Isnin, Januari 11, 2010

ANAKKU, JADILAH AHLI AL-QURAN

Oleh: Zakaria Sungib

DUA anak lelaki abah yang mengikuti pengajiah tahfiz pulang bercuti. Seperti selalu, cuti bakal-bakal hafiz ini tidak pernah lama, sekadar beberapa hari. Abah mengambil peluang ini untuk mendekati anak-anak remajanya itu.

Abah bersama mereka solat jemaah di masjid. Sekali-sekala abah meminta mereka mengimamkan solat di rumah. Usai solat, abah berpesan kepada anak-anak remajanya yang sudah menghafaz Al-Quran hingga juz 21 itu dan kepada anak-anak lain yang turut bercuti.

“Abah mahu anak-anak abah semuanya menjadi ahli Al-Quran,” tutur abah. “Tidak semestinya semua menjadi hafiz, tetapi semua orang mesti menjadi pendamping Al-Quran. Supaya nanti di alam kubur, Al-Quran datang menemani kita dan mengiktiraf kita sebagai temannya.”

Abah menerangkan maksud satu hadis tentang bagaimana Al-Quran muncul di sisi mayat di dalam kubur. Si mati semasa hayatnya selalu membaca dan mendampingi Al-Quran, lalu Al-Quran datang menyerupai lelaki yang berparas indah menemani dia dan melindungi dia daripada seksaan kubur.

“Abah harap, anak-anak abah menjadi penghayat Al-Quran, bukan sekadar pengajuk Al-Quran. Jangan sekadar menghafaz, tetapi fahami dan hayati makna Al-Quran itu. Setiap hari lapangkan masa untuk membaca terjemahan Al-Quran, kerana kita bukan orang Arab yang faham makna ayat-ayat Al-Quran,” bicara abah lagi.

Abah juga berpesan supaya anak-anaknya menjaga adab ketika membaca Al-Quran. Setiap kali hendak membacanya, rasakan bahawa Al-Quran itu kalam Allah, ayat-ayat mulia yang datang dari Allah. Al-Quran tidak boleh dibaca secara sambil lewa seperti kita membaca buku atau surat khabar.

“Jangan bersandar seperti orang malas sambil membaca Al-Quran. Pegang Al-Quran seperti selayaknya kita memegang barang yang sangat kita muliakan. Pegang dan ambil Al-Quran dengan tangan kanan, bukan dengan tangan kiri. Pegang di atas paras lutut dan jangan sekali-kali letakkan Al-Quran di lantai atau di paras punggung,” pesan abah lagi.

Abah percaya, membaca Al-Quran tanpa menjaga adab-adabnya akan menyebabkan Al-Quran melaknat orang yang membacanya. Belajar agama begitu juga, adab-adabnya mesti dijaga. Abah menyampaikan pesan seorang tuan guru, “Belajar agama jika tidak menjaga adab, tidak menjadi.”

Ilmu itu menjernihkan dan melembutkan hati. Lebih-lebih lagi ilmu bacaan Al-Quran. Apabila hati tidak jernih, malah menjadi kesat setelah menghafaz Al-Quran, takut-takut roh Al-Quran tidak meresap di hati. Takut-takut Al-Quran melaknat pembaca dan penghafaznya kerana tidak menjaga adab-adab belajar dan adab-adab membacanya.

Bicara abah lagi, “Belajar agama tanpa faham seperti memegang pisau tanpa mengetahui gunanya pisau itu. Akibatnya, pisau itu akan memakan diri. Begitu jugalah dengan ilmu, ia akan memakan diri apabila perkara yang dipelajari tidak difahami. Salah satu sebab tidak faham ialah kerana tidak menjaga adab. Tuan guru abah kata, antara adab belajar adalah berdisiplin. Disiplin itu adab. Belajar agama perlu berdisiplin – jaga kitab dan barang peribadi dengan baik, jangan malas, jaga kebersihan, jaga kesucian, tidak makan makanan yang melemahkan badan dan otak. Tanpa disiplin, ilmu tidak mudah lekat di hati, lalu susah untuk difahami dan dihayati.”

Ilmu agama yang tidak difahami akan memudaratkan. Kenapa? “Kerana kita seperti menanggung beban di atas bahu. Membawa sesuatu yang tidak beri manfaat pada diri sendiri dan orang lain.”

Pesan abah, satu lagi disiplin penuntut ilmu agama adalah berusaha menghindari dosa. “Sebab itu abah tidak mahu anak-anak abah lalai dengan tv. Peti televisyen itu memang ada manfaatnya, tetapi ramai yang tidak dapat jaga diri daripada mendapat mudaratnya. Dapat dosa. Jadi, ada baiknya juga tidak tengok tv langsung. Kalaupun tengok rancangan yang bagus dan tidak mendatangkan dosa, nanti apabila muncul iklan yang tidak sopan, susah pula untuk menjaga mata.”

Abah dan ibu melazimkan anak-anak membaca Al-Quran sebelum maghrib – waktu perpindahan hari. Jika waktu ini tidak diisi dengan perkara baik, jin jahat dan syaitan menggunakannya untuk melalaikan manusia di jalanan, di padang bola, di pusat membeli-belah dan tempat lain.

Abah juga menggalakkan anak-anak membaca Al-Quran sebelum tidur. Mudah-mudahan hati menjadi lembut. Apa yang dibuat beberapa minit sebelum tidur itu akan mempengaruhi minda bawah sedar sewaktu tidur. Mujurlah di ruang tamu mahupun di bilik anak-anak tidak ada peti televisyen. Peti televisyen di bilik abah dan ibu juga sudah lama tidak disambung ke punca elektrik.

Kalaupun anak-anak tidak membaca Al-Quran, mereka akan membaca buku menjelang tidur. Cuma, buku apakah yang mereka baca? Abah dan ibu perlu tengok-tengok juga.