Ahad, Mei 24, 2009

PASTI : Plan Perpaduan Negara


Tawau, Sabah: Ucapan perasmian yang disampaikan oleh YB. Tuan Hj. Salahudin Ayub (Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat) ketika merasmikan Sambutan Hari Guru PASTI Malaysia di Tawau, Sabah adalah ucapan yang cukup besar makna dan tinggi nilai.

Bermula dengan penegasan bahawa guru-guru PASTI adalah antara tenaga penting yang menjana kejayaan PAS membelah benteng penghalang antara parti (PAS) dengan masyarakat .

Sejak 25 tahun yang lalu, PASTI yang diasaskan pada zaman kepimpinan Al Fadhil Dato' Ustaz Abu Bakar Chik selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, kini sedang merajah peta perluasannya dan mewajah capaian gemilang dalam khidmat pendidikan yang cukup meyakinkan masyarakat .

YB. Tuan Hj Salahudin Ayub turut mensasarkan satu tahap keupayaan yang boleh direalisasikan dengan penuh komitmen dan istiqamah, iaitu capaian untuk jangka 25 tahun mendatang bahawa PASTI bukan sahaja gah dengan cawangannya di seluruh pelusuk negara tetapi juga mampu dan berjaya menubuhkan sebuah universiti guna melahirkan tenaga pendidik atau guru yang lebih berkemampuan dan memiliki kepakaran yang berkeupayaan tinggi untuk mengangkat martabat pendidikan Islam dalam negara .

Bahkan PASTI juga sangat diharapkan oleh beliau (YB Tuan Hj. Salahudin Ayub) agar dapat mengumpulkan segala tenaga pakarnya untuk merangka satu Penyata PASTI dan pelan pendidikan negara yang berkesan bagi menggantikan Penyata Rahman Talib dan Penyata Razak yang dilihat semakin usang dan tidak lagi efektif untuk menangani krisis pencapaian akademik dan konflik solidariti yang kian membarah di kalangan masyarakat kita .

Kita tidak mahu hanya sekadar berupaya melahirkan pelajar atau generasi berminda "A" sebaliknya apa yang kita mahu capai ialah penguasaan seimbang dalam melahirkan kecemerlangan intelektual, emosional dan spiritual insan.

Umum juga menyedari bahawa perpaduan antara kaum di dalam negara kita telah terancam dan semakin terhakis nilainya. Kontrak sosial mula berani dicabar, sensitiviti agama sukar dirunding dan perbezaan budaya menjarakkan mereka .

Membina perpaduan menyilang budaya, bangsa dan agama memerlukan satu tahap pendidikan yang benar - benar formulatis Memahami setiap sendi permasalahan dan menghayati setiap inci ruang yang mendorong malah melorong ke arah penyatuan dan perpaduan.

PASTI boleh mempeloporinya. Dewasa ini PASTI telah meletakkan dirinya sama aras dengan pusat pengajian integrasi peringkat pra persekolahan, malah secara praktisnya PASTI kini berjaya melaksanakan misi dan visinya merentas sempadan ideologi parti politik, bangsa dan agama .

Nasrudin Hassan At Tantawi.

Sumber: http://pastijohor.net