RAMADHAN bulan kerinduan bagi seluruh umat Islam, bulan menyempurnakan ibadah puasa, bulan yang menghimpunkan segala kebaikan yang berlipat kali ganda. Bulan bersatu hati seluruh ahli keluarga mengadap meja hidangan di atas satu matlamat - untuk sama-sama berbuka puasa setelah seharian berpuasa pada siang hari. Jika bulan-bulan sebelum ini tidak selalu dapat makan bersam kerana hambatan tugasan yang berbeza, maka hikmah Allah datangkan bulan Ramadhan ambillah peluang untuk diraikan bersama. Makan bersama apabila benar-benar diikut menurut cara yang Nabi ajarkan pasti akan memberi ganjaran pahala yang besar dan mencergaskan kesihatan.
Kebiasaannya menjelang petang, ibulah orang yang paling sibuk menyediakan pelbagai juadah kesukaan anak-anak dan suami sehingga kadang-kadang terlupa kesukaan sendiri. Itulah pengorbanan seorang ibu. Elok tatkala hendak berbuka, ibu agih-agihkan buah atau cubit-cubitkan lauk dan letak di pinggan suami dan anak-anak. Cara ini akan mendorong anak seronok meraikan kita pula.
Minta anak tunggu ayah mulakan suapan setelah selesai doa berbuka puasa sebagai menghormati ketua keluarga. Raikan gelagat anak-anak ketika makan. Perhatikan cara anak-anak menyuap makanan dan meneguk air agar tidak gelojoh. Awal makan, latih dan pujuk anak-anak supaya mengambil makanan yang terdekat dahulu (seperti buah tamar) walaupun ada lauk atau kuah yang dia tidak suka. Selepas itu, barulah suruh ambil yang jauh sedikit. Galakkan juga anak-anak supaya saling rai-meraikan, hulur-menghulurkan juadah untuk sesama ahli keluarga yang lain.
Pengajaran dari latihan tidak rasmi ini, apabila si anak perlu mengambil dahulu makanan yang dekat dengannya, itu melatih diri supaya redha terhadap rezeki yang paling dekat. Cara ini melatih anak-anak bersabar dan mendahulukan hak orang lain.
Apabila anak bangun memanjangkan tangan atau meminta bantuan orang lain supaya menghulurkan makanan yang lebih jauh itu tanda dia mahu berusah, berani mengambil risiko, dengan bersopan memujuk orang di hadapn atau di sebelahnya.
Setelah ada kesan dari latihan makan bersama di rumah, apabila ada peluang ajaklah ank-anak berbuka di masjid. Ini sebagai latihan hidup bermasyarakat. Bawalah sedikit juadah. Sebelum berbuka ajaklah anak-anak mengagihkan juadah ke meja-meja hidangan atau di atas saprah yang terbentang panjang di serambi masjid. Sikit sama sikit, banyak sama banyak. Rasa kebersamaan bukan terletak pada banyak atau sedikit tapi atas rasa syukur oleh tangan-tangan yang menadahkan doa mohor keberkatan kepada si pemberi. Rasa kebersamaan juga terjalin atas kesantunan kita menghadapi makanan dalam suasana ramai. Kenyang bukan terletak pada banyaknya makanan yang dimakan. Lapar pula bukan tanda pada sedikitnya rezeki yang dijamah. Tetapi kenyang yang sebenar ialah pada keberkatan rezeki yang mendorong kita untuk rajin beramal ibadah tanpa dicelahi dengan rasa mengantuk dan malas.
Yakinlah di atas keberkatan Ramadhan, kesungguhan kita melatih anak-anak 30 hari makan berjemaah pada bulan mulia ini akan dapat mengubah cara hidup mereka kepada yang lebih positif seterusnya menghargai erti sebuah kehidupan bersama dalam jalinan kasih sayang dan saling redha-merehai. Selamat menunaikan ibadah puasa dengan kemeriahan tarawih, tadarus dan sedekah.