Isnin, April 13, 2009

Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Perasmian Pasti Al-Falah 2

PADA 11 April lalu, Pasti Kawasan Kota Tinggi telah mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul dan perasmian Pasti Al-Falah 2 (dahulunya Pasti Al-Hijrah), Taman Hijrah. Majlis bermula kira-kira pukul 2 petang dengan perarakan murid-murid Pasti beserta ibu bapa dan guru dari Masjid Jamek Kota Tinggi menuju ke Pasti Al-Falah 2 sambil berselawat.

Majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh Al-Fadhil Ust. Kamal diikuti ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Pasti Kawasan Kota Tinggi, Sdra. Mohd. Azlan bin Hj. Toriman. Selepas itu nasyid dan marhaban dipersembahkan oleh murid-murid Pasti Al-Falah 1 dan 2 dengan dipimpin oleh guru-guru.

Pada pukul 3 petang, satu ceramah agama telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ust. Hj. Azlisham bin Azhar, Timbalan Mudir Madrasah Al-Masriyah, Spg. Renggam. Antara intipati ceramah beliau ialah umat Islam mestilah berpegang teguh dengan ajaran Rasulullah SAW dan mengamalkan sunnah baginda agar menjadi umat yang kuat dan digeruni oleh musuh-musuh Islam. Jika sebaliknya, umat Islam akan lemah dan mudah ditindas. Beliau memberi contoh bagaimana Islam bangkit ketika zaman pemerintahan khulafa ar-rasyidin sehingga dapat menguasai 3/4 dunia hasil daripada berpegang teguh kepada ajaran Al-Quran dan sunnah tetapi pada zaman pemerintahan Bani Abbasiyah, kerajaan Islam mengalami kejatuhan apabila pemerintah pada masa itu sudah mula meninggalkan sunnah Rasulullah dan mengamalkan cara hidup yang jauh menyimpang dari ajaran Islam di samping memenjarakan dan membunuh begitu ramai ulama.

Selesai berceramah, Ust. Azlisham menyempurnakan pula perasmian Pasti Al-Falah 2 dengan menandatangani plak perasmian. Para hadirin dan hadirat kemudiannya dihidangkan dengan jamuan sebelum majlis bersurai sekitar pukul 5 petang.

Jawatankuasa Pasti Kawasan Kota Tinggi ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Al-Fadhil Ust. Hj. Azlisham di atas kesudian beliau menyampaikan ceramah dan merasmikan Pasti Al-Falah 2. Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada para ibu bapa dan tetamu jemputan yang sudi hadir memeriahkan majlis, serta kepada semua pihak yang telah menyumbangkan wang ringgit, masa dan tenaga bagi menjayakan majlis ini. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa dan pengorbanan anda. Adalah diharapkan semoga pada tahun-tahun mendatang, Pasti Kawasan Kota Tinggi dapat mengadakan lagi majlis seumpama ini.


Berarak sambil berselawat dari Masjid ke Pasti Al-Falah 2


Ucapan alu²an Pengerusi Pasti Kawasan Kota Tinggi, Sdra. Mohd. Azlan Toriman


Yang Berbahagia Al-Fadhil Ust. Hj. Azlisham bin Azhar


Ust. Azlisham menandatangani plak perasmian, diperhatikan oleh Sdra. Azlan