Rabu, April 29, 2009

MENGENALKAN ANAK DENGAN KONSEP KEADILAN

MENEMPATKAN sesuatu pada tempatnya adalah asas kepada keadilan. Ibu bapa harus menyemai benih keadilan ini. Jika sekiranya setiap ahli keluarga dapat memegang konsep keadilan sejati maka suasana kehidupan rumah tangga akan menjadi bertambah ampuh. Amatlah penting kita sebagai ibu bapa menunjukkan tauladan kepada anak-anak dalam segala hal yang berkaitan dengan keadilan.

Anak-anak perlu diberitahu tentang konsep keadilan ini dalam seluruh lingkaran kehidupan mereka. Umpamanya jika sekiranya mereka diziarah oleh datuk dan nenek, yang patut dilakukan ialah mereka harus menyambut datuk dan nenek yang datang mulai di pintu pagar lagi. Bersalam-salaman dengan mereka dengan penuh kemesraan, membawa beg mereka, mempersilakan mereka masuk ke rumah dan bina suasana supaya kedua-duanya beroleh kerehatan. Contoh lain yang boleh diketengahkan ialah kebolehan anak-anak memberi peluang dan laluan kepada orang yang lebih tua seperti memberi tempat duduk ketika berada di dalam bas.

Bagi membolehkan falsafah ini difahami, dihayati dan dipraktikkan, langkah-langkah berikut perlu diambil kira :

  • Jangan mengabaikan pendidikan akhlak dan nilai-nilai murni kepada anak-anak termasuk perkara-perkara yang bersangkutan dengan konsep keadilan

  • Bentangkan kerasionalan, akhlak dan pekerti mulia kepada mereka terutamanya yang berhubung dengan keadilan.

  • Tentukan anda sebagai ibu dan bapa terlebih dahulu memahami, menjiwai dan memperaktikkan nilai-nilai keadilan dalam sebarang aktiviti yang dilakukan.

  • Yakinkan anak-anak anda bahawa demi menegakkan keadilan, pengorbanan sangat-sangat diperlukan. Kesanggupan menghadapi kesukaran, kurang keselesaan dan pemerahan tenaga adalah di antara hal-hal yang terpaksa dilalui bagi meletakkan sesuatu itu pada tempatnya.

  • Sering yakinkan anak-anak anda bahawa rasa keseronokan, rasa kelegaan dan rasa kepuasan yang sebenarnya akan muncul dan boleh dinikmati setelah mereka memberi sedikit pengorbanan.

  • Tanamkan kepada benak setiap anak anda bahawa dalam menjalani proses hidup seterusnya, hal-hal yang bersangkut dengan keadilan ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Hal-hal sedemikianlah yang menjadi pengikat dan penyubur kepada benih-benih kasih sayang yang hendak dipupuk.

Dipetik daripada buku 40 Kesilapan Mendidik Anak oleh Dato' Dr. Hassan Ali