Selasa, Mei 10, 2011

POPCORN, SNEK YANG MENYIHATKAN

Dalam bahasa Melayu kita menyebutnya bertih jagung, namun lebih popular dikenali dengan nama sebutan bahasa Inggerisnya – popcorn. Snek ini paling popular dan menjadi pilihan ramai apabila berkunjung ke pawagam. Namun berapa ramai yang tahu khasiat yang terkandung di dalam popcorn?

Popcorn dikategorikan sebagai makanan whole grain (bijian sempurna atau penuh) yang setaraf dengan oat, barli dan beras perang. Bijirin seperti ini diakui bermanfaat untuk kesihatan.

Whole grain atau bijian sempurna/penuh ertinya mengandungi tiga bahagian bijian iaitu germa, bran dan endosperma.

Germa paling kaya dengan vitamin dan mineral. Ia juga mengandungi sesetengah protin dan lemak yang menyihatkan. Bran pula ialah lapisan yang melindungi isirong (kernel) iaitu sama fungsinya seperti kulit kacang. Bran kaya dengan nutrien temasuklah vitamin B, antioksidan dan serat. Sementara endosperma pula ialah bahagian lembut di dalam isirong yang membekalkan tenaga kepada tumbuhan. Ia mengandungi kanji dan protin serta sedikit kandungan vitamin dan mineral.

Bijian yang telah diproses dan halus, teksturnya memang sedap dimakan, tetapi ia hanya menggunakan endosperma. Ertinya tiada lagi germa dan bran. Istimewanya popcorn, ketiga-tiga bahagian ini ada dan kita tetap memakannya dan sedap pula!

Bijian sempurna ini membantu mengurangkan risiko pembentukan sesetengah penyakit berbahaya termasuk penyakit jantung, kolesterol, kencing manis, obesiti dan beberapa jenis kanser.

Popcorn adalah makanan bijian sempurna. Oleh itu, ia merupakan sumber karbohidrat berkualiti tinggi, rendah kalori dan kaya serat. Ini bermakna, orang yang memakannya mengambil masa yang agak panjang untuk mengunyahnya, justeru memberi rasa kenyang.

Popcorn dikatakan mengandungi antioksidan yang tinggi yang dikenali sebagai polifenol. Polifenol adalah kimia yang ditemui di dalam buah dan sayur termasuk beri, walnut, buah zaitun dan anggur serta makanan-makanan lain termasuk coklat, kopi dan teh.

Polifenol adalah sejenis antioksidan yang dipercayai menyingkirkan radikal bebas dari tubuh. Radikal bebas adalah kimia yang mempunyai potensi menyebabkan kemusnahan sel dan tisu di dalam tubuh.

Seorang ahli kimia Amerika, Dr. Joe Vinson dan pasukannya terkejut apabila mendapati paras polifenol yang tinggi di dalam popcorn. Menurutnya, secawan popcorn mengandungi sejumlah polifenol yang sama dengan sebiji epal.

Dalam penyelidikan terdahulu, mereka menyangka serat adalah ramuan aktif yang menjadikan bijirin makanan bermanfaat untuk kesihatan. Bagaimanapun, dalam penyelidikan mutakhir, mereka menemui polifenol dan bahan ini adalah lebih penting.

Seperkara yang menakjubkan tentang popcorn adalah ia melimpah dengan mineral penting. Tiga auns popcorn boleh membekalkan kanak-kanak yang sedang membesar dengan lebih satu pertiga keperluan fosforusnya setiap hari dan satu perlima keperluan zat besi setiap hari.

Seratus gram popcorn membekalkan tubuh manusia dengan 2.7 miligram zat besi. Ini melebihi zat besi daripada telur, daging panggang, kacang, susu, ikan dan bayam yang secara keseluruhannya membekalkan hanya 3.0 miligram zat besi. Dengan hanya 281 miligram fosforus daripada 100 gram popcorn, popcorn jauh mengatasi kesemua makanan tersebut.

Tubuh manusia sentiasa melalui proses pertumbuhan khasnya pada zaman remaja. Selepas mencapai kematangan, ia mengganti segala tisu yang telah tua. Untuk proses pertumbuhan ini, tubuh memerlukan protin untuk disalurkan ke sel-sel.

Protin tidak disimpan di dalam tubuh, sebaliknya mesti dibekalkan setiap hari. Seperti daging dan ikan, popcorn juga pembekal protin yang baik. Tiga auns popcorn mampu membekalkan satu perenam keperluan harian protin. Walaupun tidak sebaik daging, popcorn lebih baik daripada sayur-sayuran, roti, susu ataupun sup dalam membekalkan protin untuk tubuh manusia.

Tubuh kita tidak boleh menghasilkan vitamin dengan sendiri. Oleh itu, tubuh perlu dibekalkan vitamin dari sumber luar. Popcorn merupakan sumber vitamin yang baik. Tiga auns popcorn membekalkan satu perlima keperluan harian thiamine (vitamin B1). Thiamine diperlukan untuk memelihara selera yang baik dan pencernaan yang normal. Juga untuk memelihara sistem saraf.
Popcorn juga menyumbang kepada bekalan riboflavin (vitamin B2) dan niasin. Riboflavin sangat diperlukan oleh sel-sel tubuh. Niasin menghalang pelagra (penyakit kulit) dan memelihara keadaan kulit. Dalam membekalkan riboflavin dan niasin, popcorn mendahului kekacang, kubis, oatmeal dan banyak jenis makanan lain lagi.

Walau bagaimanapun, popcorn amat kurang vitamin A dan C (asid askorbik). Ini berkemungkinan disebabkan ia termusnah dalam suhu tinggi semasa proses ‘meletup’.

Kanak-kanak yang sihat dan aktif memerlukan kalori yang tinggi. Banyak makanan boleh membekalkan kalori seperti daging, telur dan roti. Namun, antara pembekal kalori yang baik ialah popcorn. Setiap 100 gram popcorn mengandungi 404 kalori. Jumlah ini melebihi apa yang terkandung dalam daging atau ikan, sayur dan buah-buahan, roti, kuih-muih dan minuman.

Popcorn juga sangat membantu dalam diet (pemakanan) kita. Makanlah popcorn sejurus sebelum makan berat. Selera anda terhadap makanan lain akan terbantut. Ini terjadi kerana selulos sekam popcorn terdiri daripada karbohidrat yang tidak boleh dihadam. Selulos ini adalah hampas diet yang bagus. Karbohidrat boleh hadam pula membekalkan tenaga dan membantu tubuh memproses lemak secara metabolisme.

Selain nutrien yang disebutkan di atas, popcorn sarat dengan hampas yang sangat bermanfaat untuk gigi dan gusi. Hampas ini merangsang pengaliran air liur dan pergerakan pencernaan di dalam usus. Bagi mereka yang menghadapi masalah penghadaman dan sakit akibat terlebih makan, popcorn boleh membantu. Popcorn juga merupakan pelawas yang baik.

Gigi terdiri daripada kalsium dan fosforus yang boleh terhakis oleh sejenis asid. Asid ini terbentuk di dalam mulut oleh tindakan bakteria terhadap gula. Oleh yang demikian, apa sahaja makanan yang mengandungi gula akan menghasilkan asid ini dan dengan segera akan menyerang gigi. Kalsium dan fosforus yang terkandung di dalam popcorn membekalkan sistem tubuh manusia dengan sejumlah mineral yang amat berharga.