- Pada malam itu dipaparkan seluruh takdir atau ketentuan makhluk kepada para malaikat.
- Malam itu memiliki dan menyimpan sesuatu yang bersifat agung. Ini kerana Al-Qadr ertinya kemuliaan dan keagungan.
- Lailatul Qadar membawa maksud malam yang sempit. Ini kerana dunia pada malam itu mengalami kesempitan dan sesak kerana turunnya para malaikat.
Rasulullah SAW telah menggesa umatnya agar berusaha mencari Lailatul Qadar dengan sabdanya: "Pilihlah malam Lailatul Qadar pada bilangan malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir ramadhan".
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad ibn Hambal r.a. daripada Abdullah ibn Umar r.a. katanya, "Mereka iaitu beberapa orang sahabat Nabi SAW sentiasa menceritakan kepada Nabi SAW tentang mimpi-mimpi mereka bahawa Lailatul Qadar ialah pada malam ke-7 likur di dalam malam ke-10 terakhir Ramadhan. Maka Nabi SAW bersabda: Aku melihat bahawa mimpi-mimpi kamu itu telah bersepakat menunjukkan Lailatul Qadar ialah pada malam ke-7 likur daripada sepuluh malam terakhir Ramadhan. Sesiapa yang ingin memilihnya, maka pilihlah pada malam ke-7 likur daripada 10 malam terakhir tersebut".
Imam Al-Nawawi r.a., seorang ulama besar ilmu hadis telah menyatakan di dalam Majmu' Syarah Al-Muhazzab, bahawa tanda berlakunya Lailatul Qadar ialah pada malam tersebut keadaan tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Matahari yang terbit pada pagi hari itu pula kelihatan putih cerah tidak banyak sinaran cahayanya.
Sayyidah Aisyah r.ha. pernah bertanya kepada baginda SAW, "Ya Rasulullah! Sekiranya aku menemui malam Lailatul Qadar, apakah doa yang harus dan baik untuk dibaca?" Rasulullah SAW menjawab, "Bacalah doa ini: Ya Allah! Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengampun. Engkau menyukai akan keampunan, maka ampunilah kami".