Khamis, Julai 02, 2009

Syariat Kelahiran (Bhg. 1)

TANGISAN bayi bergema memecah keheningan suasana. Kehadiran ahli keluarga baru itu memang dinanti-nantikan khususnya oleh si ibu dan juga si bapa. Kelahiran bayi sebagai penghubung jambatan kasih suami isteri adalah suatu rahmat Allah SWT yang tidak ternilai harganya.

Kesempurnaan Islam tergambar dengan jelas dari peringkat awal kelahiran insan. Kegembiraan menimang cahaya mata yang sekian lama ditunggu seharusnya disempurnakan menurut lunas-lunas yang Islam tentukan.

MEMBERI KHABAR GEMBIRA DAN TAHNIAH ATAS KELAHIRAN BAYI
Kelahiran bayi merupakan satu khabar gembira bagi setiap insan. Justeru, orang-orang Islam yang mendengar khabar gembira ini perlu bersegera meraikan kegembiraan tersebut.

Jika kita menyoroti sirah peribadi agung Nabi Muhammad SAW, kita akan mendapati bahawa ketika baginda dilahirkan, Thuwaibah telah memberi khabar gembira kepada Abu Lahab yang ketika itu menjadi majikannya dengan mengatakan: "Telah lahir seorang anak lelaki daripada Abdullah."
Maka Abu Lahab pada ketika itu dengan serta-merta memerdekakannya kerana terlalu gembira.
Ucapan tahniah terhadap pasangan yang menerima cahaya mata merupakan salah satu cara meraikan kegembiraan tersebut. Tujuan menyampaikan khabar gembira ini adalah untuk menanamkan perasaan kasih sayang dan membina kesatuan sesama umat Islam.

Berikut merupakan perkara-perkara yang disunatkan untuk kita lakukan dengan kelahiran bayi seperti:

AZAN DAN IQAMAT
Islam mensyariatkan agar azan dilaungkan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri bayi, sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Rafi' yang bermaksud:

Abu Rafi' berkata: "Saya melihat Rasulullah SAW membacakan azan pada telinga kanan Hasan bin Ali yang baru dilahirkan oleh Fatimah."

Menurut Ibn Qayyim Al-Jauziyah, antara 'rahsia' azan dan iqamat adalah seperti berikut:
  1. Kalimah-kalimah memuji kebesaran Ilahi yang disifatkan sebagai ucapan pertama yang meresap ke dalam hati sanubari insan yang baru lahir.
  2. Satu pernyataan syariat Islam yang berperanan mendahului dakwah syaitan terkutuk dan mengekang arus nafsu syahwat.

TAHNIK
Ada anjuran dalam Islam untuk melaksanakan tahnik iaitu membuka atau memecah mulut bayi yang baru lahir dengan buah tamar yang telah dikunyah oleh orang alim dan bertakwa.

Isi buah tamar yang telah dikunyah itu diletakkan di atas jari telunjuk dan dimasukkan ke dalam mulut bayi, ke kiri dan ke kanan mulutnya. Ini dilakukan sehingga kurma tadi menyentuh keseluruhan mulut sampai ke rongga tekak bayi. Ini bersesuaian dengan hadis Abu Burdah daripada Abu Musa r.a.:

Maksudnya: "Aku telah mendapat seorang anak, kemudian aku membawanya kepada Nabi SAW. Baginda menamakannya Ibrahim, lalu mentahnikkannya (memecahkan mulutnya) dengan sebiji kurma."

Diriwayatkan daripada Asma' bahawa beliau mengandungkan Abdullah bin Zubair di Makkah. Selepas itu beliau datang ke Madinah dan tinggal di Quba'.

Semasa Abdullah dilahirkan, beliau dibawa kepada Rasulullah SAW lalu diletakkan di atas ribaan baginda. Selepas itu baginda berdoa dan mengunyah sebiji kurma lalu dimasukkan ke dalam mulut Abdullah.

Antara hikmah amalan 'tahnik' ini ialah dapat menguatkan saraf mulut bagi mempersiapkan bayi berkenaan untuk menghisap susu dengan sempurna.

Seandainya kurma susah didapati, bolehlah digantikan dengan manisan lain seperti gula, kismis atau madu lebah.

SUMBER: Dato' Ismail Kamus dan Mohd. Azrul Azlen Abd. Hamid, 2009. Indahnya Hidup Bersyariat. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.

Bersambung...