Isnin, Januari 18, 2010

ALIF, BA, TA, THA, JIM...

Oleh: Jalilah Hj. Abdullah

PADA satu pagi Jumaat, Ustazah Abdullah Mahmood, pendakwah tanah air menaiki teksi ke tempat kerjanya.

Dia duduk di kerusi belakang. Entah macam mana pagi itu dia menyapa pak cik yang sudah dalam usia 60-an. “Pak cik boleh baca Quran?” Terkejut si pemandu teksi itu. “Nak, inilah pertama kali orang naik teksi tanya pakcik macam ni,” lelaki itu bersuara agak keras kerana terkejut. Ustaz jadi serba salah, entah kenapa pagi itu soalan itu terpacul dari mulutnya. “Sebenarnya pak cik, bila saya lihat belakang badan pak cik iras macam arwah ayah saya. Selalunya waktu-waktu pagi Jumaat macam ni ayah saya mengaji Quran. Maaf ya pak cik,” lembut nada suara ustaz. Sepanjang perjalanan mereka tak bercakap. Masing-masing melayan fikiran. Sampai di kawasan pejabat, ustaz membayar tambang dan menghulurkan kad nama. “Bila-bila pak cik senang, jemput datang ke pejabat saya.”

Ustaz berjabat tangan dengan pak cik teksi.

Seminggu selepas pertemuan, pak cik teksi itu datang ke pejabat ustaz. Syukur Ustaz Abdullah ada di pejabat.

“Boleh saya tahu siapa pak cik ni?” tanya ustaz ketika pak cik menghulurkan tangan padanya.

“Ustaz, ingat tak minggu lepas ustaz ada naik teksi pak cik. Ustaz tanya pak cik tentang mengaji Quran, ustaz kata bentuk belakang pak cik macam ayah ustaz.”

“Oh ya. Maaflah pak cik, ramai sangat yang datang. Saya tak cam,” ujar Ustaz Abdullah yang juga guru Quran kepada murid-murid tua yang ada kesedaran hendak belajar Al-Quran.

“Apa yang boleh saya bantu pak cik?” tanya ustaz pada pak cik teksi yang sudah duduk di depannya.

“Begini, selepas ustaz tanya pada pak cik tentang mengaji Quran hari itu, pak cik terus balik rumah. Seminggu pak cik tak bawa teksi, seminggu pak cik duduk rumah. Seminggu pak cik asyik memikirkan tentang diri pak cik.”

“Tentang apa?”

“Pak cik sebenarnya memang tak pandai langsung mengaji Quran. Jadi pak cik datang ni nak belajar mengaji dari bawah. Nak kena bawa Quran ke?” Bergenang air mata pak cik itu, sebak meluahkan perasaan yang telah seminggu terbuku di hati.

“Tak payah pak cik, di sini kami ada kitab. Kita boleh belajar bersama,” kata ustaz sambil membuka muqaddam.

“Saya baca pak cik ikut ya. Alif.. ba.. ta.. tha.. jim..”

“Alif.. ba.. ta.. tha..” sampai huruf jim, pak cik terdiam lama. Ustaz terkejut, takut-takut ada sesuatu yang tak kena.

Pak cik tunduk dan menangis teresak-esak. “Pak cik tak tahu baca Quran, pak cik tak tahu...” ustaz dipeluknya erat. Rasa bagai seorang ayah memeluk anak. Dia terlalu sebak rupanya.

Sejak peristiwa itu, pagi-pagi lagi pak cik datang belajar selama 15 minit sebelum bawa teksi. Dialah murid tua yang paling awal datang.

Setiap malam selepas solat maghrib dia akan mengurung dirinya di dalam bilik, membaca muqaddam perlahan-lahan. Perkara ini dirahsiakan daripada isteri dan anak-anaknya. Alhamdulillah, selepas empat bulan, dia sudah boleh membaca Quran dengan baik.

Suatu malam, isterinya yang sedang memasak di dapur terdengar suara orang mengaji dalam bilik. Dia menyuruh anaknya mengintai.

“Mak.. ayah baca Quran,” bisik si anak.

“Ayah kamu baca Quran? Hish, mak tak percaya.. ayah kamu mana reti baca Quran. Mak kenal sangat dengan ayah kamu tu.”

“Betul mak...”

Api dapur ditutup. Kedua-dua beranak itu mengendap perlahan-lahan masuk ke dalam bilik. Alangkah terkejut si suami apabila melihat isteri dan anaknya di belakangnya. Isterinya terus memeluknya dengan linangan air mata keharuan.

Esoknya Ustaz Abdullah terkejut apabila melihat hidangan pulut kuning dan rendang terletak di atas meja pejabatnya.

“Ustaz, ada seorang mak cik datang pagi-pagi lagi hantar pulut. Dia kata dia isteri pak cik teksi tu,” beritahu seorang staf ustaz.

Beberapa hari kemudian, isteri pak cik itu datang dan mengucapkan ribuan terima kasih di atas bimbingan ustaz. Baginya inilah nikmat kehidupan sebenar yang sangat-sangat dirindui apabila suaminya sudah menjadi pengamal Al-Quran.