Rabu, Januari 27, 2010

ISTERI –PENDORONG KELUARGA SOLAT BERJEMAAH

DIRIWAYATKAN daripada Ibnu Mas’ud, dia berkata: “Sesiapa yang ingin berjumpa dengan Allah SWT sebagai seorang muslim di akhirat kelak, maka hendaklah dia menjaga solat-solat fardhu dengan menunaikan solat di tempat azan dilaungkan (masjid). Sebab sesungguhnya Allah telah mensyariatkan sunnah-sunnah petunjuk kepada Nabi SAW dan solat berjemaah itu adalah salah satu daripada jalan-jalan petunjuk itu. Jika kamu bersolat di rumah, sebagaimana solat orang yang tidak berjemaah di rumahnya, maka bererti kamu meninggalkan sunnah Nabi kamu. Dan apabila kamu meninggalkan sunnah Nabi kamu maka sesatlah kamu. Apabila seseorang mengambil wuduk dengan sempurna kemudian pergi ke masjid maka bagi setiap langkahnya pasti akan dituliskan untuknya satu pahala dan ditingkatkan darjat dan dihapuskan satu dosa. Sesungguhnya kami melihat bahawa tidak ada pun di kalangan kami yang meninggalkan solat berjemaah melainkan orang yang benar-benar mengetahui kemunafikannya. Seorang lelaki pernah dipimpin oleh dua orang lelaki sehingga dia didirikan dalam saf.” (Riwayat Muslim)

Daripada hadis di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sangat menitik beratkan kepada kaum lelaki untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah di masjid. Sehinggakan pada saat-saat akhir keuzuran baginda pun, baginda tetap mahu menunaikan solat berjemaah bersama-sama para sahabat yang baginda kasihi. Biarpun baginda terpaksa berpapah untuk solat di Masjid Nabi di Madinah namun semangat untuk tetap solat berjemaah tidak pernah luntur di hati baginda. Para sahabat menyaksikan berapa baginda sangat mengagungkan tuntutan solat berjemaah kepada kaum lelaki kerana solat berjemaah ini adalah lambang kekuatan iman, penyatuan hati umat Islam ke arah penyempurnaan khusyuk dalam solat.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah (yang menghidupkan amalah di dalamnya) ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat...” (At-Taubah: 18)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Solat berjemaah melebihi solat sendirian sebanyak 27 kali ganda.” (Riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim)

Wajib tunai solat walaupun sakit
Biarpun suami bertanggungjawab mengingatkan ahli keluarga tentang tuntutan solat, isteri juga memainkan peranan penting untuk saling ingat-mengingatkan ke arah itu. Ada ketikanya ahli keluarga kita terleka dengan kerja harian mereka, lalu sebagai isteri yang ingin merebut gelaran solehah berusahalah memujuk ahli keluarga lelaki untuk beramai-ramai menunaikan solat fardhu secara berjemaah di masjid atau surau. Ini adalah perintah Nabi SAW yang tidak boleh dipandang remeh kerana baginda sendiri telah menunjukkan contoh, bagi yang uzur sekalipun sekiranya boleh dipapah maka digalakkan solat di masjid. Ini merupakan satu penegasan daripada Nabi SAW kerana kekuatan ke arah penghayatan solat berjemaah ini akan membentuk peribadi manusia untuk bersungguh-sungguh mencintai solat.

Hidupkan roh solat
Seseorang lelaki belum dianggap ‘gentleman’ selagi belum cintakan solat berjemaah di masjid. Kerana bukan mudah untuk bangun sebelum subuh dan berpagi-pagi meredah kesejukan embun semata-mata mahu menunaikan solat Subuh berjemaah bersama teman-teman. Bukan mudah pula untuk seorang lelaki cenderungkan hatinya untuk solat Maghrib dan Isyak di masjid di saat orang lain mahu merehatkan diri di rumah setelah kepenatan seharian bekerja lebih-lebih lagi jika masjid itu terletak jauh dari rumah. Inilah jihad besar seorang wanita apabila berjaya memujuk ahli keluarga lelaki melawan hawa nafsu supaya seronok solat di masjid. Sesungguhnya roh penghayatan solat apabila susah untuk dibuat di rumah sebab takut tidak kuat melawan hawa nafsu, maka kita mesti cipta suasana, kena berhijrah dan pergilah ke masjid supaya roh ibadah kita terus hidup.

Rasa nikmat dapat solat berjemaah di masjid bagi seorang lelaki yang telah mencintai rumah Allah, mencintai Allah dan Nabi SAW adalah sangat berbeza rasanya berbanding solat berjemaah di rumah. Hanya para lelaki yang telah membiasakan diri solat berjemaah di masjid dapat merasai nikmat kemanisan roh solat yang hidup.

Roh apabila telah bersih dan suci akan terdorong untuk seronok buat baik, merindui untuk datang awal ke masjid, seronok untuk terus memahami bacaan di dalam solat, berhalus dalam menjaga rukun-rukun dalam solat. Rasa sangat terseksa apabila tidak dapat menghayati kehendak solat yang sebenar. Rasa takut dengan Allah apabila terlewat solat berjemaah. Takut-takut Allah ambil nyawa sebelum sempat solat sedangkan waktu solat telah lama masuk. Sesungguhnya inilah antara ciri-ciri peribadi mukmin yang menuju ke arah kekhusyukan dalam solat, hatinya telah diikat mencintai masjid.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali bagi mereka yang khusyuk (mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya).” (Al-Baqarah: 45 – 46)