Isnin, Julai 06, 2009

Syariat Kelahiran (Bhg. 2)

MEMBERIKAN NAMA YANG BAIK
Tuntutan memilih nama-nama yang elok dan mempunyai makna yang baik amat dianjurkan oleh Islam. Sebenarnya, pemilihan nama-nama yang baik ini sedikit sebanyak boleh mempengaruhi sifat peribadi dan akhlak seseorang Muslim.

Abu Daud meriwayatkan daripada Abu Darda r.a. bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya pada hari kiamat kelak, manusia akan dipanggil menghadap Allah SWT dengan nama masing-masing dan nama bapa masing-masing (sepertimana nama di dunia). Oleh itu, pilihlah nama yang baik-baik untuk kamu sekalian."

Ini bererti Nabi SAW melarang umatnya menamakan anak masing-masing dengan nama-nama yang tercela yang membawa makna yang tidak baik. Lebih-lebih lagi hal ini amat penting dalam usaha untuk menjaga kehormatan anak tersebut daripada cemuhan masyarakat.

Islam telah memberi garis panduan untuk memberi nama kepada anak, iaitu seperti berikut:

NAMA-NAMA YANG DIGALAKKAN

1. Nama-nama Nabi
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Namakanlah (anak-anakmu) dengan nama-nama para nabi."

Para nabi dan rasul ialah manusia pilihan Allah, ahli-ahli syurga dan mempunyai teladan yang baik.

2. Nama-nama yang diambil daripada Asma'ul Husna
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya nama-nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman."

3. Nama-nama para sahabat
Nama para sahabat Rasulullah SAW seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Saad, Zubair dan lain-lain juga elok dijadikan pilihan untuk nama-nama anak. Mereka terkenal sebagai ahli ibadah, pemimpin yang adil, pahlawan terbilang, pemikir agung, penghafaz Al-Quran dan perawi hadis yang ulung.

NAMA-NAMA YANG DILARANG

1. Nama-nama buruk yang menjadi cemuhan masyarakat dan menjatuhkan maruah anak seperti:

Sariq - pencuri
Ashiah - ahli maksiat
Kilab - anjing
Jahil - bodoh

2. Nama-nama yang khusus untuk Allah seperti:

Ahad - satu / esa

3. Nama-nama yang tidak membawa faedah seperti:

Malikul Amlak - raja daripada segala raja
Aflah - mendapat kemenangan
Yasar - pihak kiri

4. Nama-nama dengan sebutan Abd (hamba) yang dikaitkan dengan sesuatu selain daripada Allah seperti:

Abdul Uzza - hamba berhala Uzza
Abdul Kaabah - hamba Kaabah
Abdul Fulus - hamba wang

AQIQAH DAN BERCUKUR RAMBUT

Menamakan anak yang baru lahir sering dilakukan seiring dengan amalan aqiqah dan juga mencukur rambut bayi.

Makna Aqiqah: Dari segi bahasa, aqiqah bermakna 'memutus'. Dari segi syarak, aqiqah bermaksud menyembelih kambing atau ternakan lain seperti unta, biri-biri dan kibas buat anak yang baru lahir khususnya pada hari ketujuh kelahirannya atau selewat-lewatnya sebelum anak itu baligh.

Antara hadis yang memperkatakan tentang aqiqah ini ialah:

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Salma bin Amir Al-Dhabi r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bersama bayi itu aqiqahnya, maka tumpahkanlah darah untuknya dan tanggalkan daripadanya perkara yang menyakitkan (iaitu kotoran dan najis)."

Terdapat juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya daripada Samrah r.a. katanya: Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Bayi itu tergadai (tergantung) oleh aqiqahnya, disembelihkan untuknya pada hari ketujuh, hari itu diberikan nama dan dicukur kepalanya."

Bagi imam Malik r.a., aqiqah boleh dilakukan pada bila-bila masa seseorang itu mempunyai kelapangan.

Rasulullah SAW menganjurkan supaya anak lelaki diaqiqahkan dengan dua ekor kambing (kibas, biri-biri dan sebagainya) atau seekor juga memadai yang sempurna sifat dan syarat-syaratnya sedangkan anak perempuan memadai diaqiqahkan dengan seekor kambing sahaja.

SYARAT-SYARAT AQIQAH

1. Umur binatang sembelihan:

  • Unta berumur 5 tahun lebih.
  • Lembu / kerbau berumur 2 tahun lebih.
  • Kambing berumur 2 tahun atau telah bersalin gigi.
  • Kibas berumur 1 tahun atau telah bersalin gigi.

2. Binatang sembelihan sihat dan tidak cacat.

3. Daging aqiqah dipotong mengikut sendinya dengan tidak memecahkan tulangnya sesuai dengan tujuan aqiqah itu sebagai 'fida' (mempertalikan ikatan antara diri anak dengan Allah SWT).

4. Disembelih atas nama anak yang dilahirkan. Menurut hadis riwayat Al-Baihaqi, maksudnya: "Sembelihkan binatang itu atas nama anak yang dilahirkan dan ucapkanlah: Dengan nama Allah, Ya Allah bagi-Mu dan kepada-Mu kupersembahkan aqiqah si Fulan (atau Fulanah) ini."

5. Tidak boleh berkongsi misalnya beberapa orang berkongsi seekor kambing untuk mengaqiqahkan anak-anak mereka.

6. Sebaiknya beraqiqah dengan kambing, tetapi dibolehkan juga beraqiqah dengan unta, lembu dan kerbau.

HUKUM DAGING AQIQAH

Daging binatang yang disembelih adalah sunat dibuat jamuan untuk juadah ahli keluarga, jiran tetangga dan saudara-mara terdekat.

HIKMAH BERAQIQAH

  1. Melahirkan rasa gembira di ats kelahiran satu jiwa Muslim baru yang sujud menyembah Allah SWT di dunia.
  2. Mendekatkan diri anak itu kepada Allah atas aqiqah yang dilakukan.
  3. Mengukuhkan tali persaudaraan sesama Muslim apabila majlis aqiqah tersebut dihadiri oleh kaum keluarga, saudara-mara dan jiran tetangga.
  4. Sebagai tebusan anak tersebut dapat memberikan syafaat kepada ibu bapanya.
  5. Menunjukkan tanda syukur kepada Allah SWT di atas kurniaan-Nya.
  6. Menjauhkan anak tersebut daripada segala bahaya dan bencana.

Amalan Mencukur Rambut

Anjuran mencukur rambut bayi sempena majlis aqiqah ini mengandungi hikmah khususnya dari segi kesihatan. Menurut Ibnu Al-Qayyim, amalan ini akan meningkatkan tahap kesihatan anak tadi, membuka selaput kepala dan mempertajamkan daya penglihatan, pendengaran dan deria hidu.

BERKHITAN

Berkhitan atau berkhatan dalam istilah Melayu bermakna memotong kulit (kulup) yang menutupi kepala zakar bagi lelaki dan memotong sedikit hujung kelentit (clitoris) bagi perempuan.

Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda, maksudnya: "Fitrah itu lima perkara, iaitu: Berkhitan, mencukur bulu kemaluan (lelaki dan wanita), mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai."

HUKUM BERKHITAN

Ada perbezaan pendapat tentang hukum berkhitan ini. Ada ulama yang mengatakan sunat dan ada juga yang mengatakan ia wajib.

Sepotong hadis riwayat Imam Ahmad r.a. daripada Nabi SAW, maksudnya: "Khitan (khatan) itu disunatkan bagi kaum lelaki dan dimuliakan bagi kaum wanita."

Manakala mereka yang mengatakan wajib pula berpegang kepada hadis riwayat Al-Zuhri bahawa Nabi SAW pernah bersabda, maksudnya: "Bagi sesiapa yang masuk Islam, wajiblah ia berkhatan, sekalipun ia sudah dewasa."

Kebanyakan ulama berpendapat khitan itu patut dilaksanakan ketika anak menghampiri waktu baligh.

Khitan Wanita

Disebutkan oleh Imam Ahmad daripada Ummu 'Athiyyah bahawa Rasulullah SAW pernah menyuruh seorang wanita yang mengkhitan seseorang supaya tidak memotong dengan keterlaluan dengan sabdanya yang bermaksud: "Jika kamu mengkhitan maka janganlah kamu berlebih-lebihan kerana yang demikian akan lebih baik bagi wanita dan lebih disukai oleh suami."

Berdasarkan hadis ini dapat kita simpulkan bahawa khitan bagi wanita adalah dengan memotong sedikit mungkin bahagian kulit yang terdapat pada klitoris.

HIKMAH BERKHITAN

  1. Boleh membawa kepada kesempurnaan beragama.
  2. Membezakan antara orang Islam dan bukan Islam.
  3. Menjaga kesihatan dan mengawal syahwat.
  4. Pemeliharaan diri daripada bahaya penyakit.

SUMBER: Dato' Ismail Kamus dan Mohd. Azrul Azlen Abd. Hamid, 2009. Indahnya Hidup Bersyariat. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.