Selasa, Jun 02, 2009

Kejohanan Bola Sepak & Bola Jaring PASTI Johor 2009

PASTI Kawasan Tebrau telah menjadi tuan rumah Kejohanan Bola Sepak & Bola Jaring PASTI Johor 2009 yang diadakan pada 31 Mei lalu bertempat di padang Mutiara Johor Land (dahulunya dikenali sebagai Kompleks Nusa Mutiara). Kejohanan kali ini telah dirasmikan oleh Saudara Khairul Faizi Ahmad Kamil, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor. Saudara Mohd. Faizul Mohd. Salleh turut menyampaikan ucapan sulungnya selaku Pengarah PASTI Johor yang baru.

Sebanyak 19 kontinjen dari seluruh negeri Johor telah menyertai kejohanan ini. Walaubagaimanapun, PASTI Kawasan Kota Tinggi tidak dapat turut serta atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.


Sebelum perlawanan bermula, pertandingan perbarisan telah diadakan. Semua kontinjen yang terlibat kelihatan begitu bersemangat mempamerkan kehebatan gaya dan pakaian seragam masing-masing. Dalam pertandingan perbarisan ini, PASTI Kawasan Kluang telah memenangi tempat pertama, diikuti oleh PASTI Kawasan Simpang Renggam di tempat kedua manakala tempat ketiga diduduki oleh PASTI Kawasan Parit Sulong.


PASTI Kawasan Tebrau selaku tuan rumah telah membuat persembahan taekwondo. Tahniah diucapkan kerana berjaya membawa satu kelainan yang dikira dapat menaikkan imej PASTI sebagai sebuah institusi pendidikan pra-sekolah Islam terunggul.


Sebagai selingan, cabutan nombor bertuah dan acara treasure hunt turut diadakan. Hadiah-hadiah yang disediakan tidak kurang lumayan.

Bagi acara bola sepak, PASTI Kawasan Kluang telah muncul juara manakala PASTI Sri Gading di tempat kedua. Tempat ketiga dimenangi oleh PASTI Kulaijaya.


Dalam acara bola jaring pula, PASTI Sri Gading telah menjadi johan di samping PASTI Tebrau sebagai naib johan dan PASTI Tanjung Piai di tempat ketiga.



Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan PASTI Negeri Johor, Saudara Mohd. Faizul Mohd. Salleh.

Kejohanan yang gilang-gemilang dan disertai dengan penuh semangat kesukanan ini berakhir kira-kira jam 6.00 petang.