Isnin, Januari 11, 2010

PENDIDIKAN ANAK-ANAK DI DALAM SURAH LUQMAN

DI dalam surah Luqman terdapat peruntukan mengenai pendidikan anak-anak yang bermula dari ayat 13 sehinggalah ke ayat 19. Terdapat beberapa huraian yang menyentuh tentang ayat-ayat tadi berdasarkan tafsir ‘Fi Zhilali Al-Quran’.

Ayat 13 – Ia merupakan nasihat Luqman Hakim kepada anaknya agar menjauhi syirik kerana ia adalah kezaliman yang besar. Tiada seorang bapa pun yang tidak mahukan kebaikan untuk anaknya. Persoalan inilah yang diketengahkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya. Sesungguhnya kata-kata nasihat yang dilafazkan oleh ibu bapa adalah jauh sekali dari bentuk-bentuk syubhat dan sangkaan-sangkaan yang tidak betul. Apatah lagi ia diucapkan dengan berhikmah yang mana ia adalah satu kurniaan terbesar kepada Luqman Hakim.

Ayat 14 – Ia memperlihatkan kepada kita tentang perhubungan atau komunikasi seorang bapa dengan anaknya dalam bentuk yang lembut dan digambarkan dalam suasana yang begitu realistik. Namun, pertalian akidah haruslah dipentingkan dari pertalian tersebut.

Nasihat ini ekoran daripada rancangan fitrah yang membawa seseorang bapa untuk memelihara anaknya. Fitrah ini wujud untuk menjamin penerusan hidup anak-anak.

Ibu bapa menyerahkan segenap tenaga, mengorbankan jiwa dan raga serta hartanya untuk kebahagiaan anak-anak tanpa keluhan dan rintihan. Malah, ia dilakukan dengan penuh keikhlasan dan kegembiraan. Justeru, seseorang anak harus bersyukur kepada Allah SWT dan kepada kedua orang tuanya kerana semua itu adalah dihubungkan dengan pertalian akhirat.

Ayat 15 – Ayat ini menunjukkan bahawa anak-anak tidak perlu menuruti serta mentaati perintah atau nasihat kedua orang tuanya sekiranya ia membawa kepada mensyirikkan Allah SWT. Namun, anak-anak wajib berkomunikasi dengan mereka secara baik, dan mereka seharusnya mengikuti jalan-jalan kebenaran. Sesungguhnya segala amalan manusia akan dihitung dan dikhabarkan apa yang telah mereka kerjakan.

Ayat 16 – Ia menunjukkan bahawa segala amalan yang dilakukan meskupun sebesar biji sawi dan berada di dalam batu pejal atau di mana-mana tempat sama ada di langit atau di bumi akan dihisab oleh Allah SWT dan diketahui oleh-Nya. Hal ini memperlihatkan bahawa ilmu Allah SWT maha luas. Dia mengetahui segala yang zahir dan batin. Demikianlah keagungan Allah SWT.

Ayat 17 – Luqman Hakim menasihati anaknya agar menunaikan solat dan menyeru manusia kepada Allah SWT serta bersabar dengan mehnah-mehnah atau tribulasi perjuangan yang bakal dihadapi dalam meninggikan kalimah Allah SWT. Semuanya itu adalah jalan-jalan akidah yang telah digariskan dan ditetapkan oleh Allah SWT. Ia merupakan bekalan seseorang Muslim untuk kekuatan dirinya dan merupakan sebaik-baik perkara.

Ayat 18 – Luqman Hakim seterusnya menasihati anaknya tentang adab-adab seorang daie pada jalan Allah SWT. Di dalam proses menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah tidak dibolehkan seseorang itu meninggi diri dan bersikap sombong serta berjalan di muka bumi ini dengan angkuh kerana ia seolah-olah tidak mempedulikan manusia sekelilingnya serta mendapat kemurkaan Allah SWT dan kebencian manusia yang lain. Malah, Islam menyarankan manusia agar bersederhana di dalam perjalanannya.

Ayat 19 – Merendahkan suara adalah adab. Ia akan menimbulkan kedamaian dan segala apa yang dituruti itu akan dipercayai dan diterima. Mereka yang buruk percakapannya adalah tergolong di dalam orang-orang yang buruk akhlaknya dan digambarkan sebagai himar yang jelik suaranya.

Demikianlah beberapa kriteria yang menyentuh tentang pendidikan anak-anak yang sepatutnya diteliti oleh kita semua. Ini menunjukkan bahawa pendidikan anak-anak itu amat penting sehingga mendapat tempat di dalam Al-Quran.