Selasa, Mei 10, 2011

SAYANG ISTERI, KASIHKAN IBU

SEMPENA sambutan Hari Ibu di sebuah hotel, seorang pakar motivasi dijemput menyampaikan ceramah. Beliau bertanya kepada beberapa orang lelaki yang duduk di meja paling depan berhadapan dengannya, “Siapakah wanita yang paling anda sayangi?”

Masing-masing menunjukkan ke arah isteri masing-masing yang duduk di sebelah.

“Mak masih ada?” tanya motivator itu. Mereka mengangguk.

“Setiap anak lelaki, setiap anak perempuan yang belum berkahwin selagi ibu masih hidup, ibulah wanita pertama yang mesti bertakhta di hati kita, ibulah insan yang mesti dicintai dan dikasihi sehebat-hebatnya.

Perbetulkan balik niat kasih anda supaya hidup anda dalam keberkatan Allah sebab ini perintah daripada Allah dalam al-Quran. Rasulullah SAW juga telah mengingatkan kita tiga kali berturut-turut akan kewajipan mentaati ibu, kemudian barulah bapa.”

Peringatan motivator itu mengajak peserta memperbetulkan niat.
Begitulah kehidupan manusia, apabila telah datang insan lain yang kita rasa sudah mampu menyenangkan hati dan menyenangkan ‘kocek’ kita (isteri bantu mengukuhkan ekonomi rumah tangga), kita rasa keutamaan segala-galanya harus diberikan kepadanya sehingga terlepas pandang atau boleh berala kadar dalam memberi kasih kepada ibu. Lebih malang lagi, ramai anak lebih mengharap ibu faham situasi mereka apabila telah berumah tangga, yang perlu lebih mengasihi isteri.

Mengharap ibu faham situasi kita adalah satu perkara yang tidak bijak. Sememangnya ramai ibu yang faham dengan kehidupan anak lelakinya yang perlu banyak mengurus kebajikan keluarga. Sememangnya sifat seorang ibu selalu berkorban segala-galanya untuk anak-anak, malah telah bersedia menerima seadanya layanan anak-anak apabila mereka telah berumah tangga. Apa yang selalu ibu katakan kepada si anak, “Mak tak nak minta apa-apa. Mak harap kamu jaga isteri kamu baik-baik, jaga keluarga kamu baik-baik. Mak doakan keluarga kamu menjadi orang soleh, boleh doakan mak apabila mak dah tak ada nanti.”

Murninya bicara seorang ibu. Harga kesolehan keluarga yang bakal dibina oleh anak dan menantu menjadi taruhannya untuk dia sejahtera ke alam barzakh. Namun, anak harus faham, cinta yang utama tetap kepada Allah, Rasul dan ibu. Kasih dan bakti kepada ibu perlu diletakkan di tempat paling atas.

Kepada para suami, menjadi tanggungjawabnya mendidik dan mengajak isteri untuk meraikan ibu mertua (ibu suami) dan menjaga hatinya. Sesungguhnya menjadi kewajipan suami menggalakkan isteri memuliakan ibunya mengikut cara yang telah Allah anjurkan seperti bercakap dengan sopan dan menunjukkan akhlak yang baik ketika bersama ibu. Peranan suami yang membimbing isteri menjadi isteri solehah sangat membantu ibu makin kasih kepada anak lelaki dan keluarganya.

Kepada para isteri, jangan bangga kalau suami sanggup berhabis-habisan memberi pelbagai kemewahan kepada kita, bimbang kalau-kalau kerana terlalu memenuhi pelbagai hajat kita itu, suami kita tiada masa untuk menjenguk atau bertanya khabar tentang ibunya. Hal ini boleh meletakkan diri suami dalam kederhakaan yang tidak disedari, kerana suami terpaksa berkira-kira dalam memberi khidmat dan mencurah kasih kepada si ibu. Jangan sampai anak terputus hubungan rohani (hati) dengan si ibu. Ingatlah Allah boleh beri nikmat kesenangan sebanyak-banyaknya kepada kita atas apa yang kita usahakan, tetapi tidak ada nilai berkat andai kita lupa kepada ibu yang telah banyak berjasa kepada kita.

Oleh itu carilah redha ibu selalu, ambillah iktibar kisah al-Qamah pada zaman Rasulullah SAW yang terleka melayan kerenah isteri sehingga terlepas pandang meraikan ibunya. Akhirnya si ibu berkecil hati, menyebabkan al-Qamah susah mengucap dua kalimah syahadah semasa hendak meninggal dunia. Nabi SAW perintahkan agar dibuat unggun api untuk membakar al-Qamah kerana mengecilkan hati ibunya. Begitu tegasnya Nabi SAW dalam soal kederhakaan seorang anak kepada ibu kerana syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu. Hierarki ketaatan seorang anak ialah kepada Allah SWT, Rasulullah SAW dan ibu.

Kepada para isteri, mari kita jadikan diri kita sebagai isteri yang mempermudahkan urusan suami dalam berbakti kepada ibu. Mudah-mudahan kita menjadi isteri dan menantu yang solehah. Yakinlah bahawa apabila kita mempermudahkan suami menggembirakan ibunya, itu petanda Allah meredhai kita dan insya-Allah akan dipermudahkan pula untuk anak-anak mentaati kita yang juga bergelar ibu.