Ahad, Ogos 16, 2009

Menjelang Ramadhan: Pugarlah Bumi Hatimu

KEDATANGAN Ramadhan merupakan satu peristiwa yang sangat bermakna dan penting bagi orang Mukmin. Ia amat ditunggu-tunggu kerana apabila menjelangnya Ramadhan, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sesungguhnya telah datang Ramadhan, bulan yang berkat. Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu-pintu neraka dan ditambat para syaitan. Pada bulan ini terdapat satu malam yang terbaik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya maka sesungguhnya dia rugi." (Riwayat Ahmad dan Nasa'i)

Rasulullah SAW menegaskan bahawa Ramadhan bukan sahaja bulan untuk berpuasa tetapi ia datang dengan penuh keberkatan. Kedatangan Ramadhan membuka seluas-luasnya jalan untuk beramal ibadah dengan mudah. Ini kerana para syaitan yang sentiasa menghalang dan merintangi manusia daripada melakukan amal ibadah dalam bulan-bulan yang lain telah dirantai.

Ramadhan juga membuka peluang untuk mendapatkan pahala yang berlipat kali ganda banyaknya. Inilah yang dimaksudkan dengan pintu-pintu syurga dibuka dengan seluas-luasnya. Sementara itu pintu-pintu neraka pula ditutup serapat-rapatnya apabila jalan-jalan perlakuan dosa dipersempitkan sepanjang bulan Ramadhan. Inilah antara bonus bantuan dan kemudahan yang tersedia pada bulan Ramadhan untuk seseorang mengejar keterlanjurannya pada masa lalu. Pemberian istimewa Allah ini tentunya sungguh besar ertinya kepada hamba-Nya yang lemah dan culas beribadah. Sehingga kerana itu menyebabkan mereka jauh ketinggalan di belakang dalam mempersiapkan bekalan hidup di akhirat. Sebaik-baik bekalan untuk selamat di akhirat adalah amalan takwa. Allah SWT berfirman: "Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal." (Al-Baqarah: 197)

Ibadah puasa adalah syiar Ramadhan yang terpenting. Sebabnya kerana sifat takwa dapat diperolehi melalui berpuasa. Allah SWT berjanji kepada sesiapa yang berpuasa dengan sebenar-benarnya pasti akan mencapai darjat takwa. Firman-Nya: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Al-Baqarah: 183)

Selain kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan, ayat ini juga menyatakan tujuan akhir daripada ibadah puasa iaitu takwa. Takwa adalah darjat kemuliaan dan pangkat tertinggi yang boleh dicapai oleh seseorang hamba Allah. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (Al-Hujurat: 13)

Dengan adanya takwa, seseorang itu layak mendapat kemuliaan dan menjadi orang yang paling mulia, dijanjikan syurga, diberikan hidayah dan keampunan serta diberikan bantuan sejak di dunia lagi.

Oleh kerana takwa itu begitu mahal harganya maka mendapatkannya tentulah sukar. Namun atas kasih sayang Allah, dibukakan tawaran mega istimewa untuk para hamba-Nya memperoleh takwa dengan lebih mudah pada bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain. Inilah pakej hadiah yang diburu oleh para salafussoleh.

Peluang berharga bertemu Ramadhan hanya sekali dalam setahun. Tiada siapa yang pasti akan dipanjangkan umur. Oleh itu, sebaik sahaja memasuki bulan Rejab maka para salafussoleh tidak lupa berdoa sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW: "Ya Allah! Berkatilah atas kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadhan." (Riwayat Imam Al-Baihaqi)

Kenapa selain memohon bertemu Ramadhan, mereka turut minta diberkati dalam menjalani bulan-bulan Rejab dan Syaaban? Sebab pada kedua-dua bulan tersebut para salafussoleh gigih membuat persiapan zahir dan batin supaya sebaik sahaja memasuki Ramadhan, mereka terus dapat mengambil semaksimum manfaat kebaikan yang tersedia di dalamnya.

Bagi mereka, bulan Ramadhan iu ibarat musim tengkujuh yang akan lebat dengan hujan hidayah, rahmat, keberkatan, keampunan dan kasih sayang Allah SWT. Justeru itu, pada bulan Rejab dan Syaaban mereka sibuk memugar bumi hati mereka dan menyiapkan takungan sebagai persediaan untuk menyerap dan menadah hujan hidayah dan lain-lainnya yang bakal turun.

Bumi yang gembur akan mampu menyerap lebih banyak air berbanding tanah yang keras. Begitu juga wadah takungan yang besar akan mampu menakung lebih banyak air berbanding yang kecil. Hal ini difahami berdasarkan firman Allah SWT: "Allah telah menurunkan air (hujan) dari langit, maka mengalirlah air di lembah-lembah menurut ukurannya." (Ar-Ra'du:17)

Sudah menjadi sunnatullah bahawa air hujan dari langit akan turun ke kawasan lembah (rendah) menjadi takungan air yang berbeza nama menurut ukuran saiznya. Air hujan yang mengalir turun ke lembah yang kecil ukurannya akan bertakung menjadi lopak air sahaja. Manakala bagi lembah yang besar maka takungan air yang terbentuk akan menjadi sebuah kolam. Seterusnya jika ukuran lembah itu jauh lebih luas dan dalam, maka takungan air hujan akan menjadi tasik ataupun lautan.

Oleh itu, Ramadhan dilihat peluang terbaik menakung sebanyak-banyak hidayah, rahmat, nikmat, kasih sayang Allah dan seumpamanya. Dengan memiliki sebanyaknya kurniaan Allah ini maka akan cerahlah peluang untuk memperolehi ijazah takwa. Oleh itu, sebagaimana lazimnya seseorang yang bakal menduduki sesuatu peperiksaan, maka pada bulan-bulan sebelumnya perlu membuat persediaan dengan latihan, ulang kaji dan seumpamanya. Begitu juga dengan para salafussoleh, sebelum memasuki bulan Ramadhan mereka tekun membuat latihan jiwa dan memperbaiki amalan. Di antara amalan-amalan mereka itu ialah:

1. MEMPERBANYAKKAN PUASA SUNAT
Mereka mencontohi Nabi SAW yang lebih gemar berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding bulan-bulan yang lain. Sayidatina Aisyah berkata: "Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan berpuasa sepertimana pada bulan Syaaban." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi SAW pernah ditanya, mengapa baginda melebihkan berpuasa sunat pada bulan Syaaban berbanding bulan-bulan yang lain. Baginda bersabda: "Bulan itu (Syaaban) yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya (buku catatan) amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka aku suka supaya amal ibadahku diangkat ketika aku sedang berpuasa." (Riwayat An-Nasa'i)

2. MEMPERBAHARUI TAUBAT DAN BANYAK BERISTIGHFAR
Bertaubat dan beristighfar boleh mensucikan jiwa dari dosa. Firman Allah SWT: "Dan bertaubatlah kau sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya." (An-Nur: 31)

Selain dosa dan kesalahan kepada Allah, keampunan dipohon daripada sesama manusia, khususnya ibu bapa, suami atau isteri. Mereka memohon taubat dan keampunan untuk diri sendiri, bahkan turut memohon keampunan untuk kedua ibu bapa dan guru-guru mereka.

3. MELAZIMI BANYAK MEMBACA AL-QURAN, BERZIKIR DAN BERDOA
Syaaban adalah bulan mendampingi dan menjinakkan diri dengan Allah melalui ibadat-ibadat fardhu dan sunat. Antaranya seperti memperbanyakkan membaca Al-Quran, berdoa dan berzikir. Kejinakan hati seseorang melakukan ibadah dengan penuh takwa dalam bulan Syaaban dijanjikan rahmat dan keampunan yang amat banyak daripada Allah. Bahkan melakukan ibadah dengan penuh takwa dalam bulan Syaaban akan menghasilkan cahaya iman daripada Allah kepada hamba-Nya. Cahaya ibadat yang dikurniakan Allah itu akan menjadi penyelamat di akhirat kelak.

4. MUHASABAH DAN MURAQABAH UNTUK MEMPERBAIKI DIRI
Menjelang Ramadhan juga, masa diisi dengan banyak melakukan muhasabah diri dan meneliti kelalaian diri. Setelah itu para salafussoleh bermujahadah membuat latihan jiwa untuk menghukum kelalaian diri mereka.

Demikianlah sebahagian daripada tradisi hidup salafussoleh menjelang Ramadhan. Di sinilah rahsia kejayaan mereka dalam mengambil sepenuh manfaat dan kebaikan yang tersedia dalam bulan Ramadhan. Kegagalan mencontohi tradisi hidup mereka menjadi punca kenapa setiap tahun umat Islam akhir zaman kecundang dalam memperbaiki mutu puasa dan ibadah lain pada bulan Ramadhan. Mudah-mudahan dengan mencontohi mereka, kejayaan mereka dapat dikongsi bersama. Sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang menyerupai suatu kaum maka ia termasuk golongan mereka." (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Dipetik dari: Majalah ANIS keluaran Ogos 2009