Sabtu, April 18, 2009

Al-Fatihah - murid Pasti, ibu dan adik maut nahas jalanraya

SEORANG murid Pasti Al-Firdaus, Kg. Baru, Sri Gading telah terbunuh dalam nahas jalanraya di km 16, Jalan Batu Pahat - Kluang. Murid tersebut, Shahira Aliya Hafiz Akmal, 6 rentung bersama ibu, Siti Kalsom Borhan, 35 dan adiknya, Shahira Aisyah Hafiz Akmal, 3 apabila kereta Perodua Kancil yang mereka naiki terbakar selepas dirempuh sebuah bas ekspres dari belakang kira-kira pukul 11.50 pagi Khamis lalu. Ketika itu, mangsa dalam perjalanan pulang dari Pasti Al-Firdaus ke rumah.

Jenazah ketiga-tiga mangsa ditemui terperangkap dalam kereta manakala pemandu bas ekspres dan lapan penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan awal polis mendapati pemandu bas ekspres itu mempunyai enam kesalahan lalu lintas sebelum ini, kebanyakannya kerana memandu melebihi had laju.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris berkata, bas berkenaan dipercayai dipandu laju dan mengekori rapat kereta yang dipandu Siti Kalsom menyebabkan pemandunya tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang kereta itu ketika Siti Kalsom hendak membelok ke simpang Jalan Parit Kaspan.

Pasti Kawasan Kota Tinggi mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan yang begitu tragis ini dan mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka serta menempatkan mereka di kalangan orang-orang soleh. Al- Fatihah.

Pasti Kawasan Kota Tinggi juga dengan ini melancarkan kutipan derma kilat untuk disampaikan kepada keluarga mangsa. Kepada muslimin / muslimat pembaca blog ini yang ingin menderma, bolehlah berjumpa dengan guru-guru Pasti Kawasan Kota Tinggi atau hubungi bendahari, Sdra. Mohd. Zainudin (019-5489380).