dikenali sebagai Cikgu Alia, diucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas khidmat beliau selama ini dan kami mendoakan semoga masalah yang dihadapinya akan dapat diatasi segera. Kami juga difahamkan bahawa beliau berhasrat untuk kembali mengajar sekiranya keadaan mengizinkan di PASTI Al-Falah 2, Taman Hijrah pada bulan hadapan bagi menggantikan Cikgu Nurul Jannah yang akan kembali belajar di Politeknik Johor Bahru. Insya-Allah, kami mengalu-alukan hasrat Cikgu Alia itu.

Jumaat, Julai 10, 2009

Pengerusi Baru PASTI Kawasan Kota Tinggi

GENAP seminggu yang lalu, iaitu pada 3/7/2009 telah berlaku penyerahan tugas Pengerusi PASTI Kawasan Kota Tinggi daripada Saudara Mohd. Azlan Toriman kepada Pengerusi yang baru. Saudara Azlan kini bertindak sebagai penasihat di samping Tuan Haji Kamaldin.

Saya selaku admin blog ini tidak tahu mengapa saya mengambil masa seminggu untuk menaip entri berkenaan perkara ini. Mungkinkah ianya bukan suatu perkara yang penting atau boleh jadi saya merasakan bahawa belum tiba masanya Saudara Azlan melepaskan jawatan yang disandangnya sejak tahun 2005, walaupun sebenarnya telah lama beliau menyatakan hasrat untuk berbuat demikian dek kerana ingin memfokus kepada tugas-tugas sebagai Ketua Pemuda Pas Kawasan Kota Tinggi.

Selepas perlantikan pengerusi baru, saya ada berbincang dengan beberapa orang AJK Pasti yang lain sama ada perlu atau tidak satu undian semula diadakan kerana saya merasakan pengerusi yang baru ini tidak layak berada di tempatnya namun pandangan saya telah ditolak. Saya masih merasa tidak puas hati, jiwa saya rasa tidak tenteram hingga saya membuat keputusan untuk tidak menulis apa-apa entri berhubung perkara tersebut bagi memaklumkan tentang pertukaran pengerusi PASTI Kawasan Kota Tinggi. Malah saya juga tidak mengubah carta organisasi yang terpapar di sebelah kanan blog ini kerana saya merasa bersalah kalau mengubahnya, hinggalah saat entri ini ditulis.

Namun sesudah satu minggu berlalu, setelah berbincang dengan rakan-rakan dalam jawatankuasa PASTI dan isteri saya yang juga ketua guru kawasan (yang secara peribadi turut tidak bersetuju dengan perlantikan pengerusi baru), akhirnya saya akur dan dengan berat hati terpaksa juga menerima hakikat bahawa saya telah dipilih untuk memegang jawatan Pengerusi PASTI Kawasan Kota Tinggi - satu tanggungjawab yang saya kira amat berat untuk dipikul.

Apakan daya, saya tak mampu menolak walaupun puas menyatakan diri ini tidak layak. Dalam jamaah, sebenarnya tidak molek meminta jawatan, namun tidak pula sayugia menolak apabila diberi amanah. Walaupun pada zahirnya manusia yang melantik, pada hakikatnya Allah-lah yang telah memilih. Maka hendaklah amanah Allah itu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dengan penuh rasa kehambaan. Mudah-mudahan Allah beri saya kekuatan untuk memikul tanggungjawab ini dan mendapat kerjasama daripada semua AJK demi memastikan PASTI Kawasan Kota Tinggi terus berkembang dan menjadi pusat pendidikan pra-sekolah Islam pilihan masyarakat, Insya-Allah.

Kepada Saudara Azlan, diucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kerana telah mengorbankan masa dan tenaga memimpin PASTI Kawasan Kota Tinggi sehingga berjaya memiliki 3 cawangan kini. Semoga segala jasa dan kebaikan saudara mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT. Amin!

Isnin, Julai 06, 2009

Syariat Kelahiran (Bhg. 2)

MEMBERIKAN NAMA YANG BAIK
Tuntutan memilih nama-nama yang elok dan mempunyai makna yang baik amat dianjurkan oleh Islam. Sebenarnya, pemilihan nama-nama yang baik ini sedikit sebanyak boleh mempengaruhi sifat peribadi dan akhlak seseorang Muslim.

Abu Daud meriwayatkan daripada Abu Darda r.a. bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya pada hari kiamat kelak, manusia akan dipanggil menghadap Allah SWT dengan nama masing-masing dan nama bapa masing-masing (sepertimana nama di dunia). Oleh itu, pilihlah nama yang baik-baik untuk kamu sekalian."

Ini bererti Nabi SAW melarang umatnya menamakan anak masing-masing dengan nama-nama yang tercela yang membawa makna yang tidak baik. Lebih-lebih lagi hal ini amat penting dalam usaha untuk menjaga kehormatan anak tersebut daripada cemuhan masyarakat.

Islam telah memberi garis panduan untuk memberi nama kepada anak, iaitu seperti berikut:

NAMA-NAMA YANG DIGALAKKAN

1. Nama-nama Nabi
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Namakanlah (anak-anakmu) dengan nama-nama para nabi."

Para nabi dan rasul ialah manusia pilihan Allah, ahli-ahli syurga dan mempunyai teladan yang baik.

2. Nama-nama yang diambil daripada Asma'ul Husna
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya nama-nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman."

3. Nama-nama para sahabat
Nama para sahabat Rasulullah SAW seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Saad, Zubair dan lain-lain juga elok dijadikan pilihan untuk nama-nama anak. Mereka terkenal sebagai ahli ibadah, pemimpin yang adil, pahlawan terbilang, pemikir agung, penghafaz Al-Quran dan perawi hadis yang ulung.

NAMA-NAMA YANG DILARANG

1. Nama-nama buruk yang menjadi cemuhan masyarakat dan menjatuhkan maruah anak seperti:

Sariq - pencuri
Ashiah - ahli maksiat
Kilab - anjing
Jahil - bodoh

2. Nama-nama yang khusus untuk Allah seperti:

Ahad - satu / esa

3. Nama-nama yang tidak membawa faedah seperti:

Malikul Amlak - raja daripada segala raja
Aflah - mendapat kemenangan
Yasar - pihak kiri

4. Nama-nama dengan sebutan Abd (hamba) yang dikaitkan dengan sesuatu selain daripada Allah seperti:

Abdul Uzza - hamba berhala Uzza
Abdul Kaabah - hamba Kaabah
Abdul Fulus - hamba wang

AQIQAH DAN BERCUKUR RAMBUT

Menamakan anak yang baru lahir sering dilakukan seiring dengan amalan aqiqah dan juga mencukur rambut bayi.

Makna Aqiqah: Dari segi bahasa, aqiqah bermakna 'memutus'. Dari segi syarak, aqiqah bermaksud menyembelih kambing atau ternakan lain seperti unta, biri-biri dan kibas buat anak yang baru lahir khususnya pada hari ketujuh kelahirannya atau selewat-lewatnya sebelum anak itu baligh.

Antara hadis yang memperkatakan tentang aqiqah ini ialah:

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Salma bin Amir Al-Dhabi r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bersama bayi itu aqiqahnya, maka tumpahkanlah darah untuknya dan tanggalkan daripadanya perkara yang menyakitkan (iaitu kotoran dan najis)."

Terdapat juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya daripada Samrah r.a. katanya: Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Bayi itu tergadai (tergantung) oleh aqiqahnya, disembelihkan untuknya pada hari ketujuh, hari itu diberikan nama dan dicukur kepalanya."

Bagi imam Malik r.a., aqiqah boleh dilakukan pada bila-bila masa seseorang itu mempunyai kelapangan.

Rasulullah SAW menganjurkan supaya anak lelaki diaqiqahkan dengan dua ekor kambing (kibas, biri-biri dan sebagainya) atau seekor juga memadai yang sempurna sifat dan syarat-syaratnya sedangkan anak perempuan memadai diaqiqahkan dengan seekor kambing sahaja.

SYARAT-SYARAT AQIQAH

1. Umur binatang sembelihan:

  • Unta berumur 5 tahun lebih.
  • Lembu / kerbau berumur 2 tahun lebih.
  • Kambing berumur 2 tahun atau telah bersalin gigi.
  • Kibas berumur 1 tahun atau telah bersalin gigi.

2. Binatang sembelihan sihat dan tidak cacat.

3. Daging aqiqah dipotong mengikut sendinya dengan tidak memecahkan tulangnya sesuai dengan tujuan aqiqah itu sebagai 'fida' (mempertalikan ikatan antara diri anak dengan Allah SWT).

4. Disembelih atas nama anak yang dilahirkan. Menurut hadis riwayat Al-Baihaqi, maksudnya: "Sembelihkan binatang itu atas nama anak yang dilahirkan dan ucapkanlah: Dengan nama Allah, Ya Allah bagi-Mu dan kepada-Mu kupersembahkan aqiqah si Fulan (atau Fulanah) ini."

5. Tidak boleh berkongsi misalnya beberapa orang berkongsi seekor kambing untuk mengaqiqahkan anak-anak mereka.

6. Sebaiknya beraqiqah dengan kambing, tetapi dibolehkan juga beraqiqah dengan unta, lembu dan kerbau.

HUKUM DAGING AQIQAH

Daging binatang yang disembelih adalah sunat dibuat jamuan untuk juadah ahli keluarga, jiran tetangga dan saudara-mara terdekat.

HIKMAH BERAQIQAH

  1. Melahirkan rasa gembira di ats kelahiran satu jiwa Muslim baru yang sujud menyembah Allah SWT di dunia.
  2. Mendekatkan diri anak itu kepada Allah atas aqiqah yang dilakukan.
  3. Mengukuhkan tali persaudaraan sesama Muslim apabila majlis aqiqah tersebut dihadiri oleh kaum keluarga, saudara-mara dan jiran tetangga.
  4. Sebagai tebusan anak tersebut dapat memberikan syafaat kepada ibu bapanya.
  5. Menunjukkan tanda syukur kepada Allah SWT di atas kurniaan-Nya.
  6. Menjauhkan anak tersebut daripada segala bahaya dan bencana.

Amalan Mencukur Rambut

Anjuran mencukur rambut bayi sempena majlis aqiqah ini mengandungi hikmah khususnya dari segi kesihatan. Menurut Ibnu Al-Qayyim, amalan ini akan meningkatkan tahap kesihatan anak tadi, membuka selaput kepala dan mempertajamkan daya penglihatan, pendengaran dan deria hidu.

BERKHITAN

Berkhitan atau berkhatan dalam istilah Melayu bermakna memotong kulit (kulup) yang menutupi kepala zakar bagi lelaki dan memotong sedikit hujung kelentit (clitoris) bagi perempuan.

Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda, maksudnya: "Fitrah itu lima perkara, iaitu: Berkhitan, mencukur bulu kemaluan (lelaki dan wanita), mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai."

HUKUM BERKHITAN

Ada perbezaan pendapat tentang hukum berkhitan ini. Ada ulama yang mengatakan sunat dan ada juga yang mengatakan ia wajib.

Sepotong hadis riwayat Imam Ahmad r.a. daripada Nabi SAW, maksudnya: "Khitan (khatan) itu disunatkan bagi kaum lelaki dan dimuliakan bagi kaum wanita."

Manakala mereka yang mengatakan wajib pula berpegang kepada hadis riwayat Al-Zuhri bahawa Nabi SAW pernah bersabda, maksudnya: "Bagi sesiapa yang masuk Islam, wajiblah ia berkhatan, sekalipun ia sudah dewasa."

Kebanyakan ulama berpendapat khitan itu patut dilaksanakan ketika anak menghampiri waktu baligh.

Khitan Wanita

Disebutkan oleh Imam Ahmad daripada Ummu 'Athiyyah bahawa Rasulullah SAW pernah menyuruh seorang wanita yang mengkhitan seseorang supaya tidak memotong dengan keterlaluan dengan sabdanya yang bermaksud: "Jika kamu mengkhitan maka janganlah kamu berlebih-lebihan kerana yang demikian akan lebih baik bagi wanita dan lebih disukai oleh suami."

Berdasarkan hadis ini dapat kita simpulkan bahawa khitan bagi wanita adalah dengan memotong sedikit mungkin bahagian kulit yang terdapat pada klitoris.

HIKMAH BERKHITAN

  1. Boleh membawa kepada kesempurnaan beragama.
  2. Membezakan antara orang Islam dan bukan Islam.
  3. Menjaga kesihatan dan mengawal syahwat.
  4. Pemeliharaan diri daripada bahaya penyakit.

SUMBER: Dato' Ismail Kamus dan Mohd. Azrul Azlen Abd. Hamid, 2009. Indahnya Hidup Bersyariat. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.

Khamis, Julai 02, 2009

Syariat Kelahiran (Bhg. 1)

TANGISAN bayi bergema memecah keheningan suasana. Kehadiran ahli keluarga baru itu memang dinanti-nantikan khususnya oleh si ibu dan juga si bapa. Kelahiran bayi sebagai penghubung jambatan kasih suami isteri adalah suatu rahmat Allah SWT yang tidak ternilai harganya.

Kesempurnaan Islam tergambar dengan jelas dari peringkat awal kelahiran insan. Kegembiraan menimang cahaya mata yang sekian lama ditunggu seharusnya disempurnakan menurut lunas-lunas yang Islam tentukan.

MEMBERI KHABAR GEMBIRA DAN TAHNIAH ATAS KELAHIRAN BAYI
Kelahiran bayi merupakan satu khabar gembira bagi setiap insan. Justeru, orang-orang Islam yang mendengar khabar gembira ini perlu bersegera meraikan kegembiraan tersebut.

Jika kita menyoroti sirah peribadi agung Nabi Muhammad SAW, kita akan mendapati bahawa ketika baginda dilahirkan, Thuwaibah telah memberi khabar gembira kepada Abu Lahab yang ketika itu menjadi majikannya dengan mengatakan: "Telah lahir seorang anak lelaki daripada Abdullah."
Maka Abu Lahab pada ketika itu dengan serta-merta memerdekakannya kerana terlalu gembira.
Ucapan tahniah terhadap pasangan yang menerima cahaya mata merupakan salah satu cara meraikan kegembiraan tersebut. Tujuan menyampaikan khabar gembira ini adalah untuk menanamkan perasaan kasih sayang dan membina kesatuan sesama umat Islam.

Berikut merupakan perkara-perkara yang disunatkan untuk kita lakukan dengan kelahiran bayi seperti:

AZAN DAN IQAMAT
Islam mensyariatkan agar azan dilaungkan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri bayi, sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Rafi' yang bermaksud:

Abu Rafi' berkata: "Saya melihat Rasulullah SAW membacakan azan pada telinga kanan Hasan bin Ali yang baru dilahirkan oleh Fatimah."

Menurut Ibn Qayyim Al-Jauziyah, antara 'rahsia' azan dan iqamat adalah seperti berikut:
  1. Kalimah-kalimah memuji kebesaran Ilahi yang disifatkan sebagai ucapan pertama yang meresap ke dalam hati sanubari insan yang baru lahir.
  2. Satu pernyataan syariat Islam yang berperanan mendahului dakwah syaitan terkutuk dan mengekang arus nafsu syahwat.

TAHNIK
Ada anjuran dalam Islam untuk melaksanakan tahnik iaitu membuka atau memecah mulut bayi yang baru lahir dengan buah tamar yang telah dikunyah oleh orang alim dan bertakwa.

Isi buah tamar yang telah dikunyah itu diletakkan di atas jari telunjuk dan dimasukkan ke dalam mulut bayi, ke kiri dan ke kanan mulutnya. Ini dilakukan sehingga kurma tadi menyentuh keseluruhan mulut sampai ke rongga tekak bayi. Ini bersesuaian dengan hadis Abu Burdah daripada Abu Musa r.a.:

Maksudnya: "Aku telah mendapat seorang anak, kemudian aku membawanya kepada Nabi SAW. Baginda menamakannya Ibrahim, lalu mentahnikkannya (memecahkan mulutnya) dengan sebiji kurma."

Diriwayatkan daripada Asma' bahawa beliau mengandungkan Abdullah bin Zubair di Makkah. Selepas itu beliau datang ke Madinah dan tinggal di Quba'.

Semasa Abdullah dilahirkan, beliau dibawa kepada Rasulullah SAW lalu diletakkan di atas ribaan baginda. Selepas itu baginda berdoa dan mengunyah sebiji kurma lalu dimasukkan ke dalam mulut Abdullah.

Antara hikmah amalan 'tahnik' ini ialah dapat menguatkan saraf mulut bagi mempersiapkan bayi berkenaan untuk menghisap susu dengan sempurna.

Seandainya kurma susah didapati, bolehlah digantikan dengan manisan lain seperti gula, kismis atau madu lebah.

SUMBER: Dato' Ismail Kamus dan Mohd. Azrul Azlen Abd. Hamid, 2009. Indahnya Hidup Bersyariat. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.

Bersambung...