Jumaat, Januari 15, 2010

SOLAT TAHAP TADIKA

Oleh: Hj. Bad

PEJAM celik, tidur jaga, duduk bangun, toleh kiri toleh kanan, lepak sana sini, enjoy sekejap, serius sekejap, tup tap tup tap dah pun masuk tahun baru 2010. Ish... cepat betul masa berlalu. Rasa-rasanya baru tiga empat tahun lepas kita dirisaukan dengan cerita Y2K. Sedangkan kita semua tahu detik demi detik masa tetap yang tu jugak. 60 saat seminit, 60 minit sejam, 24 jam sehari dan 30 hari sebulan. Itulah masa namanya. Cepat dan lambatnya bergantung kepada diri kita sebenarnya. Duduk depan TV nengok cerita telenovela demi telenovela terasa sekejap kan? Pergi karnival (sebut pesta tak best...) dan konsert tiga empat jam tak sedar dah nak maghrib kan? Duduk melayan komputer dan internet berjam-jam terasa macam beberapa minit je kan? Seolah-olah masa sungguh mencemburuiku... (poorah!)

Tapi kalau sembahyang atau mendengar kuliah agama atau menghadiri pengajian fardhu ain yang hanya beberapa minit terasa lama kan? Ustaz memanjangkan sesi kuliah maghrib sehingga melewati waktu isyak pun kita dah gelisah. Sesekali terpaksa ulang solat apabila terbatal wuduk terasa menderita sungguh kan? Atau sesekali suami terlanggar lalu tersentuh saat kita ready untuk solat terasa azab sungguh nak berwuduk semula kan? Kenapa azab dan menderita? Sebab kita tak terasa indah dan seronoknya bersolat kan? Ambil yang rukun jer. Itupun pakai sistem ekspres tanpa tamakninah atau macam ayam mematuk! Selesai salam terus bangun tanpa sempat berdoa (alaa, doa tu sunat jer.. lagipun Allah tahu apa yang aku mahu). Sesetengah tu berdoa “Ya Allah yang Maha Mengetahui, doa aku hari ini sama aje dengan doa aku yang semalam. Kabulkanlah ya Allah. Aminn”.

2010... sayu jer memijak bumi pagi Januari 2010. Sayu kerana telah berlalu usia kita yang tidak akan kembali dan tidak akan berulang lagi. Terlalu banyak masa yang telah kita sia-siakan. Telah banyak dosa dan kemungkaran kita lakukan, sama ada dosa yang nampak atau yang tak nampak. Beramal ibadah pun tak de banyak mana. Itupun banyak sangat cacat celanya. Agak-agak Allah terima tak ibadah yang macam tu? Tengok ibadah solat kita pun cukuplah. Berapa ramai di kalangan kita yang melazimkan solat di awal waktu? (alaa, lewat-lewat pun semayang jugak). Berapa ramai di kalangan kita yang melazimkan solat sunat sebelum dan sesudah solat fardhu? (alaa, ada orang langsung tak semayang). Berapa ramai yang bersungguh-sungguh menjaga khusyuk dalam solat? (alaa, tak khusyuk pun sah jugak). Berapa ramai yang faham makna bacaan Al-Fatihah? (penting ke?) Berapa ramai yang faham makna setiap bacaan dalam solatnya baik bacaan ketika rukuk, sujud atau ketika duduk tahiyyat? (kena faham ke?) Berapa ramai yang dah mengaji habis kitab fekah bab bersuci, wuduk dan solat yang biasa dibuat kat surau dan masjid? (alaa, kat sekolah dulu cikgu dah pernah ajar.. kira ok ler tuu!)

Begitulah sikap kita tentang solat yang kita akui sebagai tiang agama. Betapa tidak seriusnya kita dengan solat. Usia dah semakin ke penghujung tapi solat kita masih macam budak tadika. Soalan yang mula-mula ditanya di akhirat nanti pun adalah soal solat juga. Kalau lulus persoalan solat maka persoalan ibadah lain tu kira mudah la. Tapi kalau persoalan solat tak pass... hmm, susah mau cerita!