Isnin, September 28, 2009

Selamat Kembali Ke PASTI!

SETELAH seminggu bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri, hari ini PASTI dibuka semula. Pelbagai gelagat murid-murid dengan mood raya yang masih ada dapat dilihat. Masing-masing begitu seronok bercerita tentang pengalaman menyambut hari raya bersama keluarga di kampung halaman dan berapa banyak duit raya yang sudah dapat dikumpul.

Begitulah kanak-kanak. Hidup mereka penuh dengan kegembiraan, apatah lagi bila dapat berhari raya dengan keluarga tersayang serta berpakaian serba baru. Yang berpuasa cukup sebulan tentulah lagi seronok beraya. Bermain mercun dan bunga api juga seakan sudah menjadi 'acara wajib' bagi mereka di samping beraya dari rumah ke rumah dan mengumpul duit raya seberapa banyak yang boleh. Ada yang menyerahkan duit itu kepada ibu bapa untuk disimpan dalam tabung, manakala sebahagian lagi menggunyakannya untuk membeli barang / permainan yang diidam-idamkan.

Di sinilah kita sebagai ibu bapa / pendidik perlu memainkan peranan. Anak-anak mesti dididik menyambut Aidilfitri dengan penuh keinsafan, kesyukuran dan kesederhanaan sebagaimana yang dituntut oleh syarak. Boleh bergembira, asalkan jangan berlebihan. Boleh saja beraya, yang penting tahu batasan. Solat jangan sampai ditinggalkan, pembaziran mesti dielakkan. Budaya bermain mercun dan bunga api misalnya adalah pembaziran, walaupun yang dibeli itu cuma mercun pop-pop yang meletup apabila dibaling. Memanglah harganya murah dan tidak berbahaya kerana tak perlu dibakar, namun ia tetap membazir kerana duit dibelanjakan untuk perkara yang tiada faedah.

Lumrah kanak-kanak, rasa cemburu apabila orang lain memiliki lebih daripada yang dia ada. Iri hati pada kawan yang bajunya lebih mahal atau cantik, kasut kawan yang lebih canggih daripada kasutnya, yalah.. kasut kawannya ada lampu lip-lap sedangkan kasutnya cuma ada gambar Spiderman. Lepas tu bila beraya di rumah orang, cemburukan pula kuih raya orang itu yang pelbagai jenis. Tak seperti di rumahnya sendiri yang cuma ada rempeyek dan dua tiga jenis kacang. Dalam hal ini, ibu bapa perlu menerangkan kepada anak-anak betapa perlunya mereka bersyukur kerana sebenarnya mereka lebih bertuah dan beruntung daripada ribuan malah jutaan orang lain yang tidak punya apa-apa. Ceritakan kepada mereka bagaimana menderitanya kanak-kanak di Palestin dan negara-negara lain yang umat Islamnya tertindas dan dihimpit kemiskinan. Beritahu juga kepada mereka bahawa dalam negara kita sendiri masih begitu ramai orang lain yang miskin, yang hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Nasihatkanlah kepada anak-anak kita, bahawa hal dunia ini jangan pandang orang yang di atas (yang lebih senang hidupnya) tapi lihatlah orang yang di bawah (yang lebih susah daripada kita).