Sabtu, Disember 26, 2009

TELEVISYEN ATAU TANPA TELEVISYEN

Oleh: Abu Saif (www.saifulislam.com)

KEHADIRAN televisyen itu datang bersama pakej latihan memilih dan membuat keputusan.

Apa yang boleh ditonton?

Apa yang tidak boleh ditonton?

Kedua-duanya berada di hujung jari, tetapi anak dilatih untuk membuat pilihan yang betul.

"Abi, bagi la Yop tengok Crayon Shin-Chan!" pinta anak saya.

"Yop boleh tengok kartun yang lain, tetapi Shin-Chan tak boleh," saya memberitahu anak.

"Kenapa tak boleh?" soal anak saya.

"Sebab Shan-Chan biadab. Dia tidak hormat ibu bapa. Comel tetapi kurang ajar. Yop tak nak jadi biadab kepada ibu bapa, kan?" saya cuba berlogika dengan anak.

"Tak nak!" jawab anak saya.

Maka petang itu, anak menonton rancangan yang baik dan meninggalkan rancangan yang tidak baik. Apa yang disekat petang itu bukanlah menonton televisyen, tetapi anasir yang tidak baik. Latihan menolak substance negatif itu penting kerana ia bukan sahaja terhidang di kaca TV, malah di sekolah, di internet, di kejiranan dan di mana-mana sahaja sudut kehidupan. Didikan yang diberi adalah untuk menolak unsur negatif, bukan menolak wasilahnya yang bernama televisyen.

Bagi diri saya, proses seperti ini lebih menyelamatkan untuk anak-anak menempuh realiti yang penuh cabaran itu. Jika pada usia tujuh atau lapan tahun, nak-anak mungkin masih boleh disekat dan dikawal keinginan mereka. Tetapi apabila si anak mencecah usia yang lebih dewasa, andai di rumah tiada televisyen, mereka dengan mudah boleh menontonnya di rumah kawan.

Malah di satu peringkat, televisyen mungkin jauh lebih selamat berbanding internet dan kaki lima pusat membeli belah.

Sistem digital pada televisyen juga saya manfaatkan sebaiknya. Banyak siaran yang tidak berkenaan boleh dikunci, termasuklah siaran-siaran percuma yang ada masa-masanya melampaui batas. Dos yang tidak terkawal terhadap siaran 24 jam juga boleh dikendalikan dengan baik. Apa yang penting, tindakan-tindakan ini bukanlah dibuat dalam bentuk hukuman atau escapism. Sebaliknya si anak diberitahu dengan jelas akan sebab musabab mengapa kita bertindak begitu.

Ia bukan mengawal untuk mengonkong.

Ia adalah kawalan untuk melatih membuat keputusan dan pilihan.

Kualiti Dan Kuantiti Masa
Biarpun televisyen ada di rumah, saya tetap berusaha mewujudkan masa-masa berkualiti antara saya dan isteri bersama anak-anak tanpa televisyen. Ada masanya televisyen ditutup dan kami sekeluarga duduk bersama-sama berbual, mengulang kaji pelajaran atau bermain bersama-sama.

Kualiti masa bersama lebih berharga daripada kuantiti masa yang melimpah ruah ketika seluruh keluarga duduk sebumbung, tetapi tidak bersama kerana hakikatnya semua sedang berkomunikasi dengan televisyen, bukan sesama ahli keluarga.

Sekali lagi, pembetulan perlu banyak berlaku ke atas manusia, bukannya ke atas televisyen dan media massa yang duduk di luar lingkungan kawalan kita. Ada masa, ahli keluarga diajar memilih siaran. Ada masa televisyen ditutup sepenuhnya mengikut keperluan dan keadaan.

Tatkala didesak-desak, bimbang juga anak belajar menipu apabila cuba menyembunyikan perbuatannya yang sebenarnya biasa-biasa sahaja. Kemahiran menipu itu mampu menjadi senjata untuk menyembunyikan perbuatan yang nantinya luar biasa pula. Itulah kekhuatiran saya. Kekhuatiran tatkala mengendalikan program anak-anak remaja hari ini.

Produk Kongkongan
Ramai dari kalangan remaja yang mempunyai ibu bapa dan keluarga yang komited dengan Islam, tetapi si anak memberontak dan berjiwa pemberontak. Ia bermula dengan kebosanan hidup, terutamanya apabila mereka mula membandingkan diri dengan kawan-kawan sebaya.

Lakonan-lakonan Islamik si anak di hadapan ibu bapa, menyemai tabiat nifaq apabila mereka menjadikan lakonan itu sebagai bahan gurau senda tatkala duduk bersama rakan. Betapa mudahnya ibu bapa ditipu dengan sangkaan bahawa mereka memiliki anak yang sesuai dengan kemahuan mereka, sedangkan si anak sudah pun menjadi manusia lain kesan pengaruh peer pressure yang terlepas dari pandangan dan kawalan ibu bapa.

Atas kebimbangan itulah, saya memilih untuk mendekatkan anak dengan realiti kehidupan serta mengambil pendekatan yang sederhana dalam mendidik mereka.

"Eh, rumah ustaz tu biasa-biasa aje!" kata seorang teman isteri saya kepada suaminya.

"Biasa macam mana tu?" tanya si suami.

"Lebih kurang macam kita juga. Apa yang ada di rumah kita, ada di rumah dia. Ada TV, ada permainan, ada dvd player," katanya lagi.

Benar, rumah saya bukan utopia atau satu planet lain yang asing. Hanya manusianya sahaja yang dilatih menjadi makhluk asing, ghuraba' yang dilatih membuat keputusan dan pilihan terhadap baik buruk di celah debu akhir zaman.

Firman Allah: "Demi diri manusia dan (Dia) yang menyempurnakan kejadiannya. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada takwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya bersih. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)". (As-Shams: 7 - 10)