UNTUK menempa kejayaan dalam apa jua bidang dan aspek kehidupan, perancangan adalah penting. Orang yang gagal dalam hidup bukannya merancang untuk gagal tetapi biasanya kerana gagal untuk merancang. Perancangan juga tidak berguna jika tidak ada tindakan susulan. Jika tidak dipecahkan ruyung, mana mungkin akan dapat sagunya.
Demikian juga dalam mendirikan rumah tangga. Hikmah berkahwin itu bukan setakat untuk menghalalkan hubungan biologi antara pasangan suami isteri tetapi harus lebih jauh daripada itu. Antara tujuan pernikahan ialah melanjutkan zuriat keturunan dan memperbanyakkan jumlah umat Nabi Muhammad SAW. Justeru itu, termasuk dalam cita-cita hidup orang Mukmin itu untuk merancang membentuk keluarga sakinah dan rumah tangga pejuang demi mendokong pembangunan ummah. Usaha murni ini pastinya akan menyenangkan hati Nabi Muhammad SAW.
Ini kerana Rasulullah SAW berbangga dengan umat yang banyak. Dinukilkan daripada Ma'qil Ibnu Yasar, ia berkata: "Telah datang seorang lelaki menghadap Rasulullah SAW dan bertanya, "Sesungguhnya aku hendak menikahi seorang wanita yang baik dan cantik, namun dia tidak mampu melahirkan anak. Apakah aku boleh menikahinya?" Rasulullah SAW menjawab, "Tidak!" Kemudia di saat yang lain orang itu datang lagi berjumpa Rasulullah SAW untuk meminta izin menikahi wanita itu, namun Nabi SAW tetap melarangnya dan bersabda: "Nikahilah wanita penyayang dan subur. Sungguh aku membanggakan jumlah kalian yang banyak di antara umat-umat lain." (Riwayat Abu Daud dan Nasa'i)
Pastinya akan dikecapi kemanisan iman apabila seseorang itu dapat menggembirakan Nabinya dan menjadi sebahagian mata rantai mendokong wawasan besar baginda. Tentu sekali hal ini berkaitan dengan kekuatan ummah agar agama Islam dan umatnya terbela, maju, berwibawa dan tinggi hingga dapat memayungi umat manusia.
Selanjutnya, tentu bukan sahaja kuantiti yang dibanggakan Rasulullah SAW tetapi juga kualiti. Tidak ada maknanya bilangan yang banyak jika tidak berkualiti ibarat kekuatan buih air di laut walaupun menggunung besarnya. Daripada Tsauban r.a., beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Hampir akan tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka." Maka salah seorang sahabat bertanya, "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih air pada waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan campakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan" Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu ya Rasulullah?" Nabi menjawab, "Cinta dunia dan takut mati." (Riwayat Abu Daud)
Hadis ini memperlihatkan kegusaran hati Rasulullah SAW terhadap bilangan umatnya yang ramai pada akhir zaman tetapi tidak berkualiti. Ini kerana mereka lemah akibat ditimpa penyakit cinta kehidupan dunia dan takut menghadapi kematian.
Sebenarnya para ibu bapa seharusnya merasa takut apabila tidak merancang dan meninggalkan usaha untuk membentuk generasi Mukmin yang berkualiti. Ini kerana Allah SWT juga memberi ancaman kepada para ibu bapa yang mati mewariskan zuriat keturunan yang lemah. Firman-Nya: "Dan hendaklah merasa takut kepada Allah, orang yang seandainya meninggalkan di belakang anak-anak zuriat keturunan yang lemah." (An-Nisa': 9)
Generasi pewaris yang kuat itu bukan sahaja pada fizikalnya, tetapi kuat dan besar jiwanya. Sedaya mungkin diusahakan agar anak-anak Muslim itu lurus dan benar akidahnya, betul dan sah ibadahnya, teguh dan terpuji akhlaknya, terpelajar dan waras akalnya, memiliki tubuh yang kuat dan sihat, kuat kemahuan dan pejuang untuk dirinya, punyai cita-cita perjuangan, ada kemahiran dan yakin diri untuk berusaha, berguna kepada orang lain, bijak memafaatkan masa, mampu berdikari mengatur urusan dan menyelesaikan masalah. Semua kriteria ini diperlukan untuk membangun ummah yang berwibawa dan berhemah tinggi.
Jika gagal berbuat demikian maka ibu bapanya yang rugi dan paling dahulu menerima padah bencana daripada anak-anaknya. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang-orang yang rugi adalah orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarganya pada hari kiamat. Ingatlah yang demikian itu adalah kerugian yang jelas nyata." (Az-Zumar: 15)
Maka sayugialah atas dasar cinta kepada Nabi SAW setiap ibu dan bapa memperbaharui tekad melaksanakan jihad untuk memperbanyakkan bilangan umat Muhammad yang berkualiti agar dengan itu senang hati baginda. Ia dapat dicapai dengan membentuk keluarga dan generasi Mukmin yang solehin. Mudah-mudahan ibu bapa mendapat saham apabila Allah mewariskan bumi ini hingga meriah dan makmur dengan kebaikan kepada zuriat mereka nanti. Janji Allah SWT dalam firman-Nya: "Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Loh Mahfuz, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hamba-Ku yang soleh." (Al-Anbiya': 105)
Dipetik dari: Majalah ANIS keluaran April 2009