Jumaat, Mei 15, 2009

Sambutan Hari Guru PASTI 2009 & Sambutan Jubli Perak PASTI Malaysia


ESOK, Sabtu 16 Mei 2009 majlis sambutan Hari Guru PASTI Peringkat Kebangsaan akan diadakan di Hotel Emas, Tawau, Sabah. Majlis kali ini tentunya merupakan sejarah bagi PASTI kerana ia julung-julung kali diadakan di luar Semenanjung Malaysia dengan penyertaan ramai guru PASTI dari seluruh Malaysia bersama Ahli-ahli Lembaga Pengarah PASTI Pusat dan Negeri-negeri.

Seramai 13 orang guru PASTI dari negeri Johor telahpun berlepas ke Sabah semalam dengan penerbangan Syarikat Tambang Murah Air Asia dan akan pulang pada 17 Mei. Mereka ialah Pn. Latifah Omar, Pn. Hatijah Mohamed Jani, Pn. Edayu Jamian, Pn. Azizah Alimat, Pn. Salmiah Satari, Pn. Norlin Pakir, Pn. Kamsiah Hassan, Pn. Che Norizam Mat Zin, Pn. Asnahwati Nur Bidin, Pn. Miswati Ibrahim, Pn. Siti Sarah Alias, Pn. Rohani Hussin dan Pn. Norlaila Zaidon.

Pengarah Jabatan PASTI Negeri Johor, Tn. Hj. Mohzit pula berlepas hari ini bersama rombongan Ahli Lembaga Pengarah PASTI Pusat.

Tuan rumah, Jabatan PASTI Negeri Sabah telah membuat persiapan dan persediaan yang begitu teliti bagi mengadakan majlis ini sejak awal tahun lagi memandangkan lebih daripada 400 orang guru PASTI dari seluruh negara dijangka hadir.

Majlis yang akan diadakan serentak dengan Sambutan Jubli Perak PASTI Malaysia itu akan dirasmikan oleh YB Tn. Hj. Salahuddin bin Ayub, Ketua Pemuda PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Tahun ini genaplah 25 Tahun PASTI berada di persada pendidikan pra sekolah Malaysia. Sepanjang tempoh ini, pelbagai pengalaman pahit manis telah ditempuh, susah senang telah dirasa dan bermacam-macam bentuk dugaan serta cabaran telah diharungi. Semua ini demi mendaulatkan sistem pendidikan Islam yang syumul.

Menuju tahun-tahun mendatang, dengan slogan "PASTI Menerajui Perubahan" PASTI Malaysia berazam untuk meninggikan lagi imejnya di mata masyarakat dengan kerja kuat dan usaha yang gigih tanpa mengenal erti jemu oleh semua pendokong jamaah.

Akhir kata, diucapkan Selamat Hari Guru dan Selamat Menyambut Hari Jubli Perak PASTI Malaysia kepada semua guru PASTI, ALP Pusat, ALP Negeri, AJK Kawasan dan Cawangan serta para pembaca sekalian.