Selasa, Mei 10, 2011

AMINAH BINTI WAHAB – IBU TABAH YANG BERTUAH

HARI yang ditunggu akhirnya tiba juga. Gembira tidak terkata, tetapi keriangan melonjak dalam dakapan santun keindahan pekerti seorang isteri. Getar emosi yang sedang galak bercanda di kamar sanubari tidak sampai mencemar maruah dan harga diri.

Beberapa purnama melayari perpisahan, kiranya sudah sampai waktu berlabuh di pantai pertemuan. Mahu dilepaskan segala ingatan dan kenangan, terbang bebas di ruang keriangan. Berduaan merawat rindu yang sarat dikendong kalbu.

“Aminah, suamimu tidak dapat pulang. Sekarang dia berada di Yathrib, di rumah kaum kerabat kita di sana.”

Duubb!!!

Bagai ada hentakan keras mendarat di tengah dada. Bukan khabar itu yang mahu didengar.

“Ada urusan apakah dia di sana?” Pertanyaan dalam nada masih tenang, seolah-olah hatinya tidak terusik dengan berita yang kurang menggembirakan itu.

“Kesihatannya tidak memuaskan. Dia tidak boleh meneruskan perjalanan pulang ke mari.”
Aminah binti Wahab tunduk bungkam. Terasa lidahnya kelu. Suara bagai tersekat di tengah kerongkong.

“Bersabarlah, nanti ayah akan hantar orang menjenguknya.”

Belum ditakdirkan bertemu rupanya. Malah penantian kali ini terasa lebih menguji kesabaran – menanti sembuh dan menanti pulang. Namun akhirnya penantian bukan sekadar ‘lebih menguji’, tetapi memang sangat menguji dan mencabar kesabaran. Hancur luluh seluruh perasaan menerima berita yang sama sekali di luar jangkaan.

Terasa padam seluruh cahaya di muka alam semesta, gelap gelita. Kali ini Aminah tidak mamput berpura-pura tenang lagi. Batinnya dihempas duka nestapa; sekeras-keras hempasan. Aminah langsung tidak berupaya bertahan. Terkulai dalam linangan air mata yang dilepaskan semahu-mahunya.

Tangan kanannya perlahan mengusap perut. Benih di dalam rahimnya sedang tumbuh membesar. Ingin dia mengkhabarkan tentang itu kepada suaminya; bukti ketulusan cinta setia, tali pengikat yang akan meneguhkan lagi simpulan janji suci yang dilafazkan. Dia bakal bergelar ibu dan suaminya bakal dipanggil ayah.

Demikian antara baris-baris bicara yang hendak dikisahkan di hadapan suaminya saat bertemu nanti. Namun takdir yang tersurat punya jalan cerita yang berbeza. Aminah pasrah, anaknya bakal lahir tanpa berpeluang melihat wajah ayah. Orang yang dinanti sekian lama tidak kunjung tiba dan tidak akan kunjung tiba. Dia telah pun berangkat ke daerah yang paling jauh.

Lama sekali Aminah binti Wahab mengumpul kekuatan untuk merawat duka yang cukup dalam. Semakin mendekati hari kelahiran anak sulungnya, Aminah dicabar sekali lagi dengan ujian yang hebat. Musuh sedang bersiap sedia mahu menyerang kampungnya. Kemungkinan apakah yang bakal berlaku andai dia tidak sempat menyelamatkan diri?
Cemas dan resah keibuan mula membuak naik di dalam dada. Aminah diancam bimbang. Janganlah kiranya sesuatu yang buruk menimpa diri, sekali gus mengoyak kedamaian istirehat bayinya di dalam rahim. Ya Allah! Anak ini perlu lahir ke dunia dengan selamat... .

Ternyata perancangan Allah SWT tiada siapa yang tahu. Musuh yang angkuh hancur lumat ‘dikerjakan-Nya’. Tidak ada apa yang tinggal selain keinsafan dan pengajaran yang tidak ternilai. Bagi Aminah, setelah sampai saat dan ketika, segala derita kasih yang lama terubat jua akhirnya.

Dia selamat melahirkan seorang putera. Namun gembira itu sebentar sahaja kerana perpisahan masih berlegar-legar di ruang kehidupannya. Aminah terpaksa akur, melepaskan bayinya dibawa pergi ke daerah pedalaman untuk disusukan dan dibesarkan.
Berderai air mata ibu. Luas dan dalamnya lautan cinta serta kasih sayang ibu tidak mungkin dapat ditebak, apa lagi hendak disukat. Aminah, si ibu muda yang baru sahaja hendak mengecapi manisnya nikmat mencurahkan kasih, berasa sangat mahalnya kesempatan itu.

Dia sudah berpeluang tetapi terpaksa menangguh waktu. Lirih rintihan pun berbisik dalam sendu yang asyik; tiada putus rangkaian doa dipanjatkan oleh Aminah. Pintanya sepenuh hati agar perpisahan itu tidak seperti perpisahan dengan suaminya sedikit waktu dahulu.

Lamanya masa berlalu. Beralih sudah beberapa tahun, perpisahan ini seakan tiada berhujung. Belum sampai masa lagikah untuk berlabuh di pantai pertemuan? Tabahnya hati menanti di penjuru waktu, serasa tidak upaya lagi menahan amukan rindu.

Hari yang ditunggu tiba juga. Anak yang sangat diharapkan kepulangannya sedang berdiri di hadapan mata. Tiada bahasa yang dapat menggambarkan kegembiraan, selain deraian air mata jua sebagai jurutafsir yang mengungkapkan segala-galanya.

Begitu pulalah si anak. Bagaikan mengerti lara kerinduan ibu. Kemas dakapan seperti tidak mahu dilepaskan. Tidak mahu lagi berjauhan. Cukuplah ibu didera perpisahan panjang. Ingin dia mendengar sepuas-puasnya degup jantung ibu yang sudah letih menunggu. Degup jantung itu berdetak bersama bait-bait doa, irama senandung kasih yang menemani ibu kala kesepian.

Ada rindu yang tiba-tiba berpuput lembut, menyelinap masuk ke kamar hatinya bersama cebis-cebis kenangan. Lalu menyapa resah yang sudah lama terlena. Dibiarkan keresahan itu terjaga seketika, justeru kenangan dan rindu yang bertamu sekadar menyegarkan keinsafan.

Menatap kenangan dibauri rindu, memutikkan kesayuan di dalam sanubarinya. Betapa semuanya telah berlalu. Namun sekelumit pun tidak pernah dilupakan. Malah hatinya cepat tersentuh tatkala mendengar rengekan tangis anak kecil.

Begitulah... Rasulullah SAW. Kasih, sayang, cinta dan rindunya pada ibu melangit tinggi, biarpun hanya sempat menikmati belai kasih ibu kandung sekitar setahun lebih, selepas dihantar pulang dari desa pedalaman.

Rasulullah SAW tidak pernah lupa detik suka duka bersam ibunya. Pengalaman paling menyayat hati ialah menyaksikan kematian datang meragut nyawa ibu di hadapan matanya sendiri. Ibunya menerima suratan takdir yang sama seperti ayahnya, kembara meninggalkan Mekah dan tidak sempat pulang semula. Ajal menyapa di tengah perjalanan.

Selepas berhijrah ke Madinah, Rasulullah SAW mengunjungi kembali tempat-tempat yang pernah baginda singgah bersama ibunya dahulu. Menyusuri lorong-lorong di Kota Madinah. “Di sinilah ibuku turun. Rumah itulah makam ayahku”.

Suatu ketika, Rasulullah SAW keluar bersama beberapa orang sahabat ke satu kawasan perkuburan. Para sahabat disuruh tunggu, sedang baginda mendekati sebuah pusara yang ada di situ. Baginda bertafakur agak lama sebelum terdengar esak tangisannya.

“Itulah makam ibuku,” kata Rasulullah ketika ditanya oleh sahabat.

Demikianlah... ada ketika kenangan datang mengimbau. Baginda sambut dengan sebaiknya. Kasih ibu tiada sempadan. Kasih anak mengharap belaian. Justeru, Rasulullah SAW mengangkat darjat ibu dan meletakkannya di puncak ketinggian martabat manusia.

Beberapa ‘ketetapan’ daripada baginda SAW khusus mengenai ibu – syurga di bawah telapak kaki ibu. Mentaati ibu tiga kali lebih utama daripada mentaati ayah. Jagalah ibumu, kerana itu juga perjuangan dan harganya teramat tinggi di sisi Allah.