Rabu, April 08, 2009

Sukaneka sempena Hari Keputeraan Sultan Johor

PEJABAT Perpaduan Daerah Kota Tinggi telah menganjurkan sukaneka bersempena Hari Keputeraan Sultan Johor yang ke-77 hari ini bertempat di Dataran Tun Sri Lanang, Kota Tinggi. Pasti Kawasan Kota Tinggi adalah antara institusi pra-sekolah di seluruh kawasan Parlimen Kota Tinggi yang dijemput menyertai acara sukaneka ini. Institusi-institusi pra-sekolah lain ialah Tabika Perpaduan dan Tadika Kemas. Kesemuanya ada 8 buah institusi pra-sekolah menyertai sukaneka kali ini.

Sebanyak 4 acara telah dipertandingkan bagi kategori pra-sekolah iaitu mencari warna, larian baton, melerek bola dengan gelung dan mencari gula-gula dalam tepung. Seramai 15 orang murid Pasti Al-Falah 1 dan 15 orang murid Pasti Al-Falah 2 telah dipilih untuk menyertai sukaneka ini.

Suasana sungguh meriah dengan acara yang diselang-selikan di antara kategori pra-sekolah dan kategori orang kurang upaya (OKU) dari pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK). Selesai kedua-dua kategori ini, acara bagi murid sekolah rendah, sekolah menengah, lelaki dan wanita dewasa pula dipertandingkan. Antara acara yang dipertandingkan bagi kategori ini ialah hantu lari dalam guni, terompah gergasi, bawa bola ping pong dengan kayu hoki dan kereta api dadu.

Tidak dapat dinafikan, acara sukaneka ini dapat menggembirakan kanak-kanak dan orang dewasa namun apa yang paling menggembirakan warga Pasti Kota Tinggi ialah Pasti Al-Falah 1 telah menjadi johan keseluruhan kategori pra-sekolah dengan mendapat 31 markah manakala Pasti Al-Falah 2 pula mendapat tempat ketiga dengan memperolehi 23 markah. Tempat kedua dimenangi oleh Tabika Perpaduan Taman Kota Jaya yang beroleh 25 markah.

Pasti Kawasan Kota Tinggi sebenarnya telah menyertai acara sukaneka ini setiap tahun. Yang menariknya, Pasti telah menjadi johan keseluruhan selama beberapa tahun berturut-turut kecuali pada tahun lalu. Secara tidak langsung, ini telah menaikkan imej Pasti di mata masyarakat. Tahniah dan syabas diucapkan kepada para guru dan murid Pasti.

Kami warga Pasti Kota Tinggi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pejabat Perpaduan yang sudi menjemput Pasti menyertai sukaneka ini. Terima kasih daun keladi, tahun depan jemputlah Pasti lagi!


Melerek bola dengan gelung


Mencari gula² dalam tepung


Lari dalam guni (kategori orang kurang upaya)




Cikgu Aidah menerima hadiah bagi pihak Pasti Al-Falah 2


Cikgu Siti menerima hadiah bagi pihak Pasti Al-Falah 1