Rabu, Januari 27, 2010

BEKAS TOKOH GURU PASTI JOHOR MOHON BANTUAN

SEORANG bekas tokoh guru dari PASTI Kawasan Tebrau, Cikgu Roha Binti Suratman, melalui pengerusi PASTI Kawasan Sdr Izuddin memohon sumbangan dermawan bagi meringankan beban kos pembedahan telinga anak cikgu Roha yang menelan belanja sebanyak RM 32,000.00 di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Pihak PASTI Kawasan Tebrau ada juga memohon bantuan daripada Jabatan Sosial Hospital Sultan Ismail dan meminta jasa baik semua pihak agar dapat memberi sedikit sumbangan bagi perkara di atas.

Sumbangan boleh disalurkan kepada beliau sendiri sebagaimana berikut

Pn Roha Binti Suratman

No 30 Jalan Selasih

Taman Pasir Putih

81700 Pasir Gudang Johor

013-7922867

atau

Jabatan PASTI Negeri Johor

No Akaun : 5511 9110 2933 Maybank

DI DALAM DUNIA YANG TIDAK PATUT INI

Oleh: Abu Saif (www.saifulislam.com)

SAYA nak kahwin bulan depan, ustaz!” kata Nasir.

“Alhamdulillah. Jurutera dengan doktor, hebat kombinasinya,” saya membalas dengan senyuman. Nasir tersenyum kembali. Ada terselit sedikit kelat pada rasanya.

“Risau dengan kisah kawan-kawan saya. Selain apa yang ada dalam buku Aku Terima Nikahnya dan Bercinta Sampai Ke Syurga, apa yang boleh ustaz nasihatkan saya? Nasihat ringkas dan padat untuk saya pegang,” pinta Nasir.

“Hmm... ana menimbang-nimbang permasalahan yang sampai ke pengetahuan. Rasanya, kebanyakan kita mempunyai tahap toleransi sekadar lima tahun sahaja. Selepas lima tahun, mula berantakan, bermasam muka, tak bertegur sapa, malah membelakangkan semua hasil mahsul tarbiyah hingga tergamak main kayu tiga,” saya memulakan kisah.

“Berat tu, ustaz. Apa penyelesaiannya?” Nasir kelihatan sedikit resah.

“Tidak semudah itu untuk memberikan penyelesaian. Tetapi sekurang-kurangnya ana boleh cadangkan satu petua penting,” saya menambah.

“Apa dia?” beliau bertanya.

“Kurangkan SEPATUTNYA di dalam hidup ini!” saya cuba membuat rumusan yang mudah saya dan Nasir ingat tatkala melayari kehidupan berumah tangga. Mungkin pelik bunyinya.

Memang SEPATUTNYA adalah sesuatu yang diperlukan untuk kita menetapkan matlamat, tetapi ia juga boleh menjadi racun yang memusnahkan kehidupan berumah tangga tatkala SEPATUTNYA menjadi sesuatu yang dipertahankan melebihi APA YANG PATUT.

“Sepatutnya, awak sebagai isteri kenalah...” ayat ini boleh dituturkan oleh sang suami dari pagi ke pagi.

“Awak sebagai suami, sepatutnya...” balas si isteri pula.

Sukar untuk sebuah rumah tangga berdiri dengan aman apabila terlalu banyak SEPATUTNYA yang diperjuangkan. Jika di dalam bahasa Inggeris, SEPATUTNYA itu adalah sebuah EXPECTATION. Kita meletakkan banyak jangkaan dan jangkaan itulah yang kemudiannya berubah menjadi kekecewaan.

PEMIKIRAN IDEAL
Semasa mula berumah tangga, dengan pemikiran yang ideal tentang Bait Muslim, kita merancang pelbagai benda. Misalnya, si isteri bercita-cita untuk si suami menjadi imam mithali dalam sebuah rumah tangga. Mengimamkan solat, memberi tazkirah dan membacakan hadis kepadanya setiap hari dan pelbagai impian yang indah lagi sempurna. Bukan sahaja dalam soal ibadah dan amalan Islam di dalam rumah tangga, si isteri juga mahu suaminya menjadi seorang menantu yang diidam-idamkan oleh ibu bapanya. Menantu yang boleh diharap, yang pandai mengambil hati mertua dan terpercik pujian kepadanya kerana bijak menemukan calon suami yang begitu. Itulah impiannya. Impian yang kemudiannya mula memberanakkan pelbagai SEPATUTNYA di sepanjang pelayaran rumah tangga. Suami pun sama juga.

Beliau mengidamkan sebuah kehidupan yang teratur, tidak perlu lagi bersusah payah ke dapur seperti di alam bujang yang serba kurang. Isteri dikahwini dengan 1001 harapan agar dapat berperanan dengan cemerlang, malah bayangan ibunya sendiri yang bermujahadah membesarkan beliau dan keluarga menjadi kayu ukur untuk menilai pencapaian isteri yang dinikahinya itu.

Harapan. Tempat kelahiran banyak SEPATUTNYA apabila satu demi satu harapan itu tidak kesampaian.

“Tapi ustaz, bukankah SEPATUTNYA itu perlu supaya kita boleh muhasabah tahap masing-masing?” soal Nasir kepada saya.

“Betul. Namun jika kita bercakap tentang soal survival rumah tangga, SEPATUTNYA itu juga memerlukan muhasabah yang khusus. Periksa balik dari semasa ke semasa, mungkin ada beberapa SEPATUTNYA yang perlu kita uzurkan. Terutamanya suami,” saya menambah.

“Misalnya?” Nasir tidak puas hati.

KISAH TELADAN
“Macam yang anta katakan tadi, anta mengharapkan agar isteri anta menjadi menantu yang baik kepada ibu bapa anta. Namun selepas lima tahun berumah tangga, isteri anta masih tidak mesra dengan mertuanya. Tetapi dia masih isteri yang baik. Bincangkanlah hal ini dengan isteri. Ruang untuk dia membuat perubahan memerlukan anta untuk mengundurkan beberapa SEPATUTNYA. Kalau anta masih mahu mempertahankan expectation pada awal perkahwinan dahulu, takut-takut yang dikejar tidak dapat ketika yang dikendong berciciran. Reality check, kata orang kampung ana!” saya menyambung lagi.

“Hmm. Takut saya. Ustaz sendiri masa baru-baru kahwin macam mana ustaz amalkan bab SEPATUTNYA ini?” soal Nasir.

“Di awal perkahwinan, kami tinggal berjauhan. Ana di Belfast dan isteri di Galway, kemudiannya Letterkenny. SEPATUTNYA selepas kahwin kami dapat bersama sepuas-puasnya, tetapi keadaan tidak mengizinkan. Malah selepas mendapat tahu yang isteri mengandung, SEPATUTNYA ana yang turun ke Galway atau naik ke Letterkenny melawat isteri. Tetapi hujung minggu adalah kemuncak kesibukan ana. Maka Ummu Saif yang turun naik bas pergi ke Belfast dalam keadaan sarat mengandung. Apa nak buat?” saya membuka cerita.

“Tahan ke?” Nasir seakan-akan tidak yakin.

“Kami berkahwin semasa usia lebih kurang anta dan bakal isteri. Tidak sampai seminggu selepas akad nikah, Ummu Saif sudah memulakan rotation beliau sebagai doktor junior yang menjalani tempoh housemanship yang sangat menekan. Kerja separuh mati, balik rumah sudah tidak punya sisa tenaga untuk buat apa-apa. Sebagai suami, ana ada banyak SEPATUTNYA yang boleh ditimbulkan. Tetapi menyedari akan realiti, banyak SEPATUTNYA yang ana buang,” saya mengimbau kisah lama.

“Misalnya?” soal Nasir.

“Ana kemas rumah, ana masak dan bawa makanan ke hospital. Dan jika dua-dua sudah terlalu letih untuk balik, kami bermalam sahaja di Doctor Rest yang sempit itu. Esok paginya ana bawa bekas-bekas makanan kotor itu balik ke rumah untuk dibasuh. Cuba untuk bahagia dengan keterbatasan yang ada,” saya berkongsi kisah dengan bakal suami doktor yang seorang ini.

“Sampai bila proses membuang SEPATUTNYA itu perlu dibuat?” Nasir cemas.

“Sampai MATI. Sampai terkambus di liang lahad!” saya menjawab ringkas.

“Suami sahaja?” Nasir gelisah.

PERAWAN MANJA
“Kalau perempuan daripada zaman batu sampai zaman hutan batu mampu bergadai nyawa beranak, beranak dan beranak, mengapa lelaki hari ini yang sudah tidak mengangkat pedang di medan jihad tidak mampu untuk BERJIHAD menjaga rumah tangga? Manja sangatkah perawan akhir zaman sekarang?” saya cuba menyuntik semangat.

“Beratnya jadi suami. Mesti mampu bersabar sampai ke mati!” Ulas Nasir. Pendek.

“Sabar itu di permulaan sahaja. Insya-Allah ia akan naik taraf menjadi redha,” saya menokok.

“Susah saya nak bayangkan mcam mana suami sabar dan redha sampai ke kubur,” Nasir jujur memberitahu.

“Sebab itu ramai anak menjadi pening melayan ibu yang tua selepas kematian ayah!” saya terkenang kisah seorang teman.

“Kenapa?” Nasir tidak faham.

“Hebatnya seorang suami dan ayah, dia mengundurkan banyak SEPATUTNYA hingga dibawa ke kubur. Tolak ansur ayah itu menjadi pakaian yang menghijab kekurangan si isteri yang juga ibu kepada anak-anak mereka berdua. Apabila ayah sudah tiada, barulah kelemahan-kelemahan si ibu muncul menjadi ‘perangai’ yang meletihkan anak-anak. Lepas ayah mati, baru nampak rupa emak yang tidak pernah dilihat sebelum ini,” saya mencukupkan penjelasan.

“Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka” (Al-Baqarah: 186)

Suami yang menjadi pakaian isteri itu menyembunyikan kelemahan-kelemahan si isteri dengan penuh sabar dan redha hingga dibawa mati bersama ke kubur, sampai anak tidak nampak kelemahan ibu mereka sepanjang ayah ada bersama. Dia dikebumikan bersama banyak SEPATUTNYA yang dibawa mati tanpa rasa terkilan.

“Inikah maksudnya ERTI HIDUP PADA MEMBERI bagi seorang suami, ustaz?” tanya Nasir.

“Ya. Ia bukan slogan. Tetapi sumber kekuatan diri,” jawab saya.

“Dari manakah kekuatan itu mahu dicari?” Nasir melangsaikan pertanyaan.

“Kita hidup dalam dunia yang penuh dengan benda yang TIDAK PATUT. Jadi berpada-padalah pada melayan SEPATUTNYA yang banyak hinggap ke diri. Hidup memberi itu mustahil boleh dibuat-buat, sehinggalah kita berjaya untuk benar-benar percaya bahawa kita hanyalah HAMBA kepada-Nya. Hamba tidak layak meminta-minta dan meletakkan pelbagai standard atau jangkaan hidup. Fokuskan kepada peranan, dan syukuri setiap yang diterima, biar sekecil mana pun ia,” saya selesai berkongsi pandangan.

“Ustaz rasa saya mampu?” Nasir menoleh ke arah saya.

“Berikan ilmu kepada akal supaya tahu. Suntikkan iman ke hati supaya mahu. Berjihadlah menundukkan nafsu supaya mampu. Insya-Allah!” saya tersenyum.

Kami sama-sama sepi.

Merenung hutan belantara yang luas terbentang di kiri kanan lebuh raya. Hutan tebal yang menyembunyikan 1001 isi dan rahsia, seperti sebuah perjalanan rumah tangga yang tidak diketahui akan rupa kembaranya di hari-hari muka.

ISTERI –PENDORONG KELUARGA SOLAT BERJEMAAH

DIRIWAYATKAN daripada Ibnu Mas’ud, dia berkata: “Sesiapa yang ingin berjumpa dengan Allah SWT sebagai seorang muslim di akhirat kelak, maka hendaklah dia menjaga solat-solat fardhu dengan menunaikan solat di tempat azan dilaungkan (masjid). Sebab sesungguhnya Allah telah mensyariatkan sunnah-sunnah petunjuk kepada Nabi SAW dan solat berjemaah itu adalah salah satu daripada jalan-jalan petunjuk itu. Jika kamu bersolat di rumah, sebagaimana solat orang yang tidak berjemaah di rumahnya, maka bererti kamu meninggalkan sunnah Nabi kamu. Dan apabila kamu meninggalkan sunnah Nabi kamu maka sesatlah kamu. Apabila seseorang mengambil wuduk dengan sempurna kemudian pergi ke masjid maka bagi setiap langkahnya pasti akan dituliskan untuknya satu pahala dan ditingkatkan darjat dan dihapuskan satu dosa. Sesungguhnya kami melihat bahawa tidak ada pun di kalangan kami yang meninggalkan solat berjemaah melainkan orang yang benar-benar mengetahui kemunafikannya. Seorang lelaki pernah dipimpin oleh dua orang lelaki sehingga dia didirikan dalam saf.” (Riwayat Muslim)

Daripada hadis di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sangat menitik beratkan kepada kaum lelaki untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah di masjid. Sehinggakan pada saat-saat akhir keuzuran baginda pun, baginda tetap mahu menunaikan solat berjemaah bersama-sama para sahabat yang baginda kasihi. Biarpun baginda terpaksa berpapah untuk solat di Masjid Nabi di Madinah namun semangat untuk tetap solat berjemaah tidak pernah luntur di hati baginda. Para sahabat menyaksikan berapa baginda sangat mengagungkan tuntutan solat berjemaah kepada kaum lelaki kerana solat berjemaah ini adalah lambang kekuatan iman, penyatuan hati umat Islam ke arah penyempurnaan khusyuk dalam solat.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah (yang menghidupkan amalah di dalamnya) ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat...” (At-Taubah: 18)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Solat berjemaah melebihi solat sendirian sebanyak 27 kali ganda.” (Riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim)

Wajib tunai solat walaupun sakit
Biarpun suami bertanggungjawab mengingatkan ahli keluarga tentang tuntutan solat, isteri juga memainkan peranan penting untuk saling ingat-mengingatkan ke arah itu. Ada ketikanya ahli keluarga kita terleka dengan kerja harian mereka, lalu sebagai isteri yang ingin merebut gelaran solehah berusahalah memujuk ahli keluarga lelaki untuk beramai-ramai menunaikan solat fardhu secara berjemaah di masjid atau surau. Ini adalah perintah Nabi SAW yang tidak boleh dipandang remeh kerana baginda sendiri telah menunjukkan contoh, bagi yang uzur sekalipun sekiranya boleh dipapah maka digalakkan solat di masjid. Ini merupakan satu penegasan daripada Nabi SAW kerana kekuatan ke arah penghayatan solat berjemaah ini akan membentuk peribadi manusia untuk bersungguh-sungguh mencintai solat.

Hidupkan roh solat
Seseorang lelaki belum dianggap ‘gentleman’ selagi belum cintakan solat berjemaah di masjid. Kerana bukan mudah untuk bangun sebelum subuh dan berpagi-pagi meredah kesejukan embun semata-mata mahu menunaikan solat Subuh berjemaah bersama teman-teman. Bukan mudah pula untuk seorang lelaki cenderungkan hatinya untuk solat Maghrib dan Isyak di masjid di saat orang lain mahu merehatkan diri di rumah setelah kepenatan seharian bekerja lebih-lebih lagi jika masjid itu terletak jauh dari rumah. Inilah jihad besar seorang wanita apabila berjaya memujuk ahli keluarga lelaki melawan hawa nafsu supaya seronok solat di masjid. Sesungguhnya roh penghayatan solat apabila susah untuk dibuat di rumah sebab takut tidak kuat melawan hawa nafsu, maka kita mesti cipta suasana, kena berhijrah dan pergilah ke masjid supaya roh ibadah kita terus hidup.

Rasa nikmat dapat solat berjemaah di masjid bagi seorang lelaki yang telah mencintai rumah Allah, mencintai Allah dan Nabi SAW adalah sangat berbeza rasanya berbanding solat berjemaah di rumah. Hanya para lelaki yang telah membiasakan diri solat berjemaah di masjid dapat merasai nikmat kemanisan roh solat yang hidup.

Roh apabila telah bersih dan suci akan terdorong untuk seronok buat baik, merindui untuk datang awal ke masjid, seronok untuk terus memahami bacaan di dalam solat, berhalus dalam menjaga rukun-rukun dalam solat. Rasa sangat terseksa apabila tidak dapat menghayati kehendak solat yang sebenar. Rasa takut dengan Allah apabila terlewat solat berjemaah. Takut-takut Allah ambil nyawa sebelum sempat solat sedangkan waktu solat telah lama masuk. Sesungguhnya inilah antara ciri-ciri peribadi mukmin yang menuju ke arah kekhusyukan dalam solat, hatinya telah diikat mencintai masjid.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali bagi mereka yang khusyuk (mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya).” (Al-Baqarah: 45 – 46)

SOLAT – BEZAKAN SEDAR DAN ISTIQAMAH

ORANG yang sedar solat itu penting akan mula bersungguh-sungguh menunaikan solat. Namun pasang surut hanya kerana sedar menunaikan solat fardhu itu wajib tetap ada. Gangguan iblis, syaitan dan kelalaian dibuai hawa nafsu tetap akan dihadapi oleh ramai orang. Akhirnya, kita kembali melewat-lewatkan solat.

Untuk kekal istiqamah (konsisten) dalam solat adalah sangat payah sebenarnya. Kekal istiqamah menunaikan solat pada awal waktu lagi payah sebab itulah Rasulullah SAW sangat menegaskan tuntutan solat berjemaah. Jemaah lambang kekuatan dan kesatuan hati. Hikmah keberkatan solat berjemaah boleh mencipta suasana istiqamah beribadah dan menanamkan roh cinta solat pada awal waktu, selain pahala berganda turut membentuk peribadi, berasakan kerja-kerja lain mendapat berkat kesan memuliakan Allah pada tuntutan yang sangat wajib ini. Roh pencinta solat berjemaah paling ditakuti oleh iblis dan syaitan.

Ada orang mampu bersolat tetapi kebiasaannya solat akan diborong pada penghujung waktu. Contohnya, solat Zuhur akan dibuat pada akhir waktu sebelum masuknya waktu Asar. Begitu juga solat Maghrib dan Isyak. Alasan yang diberi, “Daripada tak buat langsung, tak apalah buat lambat. Satu lambat, satu lagi awal waktu. Kira ok lah tu...”

Ya, kira ok di mata kita, tapi Nabi SAW tidak mengajar kita buat begitu. Bayangkan kalau kita hendak bertemu dengan raja maka kita pilihlah di antara dua masa seperti ini, janji dengan raja sepatutnya jam 1.30 tengahari tapi kita tangguh ke jam 4 petang. Kita lewatkan hampir tiga jam dengan niat kita boleh jumpa raja sekali lagi pada awal waktu apabila masuk waktu petang.

Secara logiknya seronokkah kita membawa temujanji yang sangat lewat atas alasan semata-mata mahu memenuhi hajat kita yang lain-lain dulu. Agak-agak dapatkah apa yang kita hajati apabila tuntutan dibuat sambil lewa sedangkan terlalu banyak perkara yang hendak dipohon? Kenapa kita sanggup abaikan tanggungjawab ini sehingga penghujung waktu?

Kerana kita tidak nampak siapa yang kita sembah, kita tak nampak fizikalnya seperti mana kita nampak raja pemerintah dunia atau bos kita di pejabat? Allah hanya akan kita ‘nampak’ apabila kita punya kekuatan di hati untuk merasakan Allah ada di mana-mana, rasa Allah sentiasa memerhati, rasa Allah memakbulkan sebanyaknya doa yang kita pinta.

Lalu bagaimana untuk datangkan rasa seronok beribadah seperti ini? Rasa cinta mesti dipupuk setiap hari tanpa mengenal erti jemu, seperti mana kita cintakan suami, kita berbakti kepadanya hari-hari. Kita jaga kebersihan makan pakainya, kita jaga ketenangan hatinya, kita bersama kongsi susah senang dengannya. Begitu juga suami yang cintakan isteri, curahan kasih sayang dan pengorbanannya tidak pernah berbelah bahagi kepada kita sehingga kita kian tua. Semakin lama semakin sayang. Semakin banyak halangan kehidupan berumah tangga yang dilalui dengan tenang dan sabar, semakin kental kasih antara kita berdua.

Begitulah dengan solat, untuk dapat kemanisannya tidak boleh dibuat sehari dua. Mesti ditubi hari-hari untuk paksa diri seronok solat. Tuntutan solat berjemaah mesti disuburkan kepada anak-anak sejak kecil lagi supaya kecintaan kepada kehidupan bersolat dirasakan cukup penting. Insya-Allah anak-anak yang dibentuk dalam budaya hidup seronok solat berjemaah akan mudah melaksanakannya dan mempunyai keyakinan hidup dalam bermasyarakat.

Selasa, Januari 19, 2010

KISAH BENAR SEORANG GURU

SAYA sangat mengkagumi kerjaya sebagai guru sekolah. Sebuah kisah yang saya paparkan ini saya ulangi dari kisah benar seorang guru beberapa tahun yang lalu.

Ceritanya:
Saya mengajar di sekolah rendah di tengah2 bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri.

Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata2 kecuali anggukkan yang seolah2 dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untukdirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.

Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang kesekolah dan masih tetap lambat.

Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.

Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari2 sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.

Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang.

"Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?"

Dia terkejut dan wajahnya berubah.

"Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu." Jawabnya

"Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?"

" Mak pesan, jangan meminta2 pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu."

Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, "Maafkan cikgu, ......."

Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.

Cerita2 begini membantu melembutkan hati yang keras. Kata seorang guru, sekiranya hati kita mula keras lembutkanlah dengan perkara2 berikut:

i. Solat sunat

ii. puasa sunat

iii. berzikir

iv. bersedekah

v. mengusap rambut anak yatim

vi. mendengar cerita2 kesusahan orang lain

vii. membantu orang susah
Sumber: Forwarded email

Isnin, Januari 18, 2010

ALIF, BA, TA, THA, JIM...

Oleh: Jalilah Hj. Abdullah

PADA satu pagi Jumaat, Ustazah Abdullah Mahmood, pendakwah tanah air menaiki teksi ke tempat kerjanya.

Dia duduk di kerusi belakang. Entah macam mana pagi itu dia menyapa pak cik yang sudah dalam usia 60-an. “Pak cik boleh baca Quran?” Terkejut si pemandu teksi itu. “Nak, inilah pertama kali orang naik teksi tanya pakcik macam ni,” lelaki itu bersuara agak keras kerana terkejut. Ustaz jadi serba salah, entah kenapa pagi itu soalan itu terpacul dari mulutnya. “Sebenarnya pak cik, bila saya lihat belakang badan pak cik iras macam arwah ayah saya. Selalunya waktu-waktu pagi Jumaat macam ni ayah saya mengaji Quran. Maaf ya pak cik,” lembut nada suara ustaz. Sepanjang perjalanan mereka tak bercakap. Masing-masing melayan fikiran. Sampai di kawasan pejabat, ustaz membayar tambang dan menghulurkan kad nama. “Bila-bila pak cik senang, jemput datang ke pejabat saya.”

Ustaz berjabat tangan dengan pak cik teksi.

Seminggu selepas pertemuan, pak cik teksi itu datang ke pejabat ustaz. Syukur Ustaz Abdullah ada di pejabat.

“Boleh saya tahu siapa pak cik ni?” tanya ustaz ketika pak cik menghulurkan tangan padanya.

“Ustaz, ingat tak minggu lepas ustaz ada naik teksi pak cik. Ustaz tanya pak cik tentang mengaji Quran, ustaz kata bentuk belakang pak cik macam ayah ustaz.”

“Oh ya. Maaflah pak cik, ramai sangat yang datang. Saya tak cam,” ujar Ustaz Abdullah yang juga guru Quran kepada murid-murid tua yang ada kesedaran hendak belajar Al-Quran.

“Apa yang boleh saya bantu pak cik?” tanya ustaz pada pak cik teksi yang sudah duduk di depannya.

“Begini, selepas ustaz tanya pada pak cik tentang mengaji Quran hari itu, pak cik terus balik rumah. Seminggu pak cik tak bawa teksi, seminggu pak cik duduk rumah. Seminggu pak cik asyik memikirkan tentang diri pak cik.”

“Tentang apa?”

“Pak cik sebenarnya memang tak pandai langsung mengaji Quran. Jadi pak cik datang ni nak belajar mengaji dari bawah. Nak kena bawa Quran ke?” Bergenang air mata pak cik itu, sebak meluahkan perasaan yang telah seminggu terbuku di hati.

“Tak payah pak cik, di sini kami ada kitab. Kita boleh belajar bersama,” kata ustaz sambil membuka muqaddam.

“Saya baca pak cik ikut ya. Alif.. ba.. ta.. tha.. jim..”

“Alif.. ba.. ta.. tha..” sampai huruf jim, pak cik terdiam lama. Ustaz terkejut, takut-takut ada sesuatu yang tak kena.

Pak cik tunduk dan menangis teresak-esak. “Pak cik tak tahu baca Quran, pak cik tak tahu...” ustaz dipeluknya erat. Rasa bagai seorang ayah memeluk anak. Dia terlalu sebak rupanya.

Sejak peristiwa itu, pagi-pagi lagi pak cik datang belajar selama 15 minit sebelum bawa teksi. Dialah murid tua yang paling awal datang.

Setiap malam selepas solat maghrib dia akan mengurung dirinya di dalam bilik, membaca muqaddam perlahan-lahan. Perkara ini dirahsiakan daripada isteri dan anak-anaknya. Alhamdulillah, selepas empat bulan, dia sudah boleh membaca Quran dengan baik.

Suatu malam, isterinya yang sedang memasak di dapur terdengar suara orang mengaji dalam bilik. Dia menyuruh anaknya mengintai.

“Mak.. ayah baca Quran,” bisik si anak.

“Ayah kamu baca Quran? Hish, mak tak percaya.. ayah kamu mana reti baca Quran. Mak kenal sangat dengan ayah kamu tu.”

“Betul mak...”

Api dapur ditutup. Kedua-dua beranak itu mengendap perlahan-lahan masuk ke dalam bilik. Alangkah terkejut si suami apabila melihat isteri dan anaknya di belakangnya. Isterinya terus memeluknya dengan linangan air mata keharuan.

Esoknya Ustaz Abdullah terkejut apabila melihat hidangan pulut kuning dan rendang terletak di atas meja pejabatnya.

“Ustaz, ada seorang mak cik datang pagi-pagi lagi hantar pulut. Dia kata dia isteri pak cik teksi tu,” beritahu seorang staf ustaz.

Beberapa hari kemudian, isteri pak cik itu datang dan mengucapkan ribuan terima kasih di atas bimbingan ustaz. Baginya inilah nikmat kehidupan sebenar yang sangat-sangat dirindui apabila suaminya sudah menjadi pengamal Al-Quran.

GRAVITI HATI

Oleh: Pahrol Mohamad Juoi

HATI umpama magnet. Ia mempunyai kuasa menarik sesuatu yang di luar diri. Apa yang dirasakan, menentukan apa yang diterima sebagai pantulan. Justeru, penting sekali bersangka baik, agar kebaikan akan ‘ditarik’ ke dalam diri. Jauhi prasangka dan dendam, kerana itu jua yang akan diterima sebagai balasan.

Sekali lagi... hati umpama magnet, semaikan rasa yang baik-baik, pasti kita akan menuai kebaikan. Jangan sekali-kali menyemai badai, nanti terpaksa pula kita menuai taufan!

Hati itu berbolak-balik sifatnya. Sabda Nabi, bagai kuah yang mendidih dan menggelegak. Simpang-siurnya begitu licik. Naik turunnya berbolak-balik. Kekadang ia baik, bagaikan asal mulanya sejak dulu. Ia menjadi kain bersih yang menghamparkan kejernihan dan kesucian. Namun, sesekali bertukar menjadi kelam, kusam, hitam bagaikan lakaran syaitan yang memantulkan kejahatan.

Para muttaqin pernah memberi petunjuk... apabila hatimu keras, buas dan liar sekali, bukalah Al-Quran, bacalah dan tadabbur akan makna dan rasanya. Al-Quran itu bukankah penawar hati?

Namun jika hati masih keras juga, dirikan solat. Solat itu zikir penyucian hati. Namun sekiranya masih keras jua... bangunlah waktu dinihari. Berwuduk dan berdoalah, pintalah kepada Tuhan agar dikurniakan hati yang lain kerana hati yang kau miliki waktu itu hakikatnya bukan lagi hatimu!

Hati itu ditarik antara dua graviti. Pertama, graviti tahap tinggi pintalan ilham para malaikat. Kedua, graviti menjunam lembah kehinaan simpulan para syaitan. Ketika melihat si miskin meminta-minta, suara hati berdetik... bantulah dia, insan lara yang datang kerana kemiskinan. Namun sedetik cuma, tiba-tiba graviti bertukar, memberi alasan, biarkan... itu balasan buatnya akibat kemalasan! Kau prasangka? Bukan, cuma berhati-hati. Dan atas alasan ‘berhati-hati’, ramai yang telah enggan memberi tetapi masih merasakan diri baik hati!

Ingat mati – pembasuh hati yang gelisah dan jiwa yang resah. Cukuplah mati sebagai peringatan dan amaran. Ingat mati akan memadamkan rasa nikmat melakukan maksiat. Ingat mati akan memadamkan rasa enggan melaksanakan kebaikan. Ingat mati itu sesungguhnya menghidupkan hati.

Tetapi sayang, aku kian lupa untuk mengingatinya. Lalu, aku terkapai-kapai antara tarikan dua graviti hati... membuat kebaikan belum terasa kemanisannya, melakukan kejahatan tidak sunyi diburu rasa keresahannya!

Jumaat, Januari 15, 2010

SALADIN - ADAKAH KAU LUPA

video

KELEBIHAN DAN FAEDAH SOLAT

1. Solat akan menerangkan hati.
2. Solat akan dapat mencahayakan wajah.
3. Solat membuahkan perasaan redha terhadap Tuhan yang Maha Penyayang.
4. Solat membuatkan syaitan berasa marah.
5. Solat menjadi penolak bala.
6. Solat menghilangkan kejahatan musuh.
7. Solat memperbanyakkan rahmat.
8. Solat menolak siksa kubur dan siksa di hari akhirat.
9. Solat mendekatkan diri kita dengan Allah.
10. Solat mencegah segala yang keji dan mungkar.

25 KELEBIHAN SOLAT SEPERTI YANG DISABDAKAN OLEH RASULULLAH SAW

1. Solat menghasilkan keredhaan Allah.
2. Solat membuahkan kasih sayang para malaikat.
3. Solat adalah jalan para Nabi dan Rasul.
4. Solat adalah cahaya makrifat.
5. Solat adalah asal makrifat.
6. Solat membuatkan Allah SWT memakbulkan doa yang dipanjatkan.
7. Solat merupakan sebab diterima-Nya segala amal yang lain.
8. Solat dapat memurahkan rezeki.
9. Solat menjadikan badan sihat.
10. Solat menjadi pelindung terhadap semua musuh.
11. Solat membuatkan syaitan berasa benci.
12. Solat menjadi syafaat bagi seseorang dalam menghadapi sakaratul maut.
13. Solat adalah penerang di dalam kubur.
14. Solat menjadi hamparan berbaring.
15. Solat menjadikan seseorang dapat menjawab pertanyaan Munkar dan Nakir di alam kubur.
16. Solat membuatkan seseorang berada selesa di dalam kubur sehingga hari kiamat.
17. Solat menjadi naungan di atas kepala dari panas matahari di hari kiamat.
18. Solat menjadi mahkota di atas kepala.
19. Solat menjadi pakaian di badan.
20. Solat menjadi lampu penerang di depan ketika berjalan.
21. Solat menjadi pendinding api neraka.
22. Solat menjadi hujjah.
23. Solat memberatkan timbangan amal kebajikan.
24. Solat dapat membantu kita melintas titian Sirat Al-Mustaqim di akhirat.
25. Solat dapat membukakan pintu syurga.

SOLAT TAHAP TADIKA

Oleh: Hj. Bad

PEJAM celik, tidur jaga, duduk bangun, toleh kiri toleh kanan, lepak sana sini, enjoy sekejap, serius sekejap, tup tap tup tap dah pun masuk tahun baru 2010. Ish... cepat betul masa berlalu. Rasa-rasanya baru tiga empat tahun lepas kita dirisaukan dengan cerita Y2K. Sedangkan kita semua tahu detik demi detik masa tetap yang tu jugak. 60 saat seminit, 60 minit sejam, 24 jam sehari dan 30 hari sebulan. Itulah masa namanya. Cepat dan lambatnya bergantung kepada diri kita sebenarnya. Duduk depan TV nengok cerita telenovela demi telenovela terasa sekejap kan? Pergi karnival (sebut pesta tak best...) dan konsert tiga empat jam tak sedar dah nak maghrib kan? Duduk melayan komputer dan internet berjam-jam terasa macam beberapa minit je kan? Seolah-olah masa sungguh mencemburuiku... (poorah!)

Tapi kalau sembahyang atau mendengar kuliah agama atau menghadiri pengajian fardhu ain yang hanya beberapa minit terasa lama kan? Ustaz memanjangkan sesi kuliah maghrib sehingga melewati waktu isyak pun kita dah gelisah. Sesekali terpaksa ulang solat apabila terbatal wuduk terasa menderita sungguh kan? Atau sesekali suami terlanggar lalu tersentuh saat kita ready untuk solat terasa azab sungguh nak berwuduk semula kan? Kenapa azab dan menderita? Sebab kita tak terasa indah dan seronoknya bersolat kan? Ambil yang rukun jer. Itupun pakai sistem ekspres tanpa tamakninah atau macam ayam mematuk! Selesai salam terus bangun tanpa sempat berdoa (alaa, doa tu sunat jer.. lagipun Allah tahu apa yang aku mahu). Sesetengah tu berdoa “Ya Allah yang Maha Mengetahui, doa aku hari ini sama aje dengan doa aku yang semalam. Kabulkanlah ya Allah. Aminn”.

2010... sayu jer memijak bumi pagi Januari 2010. Sayu kerana telah berlalu usia kita yang tidak akan kembali dan tidak akan berulang lagi. Terlalu banyak masa yang telah kita sia-siakan. Telah banyak dosa dan kemungkaran kita lakukan, sama ada dosa yang nampak atau yang tak nampak. Beramal ibadah pun tak de banyak mana. Itupun banyak sangat cacat celanya. Agak-agak Allah terima tak ibadah yang macam tu? Tengok ibadah solat kita pun cukuplah. Berapa ramai di kalangan kita yang melazimkan solat di awal waktu? (alaa, lewat-lewat pun semayang jugak). Berapa ramai di kalangan kita yang melazimkan solat sunat sebelum dan sesudah solat fardhu? (alaa, ada orang langsung tak semayang). Berapa ramai yang bersungguh-sungguh menjaga khusyuk dalam solat? (alaa, tak khusyuk pun sah jugak). Berapa ramai yang faham makna bacaan Al-Fatihah? (penting ke?) Berapa ramai yang faham makna setiap bacaan dalam solatnya baik bacaan ketika rukuk, sujud atau ketika duduk tahiyyat? (kena faham ke?) Berapa ramai yang dah mengaji habis kitab fekah bab bersuci, wuduk dan solat yang biasa dibuat kat surau dan masjid? (alaa, kat sekolah dulu cikgu dah pernah ajar.. kira ok ler tuu!)

Begitulah sikap kita tentang solat yang kita akui sebagai tiang agama. Betapa tidak seriusnya kita dengan solat. Usia dah semakin ke penghujung tapi solat kita masih macam budak tadika. Soalan yang mula-mula ditanya di akhirat nanti pun adalah soal solat juga. Kalau lulus persoalan solat maka persoalan ibadah lain tu kira mudah la. Tapi kalau persoalan solat tak pass... hmm, susah mau cerita!

Selasa, Januari 12, 2010

MALUKAH KITA?

DARIPADA Abu Mas’ud ‘Uqbah ibn ‘Amru Al-Ansari Al-Badri r.a., beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya antara kata-kata ungkapan kenabian terdahulu yang dapat diketahui dan dipetik oleh manusia ialah: Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu.” (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Pengajaran Hadis:
1. Malu adalah sifat mahmudah atau sifat yang terpuji. Sifat yang menjadi warisan dan akhlak para rasul, anbiya dan malaikat al-muqarrabin.

2. Frasa: “...Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu...” bukanlah satu suruhan atau perintah supaya melakukan, sebaliknya dikira sebagai tahdid (kecaman) supaya menjauhi dan meninggalkan sikap ‘tidak malu’ yang menjadi punca kepada lenyapnya iman seseorang.

3. Sifat malu yang bersumberkan keimanan berupaya menjadi benteng dan perisai buat diri seseorang Muslim daripada melakukan dosa dan kemaksiatan sama ada terhadap Allah atau sesama manusia.

4. Sifat malu yang mahmudah (terpuji) terbahagi kepada dua bahagian:
a) Yang boleh diusahakan
Yakni sifat malu yang dilatih hingga menjadi pakaian diri. Antara kaedah mengusahakannya adalah dengan cara makrifatullah yakni mengenal Allah dan merasai muraqabah Allah (merasai diri sentiasa dipantau dan diawasi oleh Allah SWT).
b) Yang tidak boleh diusahakan
Yakni sifat malu yang berupa rasa fitrah semula jadi yang diberikan Allah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

5. Malu yang mazmumah (dicela) pula adalah sifat malu yang tidak menepati syarak, seperti malu bertanya tentang agama. Misalnya, malu bertanya tentang cara beribadat dan malu melakukan perintah Allah seperti malu menutup aurat. Demikian juga malu melakukan kebaikan, ia adalah malu yang tercela dan dilarang oleh agama.

6. Malu adalah salah satu sifat utama seorang Mukmin kerana ia adalah sebahagian daripada iman. Malu tidak menghasilkan sesuatu kecuali kebaikan. Dalam hadis yang lain dikatakan bahawa malu dan iman itu berpasangan. Apabila salah satu daripadanya hilang maka yang keduanya turut hilang. Apabila malu tidak ada maka iman juga tidak ada dalam diri dan begitulah sebaliknya.

7. Sejarah peradaban membuktikan bahawa keinginan nafsu manusia itu amat tidak terbatas dan tidak pernah puas. Hanya dengan penghayatan sifat malu sahaja, mereka mampu membendung dan menjurusnya ke arah kemuliaan.

8. Malu sejati adalah malu yang didorong oleh perasaan iman kepada Allah SWT.

PENGARUH BAKA & KESOLEHAN ORANG TUA

BAIK benihnya maka akan baiklah tanaman dan hasil tuaiannya. Demikian juga usaha membentuk sebuah keluarga Mukmin yang baik, harus bermula dengan benih yang baik. Baik yang dimaksudkan di sini bukan sahaja dari segi baka dan latar belakang keturunan yang baik-baik, tetapi juga baik pegangan agama dan adab sopan.

Benih baka yang baik haruslah bermula dengan diri sendiri dahulu. Untuk mendapat jodoh suami yang soleh atau isteri yang solehah maka perlu terlebih dahulu berusaha menjadikan diri masing-masing orang soleh / solehah. Ini kerana Allah akan menjodohkan seseorang itu dengan pasangan yang sepadan dengannya.

Firman Allah SWT: “Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji (pula). Wanita-wanita yang baik (solehah) adalah untuk lelaki-lelaki yang baik (soleh), dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).” (An-Nur: 26)

Langkah awal dalam perancangan membentuk keluarga sakinah ini perlu diikuti dengan mencari isteri solehah yang bakal menjadi ibu kepada anak-anaknya. Sebaik-baiknya pilihlah isteri yang subur (mempunyai ramai adik-beradik), bersifat penyayang dan berjiwa pendidik. Pentingnya hal ini hingga Rasulullah memerintahkan agar memilih isteri dengan teliti sebelum bernikah. Dari Sayidatina Aisyah r.ha. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Pilihlah tempat yang baik untuk nutfah (air mani) kamu.” (Riwayat Daru Qutni)

Di dalam kitabnya, Nasihat Al-Muluk, Imam Mawardi rhm. menetapkan bahawa memilih isteri merupakan hak seorang anak dari bapanya. Beliau menukilkan kata-kata Sayidina Umar Al-Khattab r.a.: “Hak seorang anak, pertama sekali adalah mendapatkan seorang ibu yang sesuai dengan pilihannya, kemudian memilih wanita yang akan melahirkannya, iaitu seorang wanita yang memiliki kecantikan, terhormat, kuat beragama, yang menjaga diri, berakal dan berakhlak baik.”

Justeru itu, sebaik-baik wanita yang hendak dinikahi adalah yang didasari atas agamanya, ketaatannya, ketakwaannya dan taubatnya kepada Allah SWT. Dia akan mampu membahagiakan suami, menurut perintahnya dan menyenangkan hati apabila dipandang. Wanita begini juga akan berupaya mengawal dan menjaga dirinya, harta suaminya dan mendidik anak-anaknya.

Apabila isteri yang solehah ini menjadi seorang ibu, dia akan selalu memberikan anaknya makanan atas dasar keimanan danm kasih sayang. Anaknya diberi minum air susu terbaik, yang telah selalu diperdengarkan zikrullah dan selawat ke atas Nabi SAW. Ibu yang solehah juga tidak akan jemu memberi didikan takwa dan menanamkan kecintaan kepada agama Islam dalam diri anaknya sampai ke akhir hayatnya.

MERISIK LATAR BELAKANG
Perlu juga difahami bahawa disunnahkan merisik latar belakang keluarga ketika mencari pasangan hidup kerana faktor baka dan keturunan turut memainkan peranan penting dalam pembentukan keluarga sakinah. Anak-anak adalah belahan baka keturunan ibu dan bapanya. Dalam maksud yang sama, Sayidatina Aisyah rha. berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Pilihlah olehmu dalam menempatkan nutfah (air mani). Sesungguhnya seorang perempuan melahirkan anaknya yang akan mirip dengan saudara-saudaranya.” (Riwayat Ibnu Asakir)

Sekurang-kurangnya terdapat tiga aspek yang diperturunkan kepada anak daripada ibu bapanya iaitu ciri-ciri rupa bentuk fizikal, kecerdasan akal dan bibit-bibit tabiat. Ciri-ciri rupa bentuk fizikal seperti warna kulit, bola mata dan rambut serta kemancungan hidung dan seumpamanya tidak boleh diubah. Malah dihukumkan haram mengubah kejadian ciptaan Allah SWT.

Namun begitu, tahap kecerdasan mental dan tabiat tingkah laku masih boleh berubah dengan campur tangan didikan dan latihan kebiasaan serta rangsangan. Jika tabiat tingkah laku manusia tidak boleh diubah dan dibaiki, masakan didatangkan para Nabi dan Rasul. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku diutuskan kepada sekalian manusia untuk menyempurnakan budi pekerti yang mulia.” (Riwayat Ahmad)

Memahami hal ini maka orang tua harus bijak mengecam bibit benih tabiat baik anak-anak sejak kecil lagi untuk dirangsang dan dipupuk agar terus subur. Demikian juga dengan bibit benih tabiat buruk harus dikenal pasti untuk dibendung. Sebenarnya hal ini tidak sukar untuk dilakukan oleh ibu bapa, kerana bibit-bibit tabiat baik atau buruk itu datangnya daripada diri mereka sendiri.

Anak-anak juga akan menjadi apa sahaja yang diajar dan dibiasakan oleh orang tua kepadanya. Tanpa diajar sekalipun, akhlak dan tingkah laku orang tua mudah ditiru oleh anak-anak melebihi daripada kata-katanya. Amat beruntung sekali jika akhlak dan perangai baik yang ditunjuk ajar oleh orang tua maka akan baiklah akhlak dan perangai anak-anaknya nanti. Sebaliknya rugi sekali jika akhlak buruk dan jahat yang diteladani oleh anak-anak.

MEMELIHARA DIRI
Menyedari kesolehan mempunyai pengaruh secara langsung terhadap diri anak-anak, maka orang tua perlu sentiasa menjaga diri, adab dan pergaulan agar tidak terkeluar dari batas kesolehan. Memelihara diri daripada terjerumus ke dalam dosa dan kefasikan perlu dilakukan setiap ketika dan tempat, sama ada di hadapan mahupun di belakang anak-anak.

Ini penting memandangkan Allah akan membalas secara tunai kelakuan orang tua sama ada baik atau buruk dengan kelakuan anak-anak terhadap mereka. Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi SAW bersabda: “Jauhkanlah dirimu dari wanita-wanita orang lain, nescaya wanita-wanitamu (isteri dan anak perempuan) akan menjaga kesuciannya. Dan berbaktilah kepada orang tuamu, nescaya anak-anakmu akan berbakti kepadamu.” (Riwayat Hakim)

Tidak cukup setakat itu, orang soleh zaman dahulu membuat perjanjian dengan Allah agar dikurniakan zuriat yang baik. Syeikh Al-Tusturi rhm. berusaha sedaya upaya mendoakan anaknya yang saat itu masih berada di tulang sulbinya (masih berupa air mani) dengan mengamalkan beberapa amalan soleh yang khusus dengan harapan Allah akan mengurniakannya anak yang soleh.

Disebutkan dalam kitab Hayyiah Ibnu ‘Abidin, beliau berkata: “Sesungguhnya aku telah mengadakan perjanjian dengan Allah semenjak anakku masih berada di alam ghaib, bahawa aku akan memelihara anak-anakku sejak saat ini hingga dikeluarkan anakku oleh Allah ke alam nyata ini.”

Dalam hal yang sama, seorang tokoh sufi salafussoleh, Said bin Musaiyab rhm. berkata, “Ketika aku sedang solat, aku ingat anakku; maka aku menambah solatku.” Seorang salafussoleh yang lain telah berkata kepada anaknya: “Wahai anakku, aku telah memperbanyakkan ibadat solat semata-mata demi diri kamu.”

Selain melakukan amal soleh dan membanyakkan amal untuk anak mereka yang bakal lahir, mereka tidak jemu berharap dan memanjatkan doa. Dari Umar Al-Khattab r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu semua meninggalkan doa agar memiliki anak; sebab apabila seseorang itu meninggal dan tidak memiliki satu pun anak maka terputuslah namanya.” (Riwayat Thabrani)

Kemudian apabila anak-anak mereka telah lahir, mereka tidak jemu mendidik. Bahkan berwasiat kepada anak-anak sebagaimana dilakukan oleh para Nabi agar bertakwa dan berpegang teguh kepada agama Allah. Inilah jalan hidup para Nabi dan Rasul, sebagaimana kisah Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Daud a.s. yang diceritakan dalam Al-Quran.

Firman Allah SWT: “Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Yaakub. (Ibrahim berkata): Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam agama Islam. Apakah kamu hadir ketika Yaakub kedatangan (tanda-tanda) maut, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: Apakah yang akan kamu sembah sepeninggalanku? Mereka menjawab: Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail dan Ishak; iaitu Tuhan yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya.” (Al-Baqarah: 132 -133)

Isnin, Januari 11, 2010

PENDIDIKAN ANAK-ANAK DI DALAM SURAH LUQMAN

DI dalam surah Luqman terdapat peruntukan mengenai pendidikan anak-anak yang bermula dari ayat 13 sehinggalah ke ayat 19. Terdapat beberapa huraian yang menyentuh tentang ayat-ayat tadi berdasarkan tafsir ‘Fi Zhilali Al-Quran’.

Ayat 13 – Ia merupakan nasihat Luqman Hakim kepada anaknya agar menjauhi syirik kerana ia adalah kezaliman yang besar. Tiada seorang bapa pun yang tidak mahukan kebaikan untuk anaknya. Persoalan inilah yang diketengahkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya. Sesungguhnya kata-kata nasihat yang dilafazkan oleh ibu bapa adalah jauh sekali dari bentuk-bentuk syubhat dan sangkaan-sangkaan yang tidak betul. Apatah lagi ia diucapkan dengan berhikmah yang mana ia adalah satu kurniaan terbesar kepada Luqman Hakim.

Ayat 14 – Ia memperlihatkan kepada kita tentang perhubungan atau komunikasi seorang bapa dengan anaknya dalam bentuk yang lembut dan digambarkan dalam suasana yang begitu realistik. Namun, pertalian akidah haruslah dipentingkan dari pertalian tersebut.

Nasihat ini ekoran daripada rancangan fitrah yang membawa seseorang bapa untuk memelihara anaknya. Fitrah ini wujud untuk menjamin penerusan hidup anak-anak.

Ibu bapa menyerahkan segenap tenaga, mengorbankan jiwa dan raga serta hartanya untuk kebahagiaan anak-anak tanpa keluhan dan rintihan. Malah, ia dilakukan dengan penuh keikhlasan dan kegembiraan. Justeru, seseorang anak harus bersyukur kepada Allah SWT dan kepada kedua orang tuanya kerana semua itu adalah dihubungkan dengan pertalian akhirat.

Ayat 15 – Ayat ini menunjukkan bahawa anak-anak tidak perlu menuruti serta mentaati perintah atau nasihat kedua orang tuanya sekiranya ia membawa kepada mensyirikkan Allah SWT. Namun, anak-anak wajib berkomunikasi dengan mereka secara baik, dan mereka seharusnya mengikuti jalan-jalan kebenaran. Sesungguhnya segala amalan manusia akan dihitung dan dikhabarkan apa yang telah mereka kerjakan.

Ayat 16 – Ia menunjukkan bahawa segala amalan yang dilakukan meskupun sebesar biji sawi dan berada di dalam batu pejal atau di mana-mana tempat sama ada di langit atau di bumi akan dihisab oleh Allah SWT dan diketahui oleh-Nya. Hal ini memperlihatkan bahawa ilmu Allah SWT maha luas. Dia mengetahui segala yang zahir dan batin. Demikianlah keagungan Allah SWT.

Ayat 17 – Luqman Hakim menasihati anaknya agar menunaikan solat dan menyeru manusia kepada Allah SWT serta bersabar dengan mehnah-mehnah atau tribulasi perjuangan yang bakal dihadapi dalam meninggikan kalimah Allah SWT. Semuanya itu adalah jalan-jalan akidah yang telah digariskan dan ditetapkan oleh Allah SWT. Ia merupakan bekalan seseorang Muslim untuk kekuatan dirinya dan merupakan sebaik-baik perkara.

Ayat 18 – Luqman Hakim seterusnya menasihati anaknya tentang adab-adab seorang daie pada jalan Allah SWT. Di dalam proses menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah tidak dibolehkan seseorang itu meninggi diri dan bersikap sombong serta berjalan di muka bumi ini dengan angkuh kerana ia seolah-olah tidak mempedulikan manusia sekelilingnya serta mendapat kemurkaan Allah SWT dan kebencian manusia yang lain. Malah, Islam menyarankan manusia agar bersederhana di dalam perjalanannya.

Ayat 19 – Merendahkan suara adalah adab. Ia akan menimbulkan kedamaian dan segala apa yang dituruti itu akan dipercayai dan diterima. Mereka yang buruk percakapannya adalah tergolong di dalam orang-orang yang buruk akhlaknya dan digambarkan sebagai himar yang jelik suaranya.

Demikianlah beberapa kriteria yang menyentuh tentang pendidikan anak-anak yang sepatutnya diteliti oleh kita semua. Ini menunjukkan bahawa pendidikan anak-anak itu amat penting sehingga mendapat tempat di dalam Al-Quran.

ANAKKU, JADILAH AHLI AL-QURAN

Oleh: Zakaria Sungib

DUA anak lelaki abah yang mengikuti pengajiah tahfiz pulang bercuti. Seperti selalu, cuti bakal-bakal hafiz ini tidak pernah lama, sekadar beberapa hari. Abah mengambil peluang ini untuk mendekati anak-anak remajanya itu.

Abah bersama mereka solat jemaah di masjid. Sekali-sekala abah meminta mereka mengimamkan solat di rumah. Usai solat, abah berpesan kepada anak-anak remajanya yang sudah menghafaz Al-Quran hingga juz 21 itu dan kepada anak-anak lain yang turut bercuti.

“Abah mahu anak-anak abah semuanya menjadi ahli Al-Quran,” tutur abah. “Tidak semestinya semua menjadi hafiz, tetapi semua orang mesti menjadi pendamping Al-Quran. Supaya nanti di alam kubur, Al-Quran datang menemani kita dan mengiktiraf kita sebagai temannya.”

Abah menerangkan maksud satu hadis tentang bagaimana Al-Quran muncul di sisi mayat di dalam kubur. Si mati semasa hayatnya selalu membaca dan mendampingi Al-Quran, lalu Al-Quran datang menyerupai lelaki yang berparas indah menemani dia dan melindungi dia daripada seksaan kubur.

“Abah harap, anak-anak abah menjadi penghayat Al-Quran, bukan sekadar pengajuk Al-Quran. Jangan sekadar menghafaz, tetapi fahami dan hayati makna Al-Quran itu. Setiap hari lapangkan masa untuk membaca terjemahan Al-Quran, kerana kita bukan orang Arab yang faham makna ayat-ayat Al-Quran,” bicara abah lagi.

Abah juga berpesan supaya anak-anaknya menjaga adab ketika membaca Al-Quran. Setiap kali hendak membacanya, rasakan bahawa Al-Quran itu kalam Allah, ayat-ayat mulia yang datang dari Allah. Al-Quran tidak boleh dibaca secara sambil lewa seperti kita membaca buku atau surat khabar.

“Jangan bersandar seperti orang malas sambil membaca Al-Quran. Pegang Al-Quran seperti selayaknya kita memegang barang yang sangat kita muliakan. Pegang dan ambil Al-Quran dengan tangan kanan, bukan dengan tangan kiri. Pegang di atas paras lutut dan jangan sekali-kali letakkan Al-Quran di lantai atau di paras punggung,” pesan abah lagi.

Abah percaya, membaca Al-Quran tanpa menjaga adab-adabnya akan menyebabkan Al-Quran melaknat orang yang membacanya. Belajar agama begitu juga, adab-adabnya mesti dijaga. Abah menyampaikan pesan seorang tuan guru, “Belajar agama jika tidak menjaga adab, tidak menjadi.”

Ilmu itu menjernihkan dan melembutkan hati. Lebih-lebih lagi ilmu bacaan Al-Quran. Apabila hati tidak jernih, malah menjadi kesat setelah menghafaz Al-Quran, takut-takut roh Al-Quran tidak meresap di hati. Takut-takut Al-Quran melaknat pembaca dan penghafaznya kerana tidak menjaga adab-adab belajar dan adab-adab membacanya.

Bicara abah lagi, “Belajar agama tanpa faham seperti memegang pisau tanpa mengetahui gunanya pisau itu. Akibatnya, pisau itu akan memakan diri. Begitu jugalah dengan ilmu, ia akan memakan diri apabila perkara yang dipelajari tidak difahami. Salah satu sebab tidak faham ialah kerana tidak menjaga adab. Tuan guru abah kata, antara adab belajar adalah berdisiplin. Disiplin itu adab. Belajar agama perlu berdisiplin – jaga kitab dan barang peribadi dengan baik, jangan malas, jaga kebersihan, jaga kesucian, tidak makan makanan yang melemahkan badan dan otak. Tanpa disiplin, ilmu tidak mudah lekat di hati, lalu susah untuk difahami dan dihayati.”

Ilmu agama yang tidak difahami akan memudaratkan. Kenapa? “Kerana kita seperti menanggung beban di atas bahu. Membawa sesuatu yang tidak beri manfaat pada diri sendiri dan orang lain.”

Pesan abah, satu lagi disiplin penuntut ilmu agama adalah berusaha menghindari dosa. “Sebab itu abah tidak mahu anak-anak abah lalai dengan tv. Peti televisyen itu memang ada manfaatnya, tetapi ramai yang tidak dapat jaga diri daripada mendapat mudaratnya. Dapat dosa. Jadi, ada baiknya juga tidak tengok tv langsung. Kalaupun tengok rancangan yang bagus dan tidak mendatangkan dosa, nanti apabila muncul iklan yang tidak sopan, susah pula untuk menjaga mata.”

Abah dan ibu melazimkan anak-anak membaca Al-Quran sebelum maghrib – waktu perpindahan hari. Jika waktu ini tidak diisi dengan perkara baik, jin jahat dan syaitan menggunakannya untuk melalaikan manusia di jalanan, di padang bola, di pusat membeli-belah dan tempat lain.

Abah juga menggalakkan anak-anak membaca Al-Quran sebelum tidur. Mudah-mudahan hati menjadi lembut. Apa yang dibuat beberapa minit sebelum tidur itu akan mempengaruhi minda bawah sedar sewaktu tidur. Mujurlah di ruang tamu mahupun di bilik anak-anak tidak ada peti televisyen. Peti televisyen di bilik abah dan ibu juga sudah lama tidak disambung ke punca elektrik.

Kalaupun anak-anak tidak membaca Al-Quran, mereka akan membaca buku menjelang tidur. Cuma, buku apakah yang mereka baca? Abah dan ibu perlu tengok-tengok juga.

2010: BERHENTI, LIHAT, VROOM!

Oleh: Zul Ramli M. Razali

MELANGKAH ke tahun baru sama seperti membuka diari baru. Apabila helaian terselak kita merasai pengalaman menghidu aroma tersendiri, ada bau kertas baru dan dakwat cetakan. Merasai di hujung jari jemari helaiannya yang rapi dan bersih sekali. Kita perlu menulis semula nama sendiri, nombor kad pengenalan, nombor akaun bank, polisi insuran serta banyak lagi yang perlu pada ruang yang tersedia. Inilah yang diulang-ulang saban tahun pada diari baru!

Tanpa semua pengalaman ini, alangkah jemunya hidup. Cuba bayangkan kalau tiada kiraan tahun, yang ada cuma saat kepada minit dan penggantian hari demi hari, tiada minggu, tanpa bulan apatah lagi tahun! Bagaimana kita menghitung usia? Orang yang pada kiraan umurnya adalah 20 tahun dikira berusia 7305 hari, yang berumur 30 tahun dikira sebagai berusia 10957 hari atau orang yang berumur 40 tahun pula dikira sebagai berusia 14610 hari. Namun, persoalan yang lebih besar daripada membuka dan mengisi ruang kosong diari baru adalah sejauh mana tahun ini memberi nafas, semangat dan tingkah laku hidup yang baru?

Apabila berada pada tahun baru sama seperti berada di simpang empat. Di sana ada tanda isyarat: Berhenti, lihat dan jalan (stop, look and go). Sekiranya tidak berhenti mungkin kita akan dirempuh kereta lain atau tersalah memasuki simpang, natijahnya sama sahaja kita tidak akan sampai ke destinasi yang sepatutnya.

BERHENTI
Ia bermaksud kita memperuntukkan ruang bagi menilai kembali apa yang telah kita lakukan sepanjang tahun lepas. Apa pencapaian yang diraih, apa khidmat yang berjaya disumbangkan, apakah detik indah yang berjaya dicetuskan dan pelbagai soalan berkaitan dengan pencapaian diri. Telitikan juga kenapa kita boleh melakukan perkara-perkara tersebut dengan jayanya.

Berhenti dan lihat juga dengan jujur kepada kegagalan dan kenapa ia terjadi, apa kesilapan, kesalahan dan khilaf yang dibuat. Perkara itulah yang akan menjadikan diri kita merosot tiada peningkatan. Selidiki juga kenapa perkara tersebut boleh terjadi. Apabila kita jujur untuk menilai diri sendiri dalam soalan apa dan kenapa, kita akan dapat mencari jawapan tentang indeks kunci keberkesanan bagi setiap saat yang telah dilalui sepanjang tahun lepas.

Pada jawapan positif maka ucapkan tahniah pada diri sendiri dan bersyukurlah kepada Allah. Hargai, sayangi diri sendiri kerana ia adalah modal untuk kita membuat yang terbaik pada masa hadapan. Rasa syukur di dalam hati atas semua kurnia tersebut akan menjadi lembah mahmudah (kebaikan dalaman) paling subur buat tumbuhnya pohon-pohon kebaikan yang lain.

Pada dosa, kesilapan dan kelemahan pula, akuilah di dalam hati dan datangkan kekesalan di atas perkara-perkara itu. Kita sebenarnya tidak akan ke mana-mana sekiranya dosa lampau, kesilapan lalu dan seluruh kelemahan itu masih bersama kita. Seperti bebola besi yang tertambat di pergelangan kaki, ia akan menjadi beban yang menarik kita ke dasar tasik puaka dan menjadi penghalang potensi diri yang berada di permukaan tasik. Kita lemas di dalam semua kelemahan diri ini. Kerana itulah kadang-kadang kita berasa hairan dan bertanya kepada diri sendiri, kenapa begitu berat untuk aku berbuat baik? Kenapa begitu berkarat bagi diri ini untuk melakukan amal soleh? Kenapa solat yang merupakan penjernih hubungan dengan Allah masih begitu sukar atau tiada kemanisan? Banyak lagi soalan yang seerti, apakah jawapannya?

Koreksi ini memandu kita untuk memperkasa diri di dalam memantapkan langkah bagi memperkukuhkan perjalanan yang masih berbaki pada masa hadapan. Ia adalah guru yang mengajar secara serentak tentang apa yang ingin kita dapat beserta dengan apa yang kita ingin jadi pada tahun baru nanti.

LIHAT
Memerhati dengan teliti ruang masa dan daerah tindakan bagi tahun baru. Melihat ke hadapan dengan penuh harapan dan berkeyakinan bahawa tahun ini kita akan dapat menikmati lebih banyak pencapaian gemilang selari dengan kehendak Allah. Menetapkan keredhaan Allah sebagai penanda aras adalah perkara terpenting di dalam perjalanan hidup, ia sama seperti seorang pengembara yang sentiasa memerhati jarum kompas yang menunjuk ke arah utara. Terlalai memberi fokus, kita bakal sesat di belantara kehidupan dan nilai kejayaan yang diraih nanti hanya menjadi haba’an manthura – bagai debu yang berterbangan. Membina perancangan adalah keperluan, kita biasa mendengar, manusia tidak merancang untuk gagal tetapi gagal untuk merancang! Natijahnya tetap sama: Gagal!

Menetapkan sasaran yang jelas beserta tempoh masa tertentu yang ditetapkan, langkah-langkah pelaksanaan dengan teratur dan juga disiplin diri adalah pelengkap kepada blue print diri yang berkesan. Persoalan perancangan mesti mencakupi soal diri, hubungan suami isteri, keluarga, kerjaya dan khidmat bakti kepada masyarakat dan juga agama. Justeru, peta kita adalah perancangan peribadi yang teratur, teliti dan praktikal. Inilah yang perlu kita lihat.

JALAN
Ini adalah bahagian terpenting. Beberapa perkara perlu dipersiapkan agar jalan yang bakal dilalui itu selari dengan keredhaan Allah berpandukan kepada perancangan yang telah ditetapkan. Persoalan pertama, menetapkan niat yang tulus kepada Allah dalam setiap perkara yang ingin dibuat. Niat adalah anak kunci yang membezakan tindakan itu sama ada akan dinilai, diperhati dan dibela oleh Allah ataupun tidak. Pastikan pembinaan diri, perhubungan kasih sayang dalam rumah tangga juga keluarga serta kerjaya semuanya dengan niat yang benar-benar kerana Allah. Setelah niat dipasang, gantungkan hati seratus peratus kepada Allah dalam tawakkal yang paling dalam. Allah berfirman: “Maka apabila engkau telah berazam untuk melakukan sesuatu perkara maka bertawakkallah kepada Allah...” (Ali Imran: 159).

Tawakkal mesti pada permulaan sebelum kita melaksanakan sebarang usaha dan ikhtiar. Niat yang tulus kerana Allah beserta tawakkal kepada-Nya adalah tenaga padu dalaman yang akan membentuk semangat dan keyakinan diri untuk bertindak dengan betul apabila berhadapan dengan keadaan sebenar pada tahun baru.

Pendekatan beramal dalam Islam adalah ‘itqan’. Ia bermula di dalam minda untuk buat yang terbaik. Buat sesuatu perkara itu dengan bersungguh-sungguh. Rasulullah berjaya menyuntik semangat ini ke dalam jiwa para sahabat sehingga mereka memilih untuk membuat sebaik mungkin. Mereka berjaya memahami Al-Quran, “Allah yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu siapakah di kalangan kamu yang paling baik amalannya.” (Al-Mulk:2)

Di dalam pengertian itqan terkandung semangat juang, disiplin diri yang tinggi dan kesungguhan meletakkan penanda aras yang menjulang apabila melakukan sesuatu perkara. Resipi inilah yang membezakan di antara orang berjaya dan orang gagal dalam tahun ini. Orang gagal tidak melakukan perkara yang dibuat oleh orang berjaya, begitu juga sebaliknya. Selamat membuka diari, selamat melangkah dengan bergaya!